Berita Terkini

Wujudkan undang-undang bagi sihir yang semakin berleluasa

Kerajaan diminta mewujudkan undang-undang sihir bagi mencegah amalan negatif itu terus menular dalam kalangan masyarakat seperti menundukkan suami atau isteri serta dalam pelbagai aktiviti jenayah.

Perkara itu dinyatakan tokoh-tokoh agama dan pengamal undang-undang dalam satu majlis perbincangan ilmiah bertajuk ‘Bentuk-bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis’ anjuran Jabatan Mufti Selangor, semalam.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkata, kertas perbincangan termasuk cadangan mengenakan hukuman terhadap pengamal sihir itu akan dirujuk ke Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan seterusnya kepada Mesyuarat Muzakarah Faktwa Kebangsaan.

“Hasil perbincangan muzakarah ini akan dirujuk ke peringkat tertinggi dan dipersembahkan dalam Majlis Raja-Raja.

“Setelah diperkenankan dan diluluskan, akan dibawa ke peringkat negeri untuk diwartakan dan dilaksanakan penguatkuasaannya,” katanya dalam sidang media pada majlis muzakarah itu, bertempat di Bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini, semalam.

Mohd Tamyes berkata, cadangan peruntukan undang-undang ini adalah pelaksanaan secara umum membabitkan rakyat bukan Islam yang didapati sabit kesalahan dan boleh dijatuhkan hukuman.

“Ilmu sihir sukar dibuktikan di mahkamah kerana amalan ini abstrak dan tidak boleh dibuktikan oleh pancaindera. Sehubungan itu, pengamal undang-undang dan pihak berkuasa perlu memikirkan bentuk undang-undang yang sesuai untuk mendakwa pengamal ini di mahkamah,” katanya.

“Pelaksanaannya sama juga seperti kes jenayah membabitkan dadah iaitu suspek yang disabitkan bersalah akan menerima hukuman tanpa mengira agama.

“Sekiranya cadangan peruntukan ini dipersetujui, ia akan dimasukkan di dalam satu Enakmen Jenayah Syariah,” katanya.

Menurutnya, muzakarah itu bertujuan mencari kaedah terbaik agar kes berkaitan sihir dapat diadili mengikut enakmen perundangan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat agar tidak terus terpengaruh.

Ahli panel muzakarah itu, Datuk Dr Haron Din, pula berkata, peruntukan undang-undang bagi membanteras penggunaan sihir, terutama di kalangan orang Islam perlu diberi perhatian kerana wujud keadaan mendesak berdasarkan situasi semasa.

Katanya, ilmu sihir digunakan secara meluas untuk aktiviti jenayah, termasuk pukau, rompak dan samun di beberapa kedai emas seperti dilaporkan sebelum ini.

"Penjenayah dikatakan hanya menepuk belakang mangsa atau meniup asap rokok ke muka mangsa menyebabkan mangsa tidak sedar atau dipukau sebelum barang mereka dilarikan," katanya.

Katanya, walaupun ilmu sihir abstrak, pengamalnya mempunyai bilik khas dan menggunakan peralatan khusus untuk pemujaan seperti tengkorak haiwan dan senjata lama yang boleh dijadikan barang bukti.

Beliau mencadangkan supaya pengamal ilmu hitam itu disabitkan dengan undang-undang Takzir, iaitu bentuk hukuman diserahkan kepada hakim untuk menjatuhkan hukuman mengikut budi bicara dan jenis kesalahan.

Katanya, sabitan mengikut Takzir memerlukan pembuktian yang lebih mudah dengan bukti secara langsung dan tidak langsung serta bukti sampingan lain, berbanding Hudud yang memerlukan pembuktian tanpa sebarang syubhah.

Antara hukuman yang boleh dikenakan terhadap pesalah termasuk buang daerah, penjara dan sebatan (mengikut hukum syarak), selain diperintah mengikuti kursus pemulihan akidah selepas menjalani hukuman itu.

Terdahulu, dalam kertas kerjanya bertajuk Sihir: Kesannya kepada Akidah dan Bagaimana Mengatasinya, Haron Din berkata, individu yang mengamalkan sihir dianggap murtad kerana amalan itu diharamkan dalam ajaran Islam dan pelakunya boleh dihukum bunuh, seperti diriwayatkan dalam beberapa hadis.

"Sihir menyebabkan mangsa tiba-tiba jatuh sakit tanpa sebab, bermusuhan, bercerai, gila, runsing yang kronik, malah boleh membawa maut," katanya.

Beliau berkata, sihir biasanya diperoleh dengan beberapa cara yang merosakkan akidah orang Islam, antaranya menggunakan al-Quran kecil yang sengaja diletakkan di tumit kasut untuk dipakai selama tujuh hari, menulis ayat tertentu dari al-Quran dengan darah haid bagi dijadikan tangkal azimat, membawa al-Quran dalam tandas dan membacanya ketika membuang air besar atau kecil, berzikir dengan perkataan yang tidak diketahui bahasa dan maknanya.

Katanya, umat Islam memandang ringan dan menganggap menemui ahli sihir sama seperti berjumpa doktor, tabib atau pawang bagi menyembuhkan penyakit sedangkan mereka tidak pasti kaedah yang digunakan ahli sihir berkenaan.

"Biasanya ahli sihir jarang dikenali sebagai ahli sihir dan tidak mengaku dirinya ahli sihir, sebaliknya mereka hanya dikenali sebagai tukang urut, bomoh, dukun atau pawang," katanya.

Haron berkata, umat Islam perlu memastikan doa dan jampi yang digunakan mengikut bacaan atau ruqyah yang memenuhi tiga syarat, iaitu menggunakan ayat al-Quran, hadis, atau doa yang difahami maknanya, berdoa menggunakan bahasa yang difahami dengan jelas tanpa ada unsur syirik, di samping yakin hanya Allah mampu menyembuhkan penyakit.

“Peruntukan perundangan mengenai sihir perlu diwujudkan sebelum perkara ini menjadi serius,” katanya lagi.

Pengamal perubatan tradisional dari Ulul Albab Management Services, Hanafi Rahman El Fesfanji, pula berkata isteri yang mahu menundukkan suami biasanya mengamalkan sihir antaranya memberi minum air basuhan kemaluan kepada suami, memberi minum air rendaman seluar, meludah dalam air rebusan yang dicampur dengan bahan sihir seperti kemuncup, semalu dan kuku bangkai merpati.

"Sihir ini lazim digunakan isteri yang dimadukan dan dengan sihir pengasih ini, si isteri kononnya berniat rumah tangga kembali kukuh dan anak dijaga dengan sempurna," katanya dalam kertas kerja bertajuk Bentuk Sihir Pengasih dan Metodologi Diagnosis.


Sumber

1 - Sinar Harian

2 - Berita Harian


Amalan sihir sudah berleluasa sejak dari zaman nabi Sulaiman a.s lagi, di mana pada ketika itu Allah mengutuskan malaikat Harut dan Marut untuk menguji manusia dengan mengajarkan ilmu sihir.

“Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman (dan mereka mengatakan bahawa Sulaiman itu mengerjakan sihir), padahal Sulaiman tidak kafir (tidak mengerjakan sihir), hanya syaitan-syaitan lah yang kafir (mengerjakan sihir). Mereka mengajarkan sihir kepada manusia dan apa yang diturunkan kepada dua orang malaikat di negeri Babil iaitu Harut dan Marut, sedang keduanya tidak mengajarkan kepada seorang pun sebelum mengatakan: “Sesungguhnya kami hanya ujian (bagimu), sebab itu janganlah kamu kafir”. Maka mereka mempelajari dari kedua malaikat itu apa yang dengan sihir itu, mereka dapat menceraikan antara seorang (suami) dengan isterinya. Dan mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seorang pun, kecuali dengan izin Allah. Dan mereka mempelajari sesuatu yang tidak memberi mudharat kepadanya dan tidak memberi manfaat. Demi, sesungguhnya mereka telah meyakini bahawa barangsiapa yang menukarnya (kitab Allah) dengan sihir itu, tiadalah baginya keuntungan di akhirat, dan amat jahatlah perbuatan mereka menjual dirinya dengan sihir, kalau mereka mengetahui.” Surah Al-Baqarah : Ayat 102

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (87) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.