Berita Terkini

Koleksi beberapa kes jenayah ragut tahun 2011

Pelajar perempuan 17 tahun maut ketika kejar peragut

KANGAR 20 Mei – Seorang pelajar perempuan yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini maut dalam usahanya mengejar peragut yang dikatakan cuba meragut rantai leher perak milik adiknya di Km 10, Jalan Kaki Bukit di Beseri dekat sini malam tadi.

Nur Syaza Yasmin Ruslan, 17, yang mengejar peragut dengan motosikal meninggal di tempat kejadian apabila motosikalnya dikatakan bergesel dengan motosikal peragut sebelum mangsa terpelanting di atas jalan raya dan dilanggar pula oleh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira 8 malam itu.

Adiknya, Nur Syaza Naurah, 15, yang membonceng motosikal itu, menceritakan kejadian tersebut bermula ketika mereka baru sahaja mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Balai Baru apabila dihampiri oleh seorang penunggang motosikal yang bertanyakan sesuatu tetapi mereka tidak mengendahkannya.

"Pada masa yang sama lelaki itu cuba meragut rantai leher saya tetapi gagal kerana saya sempat menepis tangannya,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Keteri.  [Utusan Malaysia]

Baca selanjutnya .......


Anak parah dilanggar, ayah ibu kena ragut

KUALA TERENGGANU 18 Mei - Belum pun hilang trauma dan sedih dengan kejadian menimpa anak sulung mereka yang parah akibat dilanggar mat rempit Ahad lalu, keluarga kanak-kanak malang itu terus diuji apabila ibu bapanya pula menjadi mangsa ragut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Seberang Baruh, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, Norzie Ngah, 35, dan suaminya, Azni Ariff, 44, menjadi mangsa ragut dua lelaki yang menghampiri mereka dan merentap beg tangan ibu kanak-kanak berkenaan yang mengandungi dokumen penting dan wang tunai RM120 di depan Flet Polis Hiliran, di sini.
“Kami dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjaga Ahmad Fakhrie di hospital. Ketika itu, saya membonceng motosikal bersama suami sebelum dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal jenis Yamaha LC dan meragut beg tangan yang diletakkan di dalam bakul. [Berita Harian]



Safiah kejar peragut hingga tanggal topi keledar

DUNGUN 13 Mei - Kejayaan menggagalkan cubaan seorang lelaki meragut beg tangannya dua tahun lalu membuatkan Safiah Yusof, 44, membulatkan tekad mengejar peragut melarikan beg tangannya sejauh kira-kira satu kilometer sehingga dia beberapa kali nyaris terbabas di bandar ini, malam kelmarin.

Sambil menjerit ‘penyamun’ dan membunyikan hon bertalu-talu, Safiah mengejar peragut yang merampas beg tangan mengandungi wang tunai RM250, seutas rantai tangan dan telefon bimbit yang diletakkan dalam bakul motosikalnya, ketika dia berseorangan ke bandar ini untuk membeli barangan dapur kira-kira jam 8 malam.  [Berita Harian]



Peniaga parah dibelasah peragut

PULAU PINANG 28 April - Dua lelaki ditahan selepas menyamun dan membelasah seorang peniaga barangan plastik sehingga cedera parah di Jalan Lim Khoon Huat, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 41 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di pusat bandar sebelum didatangi dua lelaki tempatan dari arah belakang dengan menunggang sebuah motosikal.

Difahamkan, suspek berusia 17 dan 24 tahun itu bertindak menendang motosikal yang dinaiki lelaki tersebut sehingga menyebabkan mangsa jatuh ke atas jalan raya.

Tidak cukup dengan itu, kedua- dua suspek yang merupakan seorang penganggur dan penggembala lembu turut didakwa memijak dan membelasah mangsa serta menarik rambut sebelum bertindak meragut seutas rantai emas di lehernya. [Utusan Malaysia] 

Baca selanjutnya .......


Lori rempuh motor peragut

SERDANG 24 April - Dua peragut berputih mata apabila wang RM21,000 yang baru diragut daripada seorang warga emas hanya dapat dinikmati untuk beberapa minit sebelum motosikal ditunggangi mereka dirempuh lori dalam kejadian di Taman Equine, Seri Kembangan, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu menyebabkan dua peragut berkenaan jatuh dan wang yang dipegang tercampak.

Difahamkan, kejadian berlaku apabila seorang wanita berusia 58 tahun baru saja mengeluarkan duit pusaka arwah ibunya dari bank untuk diagihkan kepada adik beradiknya.

Namun, sebaik saja keluar dari bank, motosikal dinaiki dua lelaki berusia 20-an mendekati mangsa yang ketika itu sudah berada dalam teksi dipandu suaminya berusia 50-an.

Ketua Polis Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, dua lelaki itu kemudian terus memecahkan cermin hadapan teksi dan dengan pantas merampas wang di dalam beg tangan yang diletakkan di tempat duduk hadapan sebelah penumpang.

Katanya, suspek cuba melarikan diri, namun pemandu lori yang ternampak kejadian itu terus menghimpit motosikalnya menyebabkan dan kedua-dua suspek terjatuh dan duit terkeluar dari beg itu.

“Suspek yang panik terus melarikan diri meninggalkan wang berkenaan dan motosikalnya sebelum menaiki kereta Proton Waja yang menunggu kira-kira 50 meter dari tempat kejadian. [Harian Metro]


Peragut kantoi

MUAR 14 April - Tindakan dua pemuda termasuk seorang anak polis, meragut beg tangan berisi wang tunai yang mahu digunakan seorang pesara guru bagi membeli kelengkapan mengerjakan umrah, menerima padah apabila mereka dicam orang ramai, membolehkan kedua-duanya ditahan tiga jam selepas melakukan jenayah itu.

Kejadian ragut itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari kelmarin dekat Jalan Pesta 1/1 di pinggir bandar ini, ketika mangsa Azizah Mohd Don, 59, keluar dari kereta Honda City yang dipandunya untuk ke sebuah kedai serbaneka berhadapan tempat letak kenderaan itu, apabila dua pemuda bermotosikal meragut beg tangannya.



Peragut ditahan selepas 10 minit meragut

KOTA KINABALU 12 April - Tidak sampai setengah jam meragut, seorang penjenayah berjaya ditahan pihak polis berhampiran pangkalan Pasukan Gerakan Marin (PGM) Kota Kinabalu di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, suspek berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan oleh beberapa anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan itu pada kira-kira pukul 1.20 petang.

"Dalam kejadian pada kira-kira pukul 1.10 petang suspek telah meragut telefon bimbit seorang wanita yang sedang berjalan di Jalan Gaya di sini.

"Namun selepas mendengar jeritan mangsa beberapa anggota yang melakukan rondaan telah mengejar dan berjaya menahan suspek," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini baru-baru ini.


Tindakan pantas polis gagalkan peragut berijazah

TELUK INTAN 12 April - Tindakan pantas dan berani dua anggota polis berjaya menggagalkan percubaan seorang lelaki meragut seorang wanita di Jalan Sultan Abdullah semalam.

Kedua-dua anggota polis yang ketika itu sedang meronda menaiki motosikal terus mengejar suspek sebaik sahaja mendengar jeritan mangsa.

Seorang saksi yang hanya dikenali sebagai Ismail dari Taman Desa Bakti, dekat sini memberitahu, dia baru keluar dari sebuah kedai runcit apabila melihat tiga motosikal ditunggang laju seperti sedang berlumba.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan polis selepas terjatuh ketika melalui satu selekoh.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, suspek berusia 34 tahun itu telah membuang beg yang diragut sebaik sahaja menyedari dikejar polis.

Menurutnya, suspek yang berasal dari Jalan Maharaja-Lela dekat sini dan positif dadah itu dipercayai telah melakukan lebih 13 jenayah ragut.

Katanya, suspek yang juga pemegang ijazah kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah ragut.  [Utusan Malaysia]


Mangsa ragut tak kenal keluarga

LANGKAWI 31 Mac - “Hati saya sebak tatkala isteri asyik bertanya keadaan anak (bongsu) setiap kali kami menziarahinya di hospital sedangkan anak kami (Nur Alia Khalisa, tiga bulan) ada dibawa bersama dan ada di depannya.”

Begitu kata jurujual, Sulaiman Berhan, 26, yang tabah menjaga dua anak kecil mereka selepas isterinya, Zanirah Md Amin, 28, terlantar di Hospital Langkawi dan turut berhadapan risiko cacat seumur hidup apabila dipukul peragut.


Dalam kejadian kira-kira 11 pagi pada 8 Mac lalu, mangsa ditemui terbaring dan pengsan di sisi motosikalnya oleh dua pelancong asing di Jalan Kampung Kubang Badak, Mukim Ayer Hangat, ketika dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Kelubi, di sini.

Akibat kejadian itu, ibu muda yang baru habis berpantang selepas melahirkan anak kedua, koma enam hari dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi. [Harian Metro]



Peragut guna kereta curi ditangkap dalam masa kurang 24 jam

PETALING JAYA 14 Mac - Kegiatan sekumpulan penjenayah menggunakan kereta curi untuk meragut dan menyamun akhirnya terbongkar apabila kurang 24 jam kejadian ragut dilaporkan. Salah seorang daripadanya ditahan di Batu 14, Puchong, dekat sini awal pagi tadi.

Kejayaan itu susulan laporan polis seorang mangsa wanita berusia 40-an selepas beg tangannya mengandungi wang tunai RM100 serta dokumen peribadi dilarikan, semalam.

Ketika kejadian kira-kira pukul 4 petang, mangsa yang memandu kereta Proton Satria warna perak terlibat dalam kemalangan setelah kenderaannya hilang kawalan dan terbabas di selekoh berhampiran Putra Height, dekat sini. [Utusan Malaysia]



Jom Heboh: Wanita dicekup ketika meragut

KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Orang ramai ke Karnival Jom Heboh di sini, dengan niat untuk berhibur, namun lain pula dilakukan wanita ini apabila ke karnival itu dengan tujuan meragut.

Tindakannya bagaimanapun memakan diri apabila dia dicekup ketika cuba meragut rantai emas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun semalam.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zamri Samsuddin berkata, suspek berusia 39 tahun dan berasal dari Pulau Pinang berjaya dicekup orang ramai sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Berikutan penahanan wanita itu, polis percaya dapat menyelesaikan tiga kes ragut sepanjang karnival terbabit, sejak kelmarin," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Pada masa sama, Zamri berkata, pihaknya berjaya menghalang satu cubaan untuk mencuri motosikal pada hari kedua karnival itu.

"Saya ingin berterima kasih kepada orang ramai dan semua pihak kerana turut sama membantu polis bagi mencegah kegiatan jenayah," katanya. [Utusan Malaysia]


Mangsa ragut maut akibat terkejut

JOHOR BAHRU 25 Feb. - Seorang tukang cuci wanita maut akibat terkejut setelah beg tangannya diragut tiga lelaki semasa dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Bandar Baru Uda di sini awal pagi ini.

Dalam insiden kira-kira pukul 5.50 pagi, mangsa, R, Alamelu (gambar), 49, yang membonceng motosikal rakan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian selepas terjatuh daripada motosikal yang dinaiki sejurus diserang tiga suspek terbabit.

Anak mangsa, R. Mugash, 20, berkata, rakannya, Ganesan yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu memberitahu, tiga suspek itu menunggang dua motosikal dan mereka dipercayai warga asing.

"Menurut Ganesan, dalam kejadian itu, ibu saya tetap berkeras tidak mahu melepaskan beg tangannya apabila salah seorang suspek cuba meragut beg tangannya.  [Utusan Malaysia]



Pelajar perempuan tendang peragut

KUALA TERENGGANU 23 Feb. – Tindakan berani seorang pelajar perempuan menendang dan bergelut dengan seorang peragut menyebabkan penjenayah itu berjaya diberkas.

Dalam kejadian pukul 5.50 petang di Kampung Paya Lasir, Kijal di Kemaman semalam, suspek yang berusia 25 tahun diberkas oleh penduduk sekitar setelah mendengar jeritan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 18 tahun menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Darat berdekatan lokasi kejadian. [Utusan Malaysia]


Peragut terbunuh

AMPANG 21 Feb. - Seorang peragut yang kelam-kabut melarikan diri sejurus meragut beg tangan seorang wanita, terbunuh manakala rakannya parah selepas motosikal dinaiki merempuh kereta mangsa yang ketika itu nekad mengejar penjenayah terbabit di Taman Mega Jaya, Bukit Teratai di sini, semalam.

Tindakan berani arkitek wanita berusia 28 tahun yang juga anak bekas pegawai polis itu membuatkan dua lelaki terbabit panik sehingga mereka masuk ke laluan jalan mati di taman berkenaan sebelum berpatah balik dan merempuh kereta mangsa yang mengejar mereka.

Akibatnya, kedua-dua lelaki terbabit terpelanting ke longkang menyebabkan seorang daripada mereka maut di tempat kejadian selepas kerandut zakarnya pecah, manakala rakannya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang. [Harian Metro]



Norlia Ghani mangsa dua peragut

KUALA LUMPUR 12 Feb. -  “Saya tergamam dan tak sempat melakukan apa-apa,” kata pelakon veteran, Norlia Ghani, 63, menceritakan detik cemas dia menjadi mangsa ragut dua lelaki menunggang motosikal di pusat beli-belah Ampang Park, dekat sini, kelmarin.

Menurutnya, dia ditolak hingga tersandar di dinding oleh dua lelaki terbabit yang kemudian meragut beg tangannya ketika dalam perjalanan ke hentian teksi berhampiran untuk pulang ke rumahnya di Jalan Gurney.

“Saya bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius, namun kejadian ini benar-benar meninggalkan trauma. Saya tergaman dan hanya berdiam diri.

“Saya tidak terfikir langsung untuk menjerit atau mencatat nombor pendaftaran motosikal yang digunakan mereka kerana kejadian terlalu pantas,” katanya ketika dihubungi, semalam.



Gigit peragut

MELAKA 12 Feb - “Saya bergelut hampir 10 minit dan sempat menggigit tangan peragut itu kerana mahu mempertahankan rantai leher dipakai, namun dia berjaya merentap rantai itu,” kata seorang mangsa ragut dua lelaki bermotosikal, Kamariah Salim, 52, ketika ditemui di rumahnya di Pulau Gadong, Klebang Besar, dekat sini, semalam.

Kamariah yang juga guru agama berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, dia sedang membersihkan pokok bunga bersama seorang rakan yang ketika itu berada di laman rumahnya.

Menurutnya, ketika sibuk mengalihkan batu untuk meletakkan pasu bunga, dia terlihat seorang lelaki dipercayai berusia 30-an melalui jalan di depan rumahnya dan jalan itu memang menjadi laluan untuk orang keluar masuk.

“Dia tiba-tiba terus menerpa ke arah saya dengan mencengkam leher dan menarik tudung bagi meragut rantai yang saya pakai,” katanya.

Menceritakan detik cemas itu, dia yang terkejut dengan tindakan itu terus mempertahankan barang kemasnya yang bernilai RM20,000 itu dengan bergelut 10 minit.

“Ketika bergelut, saya menjerit meminta tolong, namun mungkin ketika itu ramai tiada di rumah dan saya bergelut seorang diri hingga menggigit tangan peragut berkenaan.

“Tudung saya hampir terbuka dan peragut berjaya meragut rantai leher sebelum berlari ke arah rakannya yang menunggu,” katanya. [Harian Metro]


Ibu mangsa ragut maut selepas koma

PETALING JAYA 6 Feb. – Dua peragut bertindak kejam menendang motosikal dinaiki seorang ibu kepada empat anak sehingga mengakibatkan wanita itu maut selepas tiga hari koma dalam kejadian di Jalan Klang Lama pada Khamis lalu.

Kejadian berlaku pukul 3 petang ketika motosikal ditunggangi mangsa, Zabedah Abas, 46, terjatuh sebaik sahaja ditendang dua penjenayah itu menyebabkan mangsa mengalami cedera parah di kepala.

Bagaimanapun, tiga hari selepas koma dan dirawat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pemilik sebuah restoran di Taman Medan itu meninggal dunia kira-kira pukul 12 tengah hari ini.  [Utusan Malaysia]



Derita mangsa ragut berpanjangan

BALING 23 Jan. - Seorang gadis, Haslinda Lahmin, 20, terpaksa menanggung penderitaan sepanjang hayat akibat perbuatan keji kejadian jenayah ragut yang dilaluinya sejak tiga tahun lalu.

Dia bukan sahaja terpaksa menggunakan besi di dalam kaki kanannya malah dia hampir hilang suara akibat kejadian itu.

Lebih menyedihkan akibat kejadian berkenaan kegembiraan menikmati zaman gadisnya tidak lagi bermakna apabila dia terpaksa memakai saluran paip pada leher selepas mengalami gangguan pernafasan.  [Utusan Malaysia]



Guru nekad langgar dua peragut

KEPALA BATAS 1 Jan. - Kenapa seorang guru, Azzahida Othman, 35, begitu berani mengejar sebelum melanggar dua peragut yang melarikan beg tangannya dengan kereta sehingga suspek berjaya ditahan?

Ini kerana menurut Azzahida Othman, 35, dia geram apabila suspek mencederakan anaknya dalam kejadian di Taman Bertam Putra, di sini semalam.

"Kalau dia nak ambil beg tangan, saya masih boleh terima tapi saya geram dia tergamak cederakan anak saya," katanya.

Berikutan itu, Azzahida nekad mengejar dan melanggar dua penjenayah berkenaan sebelum mereka dibelasah orang ramai.  [Utusan Malaysia]


InsyaAllah akan diupdate dari semasa ke semasa jika ada pula berita terbaru tentang kes 'Ragut' .......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.