Berita Terkini

Makan dan minum cara Rasulullah yang penuh hikmah

Cara Rasulullah s.a.w makan

- Rasulullah memulakan makan dengan menyebut 'bismillah ...'

Dari 'Aisyah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama Allah (yakni: 'Bismillah' ). Jika dia terlupa menyebut nama Allah pada awal (mula makan), maka sebutlah 'Bismillahi awwalahu wa akhirahu' (Dengan nama Allah yang memulai dan yang mengakhiri). " (Hadith Riwayat Abu Dawud dan atTirmidzi.)


Dari 'Amr bin Abu Salamah radhiallahu 'anhuma, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda kepadaku:  "Ucapkanlah Bismillah dan makanlah dengan tangan kananmu serta makanlah dari makanan yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Umayyah bin Makhsyi as-Shahabi r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. (pada suatu ketika) duduk di situ ada seorang lelaki yang makan lalu tidak mengucapkan Bismillah, sehingga makanannya tidak tertinggal melainkan sesuap saja. Setelah orang itu mengangkatkan sesuatu yang tertinggal tadi di mulutnya, tiba-tiba dia mengucapkan: Bismillahi awwalahu wa akhirahu." Kemudian Nabi s.a.w. ketawa lalu bersabda: "Tidak henti-hentinya syaitan tadi makan bersama orang itu. Tetapi setelah dia ingat untuk mengucapkan nama Allah (yakni setelah membaca Bismillah), maka syaitan tadi memuntahkan seluruh makanan yang telah ada dalam perutnya. (Riwayat Abu Dawud dan nasa'i)


Dari Aisyah radhiallahu'anha, katanya: "Rasulullah s.a.w. (pada suatu ketika) hendak makan sesuatu makanan bersama enam orang sahabat-sahabatnya. Lalu datanglah seorang A'rab (penghuni pedalaman negeri Arab), kemudian makan makanan itu dalam dua kali suap saja. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda: "Sesungguhnya saja andaikata orang ini suka membaca Bismillah (sebelum makannya tadi) nescaya makanan itu dapat mencukupi engkau semua pula (kerana adanya keberkahan dalam makanan itu)."  (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).


Membaca Basmalah sebelum makan insyaAllah boleh mengelakkan penyakit. Kerana bakteria dan racun ada membuat perjanjian dengan Allah s.w.t, apabila Basmalah dibaca maka bakteria dan racun akan musnah dari sumber makanan itu.


- Baca doa sebelum makan

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْمَا رَزَقْتَنَا وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya : "Ya Allah berkatilah kami pada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka."


- Gunakan tangan kanan (tangan kiri dilarang)

Dari Salamah bin al-Akwa' r.a., seorang lelaki sedang makan dengan tangan kirinya berhampiran dengan Rasulullah s.a.w. Maka Baginda berkata: "Makanlah dengan tangan kananmu". Lelaki itu berkata: "Aku tak boleh". Baginda menjawab, "Engkau tidak boleh!? Tidaklah yang menghalangnya kecuali sifat bongkak!! Kemudian tidak dapat diangkat tangannya ke mulut." (Hadith Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya." (Hadith Riwayat Muslim)


- Makan garam secubit sebelum makan

Mengikut cara Rasulullah s.a.w, sebelum baginda makan, baginda s.a.w akan mengambil sedikit garam menggunakan jari kecilnya, lalu Rasullah s.a.w akan menghisap garam itu.

Kemudian barulah Rasulullah makan makanan tersebut. Mengapa?

Kerana kedua belah tangan kita ada mengeluarkan 3 macam enzim, tetapi konsentrasi di tangan kanan kurang sedikit dari yang kiri. Ini adalah kerana enzim yg ada di tangan kanan itu merupakan enzim yang dapat menolong proses penghadaman (digestion), ia merupakan proses pertama penghadaman.

Mengapa menghisap garam?

Kerana garam adalah sumber mineral dari tanah yg diperlukan oleh badan kita. Dua cecah garam dari jari kita itu adalah sama dengan satu liter air mineral. Kita berasal dari tanah maka lumrahnya bahan yang asal dari bumi (tanah) inilah yg paling berkhasiat untuk kita.

Kenapa garam? Selain dari sebab ia adalah sumber mineral, garam juga adalah penawar yang paling mujarab bagi keracunan. Mengikut Dr, di hospital-hospital, kaedah rawatan mula-mula bagi keracunan adalah dengan memberi Sodium Chloride, iaitu GARAM. Garam juga dapat menghalang sihir dan makhluk-makhluk halus yang ingin mengganggu manusia.


- Mula makan dari tepi (pinggir)

Dari Ibn Abbas r.a., Nabi s.a.w. bersabda: "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah" (Hadith Riwayat Abu Dawud dan Tirmidzi)


- Makan yang berhampiran.

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Dan makanlah dari apa-apa yang ada di dekatmu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Umar bin Abi Salamah r.a. berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w., dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serata hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: "Wahai budak, ucapkan 'Bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


- Galakan guna tiga jari.

Dari Ka'ab bin Malik r.a., "Aku melihat Rasulullah s.a.w. makan menggunakan tiga jari..(ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)" (Hadith Riwayat Muslim)


- Larangan mencela makanan dan sunat memuji makanan

Dari Abu Hurairah r.a. berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. meminta lauk pauk kepada keluarganya, lalu mereka berkata: "Tidak ada yang kita punyai melainkan cuka. Beliau s.a.w. lalu memintanya dan mulailah beliau makan serta bersabda: "Sebaik-baik lauk pauk ialah cuka, sebaik-baik Iauk pauk ialah cuka." (Riwayat Muslim)


- Makruh bersandar ketika makan

Dari Abu Juhaifah iaitu Wahab bin Abdullah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Aku tidak pernah makan sambil bersandar (muttaki')." (Hadith Riwayat Bukhari)

Al-Khaththabi berkata: Almuttaki' di sini ialah orang yang duduk sambil bersandar pada alas sandaran yang diletakkan di bawahnya." Katanya: "Orang itu bukannya berkehendak akan duduk di atas alas sandaran atau bantal-bantal seperti kelakuan orang yang menghendaki untuk memperbanyakkan makanan, tetapi dia duduk tegak lurus dan tidak bersandar, juga makannya itu secukupnya belaka. Inilah yang diucapkan oleh al-Khaththabi.

Selain al-Khaththabi mengisyaratkan bahawasanya muttaki' ialah orang yang miring duduknya pada lambungnya yang sebelah. Wallahu a'lam.

Dari Anas r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan kurma sambil duduk berjongkok." (Hadith Riwayat Muslim)

Almuq'i atau duduk berjongkok itu ialah merapatkan kedua punggungnya ke bumi dan mendirikan kedua betisnya.

Maka kandungan dari hadith larangan makan sambil bersandar di atas, adalah sunnah makan sedikit dan tidak melampaui batas yang diperlukan, tawadhu' ketika makan dan tidak boleh menyerupai orang kafir, serta dilarang makan sambil bersandar.

Dari Anas r.a dia berkata, "Aku pernah menyaksikan Rasulullah s.a.w duduk bertinggung sambil makan kurma." (Hadith Riwayat Muslim)

Maka diperbolehkan makan sambil duduk bertinggung.


- Kutip makanan yang terjatuh.

Dari Jabir r.a., Sabda Rasulullah s.a.w., "Apabila jatuh sebahagian (kecil) makanan seorang dari kamu, ambil dan buang bahagian yang terkena kotoran dan makanlah ia, dan jangan tinggalkan ia untuk syaitan, dan jangan dia menyapu tangannya dengan kain sehingga dia menjilat jarinya dahulu kerana dia tidak mengetahui pada makanannya, bahagian mana yang terdapat keberkatan" (Hadith Riwayat Muslim)


- Jilat jari setelah selesai

Dari Ibn Abbas r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila seorang daripada kamu telah selesai makan makanan, maka jangan disapu jari-jari sehingga dijilat (terlebih dahulu) atau menyuruh orang lain melakukannya" (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dari Ka'ab bin Malik r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. makan dengan menggunakan tiga jari. Kemudian setelah beliau selesai lalu menjilatinya." (Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. menyuruh untuk menjilati jari-jari dan piring dan beliau bersabda: "Sesungguhnya engkau semua tidak mengetahui di makanan yang manakah terletaknya keberkahan itu." (Riwayat Muslim)


- Doa selepas makan

Dari Abi Umamah r.a., "Adalah Nabi s.a.w. apabila selesai makan menyebut, 'Alhamdulillahi katsiran toyyiban mubarakan fih, ghaira makfiyyin wa la muwaddi'in'. wa la mustaghnan 'anhu rabbana' " (Hadith Riwayat Bukhari)

الْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا طَيِّبًا مُبَارَكًا فِيهِ غَيْرَ مَكْفِيٍّ وَلاَ مُوَدَّعٍ وَلاَ مُسْتَغْنًى عَنْهُ رَبَّنَا

Maksudnya : "Sebanyak-banyak pujian bagi Allah pujian yang elok lagi berkat, tiada yang lebih baik, tempat berserah yang paling baik, yang paling kaya daripadaNya iaitu Tuhan kami."

Dari Muad bin Anas r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesiapa yang selesai makan, kemudian menyebut, 'Alhamdulillah- illazi ath'amani haaza, wa razaqanihi min ghairi haulin minni wa la quwwatin', akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadith Riwayat Tirmidzi)

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَطْعَمَنِي هَذَا الطَّعَامَ وَرَزَقَنِيهِ مِنْ غَيْرِ حَوْلٍ مِنِّي وَلاَ قُوَّةٍ

Maksudnya : "Segala puji bagi Allah yang memberiku makan makanan ini dan memberi rezeki daripadanya tanpa daya dan upaya dariku."

Juga boleh baca doa berikut

اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْ أَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ

Maksudnya : "Segala puji bagi Allah Yang telah memberi makanan dan minuman kepada kami, dan telah menjadikan kami tergolong dalam orang-orang Muslim."


- Meramaikan orang untuk makan bersama

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Makanan untuk dua orang itu dapat mencukupi tiga orang sedang makanan untuk tiga orang itu dapat mencukupi empat orang." (Muttafaq 'alaih)

Dari Jabir r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Makanan untuk seorang itu dapat mencukupi dua orang dan makanan dua orang itu dapat mencukupi empat orang, sedang makanan empat orang itu dapat mencukupi lapan orang." (Riwayat Muslim)


- Galakan bercakap

Dalam al-Adzkar, Imam Nawawi mengatakan, “Dianjurkan berbicara ketika makan. Berkenaan dengan ini terdapat sebuah hadits yang dibawakan oleh Jabir r.a. sebagaimana yang telah kami kemukakan dalam “Bab memuji makanan”. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam kitab al-Ihya mengatakan bahawa termasuk etika makan ialah membicarakan hal-hal yang baik sambil makan, membicarakan kisah orang-orang yang shalih dalam makanan.” (al-Adzkar hal 602, edisi terjemah cet. Sinar baru Algen Sindo)

Menurut al-Hafidz dan Syeikhul Islam Ibn al-Qayyim rh, pendapat yang benar ialah Nabi s.a.w bercakap dan berbual semasa makan. Dalam kitabnya alZaad (2/397), ada kalanya Nabi bertanya apakah menu pada hari ini dan memuji menu tersebut (Hadith Riwayat Muslim: 2052), ada kala Nabi s.a.w mengajar adab dan susila makan kepada kaum keluarganya (Hadith Riwayat alBukhari: 5061) dan ada ketika Nabi sentiasa menggalakkan tetamu beliau supaya menambah lauk-pauk dan minuman (Hadith Riwayat alBukhari 6087). Adalah tidak benar meja makan menjadi tempat yang kaku dan senyap sepi dari perbualan.

Tetapi, jangan sampai bercakap itu apabila makanan penuh di dalam mulut.




Cara Rasulullah minum

- Tidak bernafas ketika minum

Dari Anas r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. itu bernafas ketika minum sebanyak tiga kali." (Muttafaq 'alaih). Yakni bernafas di luar gelas atau cawan.

Dari Abu Qatadah r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melarang jikalau ditarik nafas dalam wadah." (Muttafaq 'alaih). Yakni ditariknya nafas dalam gelas atau cawan yang digunakan oleh seseorang itu minum.


- Makruh meniup ke dalam minuman

Dari Abu Said al-Khudri r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. melarang meniup dalam minuman. Ada seorang lelaki berkata: "Ada kotoran yang saya lihat di dalam wadah itu." Beliau s.a.w. bersabda: "Tuangkan saja (minuman yang ada kotoran itu)." Orang itu berkata lagi: "Sesungguhnya saya ini belum merasa puas minum dari sekali nafas." Beliau s.a.w. lalu bersabda: "Kalau begitu singkirkanlah dulu wadahnya itu dari mulutmu - dan bernafaslah di luar wadah." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan sahih , juga diriwayatkan oleh Ahmad.)

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma bahawasanya Nabi s.a.w. melarang bernafas di dalam wadah atau meniup ke dalamnya." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih, juga diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majjah.)

Janganlah kita minum berdiri walaupun ia makruh tetapi ia makruh yang menghampiri kepada haram. Jangan kita minum dari bekas yg besar dan jangan bernafas sedang kita minum. Kerana apabila kita minum dari bekas yg besar, lumrahnya kita akan meneguk air dan dalam proses minum itu, kita tentu akan bernafas dan menghembuskan nafas dari hidung kita. Kerana apabila kita hembus, kita akan mengeluarkan CO2 iaitu carbon dioxide, yang apabila bercampur dgn air H20, akan menjadi H2CO3, iaitu sama dengan cuka, menyebabkan minuman itu menjadi acidic.

Jangan meniup air yg panas, sebabnya sama diatas.  Cara minum, seteguk bernafas, seteguk bernafas sehingga habis.


- Larangan minum dari mulut bekas air atau kendi

Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. melarang memecahkan mulutnya tempat-tempat minum." Yakni memecahkan mulutnya lalu minum daripada tempat itu." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Hurairah r.a katanya, "Rasulullah s.a.w melarang minum dari mulut bekas air atau kendi." (Muttafaq 'alaih)

Larangan memecahkan mulut bekas air dan minum darinya kerana dikhuatirkan air atau kendinya berubah menjadi berbau (kesan dari mulut orang), sehingga orang lain enggan menggunakannya dan air menjadi membazir.

Juga untuk menjaga keselamatan Muslim lain kerana mungkin pada kendi itu terdapat kuman-kuman (yang melekat dari mulut orang yang minum tadi), yang boleh membahayakan, Dan juga mengelakkan dari orang yang meminumnya terlebih minum dari yang diperlukan.


- Afdhal minum sambil duduk

Dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, katanya: "Saya memberikan minuman kepada Nabi s.a.w. dari air zamzam, beliau minum sambil berdiri." (Muttafaq 'alaih)

Diperbolehkan minum sambil berdiri kerana keadaan darurat, seperti di tempat yang penuh orang hingga bersesak.

Dari 'Amr bin Syu'aib dari ayahnya dari neneknya lelaki r.a., katanya: "Saya melihat Rasulullah s.a.w. minum sambil berdiri dan duduk." (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).

Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w. bahawasanya beliau s.a.w. melarang kalau seseorang itu minum sambil berdiri. Qatadah berkata: "Lalu kita bertanya kepada Anas: "Kalau makan, bagaimanakah?" Anas menjawab: "Yang sedemikian itu - yakni yang makan sambil berdiri - adalah lebih buruk." (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan bahwa Nabi s.a.w. melarang minum sambil berdiri.

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Rasuiullah s.a.w. bersabda: "Janganlah sekali-kali seseorang dari engkau semua itu minum sambil berdiri, maka barangsiapa yang lupa, maka hendaklah memuntahkannya." (Riwayat Muslim)


- Orang yang memberi minum orang ramai, sunat minum terakhir sekali

Dari Abu Qatadah r.a. dari Nabi s.a.w., sabdanya: "Orang yang memberi minum pada kaum (yakni orang ramai), maka itulah yang terakhir di antara mereka itu," yakni yang terakhir tentang minumnya. (Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan dia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih).

Di antara tatacara orang yang membahagi minuman atau susu pada orang ramai, atau yang membahagikan makanan, buah-buahan dan seumpamanya kepada jama'ah, mendapat giliran terakhir untuk mendapat habuan mereka sendiri.

Maka barangsiapa yang diberi tugas mengurus umat, maka dia harus berusaha melakukan hal-hal yang bermanfaat bagi mereka, mencegah hal-hal yang dapat menyakiti mereka, serta mendahulukan kepentingan mereka atas kepentingan peribadi.

Penjelasan mengenai hakikat pengutamaan, kerana dalam keadaan seperti itu jiwa benar-benar ingin dan menyukai, sehingga mendahulukan orang lain dari diri sendiri.  Dan seterusnya melatih diri untuk bersabar dan tawadhu'.  Wallahu a'lam.



Rujukan:

1 - Teks Ringkasan Khutbah Jumaat dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Bandaraya Shah Alam, Selangor oleh Ustaz Haji Ahmad Mustafa bin Sidin Al-Hafiz.

2 - Syarah Riyadhus Shalihin - Syeikh Salim bin 'Ied Al-Hilali

2 ulasan:

  1. Soalan: Apakah benar dakwaan sunnah menguyah sebanyak 40 kali sebelum menelan?

    Jawapan :

    sila baca jawapan selengkapnya di sini:
    http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2237-irsyad-al-hadith-siri-ke-240-kunyah-40-kali-dan-menjilat-jari-selepas-makan

    BalasPadam
    Balasan
    1. Terima kasih banyak tentang peringatan ini. Saya akan buang tentang kunyah 40 kali itu.

      Jazaakallahu khair :-)

      Padam

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.