Selasa, 5 Julai 2011

Kemahiran Penggodam Siber akan diguna pakai oleh Kerajaan

Kumpulan penggodam Anonymous
Kerajaan mahu mendekati penggodam siber (cyber hackers) bagi lebih memahami dan memanfaatkan kemahiran dan bakat mereka, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof.

Ini termasuk menghadiri persidangan tahunan pihak tersebut, katanya. Beliau berkata terdapat juga perkara positif di kalangan penggodam.

"Untuk tujuan ini, CyberSecurity, Majlis Keselamatan Negara, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mesti bersama mereka agar kita dapat mengetahui rangkaian penggodam yang lebih luas.

"Akhirnya kita boleh memahami siapa penggodam yang baik dan jahat. Kita juga boleh mempelajari bagaimana untuk mempertahankan diri kita (dari serangan penggodam)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai jenayah siber di sini, Selasa.

Seminar tiga hari tersebut anjuran Jabatan Peguam Negara dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia yang julung kali diadakan memperkatakan tentang aspek perundangan dan teknikal jenayah siber.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Leftenan Kolonel (B) Datuk Husin Jazri berkata terdapat pengajaran daripada kejadian serangan penggodam terhadap beberapa laman web baru-baru ini.

Beliau berkata sehubungan itu langkah perlu diambil untuk mendekati generasi muda yang memiliki bakat dan kemahiran siber. "Kadang-kala golongan muda ini tidak gembira dengan sesetengah isu atau tindakan lalu memilih untuk menggodam, jadi kita perlu mendekati mereka agar mereka dapat menyalurkan ketidakpuasan hati mereka dengan cara yang positif," kata Husin.

[BERNAMA]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.