Foto kredit: scientificamerican.com
GEORGETOWN: Bolehkah manusia gerakkan benda dengan hanya menggunakan kuasa minda sepertimana dalam filem-filem sains fiksyen?
Perkara itu bakal menjadi realiti berikutan sekumpulan penyelidik Malaysia sedang giat membuktikan kehebatan sains dan teknologi untuk menggerakkan benda dengan kuasa minda sahaja.
Sekumpulan saintis dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu sedang membuat penyelidikan untuk merekacipta kerusi pintar khas bagi membolehkan golongan orang kurang upaya (OKU) cacat anggota mengendalikan peralatan elektrik dengan menggunakan kuasa minda.
Ketua Penyelidik Bahagian Penyelidikan Sains Tingkahlaku dan Otak (BSBS) USM, Jahangir Kamaldin berkata kerusi pintar itu akan dilengkapi teknologi electrooculogram (EOG) yang boleh menghubungkan minda manusia dengan peralatan elektrik di rumah.
"Teknologi EOG sama berfungsi seperti alat kawalan otak akan dipasang pada peralatan elektrik di rumah seperti peti televisyen, pendingin hawa dan suis lampu yang akan dihubungkan kepada kerusi pintar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya kerusi pintar itu akan turut dilengkapkan dengan komputer tablet dan mempunyai aplikasi mesin urutan dan menurutnya penyelidikan kerusi pintar itu dijangka siap pada tahun 2013.
"Pengguna hanya perlu menggunakan kawalan minda untuk menggerakkan kursor di skrin komputer tablet untuk melakukan kegiatan harian seperti menaip, membuka suis lampu dan bergerak," katanya.
Jahangir berkata walaupun penggunaan kerusi pintar agak terhad, ia boleh mengurangkan kadar kebergantungan OKU kepada penjaga.
"Dengan adanya inovasi sebegini golongan OKU dapat melakukan kegiatan harian seperti membuka suis lampu, menggunakan komputer dengan kuasa minda mereka sendiri," katanya.
Bagi projek ini, USM bekerjasama dengan lima institusi pengajian tinggi (IPT) luar negara dan pihak industri termasuk Swiss Center for Affective Sciences, Universiti of Geneva, Switzerland dan Srarlab Barcelona.
[BERNAMA , Harian Metro]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih :)