Berita Terkini

Bagaimana Al-Quran ditulis dan dibukukan

Bangsa Arab terkenal sebagai bangsa yang kuat daya hafalannya. Mereka suka menghafal terutamanya syair-syair yang masyhur. Mereka juga biasanya boleh menguasai bahasa dengan baik.

Al-Quranul Karim diturunkan dalam bulan Ramadhan sebagaimana disebut dalam Al-Quran,

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan bathil) ..”  Surah Al-Baqarah : Ayat 185.

Ulama' sepakat bahawa Al-Quran diturunkan (Nuzulul Quran) dalam bulan Ramadhan, namun berbeza pendapat mengenai tarikhnya. Pendapat yang paling terkenal ialah pada tanggal 17 Ramadhan , bersamaan 10 Ogos 610 M di Gua Hira', ketika Rasulullah S.a.w berusia 40 tahun. Ada juga pendapat mengatakan pada 24 Ramadhan, seperti yang diterangkan oleh Imam Ahmad bin Hambal dalam sebuah hadits dari wa’ilah bin al Aq : ” … Dan Al-Qur’an diturunkan pada tanggal 24 Ramadhan."

Ayat AlQuran yang pertama diturunkan ialah Iqra' iaitu dari Surah Al 'Alaq yang mengandungi 5 ayat.  Rasulullah S.a.w adalah seorang yang ummi (buta huruf) ketika turunnya AlQuran. Baginda hanya menghafal ayat-ayat yang diajar oleh Jibril a.s. di gua Hira'. Rasulullah adalah 'Sayyidul huffaz' kerana baginda orang pertama yang menghafal AlQuran.

Kemudian nabi Muhammad S.a.w mengajar pula AlQuran kepada sahabat-sahabat, dan mereka pun menghafalnya.

Kadang-kadang baginda S.a.w terlalu ghairah hendak menghafaznya takut terlupa, sehingga tidak sempat malaikat Jibril habis baca ayat tersebut , baginda telah mengikuti bacaan itu. Keadaan ini telah ditegur oleh Allah S.w.t dengan firmanNya yang bermaksud;

"Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) Al-Qur'an kerana hendak cepat-cepat menguasainya. Sesungguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan Kamilah penjelasannya." Surah Al Qiyaamah : Ayat 16 - 19

Itu menunjukkan bahawa Rasulullah S.a.w begitu gigih untuk menghafal AlQuran. Baginda sentiasa membaca Alquran setiap malam di dalam solatnya.


Penulisan AlQuran

Penulisan AlQuran boleh dibahagikan kepada 3 peringkat. Peringkat pertama ditulis pada zaman Rasulullah S.a.w, kedua di zaman Abu Bakar AsSiddiq dan ketiga di zaman Utsman bin Affan.

Walaupun Rasulullah S.a.w dan ramai sahabat menghafal AlQuran, baginda juga menyuruh agar menulisnya. Baginda ada beberapa orang sahabat penulis wahyu iaitu antaranya Zaid bin Tsabit, Ubai bin Kaab, Muaz bin Jabal, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali r.a.

Langkah tersebut merupakan langkah yang sangat bijak, kerana selepas Rasulullah wafat, AlQuran telah pun terkumpul di dada-dada sahabat dan ditulis juga pada kertas, pelepah tamar, kulit binatang, tulang unta, batu nipis dan beberapa lagi.

Waktu ini sebenarnya kertas sudah dicipta oleh negara China. Tetapi mungkin kerana sahabat-sahabat bukan semuanya kaya, maka penggunaan kertas belum meluas. Lagi pun kertas susah didapati di pasaran dan harganya tidak semurah seperti sekarang.

Rasulullah melarang menulis darinya selain dari AlQuran dan hanya menyuruh menulis AlQuran, sebagaimana dalam hadithnya, "Janganlah kalian menulis dari aku. Barangsiapa yang telah menulis dari aku selain al-Quran hendaklah dia menghapuskannya." (Hadith Riwayat Muslim)


Zaman Khalifah Abu Bakar r.a

Apabila Saidina Abu Bakar r.a menjadi khalifah, beliau menghadapi berbagai masalah yang mengancam pemerintahannya. Ada yang murtad, ada yang tidak mahu bayar zakat, ada yang mengaku nabi dan sebagainya lagi.

Dalam peperangan AlYamamah iaitu memerangi orang murtad, ramai sahabat yang telah mati syahid. 70 orang darinya adalah sahabat-sahabat besar yang menghafal AlQuran.

Saidina Umar bin Khatthab r.a datang kepada Abu Bakar menceritakan tentang pemergian para huffaz AlQuran itu. Sekiranya tidak diambil apa-apa tindakan, beliau bimbang akan kehilangan AlQuran dari orang-orang Islam. Umar r.a mencadangkan kepada Abu Bakar r.a agar mengumpulkan Alquran.

Pada mulanya Saidina Abu Bakar masih teragak-agak dan tidak berani, kerana ianya tidak pernah disuruh oleh Rasulullah S.a.w semasa baginda masih hidup. Abu Bakar takut ianya akan menjadi satu bid'ah dan tidak disukai oleh Rasulullah.

Walaubagaimana pun, para sahabat terutamanya sahabat-sahabat besar adalah mereka-mereka yang sudah dijanjikan syurga. Dan Nabi Muhammad S.a.w sendiri menyuruh agar mengikuti mereka sepertimana dalam hadith, “Maka barangsiapa yang menjumpai itu (perpecahan umat) hendaklah dia berpegang kepada Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang menunjukkan kepada kebaikan dan mendapat petunjuk, gigitlah Sunnah ini dengan gigi geraham." (Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Setelah difikirkan masa depan umat Islam khasnya yang bukan berbangsa Arab, maka akhirnya beliau setuju untuk melaksanakan cadangan Saidina Umar itu, iaitu mengumpulkan Alquran.

Saidina Abu Bakar r.a. telah menubuhkan satu jawatankuasa yang terdiri dari sahabat-sahabat yang baik hafalannya. Mereka diketuai oleh Zaid bin Tsabit r.a.

Antara sebab Zaid dipilih menjadi ketua ialah kerana dia sangat kuat daya ingatan, banyak masa bersama Rasulullah S.a.w dan Zaid adalah satu-satunya sahabat yang bersama-sama Rasulullah dan Jibril a.s bertadarrus di bulan Ramadhan yang terakhir bagi Rasulullah S.a.w.

Setiap tahun, Rasulullah S.a.w akan bertadarrus AlQuran bersama malaikat Jibril a.s pada bulan Ramadhan sekali habis. Tapi dalam bulan Ramadhan terakhir, baginda bertadarrus sebanyak 2 kali habis dengan Jibril. Dan kali terakhir itu, Zaid pun ada bersama-samanya.

Zaid bin Tsabit r.a mengatakan bahawa Abu Bakar telah mengatakan kepadaku, “Engkau laki-laki yang masih muda dan cerdas. Kami sekali-kali tidak pernah memberikan tuduhan atas dirimu, dan engkau telah menulis wahyu untuk Rasulullah s.a.w sehingga engkau selalu mengikuti al-Quran, maka kumpulkanlah ia.”

Zaid dan sahabat-sahabatnya mengumpulkan semua lembaran AlQuran yang tertulis pada batu, kayu, tulang dan sebagainya itu. Mereka menulisnya semula di dalam satu naskhah yang disebut 'Suhuf'.

Setiap ayat yang hendak ditulis dipastikan dahulu dengan bersaksikan 2 orang yang pernah menghafaznya di hadapan Rasulullah S.a.w.

Begitu teliti sekali prosesnya, hingga pengambilan akhir Surat at-Taubah sempat terhenti kerana tidak dapat dihadirkan dua orang saksi yang menyaksikan bahawa akhir Surat at-Taubah ditulis di hadapan Rasululllah s.a.w, kecuali kesaksian Khuzaimah saja. Para sahabat tidak berani menghimpun akhir ayat tersebut, sampai terbukti bahawa Rasulullah telah berpegang pada kesaksian Khuzaimah, bahawa kesaksian Khuzaimah sebanding dengan kesaksian dua orang muslim yang adil. Barulah mereka menghimpun lembaran yang disaksikan oleh Khuzaimah tersebut.

Setelah siap dikumpul dan ditulis dalam Suhuf, maka diserahkan kepada Abu Bakar r.a. Setelah Abu Bakar wafat, ia disimpan oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a. Selepas kewafatan Umar, Suhuf itu disimpan pula oleh anaknya Hafsah. Ini lah naskhah AlQuran yang pertama sekali ditulis dan dikumpulkan.


Zaman Khalifah Utsman bin Affan r.a

AlQuran ditulis buat kali ketiganya di zaman pemerintahan Saidina Utsman bin Affan r.a. Sebab penulisan semula di zaman ini berbeza dengan sebab-sebab yang berlaku sebelum ini.

Islam ketika ini telah berkembang luas hingga ke Afrika di barat dan Azerbaijan di timur. Orang-orang Islam bertaburan di merata pelusuk negeri. Masing-masing membaca AlQuran mengikut bacaan sahabat yang mengajar mereka.

Dengan demikian bacaan antara satu tempat dengan tempat yang lain adalah berbeza. Ada yang membaca mengikut bacaan Ubai bin Kaab, ada yang mengikut bacaan Ibnu Mas'ud dan ada pula yang mengikut bacaan Abu Musa Al-Ashari. Perbezaan bacaan itu dari segi lahjah (dialek / loghat).

Masing-masing mengatakan bacaannya sahaja yang betul dan menyalahkan yang lain, sehingga mencetuskan persengketaan dan kafir-mengkafir sesama Muslim, hanya kerana bacaan AlQuran yang berbeza sebutannya.

Seorang sahabat bernama Hudzaifah bin Al-Yaman r.a yang baru balik dari Syam setelah selesai pembukaan Armenia dan Azerbaijan, memberitahu masalah ini kepada Saidina Utsman r.a. Beliau cadangkan agar satu tindakan diambil bagi menyelamatkan umat Islam. Jika tidak, ditakuti umat Islam akan menjadi seperti umat Yahudi dan Nasrani dulu yang bersengketa dan berpecah kerana kitab mereka.

Tindakan yang dimaksudkan ialah menulis semula AlQuran dalam beberapa naskhah dan dihantar ke semua negeri Islam. Semua orang Islam mesti membaca mengikut apa yang ditulis itu.

Saidina Utsman r.a meminta Suhuf yang ditulis di zaman Saidina Abu Bakar r.a yang ada dalam simpanan Hafsah binti Umar. Zaid bin Tsabit sekali lagi dilantik menjadi ketua jawatankuasa pengumpulan Alquran peringkat ketiga ini. Mereka terdiri dari Abdullah bin Zubair, Said bin Al 'Ash dan Abdul Rahman bin Al-Harith.

Mereka disuruh oleh Utsman supaya menulis semula dengan baik. Jika ada perbezaan antara mereka tentang gaya bahasanya, mereka hendaklah menulis mengikut dialek Arab Quraisy, kerana AlQuran diturunkan dalam Bahasa Arab Quraisy.

AlQuran ditulis tanpa ada titik dan baris, ini adalah untuk meraikan Bacaan Tujuh. Dengan ini ia boleh dibaca dengan Tujuh Qiraat (bacaan).

Menurut As-Sayuti, penulisan ini dibuat dalam lima naskhah untuk dihantar ke bandar-bandar besar Islam seperti Kufah, Basrah, Mekah, Yaman dan lain-lain.

Naskhah-naskhah lain jika ada yang ditulis oleh sahabat sendiri di masa hayat Rasulullah atau selepasnya diperintahkan agar bakar semuanya. Semua orang Islam disuruh membaca AlQuran mengikut yang ada dalam mushaf ini agar seragam.

Inilah AlQuran yang disebut sebagai 'Mushaf Utsmani' yang ada pada kita sekarang. Cuma mushaf sekarang ini ditulis dengan khat yang lebih baik lagi dan diletakkan titik dan baris dengan sempurna, untuk memudahkan bacaan orang-orang bukan Arab.

Usaha meletakkan titik dan baris itu telah dilakukan sejak akhir zaman pemerintahan Saidina Ali bin Abi Thalib lagi. Ia diusahakan oleh Abu Al-Aswad Al-Duali. Usaha ini disempurnakan dalam kurun pertama hijrah.

Adapun pembubuhan tanda syakal berupa fathah, dhammah, dan kasrah dengan titik yang warna tintanya berbeza dengan warna tinta yang dipakai pada mushaf yang terjadi di masa Khalifah Muawiyah dilakukan untuk menghindari kesalahan bacaan bagi para pembaca AlQuran yang kurang mengerti tata bahasa Arab. Pada masa Kerajaan Abbasiyah, tanda syakal ini diganti. Tanda dhammah ditandai dengan dengan wawu kecil di atas huruf, fathah ditandai dengan alif kecil di atas huruf, dan kasrah ditandai dengan ya` kecil di bawah huruf.

Begitu pula pembubuhan tanda titik di bawah dan di atas huruf di masa Khalifah Abdul Malik bin Marwan dilakukan untuk membezakan satu huruf dengan huruf lainnya.

Untuk bacaan yang lebih jelas dan mendalam, sudah tentu lah anda mesti membaca kitab-kitab yang membicarakan tentang Ulum Quran (Ilmu-ilmu Quran). Wallahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Mohd Yusof Ahmad - Bagaimana Quran ditulis (Majalah Dakwah , Oktober 1992)

2 - mediaislamnet.com



3 ulasan:

  1. subhanallah..artikel ni sangat bagus.meleraikan segala persoalan dan keraguan sy. syukran sahabat :)

    BalasPadam
  2. Hanya allah yg mampu mblas jasa mereka. Sesungguhnya al quran itu d bwh pemeliharaanNYA

    BalasPadam
  3. ini yg saya cari cari. Penulisan yg sgt jelas dan mudah. Terima kasih banyak2. Semoga anda mendapat pahala besar dr Allah s.w.t.

    BalasPadam

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.