Berita Terkini

Orang Munafiq merasa aman dari Nifaq

Munafiq talam dua muka
Pada hadits yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id al-Khudhri disebutkan, "Hati itu empat; Hati yang masih suci bersih, padanya lampu yang cemerlang, maka itulah hati orang mu'min. Hati yang terbentang padanya iman dan nifaq, maka iman padanya seumpama sayur-sayuran yang digenangi air tawar, dan nifaq padanya seumpama luka yang digenangi nanah bercampur darah. Maka benda mana di antara keduanya yang lebih banyak, maka dengan itulah orang itu ditetapkan." [Riwayat Ahmad dari Abu Sa'id al-Khudhri]

Pada riwayat lain, "Mana yang lebih banyak padanya, maka itulah yang menentukan orang itu."

Bersabda Nabi S.a.w;

أَكْثَرُ مُنَافِقِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قُرَّاؤُهَا

"Yang lebih banyak menjadi munafiq daripada umat ini ialah orang-orang yang ahli membaca Al-Qur'an." [Riwayat Ahmad dan Thabrani, dari 'Uqbah bin Amir]

Pada suatu hadits tersebut;

الشِّرْكُ أَخْفَى فِي أُمَّتِي مِنْ دَبِيبِ النَّمْلِ عَلَى الصَّفَاةِ

"Syirik itu adalah lebih tersembunyi pada umatku daripada semut yang melata di Bukit Shafa." [Riwayat Abu Yu'la, Ibnu Hibban dan Ibnu 'Uda, dari Abu Bakar r.a]

Berkata Hudzaifah r.a; "Adalah seorang lelaki mengeluarkan sepatah kata pada masa Nabi S.a.w, yang menjadikan dia munafiq kerananya, sampai dia mati. Dan aku mendengar kata-kata itu sekarang dari salah seorang kamu, dalam sehari sampai sepuluh kali."  [Riwayat Ahmad, dari Hudzaifah]

Berkata setengah ulama, "Yang lebih mendekatkan manusia kepada nifaq, ialah orang yang memandang dirinya terlepas dari nifaq itu."

Berkata Hudzaifah r.a; "Orang-orang munafiq sekarang adalah lebih banyak daripada di masa Nabi S.a.w. Mereka waktu itu menyembunyikan nifaqnya. Tetapi sekarang, mereka melahirkannya."

Nifaq ini ialah melawan kebenaran dan kesempurnaan iman. Ia tersembunyi. Manusia yang paling jauh darinya ialah orang yang merasa takut kepadanya. Dan yang terdekat padanya ialah orang yang memandang dirinya terlepas daripadanya.

Ada orang yang bertanya kepada Al-Hasan Al-Bashri; "Benarkah kata orang, tiada nifaq sekarang?"

Maka menjawab Al-Hasan; "Wahai saudaraku! Jika binasalah semua orang munafiq itu, nescaya kamu merasa jijik melihat banyaknya di jalanraya."

Ada orang mengatakan kepada Al-Hasan, "Bahawa suatu kaum mengatakan, kami tidak takut kepada nifaq."

Maka menjawab Al-Hasan; "Demi Allah! Jika aku mengetahui diriku terlepas dari nifaq, adalah lebih aku sukai daripadanya terjadinya bukit-bukit kecil menjadi emas."

Berkata Al-Hasan; "Setengah daripada nifaq, ialah berlainan lidah dan hati, yang tersembunyi dan yang nyata, yang dimaksudkan dan yang dikeluarkan."

Berkata seorang lelaki kepada Hudzaifah r.a; "Saya takut, menjadi orang munafiq."

Maka menjawab Hudzaifah; "Jikalau engkau seorang munafiq maka tidaklah engkau takuti nifaq itu. Sebab orang munafiq merasa aman dari nifaq."

Segala hadits dan atsar tadi, memperkenalkan kepada kita akan gentingnya keadaan, disebabkan nifaq yang halus dan syirik yang tersembunyi dan tidak terasa aman darinya. Sehingga Umar ibnu al-Khattab r.a sendiri bertanya kepada Hudzaifah tentang dirinya, apakah dia disebut dalam golongan orang-orang munafiq?

Berkata Abu Sulaiman ad-Darani; "Aku mendengar sesuatu daripada sebahagian amir, maka aku bermaksud membantahnya. Tetapi aku takut nanti aku disuruh bunuh. Bukan aku takut kepada mati, tetapi aku takut datang ke dalam hatiku rasa kebanggaan menjadi hiasan bibir orang ramai ketika nyawaku keluar. Dari itu aku cegah diriku daripada berbuat yang demikian."

Inilah sebahagian daripada nifaq yang berlawanan dengan hakikat Iman, kebenaran, kesempurnaan dan kemurniannya. Bukan pokoknya.

Nifaq itu dua

Pertama: Keluar dari agama dan berhubung dengan orang-orang kafir, berjalan dalam jama'ah orang-orang yang kekal dalam neraka.

Kedua: Nifaq itu membawa orangnya ke dalam neraka buat sementara waktu. Atau kurang dia dari darjat orang-orang yang tinggi serta turun dari tingkat orang-orang shiddiq.

Yang demikian itu diragukan keimanannya. Oleh itu, baiklah dibuat pengecualian darinya. 

Asal pokok nifaq ini ialah berlebih kurang di antara yang rahsia dan yang nyata. Di antara yang aman dari tipuan, perasaan 'ujub dan hal-hal lain, yang tidak terlepas daripadanya, selain orang-orang shiddiq.

[Petikan dari Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, jilid 1, kitab Qawa'id al-'Aqaa-id]


p/s: Orang munafiq memang tidak akan peduli sama ada dia munafiq atau tidak, kerana sudah tentu di dalam hatinya dia tidak percaya dan yakin dengan Islam. Apa perlu dia takut jika dia sudah tidak yakin dengan adanya azab kubur, adanya Hari Pembalasan dan sebagainya.

Walaupun begitu, orang beriman pun kadang-kadang tidak dapat lari dari adanya sifat "nifaq". Banyak atau sedikit itu yang menjadi bezanya. Inilah yang kita takutkan.

Antara yang sangat disedihkan, jika kita pandai dan mahir membaca Al-Qur'an, tetapi kita tidak yakin dengan isi kandungannya, contohnya kita tidak yakin bahawa Undang-undang Allah itulah yang terbaik.

Sebagaimana yang disebut dalam Syarah kitab Al-istidzkar li Ibni Abd al-Bar, ....... Al-Quran itu dibaca oleh orang yang tiada agama baginya, tiada kebaikan padanya, dan tidak melebihi lisannya. Diambil dari makna ucapan Ibnu Mas'ud r.a, "Akan datang pada manusia suatu zaman dimana sedikit faqih (orang-orang yang faham agama), dan ramai pembaca-pembaca (al-Qur'an), yang menjaga huruf-huruf al-Qur'an tetapi membuang hududnya (batas-batasnya)."

Jika ada sebarang kemusykilan, sila bertanya kepada ustaz-ustaz di masjid atau surau berhampiran anda. Jazaakumullahu khair :-)

Ya Allah, peliharalah kami semua agar dijauhkan dari sifat nifaq. Amiin Ya Hayyu Ya Qayyum .......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (87) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.