Rabu, 24 Ogos 2011

Berlaku adil lah sekalipun pada non Muslim


3d landscape wallpaper
1. Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Allah s.w.t. Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Mencipta sekelian alam. Antara sifat penting yang menjadi prinsip Islam ialah berlaku adil. Bukan sahaja adil semasa aman bahkan adil sewaktu perang. Bukan sahaja adil sesama penganut ajaran Islam tetapi adil juga kepada non muslim.

يَا أَيُّهَآ ٱلَّذِينَ آمَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ للَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلْقِسْطِ وَلاَ يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىۤ أَلاَّ تَعْدِلُواْ ٱعْدِلُواْ هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

Maksudnya:

Wahai orang–orang yang beriman, Jadilah kamu orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali–kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adil lah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kau kerjakan.

Surah al Maaidah: 8

2. Adil ertinya berpaksi kepada kebenaran. Menegakkan keadilan ertinya menegakkan kebenaran. Sementara musuh kebenaran ialah pendustaan dan ia adalah satu kezaliman yang ditentang oleh syara’.

3. Sungguh pun Islam tidak pernah mengiktiraf tuhan–tuhan yang disembah selain Allah s.w.t. oleh non muslim, namun Islam mempunyai sikap yang tegas dan jelas agar ummatnya tidak menghina dan mencerca tuhan yang mereka sembah.

Firman Allah swt:

و لا تَسُبُّوا الذينَ يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِ اللهِ فَيَسُبُّوا اللهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ

Dan janganlah kamu cerca apa yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.

Asy Syaukani rhm berkata di dalam tafsirnya “ Fathul Qadir jilid 2 muka surat 149” bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa penyeru [pendakwah] kepada kebenaran dan pencegah kebathilan, apabila bimbangkan perbuatan menghina agama lain menyebabkan tindakan yang melampau sebagai balasannya maka hendaklah dia meninggalkan penghinaan itu bahkan wajib.

Prof. Wahbah az Zuhaili menjelas di dalam tafsirnya “al Munir jilid 7 muka surat 327” bahawa hukum ayat ini kekal iaitu larangan menghina segala kebesaran agama mereka seperti salib, sembahan mereka, tempat ibadat mereka dan jangan terdedah melakukan perbuatan tersebut kerana ianya seolah – olah menggalakkan maksiat iaitu penghinaan kepada Allah dan RasulNya s.a.w.

4. Jika mencerca tuhan yang mereka sembah selain Allah s.w.t pun dilarang oleh Islam sedang  ia adalah perbuatan syirik dan kufur, kerana Islam mengambil maslahah agar Allah Tuhan yang Maha Suci dari segala sifat kekurangan tidak dicerca balas oleh mereka, maka demikianlah juga dalam perkara – perkara lain seperti mengatakan ugama mereka adalah ugama yang jahat, melakukan keganasan, melakukan perbuatan yang meruntuhkan moral dan sebagainya.

5. Saya dan kita semua yakin bahawa agama mereka salah menurut pandangan Islam. Tetapi kita tidak boleh memaksa mereka mengikut agama kita justeru Islam hanya boleh diterima dan dianut dengan penuh kesedaran dan keinsafan tanpa sebarang paksaan. Sebab itulah, apabila seseorang menganut ajaran Islam, tiada lagi jalan keluar untuk mereka melainkan mereka terpaksa berdepan dengan undang – undang murtad kerana ia adalah satu penghinaan kepada ajaran Islam.

6. Membuat tuduhan apa jua bentuknya dan kepada siapa pun tuduhan tersebut, Islam mengajar kita mengemukakan bukti yang jelas. Inilah keindahan dan keadilan Islam. Ketika mengemukakan sokongan terbuka kepada JAIS dalam isu pemeriksaan yang dibuat oleh JAIS ke atas gereja baru – baru ini, saya telah gariskan 3 sikap yang jelas.

a ] saya dan rakan – rakan pemuda PAS tegas akan terus berjuang mempertahankan Aqidah ummah. Justeru itu, kami setuju dan sokong tindakan JAIS atas sifat ia adalah pihak berkuasa agama yang bertanggungjawab langsung menjaga aqidah ummat Islam. Sebaik menerima maklumat yang diyakini, JAIS mesti bertindak memeriksa atau menyiasat [bukan menyerbu], malah jika benar maklumat yang diterima, maka JAIS berkewajipan :

i.                     membuat dakwaan kepada pihak yang melakukan kesalahan memurtadkan ummat Islam dan

ii.                   menahan ummat Islam yang dimurtadkan atau yang cuba dimurtadkan untuk proses istitab [meminta mereka bertaubat dan kembali semula kepada Islam]

b ] ummat Islam amnya dan pihak berkuasa agama khasnya, mesti memelihara hak non muslim sebagaimana yang diajar oleh syariat Islam dan tidak sekali – kali kita dibenarkan mencabulnya, seperti menceroboh dan meruntuhkan rumah ibadat mereka. Lebih – lebih lagi mencabul dan meruntuhkan rumah ibadat ummat Islam [masjid \ surau] itu sendiri.

c  ]  sebagai seorang muslim pula memimpin sayap pergerakan Pemuda Islam seperti PAS di Malaysia, saya tegas mengingatkan semua pihak [sama ada non muslim atau muslim] agar sekali – kali tidak melakukan perkara yang merosakkan aqidah, pemikiran dan akhlak ummat Islam kerana ia merosak dan meruntuhkan peradaban ummat Islam.

7. Ertinya kita mempunyai sikap yang jelas dan tegas bahawa kita wajib mempertahankan aqidah ummah dalam apa jua keadaan, sekalipun darah dan nyawa ini menjadi taruhan. Namun dalam masa yang sama kita mesti berlaku adil terhadap pihak lain termasuk non muslim. Kita hanya memerangi mereka yang memerangi Islam seperti golongan yang cuba untuk merosakkan aqidah ummat Islam dan memalingkan mereka dari agama Islam.

8. Sungguhpun begitu, sebelum kita membuat sebarang tuduhan atau dakwaan kepada mana – mana pihak di atas apa jua bentuk tuduhan, bukti atau baiyyinah adalah diperlukan. Inilah kebenaran yang diperjuangkan oleh Islam. Malah disinilah terletaknya keadilan Islam.

9. Kita juga tidak boleh menghukum tindakan individu atau satu – satu golongan ke atas umum. Sebagaimana kita tidak boleh menghukum bahawa Islam agama yang ganas semata – mata segelintir ummat Islam merancang dan melakukannya. Kita tidak boleh menghukum Islam agama yang menggalakkan penzinaan sekalipun statistik menunjukkan ramai ummat Islam di dalam negara kita terjebak dalam seks bebas dan buang bayi. Jika kita tidak boleh mengambil kaedah sedemikian ke atas agama kita, maka kaedah itu juga tidak boleh kita gunakan secara rawak atau rambang ke atas agama lain.

10. Isunya di sini ialah kita mesti berlaku adil dalam tindakan. Jika ada tuduhan atau dakwaan, mestilah ada bukti yang jelas, bukan tuduhan yang hanya berasaskan rasa marah, benci dan emosi. Apabila jelas bukti maka hendaklah pihak berkenaan membuat dakwaan rasmi agar kemungkaran dan kemaksiatan dapat dibasmi.

[Oleh: Nasrudin bin Hassan  -  Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.