Berita Terkini

Ashraf Muslim bertunang sekaligus merasmikan Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah

Ashraf Muslim (30) atau sinonim juga dengan panggilan Ustaz Amirul kerana telah memegang watak sebagai Ustaz Amirul dalam sebuah drama TV yang berjudul Ustaz Amirul yang baru sahaja tamat baru-baru ini, baru sahaja bertunang dan merasmikan tempat kerja terbarunya iaitu Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah.

Majlis pertunangannya boleh tahan besar dan meriah, dah macam majlis kahwin pun. Dia bertunang dengan Noor Dayana Lokman (24) iaitu anak kepada mentornya sendiri, pengasas Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah iaitu Ustaz Lokman Abdul Hamid.

Majlis pertunangan itu dilakukan di rumah Dayana di Villa Bestari, Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor. 16 buah khemah siap dipasang di luar rumah tunangnya itu. Lebih dari 500 para jemputan yang hadir yang memberi tumpuan kepada Ashraf dan Dayana yang memakai busana yang direka khas oleh Ezuwan Ismail.  Pelamin yang indah pula ialah tajaan Azmi Osman dari Orked Bridal House.

Pihak perempuan menerima lima hantaran berupa buah-buahan, persalinan, kek, cincin dan siri junjung manakala tujuh hantaran untuk pihak lelaki iaitu kain songket, persalinan, set wangian, kek, coklat, sirih junjung dan cincin.

Ashraf yang pernah juga membintangi filem Aku Masih Dara menjelaskan tentang majlis itu diadakan besar-besaran kerana mereka turut melangsungkan majlis perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah di tempat dan hari yang sama. “Pada mulanya kami tidak merancang untuk melakukan majlis perasmian serentak dengan majlis pertunangan tetapi setelah memikirkan majlis ini turut melibatkan saudara-mara, jadi saya rasa tidak salah untuk dilakukan sekali,” kata Ashraf kepada mStar.

Ashraf amat tertarik dengan sahsiah dan kelembutan tutur bicara pelajar jurusan perubatan tahun keempat Universiti Mannipal, India itu, sehingga nekad melamar gadis itu sebagai teman hidupnya walaupun mereka tidak bercinta sepertimana orang lain.

Gadis manis itu sekarang sedang membuat latihan klinikal di Manipal-Melaka Campus di Air Keroh, Melaka.

Dayana memiliki ciri-ciri wanita idamannya bahkan lebih menyenangkan apabila mereka berkongsi minat yang sama dalam bidang perubatan meskipun berbeza pendekatan, serta pandai juga memasak.

“Saya kenal Dayana awal tahun lepas. Biarpun rapat dengan Ustaz Lokman, saya tidak pernah bertemu Dayana kerana dia menuntut di India. Pertama kali bertentang mata, saya sangat menyenangi keperibadiannya. Orangnya taat pada agama, merendah diri, tenang dan bijak menangani apa saja keadaan."

“Gaya dan turut bicaranya lembut persis arwah ibu saya. Kebetulan kami sama-sama cenderung dalam dunia perubatan, dia banyak membantu saya dalam memahami selok-belok perubatan sains dan moden.

“Lebih setahun mengenalinya, saya tak sedar bila mula jatuh hati dengannya. Saya nekad mahu melamarnya dan bulan Februari lalu hasrat itu saya suarakan kepadanya. Ketika itu dia terkejut, yelah kami tidak bercinta tiba-tiba saya ajak dia berkahwin.

“Dia minta beri masa untuknya berfikir dan apabila bersetuju, saya hantar rombongan merisik Mac lalu. Alhamdulillah, hasrat ini direstui keluarga kedua-dua belah pihak malah keluarga saya sangat menyukai Dayana.

“Saya tidak mahu bertunang lama kerana bimbang timbul fitnah. Maklumlah masa saya banyak dihabiskan di kediaman bakal mentua untuk merawat pesakit. Lagipun dalam tempoh bertunang kata orang banyak cabarannya, jadi ada baiknya dipercepatkan,” kata Ashraf.

Ashraf merupakan anak sulung daripada lapan adik-beradik. Antara ahli keluarganya yang hadir adalah bapanya dan ibu saudaranya, Fatimah Azil yang menyarungkan cincin pertunangan di jari manis Dayana. Ibu Ashraf telah meninggal dunia enam tahun lalu akibat kanser payu dara.

Ashraf dan Dayana merancang akan bernikah pada 30 Ogos (1 Syawal) tahun ini sempena Hari Raya Puasa di Mekah.

Beliau memilih Mekah kerana mengambil contoh amalan khalifah dan sahabat Nabi Muhammad S.a.w yang bernikah di sana.

“Dengan izin Allah, kami akan bernikah di Mekah pada 1 Syawal depan. Saya akan bertolak ke sana pada 17 Ogos ini untuk mengerjakan umrah sambil menjalani rawatan bersama-sama bakal bapa mertua saya, Lokman Abdul Hamid dan membawa rombongan umrah."

“Saya akan berada selama 18 hari di sana dan bakal isteri saya akan datang ke Mekah menjelang hari pernikahan kami. Selepas nikah, kami akan melakukan tawaf dan menziarahi Mekah sebelum pulang pada 2 September nanti,” kata Ashraf.




Majlis perasmian Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah

Selesai sahaja acara pertunangan yang disiarkan secara langsung menerusi program Nasi Lemak Kopi O di saluran TV9, berlangsung pula majlis pelancaran Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah yang beroperasi sepenuh masa sejak 5 Januari lalu.

Majlis perasmian itu agak unik kerana diselitkan gimik melepaskan 99 kupu-kupu sebagai simbolik 99 hari pusat rawatan Islam itu beroperasi dan penyerahan plak penghargaan kepada tetamu kehormat yang disampaikan oleh ibu dan ibu mentua pengasas Al-Hidayah.

Ashraf merasmikan majlis itu dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. 

Al-Hidayah amat bermakna sekali kepada Ashraf kerana dari situlah dia mendapat hidayah dan berlaku perubahan agak ketara dalam hidupnya. Dia sentiasa berdoa ke hadrat Ilahi agar hidayah yang diperolehi itu terus kekal dalam dirinya hingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah hidup saya kini lebih tenang. Dulu saya ada segala-galanya termasuklah duit dan harta benda tetapi jiwa saya kosong. Saya tercari-cari jawapan bagi setiap persoalan yang bermain di minda. Biarpun mampu hidup mewah, duit tidak pernah cukup ketika itu. Hujung bulan duit habis hingga saya tertanya-tanya ke mana duit itu pergi?

“Alhamdulillah, selepas mengerjakan umrah bersama Ustaz Lokman dua minggu terakhir Ramadan pada 2009, segala-galanya berubah. Mana yang tidak baik, saya tinggalkan dan bertaubat.

“Rezeki mula menampakkan perubahan malah tawaran berlakon semakin banyak tetapi terpaksa saya tolak kerana tahun ini saya mahu tumpukan sepenuh perhatian merawat pesakit di Al-Hidayah. Terus-terang saya suka dengan kerjaya ini dan ia menjadi keutamaan saya sekarang.

“Setakat ini hanya ada tiga perawat di Al-Hidayah dan saya bekerja tujuh hari seminggu. Hari Jumaat pula saya mempromosikan Al-Hidayah dalam rancangan Nasi Lemak Kopi O. Isnin hingga Khamis Al-Hidayah beroperasi dari jam 9 pagi hingga 5 petang manakala Sabtu dan Ahad pula kami akan bergilir-gilir ke lapan lagi cawangan Al-Hidayah di Pulau Pinang, Melaka, Terengganu, Kuching, Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Singapura. Insya-Allah, Al-Hidayah akan beroperasi di Brunei, Bangkok dan Jakarta tidak lama lagi,” katanya kepada Harian Metro.

“Saya tidak malu berkongsi pengalaman hidup dengan orang ramai. Niat saya mahu ubah mentaliti orang supaya mendekati, membaca, memahami dan mencintai Al-Quran. Bacalah kalam suci Allah walaupun sehelai sehari.

“Kami juga merancang beberapa perkara untuk melunaskan visi ini termasuklah perancangan jangka panjang iaitu menubuhkan sebuah hospital yang menggabungkan ayat Al-Quran sepenuhnya dan teknik rawatan moden. Sejak mula beroperasi, bukan satu perkara luar biasa jika ambulans tiba dengan pesakit dari hospital yang mahu mendapatkan rawatan di Al-Hidayah, jadi ia secara tidak langsung memberi keyakinan kepada kami untuk menubuhkan hospital Al-Hidayah. Mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi, Insya-Allah.

“Kami berusaha membuka minda para pemikir supaya menjadikan Al-Quran sebagai salah satu silibus dalam pengajian perubatan. Ia secara tidak langsung akan melahirkan seorang pengamal perubatan yang lengkap dari segi pengetahuan sains moden dan dalam masa yang sama menyebarkan ayat-ayat Al-Quran untuk diamalkan oleh pesakit.

“Selain itu, 20 peratus daripada setiap bayaran rawatan Al-Hidayah akan disalurkan ke rumah anak yatim Nur Zaharan dan sebuah lagi di Selayang. Dua pusat perlindungan itu didiami lebih 80 anak yatim dan merekalah VVIP kami. Kami ada tanah empat ekar dan akan menubuhkan rumah perlindungan untuk anak-anak yatim, warga emas serta pusat pemulihan akhlak. Itulah sebahagian perancangan yang dapat saya kongsi hari ini,” katanya yang menyifatkan kebolehan berubat yang dianugerahkan Allah SWT sebagai satu tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan.

Ashraf mula mempelajari cara mengubati pesakit menggunakan ayat-ayat al-Quran, mendidik dan memberikan kaunseling kepada pesakit sejak dua tahun lalu.

Pusat rawatan yang digelar sebagai klinik oleh Ashraf itu boleh merawat penyakit seperti semua jenis kanser, SLE, kanser otak, AIDS atau HIV, gangguan sihir, penyakit kanak-kanak, penyakit kesuburan, diebetes, darah tinggi dan masalah akhlak.

Klinik itu sudah beroperasi selama 11 tahun, tetapi perasmian ini hanyalah sempena pertukaran nama baru dan Ashraf mula menjadi rakan kongsinya.

Beralih perihal rutinnya sebagai anak seni, tidak dinafikan dia rindu beraksi di lokasi penggambaran namun tuntutan tanggungjawab di Al-Hidayah perlu diutamakan.

Jelasnya, tahun ini dia tidak akan terbabit dengan mana-mana produksi kerana jadualnya sebagai pengamal perubatan Islam sangat padat.

Bersesuaian penghijrahannya, Ashraf kini lebih selektif mengenai watak, skrip dan mesej cerita. Apa yang pasti karakter yang memerlukannya bersentuhan dengan wanita bukan muhrim tidak lagi ada kamus pilihannya.


“Biarlah apa orang mahu cakap, saya berpegang pada prinsip. Saya tidak kisah melakonkan watak suami atau kekasih tetapi dalam menunjukkan kasih sayang atau kemesraan tidak semestinya perlu bersentuhan. Ada banyak lagi cara lain apatah lagi teknologi peralatan penggambaran semakin canggih.


“Kalau boleh saya tidak mahu terikat dengan watak ustaz tapi apa boleh buat stesen TV yang mahu. Mereka pasti ada alasan kukuh dan akan terima ia sebagai satu penghargaan. Apa yang penting saya mahu berdakwah melalui watak dan mesej cerita,” kata anak jati Melaka ini.

Beliau juga ada menganjurkan pakej umrah di bawah Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah dengan kerjasama ZHB Holidays Sdn Bhd.




[Harian Metro , mStar, Selangorkini]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (48) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.