Isnin, 24 November 2014

Pentingnya mengkaji tentang Alam Jin

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Masyarakat kita kebiasaannya masih tidak suka bercakap tentang jin dan yang berkenaan dengannya. Rata-ratanya kerana takut, ditambah lagi dengan ditakut-takutkan oleh generasi yang lepas, ditambah lagi dengan ilmu tentang ini ditapis sejak kedatangan penjajah ke tanahair kita.

Naga
Sedangkan kalau kita teliti, di dalam Al-Quran pun ada satu surah khusus yang dinamakan Surah Al-Jin. Dan di dalam surah-surah lain pun ada disebutkan tentang jin. Begitu juga banyak diceritakan dalam hadits-hadits shahih. Dan tidak ketinggalan, para ulama dulu siap menulis kitab khusus tentang jin, contohnya kitab oleh Imam As-Suyuthi iaitu Luqthul Marjaan fii Ahkaamil Jaan, dan oleh Imam Asy-Syibli iaitu Aakaamul Marjaan fii Ahkaamil Jaan.

Ini menunjukkan betapa pentingnya kita ada pengetahuan juga mengenai alam jin, kerana di kalangan mereka ada yang shaleh dan ada yang negatif (bersifat jahat dan seumpamanya). Yang jahat itulah syaitan dari golongan jin. Maka sebaiknya kita perlu tahu selok-belok tentang musuh kita iaitu syaitan. Perlu tahu tentang cara hidup mereka, strategi mereka, kelemahan mereka, tempat-tempat yang disukai oleh jin dan sebagainya, agar kita lebih berhati-hati, berwaspada dan boleh mencegah keburukan dari mereka (walaupun tidak sepenuhnya) insyaAllah. Sesuai dengan pesan dari Sayyidina Ali r.a iaitu;

"Barangsiapa mengumpulkan padanya enam perkara, nescaya dia tidak meninggalkan mencari syurga dan lari dari neraka, iaitu;

- Dia mengenal Allah, lalu mentaatiNya.
- Dia mengenal syaitan, lalu mendurhakainya.
- Dia mengenal kebenaran, lalu mengikutnya.
- Dia mengenal kebathilan, lalu menjaga diri darinya.
- Dia mengenal dunia, lalu menolaknya.
- Dia mengenal akhirat, lalu mencarinya." [1]

Sayyidina Umar al-Khattab r.a pernah mengingatkan; "Sesungguhnya akan muncul generasi selepas kamu, yang menafikan hukum rejam, menafikan kemunculan Dajjal, menafikan perkara ghaib dan menafikan kewujudan azab kubur.."   [Abdul Razak, Musannaf Abdul Razak, Bab “Sesiapa yang keluar muncul dari api” tajuk ke 11, ms 412]

Selain dari mengetahui tentang musuh dari kalangan jin, kita juga dapat mengelak dari menuduh orang yang ada berhubungan dengan jin dengan sewenang-wenangnya. Kerana ada di kalangan jin juga yang baik (shaleh), malah adakalanya ibadah dan zikir jin yang shaleh itu lebih baik dari kita lagi.

"Dan ada di antara kami (jin) golongan yang shaleh, dan ada di antara kami yang lain dari itu; kami masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan." [Surah al-Jin : ayat 11]

"Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran) ada di antara kami golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam, maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." [Surah al-Jin : ayat 14]

Sila baca juga Kisah Jin turut beribadat bersama Orang Shaleh.

Juga untuk mengelak dari kita cepat menyangka dan menuduh yang bukan-bukan orang yang mempunyai kemampuan melihat jin (sama ada anugerah Allah dari kecil, atau melalui proses pembelajaran dengan izin Allah belaka), akibat kejahilan kita tentang ilmu tersebut, walaupun kita alim dalam ilmu agama, dan sikap buruk sangka dan dengki kerana kita tidak mempunyai kebolehan sepertinya.

Kita juga dapat mengelakkan diri dari berbuat syirik kepada Allah S.w.t setelah kita tahu bahawa jin pun seperti kita, iaitu sama-sama mengharapkan qudrat dan iradat dari Allah Ta'ala juga. Semua makhluk mesti bergantung kepada Allah S.w.t sahaja.

Setinggi mana pun ilmu kita, tidak terkecuali dari akan mendapat godaan syaitan dari golongan jin. Kalau kita ada penyakit-penyakit hati seperti takabbur, 'ujub, riya', dengki, buruk sangka, berbangga kerana banyak pengaruh dan pengikut, bermegah, pemarah, leka dengan hiburan, leka dengan lawak-jenaka, ketagih pujian dari orang dan seumpamanya, maka berhati-hatilah.

Para Nabi a.s pernah melihat jin. Para sahabat Nabi S.a.w pun ramai yang pernah melihat jin. Sehinggakan Sayyidina Umar r.a sendiri pernah bergusti dengan jin. Maka beranikah kita sekarang mengatakan bahawa SALAH MELIHAT JIN?

Pada firasat saya, dari dulu lagi ada fahaman-fahaman yang mahukan kita semakin jauh dari perkara-perkara ghaib dan mistik begini dan hanya berpijak kepada yang hanya nampak pada mata kasar  dan materialistik sahaja. Sedangkan kalau kita perhatikan, di dalam rukun iman semuanya melibatkan perkara-perkara yang tidak nampak pada mata kasar. Jika berterusan anak cucu kita hanya percaya kepada perkara yang hanya nampak pada mata kasar, bayangkan masalah keimanan generasi akan datang pada perkara ghaib. 

Adakah jin termasuk dalam perkara GHAIB seperti yang dimaksudkan di dalam Al-Quran? Perkara ini ada khilaf ulama. Tapi kalau lihat pada ayat "Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" itu, pada ayat-ayat sebelumnya membicarakan tentang PERKARA-PERKARA GHAIB LAIN, tidak membahas tentang JIN pun. 

Jin sendiri dapat melihat jin yang lain. Jin dapat melihat alam jin. Banyak haiwan pun dapat melihat jin, seperti yang disebut dalam beberapa hadits Nabi S.a.w.  Maka Jin TAHU perkara Ghaib?  Mana mungkin dibuat KESIMPULAN begitu. JIN TIDAK TAHU PERKARA GHAIB yang dimaksudkan dalam AlQuran itu. Jin hanya GHAIB dari segi BAHASA ARAB sahaja.

"Katakanlah lagi: "Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!" ..."  [Surah an-Naml : ayat 65]   Dan pada ayat yang lain, perkara ghaib diberitahu sedikit hanya kepada para nabi dan rasul.  Jika diperhatikan pada konteks ayat yang menyebut perkara-perkara GHAIB ini adalah yang berkaitan dengan Hari Kiamat, azab akhirat, syurga neraka, dan seumpamanya. Perkara-perkara ini sudah tentu hanya Allah S.w.t yang tahu bila, dimana, bagaimana ianya.

Begitu juga dengan ayat "Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan  sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan (Iblis) dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." (Surah Al-A'raaf : ayat 27)

Ayat Al-Quran di atas mengatakan bahawa yang tidak dapat dilihat itu adalah "Iblis dan KAUMNYA / PENGIKUTNYA", sedangkan BUKAN semua Jin itu adalah KAUM / MENGIKUTI Iblis. Ramai jin Muslim dan jin-jin Non-Muslim yang TIDAK MENGIKUT IBLIS.  Kemudian lagi ada juga pendapat yang mengatakan ayat itu secara umum bagi kebiasaan manusia sahaja, TIDAK MENYELURUH.

Sila tonton juga penjelasan oleh seorang kiyai besar iaitu KH Syarif Rahmat pada tajuk Jin Bisa DiLihat - Ini dia Dalilnya

Ini kerana, jika kita mengatakan hanya orang yang kerasukan Jin sahaja yang boleh / bisa melihat jin, seolah-olah kita sudah MENGHINA para Nabi termasuk Nabi Muhammad S.a.w sendiri,  na'udzubillahi min dzaalik.


Kenapa sangat penting mengetahui tentang Jin?

Jin dan Manusia hidup berdampingan, cuma berbeza dimensi. Mahu atau tidak mahu, kita sudah tidak dapat lari atau berpisah dari kehidupan Jin. Maka sudah pasti PENTING untuk mengetahui dan MEMPELAJARI tentang keadaan mereka. 

Tambahan lagi Iblis juga telah BERSUMPAH untuk menggoda anak cucu Adam hingga ke Hari Kiamat. 

"Ia (Iblis) berkata, "Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan jadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang terpilih di antara mereka." (Surah Al-Hijr : ayat 39-40)

Wallahu a'lam.


Info tambahan berkenaan Alam Jin;


- Naga wujud, tetapi bukan di alam kita, tapi di alam jin. Kisah tentang ular-ular besar mengelilingi istana jin ini ada disebutkan dalam hadits, iaitu kisah Ibnu Shayyad yang menceritakan kepada Nabi S.a.w tentang apa yang dia lihat di lautan (mungkin dia melihat dengan mata batin).

Imam Ahmad berkata bahawa telah bercerita kepadaku Yunus dari Hammad bin Salamah dari Ali dari Abu Nadhrah dari Abu Said al-Khudri bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda kepada Ibnu Shayyad;

 ما ترى?  قال أرى عرشا على الماء , أوقال على البحر, حوله حيات , قال " ذلك عرش ابليس

  "Apa yang kamu lihat?" Dia menjawab, "saya melihat singgahsana di atas air / lautan, yang dikelilingi oleh beberapa ular." Maka Rasulullah S.a.w bersabda;" itu adalah singgahsana iblis." [3]

Kerana itulah, gambar naga seperti yang ada dalam kepercayaan sesetengah agama bukan hanya rekaan dan khayalan manusia semata-mata, tetapi kerana makhluk itu memang wujud dan ada yang telah melihatnya. Dan bukan sahaja bangsa cina yang ada cerita tentang naga, tetapi juga banyak bangsa lain lagi di dunia ini seperti orang Korea, Jepun, Vietnam, Siberia, Hungary, Romania, Scandinavia dan macam-macam lagi.

-   "Jin itu ada tiga golongan. Satu golongan yang mempunyai sayap yang terbang di udara, satu golongan pula berbentuk ular dan anjing, manakala satu golongan lagi yang tinggal setempat dan ada yang berpindah-randah." [4]

Jin-jin di atas adalah jin-jin yang berada di luar sana. Sedangkan ada lagi jin lain yang sentiasa mendampingi setiap manusia, iaitu Jin Qarin.

Nabi Muhammad S.a.w bersabda kepada Abdullah ibnu Mas'ud, "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin daripada bangsa Malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga Ya Rasulullah?" Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga Qarin itu dapat ku Islamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan sahaja." [5]

"Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran (Al-Quran) Tuhan Yang Maha Pemurah, kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya." [Surah Az-Zukhruf :36]

- Zikrullah adalah benteng ampuh terhadap serangan dan tipu-daya syaitan dari golongan jin. Qais bin al-Hajjaj berkata, "Syaitanku berkata kepadaku, "Aku masuk padamu dan aku adalah seperti unta gemuk. Dan sekarang aku seperti burung pipit."

Lalu aku bertanya; "Mengapa demikian?" Syaitan itu menjawab, "Engkau cairkan aku dengan zikir (mengingati) Allah Ta'ala." [6]

- Jika manusia pergi buat maksiat di kawasan yang dihuni oleh jin Muslim, sudah tentu jin itu akan marah, dan mungkin mengganggu manusia tadi. Sedangkan jika manusia pergi buat bising dan mengganggu kawasan yang dihuni oleh mana-mana jin pun, mereka akan marah. Sama lah jika kita pergi buat bising dan mengganggu ketenteraman di rumah orang lain.

JANGAN TAKUT pada jin, yang perlu kita takutkan hanyalah kepada Allah S.w.t. Sama lah kita tak perlu takut pada manusia lain. Tetapi jangan sampai kita bercakap besar dan celupar, kerana kemungkinan jika ianya didengari oleh jin-jin yang terasa dengan percakapan kita itu, mereka akan lakukan perkara yang tidak kita ingini. Sama lah jika kita pergi bercakap dengan BIADAB dan celupar pada orang yang panas baran atau gangster (sebagai contoh), mungkin muka kita akan disinggahi dengan BUKU LIMA beliau.

- Dan macam-macam lagi. Setakat ini sahaja dulu, insyaAllah bersambung lagi.

"Siapa yang menghendaki dunia, hendaklah dengan ilmu. Siapa yang menghendaki akhirat, hendaklah dengan ilmu. Dan siapa yang menghendaki kedua-duanya (dunia dan akhirat) hendaklah dengan ilmu". [7]

Kehidupan manusia memang TIDAK TERPISAH dengan kehidupan jin, kerana kita hidup di alam yang sama, cuma dimensi yang berlainan. Semoga keimanan kita kepada Allah S.w.t semakin bertambah, dengan menyaksikan alam ciptaan Allah yang sangat canggih dan kompleks ini. Ini baru di atas muka bumi, belum lagi di planet-planet dan galaksi-galaksi lain, apa lagi di akhirat nanti, subhanAllah.

Wallahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Imam Al-Ghazali - Ihya’ Ulumuddin Juz 5, Kitab tercelanya dunia.
2 - Mister(i).
3 - Hadits riwayat Imam Ahmad.
4 - Hadits riwayat Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak.
5 - Hadits riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim.
6 - Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, Kitab Huraian Keajaiban Hati.
7 - Hadits riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.