Rabu, 25 Jun 2014

Sifat-sifat Sahabat Nabi juga disebut dalam Kitab Taurat

Sifat-sifat Sahabat Nabi juga disebut dalam Kitab Taurat
Abu Daud mengatakan, telah menceritakan kepada kami Umar ibnu Haft Abu Amr Ad-Darir, telah menceritakan kepada kami Hammad ibnu Salamah, bahawa Sa'id ibnu Iyas Al-Jariri telah menceritakan kepada mereka, dari Abdullah ibnu Syaqiq Al-Uqaili, dari Al-Aqra' (mu'azzin Umar ibnul Khattab r.a.) yang menceritakan, "Khalifah Umar menyuruhku untuk memanggil seorang paderi. Lalu Umar bertanya kepadanya, "Apakah kamu mendapati diriku dalam kitabmu?" Paderi itu menjawab, "Ya." Umar bertanya, "Bagaimanakah engkau mendapati diriku?" Paderi menjawab, "Saya mendapati dirimu bagaikan tanduk." Maka Umar mengangkat cemetinya seraya bertanya, "Tanduk apakah yang kamu maksudkan?" Paderi menjawab, "Tanduk besi, amir (pemerintah) yang keras."

Umar r.a bertanya, "Bagaimanakah kamu dapati orang yang selepasku?" Paderi menjawab, "Saya mendapatinya sebagai khalifah yang shaleh. Hanya dia lebih mementingkan kaum kerabatnya (untuk menduduki jawatan pcmbantu-pembantu khalifah)." Umar berkata, "Semoga Allah merahmati Usman,'" sebanyak tiga kali.

Umar bertanya, "Bagaimanakah engkau dapati orang yang selepasnya?" Paderi menjawab, "Saya dapati dia besi berkarat." Maka Umar meletakkan tangannya di atas kepalanya dan berkata, "Aduhai celakanya, aduhai celakanya." Paderi berkata, "Hai Amirul Mu'minin, sesungguhnya dia adalah khalifah yang shaleh, cuma dia diangkat menjadi khalifah dalam situasi yang kacau di mana pedang terhunus dan darah ditumpahkan." [1]

Sifat-sifat yang disebutkan oleh paderi itu adalah sesuai dengan Umar ibnu al-Khattab r.a, kemudian penggantinya Utsman ibnu Affan r.a dan Khulafa' ar-Rasyidin yang keempat iaitu Ali ibnu Abi Thalib k.w.

Abu Nu'aim meriwayatkan dalam Kitab Al-Hilyatul Auliya',  "Dari Said bin Hilal bahawa Abdillah bin Amru pernah berkata kepada Ka'ab Al-Ahbaar, "Khabarkanlah sifat-sifat Nabi S.a.w dan umatnya," maka jawabnya, "Seperti yang aku dapati dalam Kitab Allah Taurat. Sesungguhnya Ahmad dan umatnya adalah orang-orang yang selalu bertahmid kepada Allah baik dalam keadaan senang mahupun dalam keadaan susah, mereka itu sentiasa bertakbir (mengagungkan) nama Allah pada setiap ada kejadian yang besar, dan mereka itu sentiasa bertasbih kepada Allah di setiap tempat, dan bila mereka sedang melakukan shalat maka sayup-sayup suara mereka itu terdengar di langit seperti dengungan lebah di atas batu, mereka itu bila berbaris dalam shalat seperti barisnya para malaikat dan mereka itu berbaris dalam medan perang seperti ketika mereka dalam keadaan shalat, bila mereka itu sedang berperang di jalan Allah maka para malaikat akan hadir di depan dan di belakang mereka dengan tombak yang kuat, dan bila mereka itu telah masuk ke dalam kancah medan peperangan, maka Allah akan hadir untuk menaungi mereka seperti sinar yang sedang menaungi bayangannya, dan mereka itu tidak mundur dari medan peperangan sedikit pun."

Dan dengan sanad yang lain juga melalui Ka'ab Al-Ahbaar dikatakannya, "Dan umatnya adalah umat yang selalu bertahmid kepada Allah dalam segala keadaan dan mereka juga selalu bertakbir (mengagungkan) nama Allah pada setiap ada kejadian yang besar, dan gembala mereka yang berada di bawah terik matahari juga boleh mendirikan shalat lima waktu yang tepat dalam waktunya, walaupun mereka itu sedang berada di tempat sampah yang mengotorkan diri mereka di tengahari, namun pada akhir hari (petang) mereka akan bersuci diri dengan jalan berwudhu'." Demikianlah khabar ini juga diriwayatkan dengan sanad yang lain dari sumber Ka'ab Al-Ahbaar secara panjang."   [Al-Hilyatul Auliya', Jilid 5, hal. 386] [2]

Pendeta-pendeta Yahudi dan Nasrani dahulu memang banyak mengetahui tentang sifat-sifat Nabi Muhammad S.a.w dan juga sahabat-sahabatnya. Tetapi kebanyakan mereka menyembunyikan kebenaran, sepertimana firman Allah S.w.t yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan berupa keterangan-keterangan (yang jelas) dan petunjuk, setelah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Al Kitab, mereka itu dilaknati Allah dan dilaknati (pula) oleh semua (mahluk) yang dapat melaknati." [Surah al-Baqarah : ayat 159]

Abul Aliyah mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan Ahli Kitab. Mereka menyembunyikan sifat Nabi Muhammad S.a.w. Kemudian Allah S.w.t memberitahu bahawa segala sesuatu melaknat perbuatan mereka itu. [3]

Di dalam suatu riwayat ada dikemukakan bahawa Mu'az bin Jabal, Sa'ad bin Muaz dan Kharijah bin Zaid bertanya kepada sekumpulan paderi Yahudi mengenai beberapa perkara yang terdapat di dalam Taurat. Akan tetapi paderi itu menyembunyikan perkara tersebut dan enggan untuk memberitahunya. [4]


Sila baca juga;

Berita gembira Taurat dan Injil mengenai Rasulullah S.a.w

Kisah Sahabat Nabi melihat gambar-gambar beberapa orang Rasul

Wallahu a'lam ....... :-)


Rujukan:

1 - Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Surah Al-A'raaf, ayat 157.
2 - Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandhlawi - Hayaatus Shahabah.
3 - Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Tafsir Surah Al-Baqarah, ayat 159.
4 - Imam as-Suyuthi - Lubaabun Nuqul fii Asbaabin Nuzul.

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.