Berita Terkini

Ibrahim Ali minta kaum Cina jauhi Bersih 2.0, dan memang dah terlalu MELAMPAU!

Ibrahim Ali
Saya memang bukan seorang yang suka bercakap mengenai peribadi orang lain, walaupun dalam bab politik. Tapi saya sebagai orang Islam Melayu, rakyat negara Malaysia, merasakan bahawa makhluk Allah yang bernama Ibrahim Ali ni sudah betul-betul MELAMPAU!

Sebelum ini sudah banyak saya bersabar mendengar ceramah-ceramah dan kenyataan-kenyataan yang dibuat olehnya. Sudah banyak mana dia telah mengutuk dan menghina Tok Guru Nik Abdul Aziz dan pemimpin-pemipin PAS lain.

Dan baru-baru ini dalam ceramahnya, dia kata mahu melakukan 'JIHAD' terhadap umat Kristian di Malaysia jika meneruskan cita-cita untuk melantik orang beragama Kristian menjadi Perdana Menteri Malaysia di masa akan datang. Sedangkan umat Kristian itu TIDAK berkata demikian pun.

Yang terbaru ini dia arahkan PERKASA bakar pula gambar Ambiga, itu tidak mengapa lagi, tetapi dia beri amaran pada kaum CINA agar tidak keluar pada perhimpunan BERSIH 2.0 nanti. Dengan kata-katanya seperti “apa sahaja boleh berlaku.”  Wah, manyak cantik!

Betul-betul mahu cari penyakit dan TIDAK BELAJAR dari sejarah si Ibrahim Ali ni. Kalau begini lah cara dia , tidak mustahil Peristiwa 13 Mei akan berulang. Semuanya kerana angkara si Ibrahim Ali ni.  Kamu ni Ibrahim Ali,  "Apa pun tak boleh!  Apa pun tak boleh!" Kata Yus Raja Lawak.

Wahai Ibrahim Ali, adakah kerana kamu tidak dapat jadi Perdana Menteri dan tidak berpeluang jadi Menteri maka kamu menjadi gila melaga-lagakan rakyat Malaysia sekarang? Orang lain berpolitik dan berselisih pendapat juga, tetapi tidak bermulut celupar dan terlalu menggunakan bahasa kesat dan boleh menyebabkan RUSUHAN KAUM seperti kamu ini.

Semoga Ibrahim Ali sedar dengan perbuatannya yang semakin mengacau-bilau keselamatan negara. Semoga beliau diberi hidayah, kerana dah tua gayut pun masih tidak sedar diri. Kubur kata mari doh wahai Ibrahim Ali wei! Sedar-sedar lah sikit!

Kuat berlakon mung ni Ibrahim Ali, kononnya nak berjuang atas nama Islam lah apa lah. Kalau nak berjuang atas nama Islam, berjuang lah untuk MELAKSANAKAN UNDANG-UNDANG ISLAM dulu! Martabatkan AlQuran dan AlHadith dulu dan guna semua hukum-hukum di dalamnya. Bukan dengan melaungkan JIHAD tetapi bila disuruh LAKSANAKAN HUKUM ALLAH kamu berpaling!  Mana IMAN kamu pada AlQuran?

PERKASA turut menyebarkan kenyataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.  Saya nak tanya Ibrahim Ali, apa yang bahayanya? Dia bawa senjata M16 ke, Styre ke, atau mortar?

Islam datang dengan HUJJAH, bukan dengan cara menyerang orang lain dengan melulu. Jika anda merasakan Ambiga mungkin akan membahayakan Aqidah orang Islam, maka cuba lah DAKWAH dia!  Ajak dia berunding dan berdebat, dan terangkan tentang kemurnian dan keindahan Islam yang sebenar, bagi dia faham.

Atau saudara Ibrahim Ali tak reti nak bercakap tentang Islam, tetapi hanya pandai ajak orang BERPERANG saja?

KUALA LUMPUR, 19 Jun  -  Perkasa bersama 164 badan bukan kerajaan (NGO) hari ini melancarkan “perang” terhadap Himpunan Bersih 2.0 dengan membakar gambar Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreenevasan dan memberi amaran kepada kaum Cina agar jangan keluar pada 9 Julai ini kerana “apa sahaja boleh berlaku.”

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menegaskan perhimpunan anti-Bersih 2.0 yang bakal diadakan serentak akan diteruskan dan beliau tidak akan bertanggungjawab atas sebarang insiden tidak diingini.

“Cuba bayangkan jika berlaku huru-hara... jika himpunan Bersih 2.0 tidak dibatalkan, saya percaya kaum Cina perlu simpan bekalan makanan.

“Ya, apa sahaja boleh berlaku. Dan saya minta agar polis mengambil apa sahaja tindakan dan gunakan kuasa mereka untuk bertindak,” katanya pada pelancaran perhimpunan Gerak Aman di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

PAS telah berjanji akan menggerakkan 300,000 peserta untuk menyokong perhimpunan itu untuk mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya adil dan bebas pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Dalam ucapan di hadapan penyokongnya termasuk kalangan Cina dan India, Ibrahim berkata Himpunan Bersih 2.0 diadakan kerana gerakan itu mempunyai agenda untuk menumbangkan kerajaan sedia ada dengan mengambil inspirasi daripada apa yang berlaku di Timur Tengah.

“Kita tahu tujuan mereka turun ke jalanan, kumpulan ini mahu menimbulkan huru-hara dalam negara, kalau dulu peristiwa 13 Mei (1969) negara diisytiharkan darurat dan Tun Abdul Razak (Hussein) dilantik sebagai ketua negara sementara dan jika ia berlaku nanti adakah perkara sama akan berlaku?

“Sebab itu kita tidak boleh berdiam diri, kita tahu orang Cina mengutamakan perniagaan... kita tidak mahu himpunan 9 Julai yang mereka buat ini menunjukkan mereka dapat restu daripada rakyat, kita bertegas dalam perkara ini dan kita bukan mahu melakukan provokasi,” katanya.

Malah dalam ucapan pelancaran, Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa Ambiga sebagai ejen Yahudi.

“Kita tentang Ambiga bukan sebab dia India tapi sebab dia jahat, Melayu jahat pun ada... Melayu yang jahat juga kita marah.

“Siapa Ambiga? Saya percaya dia adalah ejen Yahudi... siapa dia puan guru Ambiga ini,” katanya.

Selain mengecam penganjuran himpunan Bersih 2.0, turut diedarkan risalah yang berbentuk serangan peribadi terhadap Ambiga dengan perkataan “Awas!!! Ambiga, wanita Hindu yang merbahaya.

“Kita sedang berhadapan dengan seorang wanita Hindu bernama Datuk Ambiga Sreevanesan (cehh... anti Islam ini pun boleh dapat Datuk) yang sangat anti kepada Melayu dan Islam yang akan mengetuai perhimpunan Bersih yang kotor sebenarnya.

“Wanita Hindu ini adalah pembela kepada kes Lina Joy yang ingin murtad. Beliau selalu membabitkan diri dalam isu-isu murtad kalangan orang Islam, malah beliau semasa menjadi presiden Majlis Peguam sangat agresif menyerang kerajaan BN (Barisan Nasional) kerana diterajui oleh orang Melayu,” kata risalah itu.

Kata Ibrahim, pihaknya akan menggerakkan 20 bas dari setiap negeri pada 9 Julai ini untuk membantah Himpunan Bersih 2.0.

“Percayalah hanya segelintir orang Cina dan India akan sertai Himpunan Bersih 2.0 itu nanti, yang ramai ialah orang-orang Melayu... agenda himpunan ini bukan hendak menuntut satu pilihan raya yang bersih tapi agenda utama untuk menghuru-harakan negara seperti mana yang berlaku di Mesir, Tunisia, Libya dan beberapa negara lain.

“Mereka kata pilihan raya tidak adil tapi pada 2008 mereka tawan empat negeri, menang 82 kerusi Parlimen, kalau mereka kata ini tidak adil saya cabar mereka letak jawatan masing-masing dan kita adakan semula pilihan raya,” katanya.

Selain Perkasa dan Bersih, Pemuda Umno turut akan mengadakan perhimpunan pada hari tersebut.

Tegas Ibrahim, himpunan anti-Bersih tidak akan bergabung dengan Pemuda Umno sambil berkata “tidak mahu digelar sebagai himpunan parti politik.”

“Kita tidak akan bergabung dengan Pemuda Umno, kita ini adalah NGO bukan parti politik dan kita mahu bergerak atas tiket NGO.

“Ini keputusan kita, kita hanya bergerak atas NGO bukan parti politik,” katanya sambil menambah tindakan Bersih turun ke jalanan bukan kebebasan bersuara yang sebenar.

Turut hadir dalam pelancaran itu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baru Datuk Zulkefli Noordin dan bekas timbalan menteri penerangan Datuk Khalid Yunus.

Ditanya soal permit, Ibrahim menegaskan jika Himpunan Bersih 2.0 diadakan tanpa permit, maka pihaknya juga akan berhimpun tanpa permit.

“Jika Bersih tidak memohon permit kita juga akan lakukan perkara sama, kalau Bersih mempunyai permit kita juga akan mohon permit,” katanya.


Anwar Ibrahim akan minta Bersih batal himpunan jika Najib jamin pilihan raya adil

Konvensyen PKR - Anwar Ibrahim
Sementara itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan meminta Himpunan Bersih 2.0 bulan depan dibatalkan jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat memberi jaminan pilihan raya umum yang bersih dan adil.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, pihaknya menyokong usaha Ambiga kerana beliau mahu memperjuangkan satu sistem pilihan raya yang adil dan bersih.

Sambil menegaskan bahawa beliau yakin boleh mencapai kemenangan jika pilihan raya yang adil dilangsungkan, Anwar berkata, “cuba adakan pilihan raya yang bebas, saya yakin kita boleh lakukan.”

“Bagi saya SPR telah melakukan jenayah melanggar Perlembagaan Persekutuan,” kata beliau yang turut merujuk kepada dakwaan timbalan presiden PKR Azmin Ali bahawa masih wujud pengundi hantu dalam daftar induk pemilih 2010 yang diwartakan bulan lalu.

Azmin mendakwa masih ada 11 pemilih termasuk lima pemilih kalangan Cina yang didaftarkan menggunakan alamat rumah ibunya di Kampung Kelang Gate dalam bahagian Parlimen Gombak.

[Malaysian Insider]


Usahkan di tempat lain, di kampung-kampung berdekatan saya di sekitar Kuala Terengganu ini pun baru-baru ini telah dikesan ada banyak nama yang tidak wujud di kampung sini tetapi ada dalam senarai pengundi.

Bayangkan kalau dalam sebuah kampung ada berpuluh-puluh, dicampur-campur dalam kampung lain pula, macam mana BN tidak boleh menang?  Itu belum lagi dicampur dengan taktik-taktik lain lagi.

Hentikan lah TAKTIK KOTOR kerana memerintah negara bukan perkara MAIN-MAIN tetapi tanggungjawab yang akan disoal dalam KUBUR dan di AKHIRAT nanti. Ramai mana rakyat yang kamu akan JAWAB nanti wahai pemimpin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.