Begitu dahsyatnya penciptaan bumi ini, dan betapa kita sebagai manusia tidak boleh berkata kecuali mengucapkan: Subhanallah, yang telah menciptakan alam semesta ini beserta apa yang berada di atasnya sedemikian indah dan mempesona sehingga kita boleh menetap di atasnya dengan tenang dan damai.
Begitupun laut dan samudera yang luas mempunyai rahsia yang telah dibicarakan dalam al-Qur'an sejak 14 abad silam. Lalu, apa pendapat para saintis setelah mereka berjaya mengadakan penyelidikan ilmiah ini?
يقول تعالى: (أَوْ كَظُلُمَاتٍ فِي بَحْرٍ لُجِّيٍّ يَغْشَاهُ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ مَوْجٌ مِنْ فَوْقِهِ سَحَابٌ ظُلُمَاتٌ بَعْضُهَا فَوْقَ بَعْضٍ إِذَا أَخْرَجَ يَدَهُ لَمْ يَكَدْ يَرَاهَا وَمَنْ لَمْ يَجْعَلِ اللَّهُ لَهُ نُورًا فَمَا لَهُ مِنْ نُورٍ)[النور: 40].
Ertinya: "Atau seperti gelap gelita di lautan yang dalam yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya ada ombak, di atasnya ada awan. Gelap gelita tindih menindih. Apabila dia mengeluarkan tangannya tidaklah hampir dia melihatnya dan barangsiapa yang tiada diberi oleh Allah cahaya maka tidaklah ada baginya sedikit cahaya pun ". [Surah An-Nur; 24:40]
Penjelasan ayat
Dalam ayat ini, Allah S.w.t berbicara kepada kita sikap dan pengingkaran orang-orang kafir terhadap ayat- ayat Allah, dan perjumpaannya pada hari Kiamat nanti serta pembangkangan mereka terhadap rasul-Nya. Perbuatan yang mereka lakukan di dunia ini diibaratkan mengejar sesuatu yang bersifat fatamorgana dengan termengah-mengah di belakangnya.
Jika mereka tidak berjaya mencapai tempat yang dituju itu, mereka tidak akan mendapatkan apa-apa, dan mereka merasa apa yang mereka lakukan adalah sia-sia. Perumpamaan orang kafir ini diibaratkan seperti manusia hidup dalam kegelapan laut yang dalam dan hampir-hampir tidak melihat sesuatu kerana gelap gelita.
Imam Al-Qurthubi , seorang ulama tafsir kenamaan, berkata: (di samudera yang dalam ) yang tidak terjangkau dasarnya yang diliputi oleh ombak, yang di atasnya yakni di atas ombak itu, ada lagi ombak yang lain sehingga ombak bertindan-tindan dan di atasnya yakni di atas ombak yang bertindan itu ada lagi awan gelap yang menutupi cahaya yang menyinari langit. Demikianlah, seperti apa yang dikatakan ahli kajian laut (saintis marin) baru-baru ini.
Fakta Ilmiah
Ketika para Sains Marin mengharungi samudera yang dalam mereka mendapati bahawa dalam laut yang sangat dalam itu diliputi oleh kegelapan, dan sedemikian gelapnya, hingga manusia tidak dapat melihat sesuatu. Kegelapan ini semakin menjadi jika ombak dan gelombang datang bertubi-tubi apalagi jika awan tebal dan hitam menyelimuti angkasa.
Sebagaimana juga mereka mendapati bahawa di dalam laut yang sangat dalam itu terdapat ombak yang bertindan-tindan dan tidak mungkin seseorang melihatnya kecuali dia menyelam hingga 100 m kedalaman laut. Ombak yang terdapat dalam lautan ini lebih besar dari ombak yang terdapat di atas permukaan. Subhanallah ...
Dari sisi ilmiah mukjizat Al-Quran
Dalam ayat ini terdapat dua penemuan saintifik yang sesuai dengan ayat al-Qur'an surah An-Nur; 24:40, iaitu:
1. Tentang gelapnya laut yang dalam yang baru ditemui oleh para saintis baru-baru ini
2. Terdapat ombak dan gelombang dalam laut itu secara bertindan.
Oleh kerana itu, benarlah apa yang dikatakan Allah dalam ayat tersebut. Mahabenar Allah dengan segala firmanNya.
[islampos]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)