Berita Terkini

Iringi dosa dengan melakukan kebaikan

Setiap kita memang tidak lari dari melakukan dosa, sama ada dosa-dosa kecil mahu pun dosa-dosa besar, sama ada dosa yang nampak terang-terang, atau pun yang tersembunyi (termasuk yang dalam hati).

Dosa-dosa besar ialah dosa yang ada HUKUMANNya di dunia iaitu termasuk dalam Hukum Hudud , Qisas, Takzir dan sebagainya, dan diancam dengan azab seksa yang keras di akhirat sekiranya tidak dihukum lagi di dunia dan tidak bertaubat. Tetapi dosa-dosa kecil ialah dosa yang tiada hukumannya di dunia dan tidak diberikan ancaman azab seksa yang keras di akhirat.

Untuk itu, Islam telah memberikan tips kepada kita untuk menghapuskan dosa-dosa kita. Tetapi tips kali ini hanya khusus untuk dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa besar hanya dijanjikan oleh Allah S.w.t untuk dihapuskan dengan melakukan TAUBAT NASUHA.  Walaupun begitu, setiap dosa tak kira lah dosa kecil mahupun dosa besar, hendaklah kita susuli kemudiannya dengan melakukan kebaikan-kebaikan.

Dari Abu Dzar, Jundub bin Junadah dan Abu ‘Abdurrahman, Mu’adz bin Jabal radhiyallahu 'anhuma, dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau bersabda; "Bertaqwalah kepada Allah di mana saja engkau berada dan susullah sesuatu perbuatan dosa dengan kebaikan, pasti akan menghapuskannya dan bergaullah sesama manusia dengan akhlaq yang baik." [HR Tirmidzi, dia telah berkata : Hadits ini hasan, pada lafadz lain darjatnya hasan shahih]

Sabda beliau yang bermaksud ".... bergaullah sesama manusia dengan akhlaq yang baik" maksudnya bergaullah dengan manusia dengan cara-cara yang kamu merasa senang bila diperlakukan oleh mereka dengan cara seperti itu. Ketahuilah bahawa yang paling berat timbangannya di akhirat kelak adalah akhlaq yang baik. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda; "Sesungguhnya orang yang paling aku cintai di antara kamu dan yang paling dekat kepadaku posisinya pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaqnya di antara kamu."  [1]

Imam Bukhari berkata dari Ibnu Mas'ud, bahawa seorang lelaki telah mencium seorang perempuan, maka datanglah dia kepada Nabi S.a.w dan memberitahunya. Maka Allah S.w.t menurunkan;

"Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutamanya sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat."  [Surah Huud : Ayat 114]

Maka berkatalah lelaki itu, "Wahai Rasulullah, adakah ini hanya untukku?" Baginda menjawab, "Untuk umatku semuanya." Begitulah dia meriwayatkannya dalam kitab As-Shalah dan juga dalam bab At-Tafsir dari Musaddad, dari Zaid bin Zurai' dengan hadits yang sama. Imam Muslim, Imam Ahmad dan Ahlus Sunan juga meriwayatkannya, kecuali Abu Dawud.  [2]

Sebagai contoh lagi, terhapuslah dosa kerana sering mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran, atau mendengar berbagai ilmu dari majlis zikir dan ilmu. Jika seseorang pernah duduk dalam masjid, padahal dia sedang junub, tebuslah dengan i'tikaf sambil memperbanyakkan ibadah. Dan jika pernah memakan riba, tebuslah dengan memperbanyakkan sedekah berupa makanan yang halal.

Demikian seterusnya, meskipun menghitung-hitung dosa itu tidak akan pernah TEPAT, namun ini adalah satu cara untuk mengimbanginya. Ibarat mengubati penyakit panas dengan ubat yang dapat membuatnya dingin, agar terwujud keseimbangan yang diperlukan. [3]


Jauhi dosa-dosa besar untuk menghapuskan dosa-dosa kecil

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, nescaya Kami hapus kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (syurga)". [Surah An-Nisa' : 31]

Ath Thufi berkata: "Di dalam ayat ini terdapat pembahagian dosa-dosa kepada besar dan kecil, dan sesungguhnya menjauhi seluruh dosa besar merupakan penghapus dosa kecil". [Lihat Al Isyarat Al Ilahiyyah, 2/23-24]

Abu Hurairah r.a berkata: "Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Shalat lima waktu, mengerjakan shalat Jumaat kepada shalat Jumaat (seterusnya) dan puasa di bulan Ramadhan kepada bulan Ramadhan (seterusnya) merupakan penebus dosa diantaranya, selama menjauhi dosa-dosa besar". [HR. Ahmad dan dishahihkan di dalam kitab Silsilat Al Ahadits Ash Shahihah, no. 3322]


Jangan meremehkan dosa-dosa kecil

"Hati-hatilah kalian dari dosa yang diremehkan (dosa kecil) kerana dosa itu boleh berkumpul pada seseorang hingga membinasakannya." [H.R Ahmad, atThobarony, al-Baihaqy, dinyatakan oleh al-Iraqy bahawa sanadnya baik]

Anas bin Malik r.a pernah mengatakan, "Tidak ada dosa kecil jika dilakukan secara terus menerus." [riwayat ad-Dailamy dan al-Iraqy menyatakan bahawa sanadnya baik]

Anas bin Malik r.a berkata: "Sesungguhnya kalian benar-benar melakukan perbuatan-perbuatan yang di mata kalian lebih tipis daripada rambut, tetapi kami di zaman Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam menganggapnya sebagai dosa-dosa yang membinasakan." [HR Bukhari]

Maka dosa-dosa kecil yang sama yang dilakukan secara terus-menerus juga boleh membinasakan diri kita. Sepertimana juga perkara-perkara makruh, jika diulang-ulang berterusan akan menjadi haram juga, apa lagi dosa-dosa kecil.

Seorang yang benar-benar beriman akan merasa takut dan risau jika beliau melakukan dosa, ada pun seorang yang selalu melakukan dosa akan merasa REMEH terhadap dosa yang dia lakukan sama ada besar atau kecil.

Imam At-Thabrani rahimahullah berkata, "Sesungguhnya selalu melakukan dosa-dosa kecil maka hukumnya adalah hukum pelaku dosa besar, menurut pendapat yang terkenal (diantara para ulama)". [Lihat Kitab Al Mu'jam Al Awsath, karya Ath Thabrani, no. 3759]


Jangan melakukan dosa secara terang-terangan dan berbangga dengannya

Rasulullah S.a.w. bersabda, "Semua umatku akan diampuni dosanya kecuali orang yang mujaharah (terang-terangan dalam berbuat dosa) dan yang termasuk mujaharah adalah seorang yang melakukan perbuatan dosa di malam hari, hingga pagi hari Allah telah menutupi dosa tersebut, tetapi kemudian dia berkata, "Wahai fulan, semalam saya berbuat ini dan berbuat itu." Padahal, Allah telah menutupi dosa tersebut semalaman, tapi di pagi hari dia buka tutupan Allah tersebut." [HR Bukhari dan Muslim]

Perasaan senang hati dan berbangga mempamerkan maksiat / perbuatan dosa itu menunjukkan kita tidak takut kepada dosa malah mahu melakukannya lagi. Seperti mana wanita-wanita yang TIDAK MENUTUP AURAT dengan betul yang berbangga dengan tubuh mereka yang seksi dan sewaktu dengannya.  Bahkan ianya dapat menyeret orang lain pula untuk ikut melakukan maksiat yang sama.

"Barangsiapa yang memberi contoh di dalam Islam dengan contoh yang buruk, dia akan mendapat dosanya dan dosa orang yang mengikuti selepasnya tanpa dikurangi dosa tersebut sedikit pun." [HR Muslim]

"Dan apabila dikatakan kepadanya, "Bertakwalah kepada Allah", bangkitlah kesombongannya yang menyebabkannya berbuat dosa. Maka, cukuplah (balasannya) neraka Jahannam. Dan sungguh neraka Jahannam itu tempat tinggal yang seburuk-buruknya." [Surah Al-Baqarah [2]: 206]


Tak perlulah kita KUTUK orang yang melakukan dosa

"Tahukah kamu siapa orang yang muflis itu?" Para sahabat menjawab, "Orang yang muflis di antara kami ialah yang tidak memiliki dirham dan tidak pula kesenangan." Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam kemudian bersabda, "Orang yang muflis ialah, orang yang pada hari kiamat datang dengan membawa shalat, puasa dan zakat, tetapi dia mencaci ini, menuduh ini, makan harta ini, menumpahkan darah ini dan memukul ini, sehingga kebaikan yang dia lakukan diberikan kepada orang yang dizalimi. Kemudian, apabila kebaikannya habis padahal belum cukup, (maka) diambil keburukan mereka yang dizalimi, lalu diberikan kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke neraka." [HR. Muslim]

"Ajaklah kepada jalan Tuhanmu dengan menggunakan kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan berdailoglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." [Surah an-Nahl : 125]

Ibnul Mubaarok mengatakan : "Akhlaq yang baik adalah bermuka manis, suka memberi bantuan, dan menahan diri untuk tidak mengganggu / menyakiti orang lain." [4]

Dalam kita berdakwah, tak perlulah kita KUTUK atau MENGHINA dengan kata-kata kesat dan mencarut pada orang-orang yang melakukan dosa, lebih-lebih lagi jika dosa itu adalah dosa-dosa kecil ataupun bukan satu kejahatan yang melampau. Kerana mungkin suatu hari nanti, orang yang dikutuk itu akan bertaubat, diampunkan oleh Allah S.w.t dan berubah menjadi jauh lebih baik dari kita.

Kita pun ada DOSA KITA sendiri. Mungkin dosa-dosa kita lebih banyak dari dosa orang yang kita kutuk dan hina, tetapi kita tidak mengetahuinya.

Tugas kita hanya NAHI MUNGKAR, iaitu melarangnya berbuat dosa dan maksiat jika dia berada di depan kita. Jika dia tidak berada di belakang kita, maka BERDOALAH supaya Allah membuka pintu hatinya agar bertaubat.

Selepas kita sudah selesai tanggungjawab kita menasihatinya, dengan cara yang paling berhikmah, maka tak perlu lah kita terus mengutuknya di belakang dengan tidak beradab dan seumpamanya. Dia nak berubah atau tidak, terpulang kepada dirinya sendiri kerana HIDAYAH hanya diberikan oleh Allah Ta'ala.

Bayangkan, kalau ditakdirkan anda sendiri yang dikutuk dan dihina sebegitu, apa perasaan anda? Bagaimana sekiranya Allah takdirkan anda pula yang menjadi pelaku dosa itu suatu hari nanti, anda suka diKUTUK dan diHINA sedemikian rupa?

Rasulullah S.a.w pun TIDAK MENGAJAR untuk MENGUTUK dan MENGHINA orang lain sewenang-wenangnya, malah Nabi S.a.w mempamerkan akhlak yang mulia, hinggakan ramai yang terpaut dan memeluk Islam dek kerana akhlak Nabi S.a.w.

Pendakwah juga sebenarnya diuji KESABARANnya dalam berdakwah. Bayangkan Nabi Nuh a.s berdakwah 900 tahun lebih tapi mereka menutup telinga di depannya sendiri dan majoriti menolak dakwahnya. Bayangkan Nabi Muhammad S.a.w dilempar batu, najis, dipukul, dimaki hamun, dituduh gila, pemecah belah kaum, Shabi' (orang yang keluar dari agama nenek moyang) dan sebagainya, tetapi Rasulullah S.a.w langsung tidak MARAH jika diri beliau diapa-apakan dan memaafkan sahaja jika ia melibatkan hal peribadi. Hanya jika melibatkan perkara agama sahaja beliau akan marah, tetapi bukan dengan MENGHINA dan MAKI-HAMUN.

Semoga Allah S.w.t mengurniakan KESABARAN kepada kita dalam berdakwah dan dapat berdakwah 'BIL HIKMAH' (dengan bijaksana), amiin.

"Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaqnya." [H.R Ahmad, Abu Dawud, AtTirmidzi, al-Hakim dan dishahihkan oleh adz-Dzahaby]

"(Hal) yang paling banyak memasukkan orang ke dalam syurga ialah taqwa kepada Allah dan akhlaq yang baik." [HR Ahmad, AtTirmidzi, Ibnu Majah, dihasankan oleh Syaikh al-Albany]


Rujukan:

1 - Syarah Hadits Arba'in An-Nawawiy - Ibnu Daqiq al 'Ied
2 - Tafsir Ibnu Katsir
3 - Minhajul Abidin - Imam Al-Ghazali
4 - Jaami’ul ‘Uluum wal Hikaam - Ibnu Rajab, juz 1 hal 454-457

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.