Berita Terkini

Adakah kita memberi kerana harapkan balasan atau ucapan terima kasih?

Assalaamu'alaikum w.b.t....... Apa agaknya yang kita rasa setelah kita memberi sesuatu hadiah atau bantuan kepada seseorang, tetapi orang itu langsung tidak mahu ucap terima kasih pada kita?  Marah, suka, atau no problem? 

Jika 'marah' adalah jawapan kita, maka mungkin kita telah terlupa dengan firman Allah S.w.t yang bermaksud, "Tidaklah Aku jadikan jin dan manusia, kecuali agar mereka mengabdikan diri kepada Ku."  [Surah Az-Zariyat : Ayat 56]

"Mengabdikan diri" di situ bermakna kita semua ini wajib menjadi Hamba kepada Allah. Ya, kita semua ini hanyalah HAMBA ALLAH. Maka jika kita perasan bahawa kita ini hanyalah hamba Allah, baru lah kita akan berbuat selayaknya dengan jawatan yang kita sandang ini.

Apa kaitan hamba dengan pemberian kita pada orang lain? Ya, jika kita betul-betul ikhlas memberi sedekah , hadiah atau sesuatu bantuan kepada orang lain, sepatutnya tidak tercetuslah di hati kita untuk mendapatkan sebarang balasan atau ucapan terima kasih sekali pun dari manusia itu. Jika kita hanya harapkan REDHA Allah , maka apa gunanya kita harapkan balasan dari manusia atau ucapan terima kasih itu? Adakah dengan ucapan terima kasih itu kita dapat redha Allah dan masuk syurga? 

Kerana itu lah saya tertarik dengan maksud firman Allah Azza Wa Jalla iaitu, "Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.  "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih."  [Surah Al-Insan : Ayat 8 - 9]

Tentang 'mereka yang memberi makan kerana Allah semata-mata' itu, Mujahid dan Said bin Jubair berkata; "Demi Allah, mereka ini tidak mengucapkannya melalui lisan mereka, tetapi Allah mengetahuinya melalui hati mereka sehingga Dia pun memberi pujian kepada mereka untuk memancing orang lain melakukan hal tersebut. [1]

Kemudian disambung lagi dengan ayat seterusnya yang bermaksud, ""Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah masam berkerut-kerut".  Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri, dan perasaan riang gembira.  Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera."  [Surah Al-Insan : Ayat 10 - 12]

MasyaAllah, maka apa lah sangat balasan dari manusia dan ucapan terima kasih itu jika dibandingkan dengan balasan baik oleh Allah S.w.t di akhirat nanti?  Oleh itu, tidak perlu lah kita kecewa, hancur hati, marah dan seumpamanya jika orang TIDAK BERTERIMA KASIH langsung di atas pemberian kita. Hati pun tidak sakit, jiwa pun tenang, akhirat pun ada habuan insyaAllah. Itu lah baru sebenar-benar ikhlas dalam memberi (bukan kerana mahukan balasan, ucapan terima kasih, riya' atau menunjuk-nunjuk dan sebagainya.

Sehinggakan jika orang membalas pemberian baik kita dengan keburukan sekali pun, jika kita betul-betul beriman dan yakin dengan ayat tadi , insyaAllah tidak akan menjejaskan diri kita. 

Apa lagi kita dilarang mengungkit-ungkit atau menyebut-nyebut tentang pemberian kita dengan niat riya', menghina dan menyakitkan hati orang dan seumpamanya. "Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan agama Allah kemudian mereka mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit pemberiannya dan tidak pula menyinggung atau menyakiti pihak yang diberi, mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka." [Surah Al-Baqarah : Ayat 262]

Bantuan itu sebenarnya adalah bantuan dari Allah. Kita ini hanya penyebab atau medium nya sahaja. Dan kita ini hanya hamba Allah yang menjalankan tanggungjawab kita semata. Kalau kita dapat faham sampai tahap ini, insyaAllah kita tidak akan mengharapkan balasan atau pujian pun.

Sedangkan jika pemberian kita itu berupa harta yang dicari oleh kita sendiri pun tidak sepatutnya kita harapkan balasan dan pujian, apa lagi jika kita hanya mengurus dan membahagi-bahagikan harta awam atau harta rakyat sahaja.

Walau pun begitu, jika kita terima pemberian dari orang lain pula, jangan lah kita langsung tidak mahu ucap terima kasih, itu namanya kurang adab dan akhlak. :) Adab dan akhlak sesama manusia (hablun minannaas) pun kita kena jaga juga, tak begitu?  Cuma, tulisan di atas di tujukan kepada kita kalau kita yang memberi. 

Bayangkan jika semua orang memberi hadiah , sedekah dan bantuan TANPA langsung mengharapkan balasan dari manusia dan ucapan terima kasih, alangkah indah dan amannya dunia insyaAllah. Sedangkan haiwan pun kita boleh bantu tanpa harapkan balasan (memang haiwan tak pandai balas pun), apatah lagi manusia .......



Bonus: Beberapa hadits tentang sedekah

“Seutama-utama sedekah adalah engkau bersedekah ketika engkau dalam keadaan sihat, kikir, takut akan kefaqiran serta sedang mengharap kekayaan. Dan janganlah menunda-nundanya hingga ruhmu telah mencapai kerongkongan, barulah engkau berwasiat, ‘Untuk si fulan sekian, dan untuk si fulan sekian.” Ketahuilah sebenarnya harta itu telah menjadi milik si fulan (ahli warisnya).” [Hadits Riwayat Bukhari dan Muslim]

“Seutama-utama sedekah adalah (yang diberikan) kepada sanak keluarga yang memusuhi.” [Hadits Riwayat Ahmad, an-Nasa’i, at-Tirmidzi dan terdapat di Shahih al-Jami’]

“Seutama-utama dinar, adalah dinar yang dibelanjakan untuk keluarganya, dinar yang dibelanjakan untuk (merawat) haiwan untuk berperang di jalan Allah, dan dinar yang dibelanjakan untuk sahabat-sahabatnya di jalan Allah.” [Hadits Riwayat Muslim]

“Sebaik-baik sedekah adalah dari harta yang lebih.” [Hadits Riwayat Al-Bukhari]

“Sedekah yang paling utama adalah pengorbanan orang yang kekurangan, dan mulailah dari orang yang berada di bawah tanggunganmu.” [Hadits Riwayat Abu Dawud]

“Sedekah yang diberikan kepada orang miskin mendapat satu pahala, sedangkan sedekah yang diberikan kepada sanak keluarga mendapat dua pahala; pahala sedekah dan pahala silaturrahim.” [Hadits Riwayat Ahmad, an-Nasa’i, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah]

“Apabila seorang anak Adam (manusia) meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, (iaitu) sedekah jariyah, atau ilmu yang bermanfaat atau anak shalih yang senantiasa mendoakannya.” [Hadits Riwayat Muslim]

Dan sebagainya lagi, wallahu a'lam .......


Rujukan:

1 - Tafsir Ibnu Katsir


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.