Berita Terkini

Kisah Hatim al-Asham dengan Ulama yang tinggal di Rumah Mewah

Rumah mewah
Bercerita Abu Abdillah al-Khawwash, "Aku pergi bersama Hatim ke Arrai, dan bersama kami 320 orang lelaki. Kami bertujuan mengerjakan ibadah haji. Pada mereka itu kantung bulu. Tidak ada pada mereka beg pakaian dan makanan. Maka kami masuk ke tempat seorang saudagar yang sederhana, yang mempunyai belas kasihan kepada faqir miskin. Pada malam itu kami menjadi tamunya.

Pada keesokan harinya, bertanya tuan rumah kepada Hatim, "Apakah saudara ada mempunyai keperluan apa-apa? Sebab saya bertujuan hendak mengunjungi seorang ahli fiqh kami, yang sedang sakit sekarang."

Menjawab Hatim, "Mengunjungi orang sakit ada kelebihannya dan memandang wajah ahli fiqh itu suatu ibadah. Saya mahu pergi bersama tuan."

Adalah yang sakit itu Muhammad ibnu Muqatil, qadhi negeri Arrai. Ketika kami sampai di pintu, rupanya suatu istana yang mewah dan cantik. Hatim termenung seraya berkata, "Beginikah pintu rumah seorang yang berilmu (orang alim)?"

Kemudian diizinkan, lalu mereka masuk. Rupanya sebuah rumah yang sangat cantik, cukup luas, bersih, berpemandangan indah dan bertirai. Maka Hatim termenung.

Kemudian mereka masuk ke tempat dimana orang sakit itu berada. Di situ orang sakit berbaring di atas katil yang empuk. Di sisi kepalanya seorang bujang dengan memegang alat pemukul lalat.

Maka duduklah yang berkunjung tadi (saudagar itu) di samping kepala si sakit, menanyakan keadaan sakitnya, sedang Hatim berdiri sahaja. Lalu Ibnu Muqatil (orang sakit itu) mempersilakan Hatim duduk. Hatim menjawab, "Tak usah tuan!"

Ibnu Muqatil bertanya, "Barangkali ada yang kamu perlu?"

"Ada." Jawab Hatim.

"Apa?" Tanya Ibnu Muqatil.

"Ada suatu masalah yang saya ingin tanyakan kepada tuan," sambung Hatim.

"Tanyalah."

"Bangunlah tuan!" Kata Hatim. "Duduklah supaya aku tanyakan."

Maka bangunlah Ibnu Muqatil dan duduk. Lalu Hatim bertanya, "Ilmu tuan ini dari mana tuan ambil?"

"Dari orang-orang yang dapat dipercayai, yang menerangkan ilmu-ilmu itu kepada saya."

"Orang-orang itu, dari siapa?"

"Dari para sahabat Rasulullah S.a.w."

"Para sahabat itu mengambil dari siapa?"

"Dari Rasulullah S.a.w."

"Rasulullah S.a.w mengambil dari siapa?"

"Dari Jibril a.s, dan Jibril mengambil dari Allah Ta'ala."

Maka berkata Hatim, "Menurut apa yang dibawa oleh Jibril a.s dari Allah Ta'ala kepada Rasulullah S.a.w dan Rasulullah S.a.w membawanya kepada para sahabatnya dan para sahabat kepada orang-orang yang dipercayai, dan orang-orang yang dipercayai kepada tuan, maka adakah tuan mendengar dalam pelajaran itu bahawa orang yang terdapat dalam rumahnya kemewahan dan luas rumahnya cukup lebar, akan memperolehi darjat yang tinggi di sisi Allah Azza wa Jalla?"

Menjawab Ibnu Muqatil, "Tidak!"

Berkata Hatim, "Bagaimana yang tuan dengar?"

Menjawab Ibnu Muqatil, "Yang saya dengar bahawa orang yang zuhud di dunia, gemar pada akhirat, mencintai orang miskin dan mendahulukan untuk akhiratnya, maka memperolehi kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta'ala."

Berkata Hatim, "Tuan sekarang, siapa yang tuan ikut, Nabi kah, serta para sahabat r.a dan orang-orang shaleh, atau Firaun dan Namrud, iaitu orang yang mula-mula mendirikan gedung dengan batu marmar dan batu merah?"

"Wahai Ulama Su' (ulama buruk), orang yang seperti tuan bila dilihat oleh orang-orang jahil, yang memburu dan gemar kepada dunia, akan berkata, "Orang yang berilmu sudah begitu, apakah tidak patut aku lebih jahat lagi daripadanya?"

Maka keluarlah Hatim dari situ dan bertambahlah penyakit Ibnu Muqatil.

Peristiwa yang terjadi di antara Hatim dan Ibnu Muqatil, sampai ke pengetahuan penduduk Arrai, lalu berkatalah mereka kepada Hatim, "Bahawa at-Thanafisi di Qazwin lebih mewah lagi dari Ibnu Muqatil."

Maka sengajalah Hatim pergi ke sana, lalu masuk ke rumah at-Thanafisi seraya berkata, "Kiranya tuan diberi rahmat oleh Allah. Saya ini orang jahil, ingin benar tuan ajarkan saya permulaan pelajaran agama dan anak kunci shalat, bagaimana saya berwudhu untuk shalat!"

Menjawab At-Thanafisi, "Boleh dengan segala senang hati. Ambillah kendi yang berair."

Lalu dibawakan kepadanya. Maka duduklah at-Thanafisi mengambil wudhu' tiga-tiga kali, kemudian berkata, "Beginilah cara berwudhu', cubalah berwudhu'!"

Maka berkata Hatim, "Biarlah di tempat tuan, supaya berwudhu' di hadapan tuan! Sehingga benar-benar tercapai apa yang saya maksudkan."

Maka bangunlah at-Thanafisi dan duduklah Hatim. Dibasuhnya kedua lengannya empat-empat kali. Lalu at-Thanafisi menegur, "Mengapa engkau membazir?"

Menjawab Hatim, "Apa yang saya bazirkan?"

"Kau basuh lenganmu empat kali."

"SubhanAllah! Maha Suci Tuhan Yang Maha Besar!" Menjawab Hatim, "Hanya satu tapak tangan air, sudah membazir. Tuan dengan ini seluruhnya, adakah tidak membazir?"

Maka tahulah at-Thanafisi, bahawa sebenarnya maksud Hatim bukanlah mahu belajar. Lalu masuklah dia ke dalam rumahnya dan tidak muncul-muncul di khalayak umum selama 40 hari.

Sebenarnya, menghiasi diri dengan yang mubah (yang dibolehkan), tidaklah haram. Tetapi berkecimpung dengan yang mubah itu, mengharuskan suka kepadanya, sehingga sukar meninggalkannya.

Terus-terusan menghiasi diri itu, menurut biasanya tidak mungkin bila tidak secara langsung memperolehi sebab-sebabnya. Untuk menjaga keutuhan sebab-sebabnya itu, terpaksa berbuat perbuatan maksiat, seumpama bermanis muka, menjaga hati orang ramai dan kehormatan mereka serta perkara-perkara lain yang terlarang. Untuk penjagaan diri, hendaklah menjauhi yang sedemikian. Kerana orang yang berkecimpung dengan dunia, tidak lah sekali-kali selamat terpelihara darinya. 

[Imam al-Ghazali - Ihya' Ulumuddin, jilid 1]

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.