SELAMA ini Edry Abdul Halim banyak mencipta lagu-lagu nyanyian kumpulan KRU dan juga artis-artis lain seperti Adam dan Stacy sepanjang 18 tahun pembabitannya sebagai komposer.
Anak ketiga daripada empat beradik ini tidak setakat mencipta lagu-lagu pop semata-mata, sebaliknya dia juga diberi kepercayaan mencipta lagu-lagu yang berkonsepkan ketuhanan.
Menurut Edry, Astro Oasis misalnya menyerahkan tanggungjawab kepadanya mencipta lagu yang berunsurkan ketuhanan berjudul Hambamu sebagai lagu tema program Imam Muda musim kedua.
"Saya galas kepercayaan yang telah diberi oleh Astro Oasis itu. Sebelum mencipta lagu Hambamu saya cari tema yang sesuai. Mulanya saya mahu gunakan tajuk Imam Muda sahaja.
"Tetapi saya cadangkan tajuk dan tema yang lebih meluas dan neutral untuk judul lagu itu. Pada masa sama mesej dan misi program ini yang mahu mencari tokoh imam muda tidak diketepikan.
"Astro Oasis akhirnya setuju dengan pendekatan saya menghasilkan lagu itu kerana skop yang lebih luas pendekatannya," katanya kepada Hits yang ditemui sewaktu rakaman lagu itu baru-baru ini.
Pada pertemuan di KRU Studio di Cyberjaya itu, Mawi dan Akhil Hayy baru sahaja selesai merakamkan lagu Hambamu yang mereka nyanyikan secara duet.
Hambamu yang akan digunakan sebagai lagu tema rancangan realiti televisyen (TV) Imam Muda musim kedua itu juga akan diterbitkan dalam bentuk klip video bagi tujuan promosi.
Jelas Edry, dia mengambil masa tidak sampai dua jam mencipta melodi dan lirik Hambamu itu selepas membuat kajian daripada program Imam Muda musim yang pertama.
"Sebelum mencipta lagu itu, saya telah menonton Imam Muda musim pertama melalui YouTube. Daripada situlah saya dapat idea. Ideanya bersifat global dan juga boleh disiarkan pada bila-bila masa.
"Sebab itu, saya berharap agar lagu itu bukan setakat disiarkan di saluran-saluran radio Astro tetapi juga di rangkaian radio dan TV Media Prima dan RTM demi manfaat bersama.
"Lagu itu bukan setakat berkaitan perjalanan para peserta Imam Muda tetapi ia juga boleh dikaitkan dengan individu-individu muslim yang lain. Lagi ramai yang mendengarnya ia lebih bagus," jelasnya.
Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, pemilihan Edry bagi mencipta lagu tema khas untuk Imam Muda musim kedua berdasarkan bakat dan reputasi Edry.
Ini kerana katanya, bagi menarik perhatian para penonton terutamanya golongan muda, pihaknya mahu menggunakan pendekatan lebih segar dan moden dalam lagu tersebut.
"Sebab itu, kami rasakan Edry adalah komposer yang paling sesuai. Kami tidak mahu lagu berunsurkan ketuhanan yang dijadikan lagu tema Imam Muda ini sama seperti lagu-lagu nasyid lama yang stereotaip.
"Kami mahu mengkontemporarikan lagu itu supaya ia bukan sahaja mudah menarik perhatian golongan muda tetapi juga sesuai dihayati oleh semua lapisan agama dan bangsa," tuturnya.
Sebagai penyanyi lagu Hambamu, Mawi tidak menafikan dia dapat merasakan kelainan lagu itu berbanding lagu-lagu lain yang pernah dinyanyi serta dirakamkan dalam album-albumnya sebelum ini.
Kata juara Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) itu, Hambamu bukan sahaja tidak kedengaran seperti sebuah lagu nasyid, tetapi ia juga mampu mengangkatnya ke peringkat yang lebih tinggi.
"Kalau nasyid mungkin orang Arab atau Islam sahaja yang sesuai mendengarnya. Tetapi lagu ini seperti kedengaran macam kontemporari dan ia ke arah world music konsepnya.
"Cuma pada masa sama nilai-nilai keislaman itu ada dalam lirik lagunya. Memang saya rasa lain apatah lagi ini kali pertama saya berduet dengan Akhil Hayy dalam sebuah lagu," katanya.
Sementara itu, Akhil Hayy yang banyak menyanyikan rangkap lagu itu dalam nada tinggi begitu teruja merakamkan lagu yang bakal mendapat siaran meluas itu.
Katanya, lirik lagu itu yang ringkas tetapi padat dengan mesej ketuhanan dan melodinya yang mudah untuk dialunkan tambah menyakinkannya Hambamu mampu menjadi lagu popular.
"Lagu ini mudah untuk dihayati. Saya dan Mawi hanya mengambil masa lebih kurang tiga jam sahaja untuk merakamkannya di studio. Itu satu petanda awal untuk lagu itu popular," ujarnya.
Lagu Hambamu akan disiarkan pada epsiod pertama Imam Muda musim kedua mulai 29 April ini di Astro Oasis pukul 9 malam selain menerusi radio-radio saluran badan penyiaran swasta itu.
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar AZRUL EDHAM MOHD. AMINUDDIN
Sumber - Utusan Malaysia, 14 April 2011
Diharapkan selepas ini Edry akan terus bersemangat untuk mencipta lagu-lagu berunsurkan keTuhanan dan dakwah daripada mencipta lagu-lagu yang melalaikan dan hiburan lagho semata-mata. Dan semoga menjadi inspirasi juga kepada komposer-komposer lain. Dengarkan nanti Mawi dan Akhil Hayy nyanyi lagu Hambamu .......
Mawi:
Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati
Usaha dengan doa itu,
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui
Cho: (dua-dua)
Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh,
Setibanya di sisimu ku berserah,
Terimalah aku
Hamba mu Allah
Oh ho oh ho
Hambamu Allah.....
Mawi
Sekiranya takdir menguji
Cekalkan hasrat dihati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus azam
Akhil Hayy
Usaha dengan doa itu,
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui
Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh
Tegakkan semangat bila runtuh,
Setibanya di sisimu ku berserah,
Terimalah aku
Hamba mu Allah
~ Berita aneh, konspirasi, misteri dan unik ~
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)