Sabtu, 17 Disember 2011

Politik tidak kotor, tetapi sebilangan manusia yang mengotorkan politik

Masih adakah lagi orang yang mengatakan bahawa politik itu kotor? Jika ada, mari saya terangkan sedikit sebanyak tentang tajuk ini, agar masing-masing kita faham adakah politik sebenarnya kotor?

Terlebih dahulu kita ketahui dulu apa makna politik? Perkataan 'politik' berasal dari bahasa Greek iaitu 'politika', yang bermaksud 'berkaitan dengan kerakyatan'. Maka secara umumnya, istilah politik digunakan untuk seni atau sains menjalankan hal ehwal kerajaan atau negeri.

Dan untuk lebih jelas lagi, politik ialah berkaitan dengan pemerintahan, yang melibatkan pemimpin dengan orang-orang yang dipimpin. Dan adalah pemerintahan itu dalam Ilmu Fiqh dipanggil dalam Bahasa Arabnya dengan nama As-Siasah.

Ketahuilah bahawa politik itu asalnya tidak kotor. Ilmu politik sama lah dengan ilmu-ilmu lain seperti ilmu sains, ilmu alam, ilmu matematik dan sebagainya. Yang menjadi kotor ialah apabila ianya disalahgunakan.

Sebagai contoh ilmu sains, jika seorang saintis menggunakan ilmu sainsnya untuk mencipta virus yang boleh mengakibatkan mudarat pada ramai manusia, maka itu sudah menjadi sains kotor. Sama lah sekiranya sains mengikut teori yang menyalahi syariat agama, seperti teori evolusi Darwin yang mengatakan manusia berasal dari beruk. Maka itu sudah menjadi Sains Kotor.

Begitu juga seorang yang mengetahui ilmu komputer, mencipta virus untuk merosakkan komputer orang lain. Maka ilmu komputernya itu sudah menjadi kotor. Nampok? <-- slang Ustaz Azhar Idrus. 

Para nabi dan rasul dulu juga berpolitik, termasuklah Nabi Muhammad S.a.w. Para rasul seperti, Nabi Ibrahim a.s berhujjah terhadap Raja Namrud, Nabi Daud a.s memerintah sebuah negara, diikuti dengan Nabi Sulaiman a.s. Nabi Musa a.s pula berhujjah terhadap Firaun di zamannya. Hinggalah Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat berhujjah terhadap pemimpin-pemimpin Mekah dan akhirnya berjuang dan merampas kuasa dengan menegakkan pemerintahan Islam dan menjalankan Undang-undang Islam, dan sebagainya lagi.

Mahu tahu bila masa politik akan menjadi kotor?

Ya, politik mula dicemari dengan kekotoran apabila ianya mula dipisahkan dari agama. Seperti mana juga ilmu-ilmu lain, jika berpisah dari agama dan menyalahi syariat dan aqidah, maka secara automatik ianya menjadi kotor.

Apa tidaknya, jika ahli politik bermain politik wang, memberi rasuah, menipu, bertindak zalim, memakai Undang-undang taghut, menyangkal Undang-undang Islam dan seumpamanya, maka sudah tentu ianya adalah politik kotor. Maka selagi politik itu tidak menyalahi syariat dan tidak bercanggah dengan aqidah, ianya tidak boleh dikatakan kotor.

Sedangkan banyak ayat Al-Quran sendiri yang berkaitan dengan hukum-hakam dan pemerintahan sebuah negara. Begitu juga dengan hadits-hadits Nabi S.a.w. Yang pasti, politik tidak boleh dipisahkan dari agama, kerana jika dipisahkan, pemerintahan itu akan menjadi sebuah pemerintahan sekular.

Kisah-kisah tentang kerajaan zalim dari zaman Namrud dan Firaun ada disebutkan di dalam AlQuran. Ianya sudah tentu bukan sekadar bacaan seperti novel, tetapi satu pengajaran dan berkait rapat dalam kehidupan kita semua sampailah ke hari ini dan hingga ke Hari Kiamat.

Begitu juga disebutkan tentang kisah-kisah mereka yang tidak mahu melaksanakan Undang-undang dari Allah S.w.t, terutamanya dalam Surah Al-Maidah.

Pemerintahan sebuah negara adalah satu perkara yang sangat penting kerana ianya melibatkan semua rakyat. Jika ada yang menganggap ianya tidak penting dan tidak hiraukan langsung, itu juga satu masalah. Jika kita sayangkan umat, kita mesti lakukan sesuatu untuk membantu umat kita dari terus hanyut dibawa arus sekularisme dan macam-macam anasir tidak baik lagi.

Pemimpin di dalam rumahtangga ialah seorang ayah. Tetapi jangan lupa, masih ramai lagi pemimpin di atasnya, iaitu ketua kampung, penghulu dan JKK memimpin sebuah kampung dan daerah, Menteri Besar memimpin sebuah negeri dan Perdana Menteri memimpin sebuah negara. Jangan lepaskan tanggungjawab kepada pemimpin rumahtangga sahaja, kerana pemimpin-pemimpin yang lebih atas akan lebih berat soalannya di Hari Kiamat kelak, dan akan bertanggung jawab kepada seluruh rakyat .......

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Hai orang-orang yang beriman, ta'atilah Allah dan ta'atilah Rasul(Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian, yang demikian itu adalah lebih utama dan lebih baik akibatnya." (Surah An-Nisaa' : Ayat 58-59)

Maka jika kita berlainan pendapat, hendaklah kita rujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadits. Dan Al-Quran menyuruh kita melaksanakan Hukum Hudud dan Hukum-hukum Islam lain, justeru, adalah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk patuh dan melaksanakannya, bukan sekadar sunat atau harus.

Nabi Muhammad S.a.w bersabda yang bermaksud : “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ianya sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya.” [Hadits Riwayat Bukhari]

Dalam hadits daripada Abu Zar katanya yang bermaksud: Aku bertanya: “Wahai Rasulullah! Tidakkah mahu engkau melantikku?” Baginda menepuk bahuku dan bersabda: “Wahai Abu Zar, Sesungguhnya engkau ini lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah. Ia pada hari akhirat nanti adalah kerugian dan penyesalan, kecuali sesiapa yang mengambilnya dengan kelayakan dan menunaikan apa yang menjadi tuntutannya." [Hadits Riwayat Muslim]

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya dalam satu saf (barisan) seumpama sebuah bangunan yang berdiri teguh…" (Surah As-Shaaf : Ayat 4)

"Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mengadakan dusta terhadap Allah sedang dia diajak kepada agama Islam? Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim. Mereka ingin memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya meskipun orang-orang kafir benci." (Surah As-Shaaf : Ayat 7-8)

Wallahu a'lam ....... :-)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.