Berita Terkini

Imam al-Ghazali berbicara mengenai Ulama Buruk

Nabi S.a.w ditanya tentang orang yang paling jahat, baginda enggan menjawab seraya berdoa "Allahumma ghafran" (Ya Allah, ampunilah). Sehingga setelah berkali-kali ditanya, lalu baginda menjawab, mereka itu ialah Ulama Suu' (Ulama Buruk)."  [HR ad-Darimiy, dari al-Ahwash bin Hakim, dari ayahnya. Hadits Mursal]

Sabda Nabi S.a.w yang bermaksud, "Mulanya Islam itu adalah asing dan akan kembali asing seperti bermula. Maka berbahagialah orang-orang asing itu." [HR Muslim, dari Abu Hurairah]

Maka ditanyakan kepada Nabi S.a.w, "Siapakah orang-orang asing itu?"

Nabi S.a.w menjawab, "Mereka yang memperbaiki apa yang telah dirosakkan oleh manusia dari sunnahku dan mereka yang menghidupkan apa yang telah dimatikan manusia dari sunnahku."

Pada hadits lain disebut, "Orang-orang asing itu adalah manusia yang sedikit jumlahnya, orang-orang baik di antara kebanyakan manusia. Yang memarahi mereka lebih ramai dari yang mencintainya." [HR Ahmad, dari Abdullah ibnu 'Amr]

Telah berkata Sufyan Ats-Tsauri rahimahullah, "Apabila engkau melihat orang alim itu ramai teman, maka ketahuilah bahawa dia itu bercampur. Kerana jika kebenaran yang dikemukakannya, maka dia akan dimarahi." [1]

Anas r.a meriwayatkan; "Ulama adalah kepercayaan para rasul selama mereka tidak bergaul dengan penguasa dan tidak asyik dengan dunia. Jika mereka bergaul dengan penguasa dan asyik dengan dunia maka mereka telah mengkhianati para rasul. Kerana itu, jauhilah mereka." [HR al-Hakim]

Imam al-Ghazali berkata, "Sesungguhnya, kerosakan rakyat di sebabkan oleh kerosakan para penguasanya, dan kerosakan penguasa disebabkan oleh kerosakan ulama, dan kerosakan ulama disebabkan oleh cinta harta dan kedudukan; dan barang siapa dikuasai oleh cita-cita duniawi dia tidak akan mampu mengurus rakyat kecil, apalagi penguasanya. Allah-lah tempat meminta segala persoalan." [2]

Imam al-Ghazali berkata, "Dan fanatik ('asabiyyah) itu adalah setengah dari penyakit Ulama Buruk. Kerana Ulama Buruk itu tersangat fanatik kepada apa yang dianggapnya benar. Dan memandang kepada golongan yang berbeza fahaman dengan mereka, dengan pandangan menghina dan mengejek. Maka menonjollah sifat-sifat ingin menentang dan berhadapan. Dan bangkitlah gerakan membela yang bathil itu.

Jikalau sekiranya mereka datang dengan lemah-lembut dan kasih-sayang, serta nasihat-menasihati secara berbisik, tidak dalam keadaan fanatik dan hina-menghina, nescaya mereka mendapat kemenangan.

Tetapi tatkala kemegahan itu tidak tertegak selain dengan mempunyai pengikut dan pengikut itu tidak mudah diperolehi seperti mudahnya memperolehi fanatik, kutukan dan cacian terhadap lawan,  lalu diambilnya lah fanatik menjadi adat kebiasaan dan alat perkakas bagi mereka.  Dan disebutnyalah, "untuk mempertahankan agama dan kehormatan kaum Muslimin," padahal sebenarnya adalah membawa kebinasaan kepada umat manusia dan menetapkan bid'ah dalam jiwa." [3]

"Tidak sesatlah suatu golongan setelah ada petunjuk padanya selain orang-orang yang suka bertengkar." [HR at-Turmudzi dan Ibnu Majjah, dari Abi Amamah. Turmudzi mengatakannya Hasan Shahih]

Kemudian Nabi S.a.w membaca, "Mereka menimbulkan soal itu hanyalah untuk membantah sahaja, sebenarnya mereka adalah kaum yang suka bertengkar."  [Surah az-Zukhruf : ayat 58]


Sejarah kemunculan Ulama Suu' selepas zaman Khulafa' ar-Rasyidun

Imam al-Ghazali rahimahullah berkata, "Ketahuilah bahawa jawatan khalifah selepas Nabi S.a.w dipegang oleh Khulafa' ar-Rasyidin dengan petunjuk Allah (iaitu Abu Bakr, Umar, Utsman dan Ali). Mereka adalah imam, ahli ilmu dan faham segala hukum Allah. Bebas mengeluarkan fatwa dan mampu menyelesaikan segala peristiwa hukum. Tidak perlu meminta bantuan ahli-ahli hukum Islam (fuqaha'). Kalau pun ada maka amat jarang sekali, iaitu mengenai peristiwa-peristiwa yang harus dimesyuaratkan.

Wallpaper Islamik kata-kata hikmah

Dari itu, maka para alim ulama dapat menghadapkan perhatian dan segala kesungguhannya kepada ilmu akhirat. Menolak mengeluarkan fatwa dan apa yang ada hubungannya dengan hukum duniawi. Mereka menghadapkan diri dengan kesungguhan yang maksimal kepada Allah Ta'ala, sebagaimana dapat dibaca dalam riwayat hidup para ulama itu sendiri.

Sewaktu jawatan Khalifah jatuh ke tangan golongan-golongan selepas Khulafa' ar-Rasyidin itu, yang mengendalikan pemerintahan tanpa hak dan kemampuan dengan ilmu yang berhubungan dengan fatwa dan hukum, maka terpaksalah meminta tolong kepada para fuqaha' dan mengikut-serta kan mereka dalam segala hal untuk meminta fatwa sewaktu menjalankan hukum.

Dalam pada itu, masih ada juga di antara ulama tabi'en, yang tetap dalam suasana lampau, berpegang teguh kepada tradisi agama, tidak melepaskan ciri-ciri Ulama Salaf (Ulama terdahulu). Mereka ini bila diminta, lalu melarikan diri dan menolak. Sehingga terpaksalah para khalifah itu melakukan paksaan dalam perlantikan anggota kehakiman dan pemerintahan.

Maka kelihatan lah kepada rakyat umum kebesaran Ulama dan perhatian para pembesar dan wali negara kepada mereka. Sedang dari pihak ulama itu sendiri, menolak dan menjauhkan diri. Lalu rakyat umum tampil menuntut ilmu pengetahuan, ingin memperolehi kemuliaan dan kemegahan dari pembesar negara, mereka tekun mempelajari ilmu yang berhubungan dengan fatwa dan hukum. Kemudian datang memperkenalkan diri kepada wali negeri, memohon kedudukan dan jawatan.

Diantaranya ditolak dan ada juga yang diterima. Yang diterima tidak luput dari kehinaan meminta-minta dan mohon dikasihani. Maka jadilah para fuqaha' itu "meminta" setelah tadinya "diminta". Hina dengan mengampu kepada pembesar setelah tadinya "mulia" dengan berpaling dari penguasa-penguasa itu.

Yang terlepas dari keadaan tersebut ialah orang-orang dari para ulama agama Allah yang memperolehi taufiq daripadaNya.

Amat besar perhatian pada masa itu kepada ilmu fatwa dan hukum kerana sangat diperlukan, baik di daerah-daerah atau di pusat-pusat pemerintahan.

Selepas itu lahirlah dari orang-orang terkemuka dan pembesar-pembesar golongan yang suka memerhatikan percakapan manusia tentang kaedah-kaedah kepercayaan  dan tertarik hatinya mendengar dalil-dalil yang dikemukakan. Maka timbullah kegemaran bertukar-tukar fikiran dan berdebat dalam Ilmu Kalam. Perhatian orang-ramai pun tertumpu kepada ilmu itu.  Lalu diperbanyak karangan dan disusun cara berdebat. Dan dikeluarkan lah ulasan tentang mana kata-kata yang bertentangan.

Mereka mendakwa bahawa tujuannya ialah mempertahankan agama Allah dan sunnah Nabi S.a.w serta membasmi bid'ah sebagaimana orang-orang sebelum mereka ini,  mendakwa untuk agama dengan bekerja dalam lapangan  fatwa dan mengurus perihal hukum. Kerana belas kasihan kepada makhluk Tuhan dan untuk pengajaran kepada mereka.

Selepas itu muncul lagi dari kalangan terkemuka orang-orang yang memang tidak benar terjun ke dalam Ilmu Kalam dan membuka pintu perdebatan di dalamnya. Sebab telah menimbulkan kefanatikan yang keji dan permusuhan yang meluap-luap, yang membawa kepada pertumpahan darah dan penghancuran negeri. Tetapi golongan ini tertarik kepada bertukar-fikiran tentang Fiqh dan khusus memperbandingkan mana yang lebih utama di antara Mazhab Syafi'e dan Mazhab Abu Hanifah r.a.

Maka manusia pun meninggalkan ilmu Kalam dan bahagian-bahagiannya, terjun ke dalam masalah-masalah Khilafiyyah antara aliran Syafi'e dan Abu Hanifahnya khususnya. Dan tidak begitu mementingkan tentang khilafiyyah yang terjadi antara Malik, Sufyan Ats-Tsauri dan Ahmad r.a serta ulama-ulama lainnnya. Mereka mendakwa bahawa maksudnya adalah mencari hukum agama secara mendalam, menetapkan alasan-alasan mazhab dan memberikan kata pengantar bagi pokok-pokok fatwa. Lalu diperbanyak karangan dan pemahaman hukum, disusun bermacam-macam cara berdebat dan mengarang.

Keadaan itu diteruskan sampai sekarang (zaman Imam al-Ghazali). Kami tidak dapat meneka, apa yang akan ditakdirkan Tuhan selepas kami, pada masa-masa akan datang. [4]

Penutup

Imam al-Ghazali berkata, "Namun demikian, nafsu amarah ulama Suu' ini selalu membisikkan di telinga mereka bermacam-macam angan-angan dan membisikkan kepadanya bahawa dia telah banyak menabur jasa di kalangan manusia sehingga dia layak untuk menerima bermacam-macam anugerah daripada Allah. Nafsunya juga mengkhayalkan kepadanya bahawa dia adalah lebih baik daripada hamba-hamba Allah yang lain. [5]

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor." [HR Turmudzi, dari Ibnu Mas'ud]

"Bukankah manusia terjerumus ke dalam neraka kerana tidak dapat mengendalikan lidahnya." [HR at-Turmudzi]

"Mencaci-maki seorang Muslim adalah suatu kefasikan, sedang memeranginya (membunuhnya) adalah kekufuran." [Muttafaq 'alaih, dari Ibnu Mas'ud]

"Sesungguhnya orang yang paling dimarahi oleh Allah ialah orang yang suka bertengkar." [HR al-Bukhari dan Muslim, dari 'Aisyah r.a]

Bicara-bicara dari Imam al-Ghazali di atas bukan untuk kita jadikannya sebagai bahan untuk memandang buruk dan menuduh orang lain sewenang-wenangnya, tetapi sebagai renungan untuk diri kita sendiri dan juga berhati-hati terhadapnya.

Ustaz, ulama atau sesiapa sahaja selain para nabi a.s ada malah banyak melakukan dosa. Dan mungkin kita tidak dapat lari dari terkena juga tempias-tempias perkara di atas. Jika berlaku sekali-sekala, mungkin adalah normal kerana kita ini manusia biasa yang tidak lari dari melakukan kesilapan. Tetapi kalau dah hari-hari dan sepanjang masa kerja kita hanya mencari kesalahan orang sesama Muslim dan Mu'min, memaki-hamun, menyesatkan orang tak tentu hala, suka bertengkar dan seumpamanya, maka cepat-cepat lah kita istighfar, sedar diri, muhasabah diri dan mengubah sikap demi mendapat keredhaan Allah S.w.t.

Al-Hasan r.a berkata, "Seksaan bagi orang yang berilmu ialah mati hatinya. Mati hati ialah mencari dunia dengan amal perbuatan akhirat." Kerana itu berkata Yahya bin Mua'dz, "Sesungguhnya hilanglah keelokan ilmu dan hikmah, apabila dicari dunia dengan keduanya." Berkata Sa'id bin al-Musayyab r.a, "Apabila engkau melihat orang yang berilmu mendatangi amir-amir (penguasa), maka itu adalah pencuri." Berkata Umar r.a, "Apabila engkau melihat orang yang berilmu mencintai dunia,  maka curigakanlah dia terhadap agamanya! Kerana tiap-tiap orang yang mencintai sesuatu, dia akan berkecimpung pada apa yang dicintainya itu." Berkata Malik bin Dinar r.a, "Aku telah membaca dalam beberapa kitab lama bahawa Allah Ta'ala berfirman, "bahawa yang paling mudah Aku perbuat terhadap orang yang berilmu apabila dia mencintai dunia ialah Aku keluarkan dari hatinya kelazatan bermunajat kepada-Ku."  [6]

Dalam kitab Minhajul Abidin ada menjelaskan, Imam al-Ghazali pada mulanya adalah seorang "tukang debat". Tetapi kemudian dia bertaubat dan dengan bersungguh-sungguh mendalami ilmu "Sirr" (rahsia hati). Kemudian beliau memperingatkan kita agar jangan suka berdebat. Nasihatnya itu adalah berdasarkan kepada pengalamannya. [7] 

Wallahu a'lam ....... :-)


Rujukan:

1 - Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Juz 1, Kitab Ilmu.
2 - Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Juz 2
3 - Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Juz 1, Kitab Ilmu.
4 - Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Juz 1, Kitab Ilmu.
5 - Imam al-Ghazali - Bidayatul Hidayah, Muqaddimah.
6 - Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Juz 1, Kitab Ilmu.
7 - Minhajul Abidin

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.