Rabu, 11 Jun 2014

Senda Gurau Suami-Isteri mendapat Pahala

Suami isteri bergurau
Dari 'Atha' ibnu Rabbah r.a; "Aku melihat Jabir ibnu Abdullah dan Jabir ibnu 'Umair Al-Anshari sedang bergurau dengan berlempar-lemparan. Kemudian salah seorang dari mereka berkata kepada temannya, "Aku pernah mendengar Rasulullah S.a.w bersabda; "Setiap orang yang melakukan sesuatu yang tidak ada zikir kepada Allah di dalamnya dinilai sebagai orang yang bermain-main dan melakukan kesia-siaan, kecuali empat orang, iaitu suami-isteri yang bersenda-gurau, seseorang yang menjaga kudanya (atau kenderaan yang digunakan untuk berjihad atau berbuat kebajikan), seseorang yang berjalan di antara dua tujuan, dan seseorang yang mengajar berenang (olahraga untuk kesihatan tubuh)."  [HR An-Nasa-ie]

Hadits ini menunjukkan keutamaan isteri dan suami dalam bersenda gurau dan bercanda. Ketahuilah bahawa, senda gurau dan bercanda yang dilakukan suami isteri tidak termasuk perbuatan yang sia-sia (lahwun), bahkan ia dinilai sebagai ibadah kepada Allah S.w.t. Senda gurau juga dapat menumbuhkan rasa saling percaya suami isteri serta meningkatkan rasa cinta dan kasih sayang diantara keduanya.  [1]


Pernah suatu ketika Aisyah r.a keluar bersama Nabi S.a.w dalam satu perjalanan. Aisyah r.a berkata; "Aku adalah seorang gadis muda dan bertubuh kurus. Lalu beliau S.a.w mengatakan kepada para sahabat, "hendaklah kalian mendahului." Lalu mereka pun mendahului. Beliau S.a.w berkata kepadaku; "Marilah, aku akan lumba lari denganmu." Lalu aku saling berlumba dengan beliau dan aku pun mendahului beliau.

Kemudian beliau mendiamkanku. Sampai ketika badanku mulai gemuk dan aku telah lupa, aku keluar dengan beliau dalam suatu perjalanan beliau. Lalu beliau berkata kepada para sahabat; "Hendaklah kalian mendahului." Mereka pun mendahului, kemudian beliau berkata; "Marilah, aku akan lumba lari denganmu." Lalu aku berlumba dengan beliau dan beliau pun mendahuluiku. Beliau pun tertawa seraya berkata; "Ini balasan untuk yang dulu."  [Hadits Shahih riwayat Abu Daud, Ibnu Majjah, Ahmad, Ibnu Hibban]


Walaubagaimana pun, sudah tentu apa-apa gurauan pun mesti ada adab dan batas-batasnya, seperti Rasulullah S.a.w tidak bergurau dengan menipu tetapi hanya perkara yang benar, tidak mengumpat atau menjatuhkan aib orang lain, tidak berpanjangan dan meleret-leret, apalagi hingga mengabaikan tanggungjawab-tanggungjawab lain, tidak banyak ketawa kerana bergurau tidak semestinya perlu ketawa (sekadar senyum dan sengih pun ok), dan sebagainya.

Ini kerana jika bergurau tanpa adab dan batas-batas, dibimbangi boleh mengakibatkan perselisihan dan perbalahan antara suami-isteri, akibat terasa hati, pendam marah, mendapat kecederaan (akibat kemalangan ketika bergurau dsbnya), bertambah sakit hati dan seumpamanya.

Berikut adalah batas-batas dalam bergurau-senda yang dikeluarkan oleh JAKIM.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya; "Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!" [HR Abu Daud]

Huraian Hadits di atas;

1 - Kelakar adalah perbuatan, kata-kata dan sebagainya yang dapat menggembirakan atau yang dapat menggelikan hati orang lain. Sinonimnya adalah jenaka, lawak dan gurau senda.

2 - Membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah s.a.w juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan para sahabat baginda.

3 - Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang telah digariskan oleh Islam seperti:

a) Tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka seperti mempersendakan sunnah Rasulullah s.a.w.
b) Gurauan tersebut bukan merupakan cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya.
c) Gurauan itu bukan ghibah (mengumpat) seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendah-rendahkannya.
d) Tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan.
e) Isi jenaka adalah benar dan tidak dibuat-buat.
f) Bersesuaian dengan masa, tempat dan orangnya kerana adalah tidak manis bergurau di waktu seseorang berada dalam kesedihan dan sebagainya.
g) Menjauhi jenaka yang membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
iv) Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila ketawa baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai-ngilai atau terkekeh-kekeh dengan maksud bahawa selaku seorang muslim kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam ertikata yang sepatutnya. [2]

Kita juga dilarang dari menakut-nakutkan orang lain walaupun sekadar bergurau, seperti contohnya mengambil barang orang tanpa pengetahuannya.  

"Janganlah salah seorang dari kalian mengambil barang milik saudaranya baik bergurau ataupun bersungguh-sungguh, barangsiapa mengambil tongkat saudaranya hendaklah dia mengembalikan." [HR Abu Daud]

Rujukan:

1 - Badwi Mahmud As-Syeikh - 100 pesan Nabi untuk wanita Shalihah.
2 - http://www.islam.gov.my/e-hadith/batasan-dalam-bergurau-senda

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.