Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Berikut adalah antara kaedah Berhenti Merokok versi saya, kerana saya dulu juga pernah menjadi seorang perokok tegar;
1 - Cuba tanamkan dan tekadkan dalam hati bahawa aku ingin BERHENTI merokok kerana rokok itu HARAM dan banyak membawa bahaya bukan sahaja kepada perokok tetapi juga kepada orang-orang awam. Dan aku tidak mahu tambah dosa aku yang sudah tersedia banyak ini.
"Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik." [Surah Al Baqarah : ayat 195]
2 - Amalkan makan makanan yang dapat membuang toksik dari dalam badan. Ini kerana ketagihan yang kita alami adalah disebabkan oleh beberapa jenis toksik dalam badan yang berasal dari kandungan rokok tersebut. Apabila toksik telah dibuang dari semasa ke semasa maka ketagihan insyaAllah makin berkurang, tetapi dengan syarat anda jangan menghisap rokok dahulu semasa menyahtoksik ini. Biar toksin semua keluar, nanti anda akan rasa perbezaannya insyaAllah dalam sebulan sahaja.
Begitu juga dengan minuman, amalkan meminum minuman yang beralkali contohnya, kerana ia boleh meneutralkan asid dalam badan. Ingat, jangan hisap rokok semasa mengamal makan dan minum untuk nyahtoksik ini, kerana jika anda hisap rokok juga, sama macam anda buang dan bawa masuk kembali toksik tersebut, maka ia tetap tidak hilang. Cekalkan semangat dan lawan perasaan anda, insyaAllah tak lama, dalam sebulan jer. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian.
Contoh-contoh makanan yang dapat buang toksik – cendawan merah, mengkudu, madu lebah, habbatus sauda', bawang putih, buah-buahan dan sayur-sayuran segar tanpa bahan-bahan kimia merbahaya, dan sebagainya. Tetapi menurut pakar herba, cendawan merah adalah yang terbaik dalam membuang racun dari tubuh.
Minuman beralkali, yang terbaik sudah tentunya adalah air zam-zam. Dan kemudian banyak kedapatan sekarang penapis-penapis air yang juga dalam masa yang sama menghasilkan air ALKALI. Sila rujuk kepada penapis-penapis air di pasaran. Mana-mana yang dapat menghasilkan air alkali, maka bagus lah tu insyaAllah. Ada yang mahal, ada yang murah, pandai-pandai lah pilih.
3 - Sibukkan diri dengan aktiviti bermanfaat, kerana jika anda sudah sibuk dengannya, anda boleh hilangkan berfikir tentang rokok. Ini pada peringkat permulaan untuk mengurangkan kehendak pada rokok itu.
4 - Cuba berpakat dengan kawan-kawan yang juga merupakan perokok. Kerana jika adanya persaingan dan muafakat begini, maka semangat anda semakin kuat dan keinginan untuk melawan nafsu juga semakin kental insyaAllah. Sama ibaratnya seperti solat sunat terawih, jika anda solat sorang-sorang di rumah, perasaan malas itu lebih menguasai dan payah untuk tunaikan banyak rakaat. Tetapi apabila di masjid dengan berjemaah, suasana nya jadi lain dan anda bertambah semangat, tak begitu? Masing-masing pun boleh bagi dorongan dan motivasi antara satu sama lain.
5 - Elakkan dari berada di hadapan perokok lain semasa melawan nafsu ini. Jika anda sentiasa bergaul dengan perokok, dugaan anda terlalu besar dan daya tarikan untuk merokok tinggi. Sebaik-baiknya cuba elakkan dari berada dekat dengan orang yang menghisap rokok. Biarkan dia selesai hisap rokok dahulu kalau nak bersembang dengannya pun.
6 - Sentiasa lihat gambar-gambar mereka yang terkena penyakit kesan dari merokok, yang boleh menimbulkan keinsafan di dalam hati. Ini kerana manusia sentiasa lupa, maka kita perlu sentiasa diperingatkan. Selalu lah jenguk orang-orang sakit atau ambil tahu tentang permasalahan penyakit sekarang ini. Ini dapat mendidik kita agar sentiasa berwaspada dan menjaga diri kita dari terkena penyakit yang tidak diingini, na’uzubillah. Mencegah adalah lebih baik dari merawat.
7 - Kasihanilah diri sendiri, keluarga dan orang ramai. Jika anda merokok, bukan sahaja membahayakan diri anda tetapi juga orang lain. Maka jika kita pupuk perasaan sayangkan manusia lain, insyaAllah kita akan cuba berhenti dari mencemarkan bumi ini. Lagi pun Allah tidak suka kepada manusia yang melakukan kerosakan.
"Dan apabila dia berpaling (dari kamu), dia berjalan di bumi untuk mengadakan kerosakan padanya, dan merosak tanam-tanaman dan binatang ternak dan Allah tidak menyukai kerosakan." [Surah Al Baqarah : ayat 205]
8 - Lantik seseorang menjadi penasihat anda. Jika anda mempunyai seorang isteri maka isteri anda paling sesuai. Tujuannya adalah untuk memberi dorongan kepada anda atau mengingatkan anda di kala anda buat-buat tidak teringat / termahu hisap rokok.
9 - Fikirkan lah bahawa menghisap rokok itu juga adalah satu PEMBAZIRAN. Banyak duit yang anda boleh jimatkan terutamanya di zaman harga barang naik sokmo sekarang ini. Duit untuk menunaikan fardhu Haji pun anda boleh simpan, sebelum anda nanti disoal di akhirat kenapa tidak pergi Haji sedangkan sepatutnya sudah mampu? Anda sepatutnya mampu, tetapi anda bazirkannya dengan membeli rokok dari semasa ke semasa.
10 - Kurang minum manis dan perbanyakkan minum air suam / mineral. Ada orang yang mengatakan cari alternatif selain menghisap rokok dengan memakan gula-gula atau benda-benda manis. Tetapi bagi saya, dan saya pasti perokok-perokok sendiri pun bersetuju, jika kita makan gula-gula, atau benda-benda untuk pemanis mulut maka selera untuk menghisap rokok semakin membuak sebenarnya. Maka cara itu tidak sesuai bagi saya, tetapi mungkin sesuai bagi orang lain. Lain orang mungkin lain citarasanya.
Yang bagusnya cuba minum air suam / mineral banyak-banyak. Kalau mulut tawar, selera untuk menghisap rokok menjadi semakin kurang. Cuba juga elakkan makan sampai terlalu kenyang. Ketahuilah, jika anda makan banyak sampai kekenyangan terlajak, SELERA untuk menghisap rokok pun akan semakin membuak juga. Sebab itu bulan puasa ini adalah bulan terbaik bagi mereka-mereka yang ingin berhenti merokok.
11 - Tidur lebih awal pada waktu malam. Kerana selalunya, kalau suka berjaga malam, dugaan untuk menghisap rokok memuncak pada waktu itu. Tambah lagi jika kebosanan dan fikiran bercelaru.
12 - Selalu cari tempat yang mengandungi udara segar, seperti mengunjungi pantai, kawasan hutan, dan tempat-tempat yang penuh dengan pokok. Hirup dengan sepuas-puasnya agar oksigen merawat sel-sel dalam tubuh kita.
13 - Berfikiran positif. Insya Allah anda dapat berhenti merokok. Orang lain sudah ramai yang dapat lakukan, kenapa anda tidak? Sedangkan ada orang dapat berhenti hisap dadah, ini kan pula rokok, yang sepatutnya jauh lebih mudah.
14 - Kuasa Zikrullah. Berjuang melawan nafsu untuk menghisap rokok sambil perbanyakkan Zikrullah, insyaAllah dapat menjadikan jiwa kita kuat. Tambah lagi jika adakan sessi untuk ber "meditasi" / tafakkur. Releks, bernafas dengan tenang, sambil zikrullah di bibir atau dalam hati.
Hati perlu sentiasa tenang, kerana kebiasaannya orang cari rokok untuk dihisap kerana sedang tension, serabut dan seumpamanya, selain dari ketagihan.
15- Dan akhirnya, berdoalah banyak-banyak kepada Allah agar Dia bagi kekuatan kepada anda untuk berhenti merokok. Tiada daya dan upaya melainkan dengan Kuasa Allah S.w.t. Usaha dengan sebaik mungkin untuk berhenti dengan langkah-langkah di atas. Dan akhirnya tawakkal kepada Allah, insyaAllah anda akan berjaya untuk BERHENTI MEROKOK.
Semoga dipermudahkan oleh Allah S.w.t kepada anda untuk berhenti merokok, kerana merokok itu haram. Rabbi yassir wa laa tu'assir.
Wallahu a’lam :)