Islam tidak mengajar penganutnya menyerang orang agama lain terlebih dahulu. Perbuatan mereka-mereka yang bertindak melempar molotov cocktail / bom api ke dalam gereja di Desa Melawati, Kuala Lumpur itu adalah satu perbuatan yang tidak bermoral dan menyeleweng.
Ingatlah pesan rasulullah S.a.w yang bermaksud, “Wahai manusia! Jangan kamu bercita-cita bertembung dengan musuh, mintalah daripada Allah keselamatan. Namun jika kamu bertembung dengan mereka juga, kamu hendaklah sabar (tetap jangan berganjak)” HR Bukhari dan Muslim.
Perbuatan itu juga telah dikutuk dengan keras oleh Parti Islam Semalaysia, badan-badan politik dan pertubuhan lain serta pelbagai pihak.
Harakah Daily , 8 jan 2010 - PAS mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab pihak tertentu menyerang gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati, di sini awal pagi ini.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, tindakan pihak tertentu yang memilih cara yang ganas dengan melakukan tindakan yang ditegah oleh Islam menerusi serangan terhadap Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya adalah dikutuk dengan sekeras-kerasnya.
Perlulah diingat, bahawa Islam menerusi kefahaman dakwahnya adalah membawa konsep kebebasan beragama kepada orang yang belum menganut Islam, katanya.
Katanya, begitu banyak ayat dari Al Quran dan Hadith Rasulullah SAW yang melarang penganut Islam dari mengganggu penganut agama lain, paderi dan rumah ibadat mereka.
Bahkan, katanya, dalam setiap kali peperangan yang Nabi Muhammad SAW dan Khulafa Ar Raasyidin terlibat, para sahabat sangat berpegang teguh kepada pesanan Nabi Muhammad SAW untuk tidak membunuh paderi dan tidak merosakkan rumah ibadat mereka. Itu dalam suasana perang, apatah lagi dalam suasana aman seperti yang ada pada hari ini.
"Tindakan yang bercanggah dengan Islam ini, hanyalah dilakukan oleh orang yang tidak faham terhadap agama mereka sendiri. PAS akan terus melaksanakan dakwah dan politik Islam dengan berdasarkan kepada Al Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
"Ahli-ahli dan penyokong PAS di seluruh negara, serta rakyat keseluruhannya perlulah senantiasa diingatkan agar bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan provokatif pihak-pihak tertentu.
Dalam pada itu, Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, tindakan sedemikian tidak mencerminkan sikap Islam yang sebenar terhadap penganut agama lain yang dijamin hak dan kebebasan mereka.
Bahkan, katanya, Allah dengan tegas melarang umat Islam bertindak terhadap mana-mana rumah ibadat penganut agama lain sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran.
Tambahnya, Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan para sahabat yang menyertai peperangan supaya tidak membunuh mereka yang berlindung di rumah-rumah ibadat agama lain, sama sekali tidak bertindak membakarnya.
Begitu juga, katanya sewaktu pembukaan Mekah oleh tentera Islam yang dipimpin Rasulullah s.a.w. di mana penduduk yang berada di dalam rumah-rumah ibadat dijamin keselamatan mereka selain berlindung di rumah sendiri.
“PAS mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan menyerang gereja berkenaan,” tegasnya kepada Harakahdaily pagi ini.
Mereka Yang Bertanggungjawab Akan Dibawa Ke Muka Pengadilan - Najib
Bernama , 8 Jan 2010 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka yang bertanggung jawab dalam insiden cubaan membakar gereja, yang mengejutkan seluruh negara, akan dibawa ke muka pengadilan.
"Kejadian yang cuba memecah belah, dan lain-lain seperti ini, tidak mewakili Malaysia atau Islam. Mereka tidak mewakili keluarga kita, masyarakat kita, atau usaha yang sedang dilakukan ke arah mengukuhkan gagasan 1Malaysia," katanya dalam laman webnya 1Malaysia.
Sambil mengutuk insiden itu sekali lagi, Perdana Menteri berkata insiden keganasan yang digerakkan oleh perbezaan politik, sosial atau agama merupakan satu ancaman kepada kestabilan dan keharmonian negara.
"Siasatan ke atas perkara ini telahpun dilakukan dan mereka yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Rakyat Malaysia, katanya, terkejut dengan tindakan itu. Beliau telah mengarahkan polis untuk mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar tempat ibadat termasuk gereja bagi memastikan insiden keganasan tidak berulang lagi.
"Kita tidak boleh membiarkan kejadian itu berulang lagi pada mana-mana tempat ibadat," katanya.
Najib berkata Malaysia berasa bangga kerana menghormati semua agama dan menggalakkan keamanan dan menggunakan saluran yang sah bagi menyelesaikan perbezaan.
"Kita menggalakkan rakyat kita supaya bertanggungjawab dalam menyuarakan pendapat mereka tetapi keganasan tidak pernah diterima sebagai satu kaedah bagi meluahkan perasaan," katanya.
Perdana Menteri berkata Malaysia adalah sebuah negara pelbagai kaum dan agama dengan sejarah kewujudan bersama keamanan di antara orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain.
"Ramai rakyat Malaysia mengamalkan ajaran Kristian dan melakukannya secara bebas. Kami tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan yang membahayakan atau mengancam rakyat kita," katanya.
Agong Titah Semua Pihak Bertenang, Hormati Tempat Ibadah
Bernama , 8 Jan 2010 - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya saling menghormati tempat-tempat ibadah tanpa mengira kaum.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara, Seri Paduka amat berharap agar semangat perpaduan dan hormat menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara ini sentiasa dijaga.
Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengecam tindakan menyerang gereja
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata serangan keji sedemikian merupakan satu tindakan yang dikecam keras Al Quran.
Penasihat Parti Keadilan Rakyat itu menyeru semua pihak supaya bertenang dan jangan sesekali terjerumus ke dalam api kebencian.
"Sebarang tindakan tidak boleh sama sekali didasari politik perkauman sempit. Saya mempunyai keyakinan kita rakyat Malaysia akan menyelesaikan isu ini tanpa diiringi sebarang konflik," katanya dalam satu kenyataan.
Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.
Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan Selangor mengutuk tindakan pengecut itu yang boleh mengancam keharmonian negara.
Serangan ke atas mana-mana rumah ibadat adalah bertentangan dengan semua ajaran agama, katanya.
"Saling hormat menghormati dan tolak ansur merupakan kunci utama bagi memastikan keamanan dan kestabilan antara pelbagai kumpulan etnik dan agama di negara ini," katanya.
Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menyeru seluruh rakyat Malaysia yang berlainan agama bertenang kerana tiada kebaikan diperoleh daripada tindakan tidak rasional terhadap isu penggunaan kalimah Allah.
"Jika kita membiarkan sentimen diri menguasai, kemerdekaan yang dinikmati selama 53 tahun dan kemajuan yang dicapai akan musnah. Konsep 1Malaysia hanya akan menjadi sekadar mimpi," katanya.
Ongkili juga meminta penganut Kristian di Malaysia terus menunjukkan bahawa mereka menghargai keamanan dan toleransi manakala setiap orang mestilah sensitif dengan amalan agama masing-masing dan menghormati satu sama lain.
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) turut melahirkan rasa kesal dan meminta semua pihak supaya tidak menimbulkan spekulasi tidak berasas yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.
"PKPIM mengutuk sekerasnya golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh dengan mengambil kesempatan dalam kekecohan yang berlaku demi kepentingan peribadi mereka," katanya dalam satu kenyataan.
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berkata insiden itu satu perbuatan yang tidak boleh dimaafkan.
Pergerakan Puteri Umno mendesak siasatan terperinci dijalankan berhubung insiden serangan gereja berikutan kemungkinan ada pihak mengambil kesempatan untuk menimbulkan huru-hara di negara ini.
Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata tidak mustahil ada pihak yang mencemburui keharmonian kaum di negara ini dan mahu melemahkan perpaduan yang terjalin di kalangan rakyat.
Di Kota Kinabalu, Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk V.K Liew meminta semua pihak bertenang dan kerajaan tidak seharus teragak-agak untuk menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap mereka yang mengancam keamanan dan keselamatan.
Timbalan Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (UPKO) Datuk Wilfred Bumburing meminta polis meningkatkan kawalan keselematan dan memberi perlindungan mencukupi ke semua bangunan dan rumah ibadat Kristian.
"Apa yang berlaku dalam tempoh 24 jam lepas adalah satu detik hitam dalam sejarah Malaysia dan selepas ini Malaysia tidak sama lagi.
"Sebelum ini rakyat negara lain memandang Malaysia sebagai contoh integrasi nasional berikutan komposisi masyarakat majmuk dan pelbagai agama. Namun, kini ia berubah sekelip mata kerana tindakan elemen tidak bertanggungjawab yang mahu memecahbelahkan rakyat," katanya.
National Evangelical Christian Fellowship dalam satu kenyataan berkata pertubuhan itu sedih dengan peristiwa yang berlaku dan memuji polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat kerana insiden itu tiada membabitkan kehilangan nyawa.
"Kami merayu kepada semua komuniti untuk bertindak secara rasional dan mendengar pendapat yang disuarakan serta berusaha untuk menjalin perpaduan dan harmoni di kalangan semua kaum dan kumpulan agama," kata pengerusinya Paderi Eu Hong Senghe.
Presiden Badan Peguam Malaysia Ragunath Kesavan berkata serangan itu satu trend membimbangkan ke arah sikap tidak hormat dan prejudis.
Muslimat PAS kutuk serangan gereja
Harakah Daily , 8 jan 2010 - Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) mengutuk perbuatan menyerang dua buah gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati dan Gereja Assumption di Jalan Templer, Petaling Jaya.
Ketua Penerangannya, Salbiah Abdul Wahab dalam satu kenyataan berkata, DMPP yakin perbuatan provokatif itu sengaja dirancang pihak tertentu untuk mewujudkan kekecohan di kalangan masyarakat .
"DMPP juga bersimpati dengan apa yang terjadi, kerana kejadian merobohkan masjid dan surau oleh pihak berkuasa telah dialami sedikit masa dahulu. Perbuatan provokatif kali ini pula sengaja dirancang bagi menimbulkan kekecohan dan rasa tidak aman di kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.,"katanya.
Sikap seperti ini juga tegas DMPP menyalahi prinsip Islam dan bercanggah dengan perlembagan Negara yang mengamalkan kebebasan beragama dan Islam sebagai agama rasmi.
"Perbuatan ini sama-sekali menyalahi prinsip Islam dan tidak mencerminkan kesucian Islam. Kerana Islam menjamin kesejahteraan ummah dan menghormati penganut agama lain.,"katanya lagi.
"Islam mengajak umatnya berdakwah dan melebarkan kebaikan. Islam melarang sebarang kejahatan dan kemungkaran apatah lagi menceroboh dan merosakkan hak awam. DMPP amat berharap pihak berkuasa memantau dan peka agar kejadian serupa tidak berulang lagi,"katanya.
Salahuddin cadang PAS adakan 'Wacana Ilmiah'
Harakah Daily , 8 Jan 2010 - Demi mendepani isu kalimah 'Allah', Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencadangkan PAS bertindak secara progresif dengan menggunakan pendekatan 'Wacana Ilmiah' dengan masyarakat Islam dan bukan Islam.
"Saya sendiri akan membawa perkara ini (Wacana Ilmiah) dalam mesyuarat PAS akan datang, pada 10 Januari ini.
"PAS perlu ambil langkah proaktif ini (dengan) meyakinkan kumpulan-kumpulan masyarakat bukan Islam tentang (penggunaan) nama Allah menurut kita (Islam)," ujarnya kepada Harakahdaily.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menjelaskan bahawa cadangan tersebut sebenarnya selari dengan keputusan jamaah PAS seperti yang diumumkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum ini.
Beliau turut mencadangkan PAS mengadakan 'Wacana Ilmiah' dengan beberapa badan bukan kerajaan (NG0) berkaitan Islam yang terbabit memperkatakan isu kalimah 'Allah' tersebut.
Ujarnya, PAS juga dicadangkan mengadakan Wacana Ilmiah dengan Ketua Paderi Katholik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam sebagaimana yang pernah ditunjukkan oleh para nabi, sahabat Rasulullah s.a.w serta cendekiawan Islam sepanjang zaman.
Dalam perkembangan yang sama, Salahuddin turut tidak menolak kemungkinan bahawa beberapa pihak tertentu cuba mengambil kesempatan atas sensitiviti umat Islam dan bukan Islam disebabkan isu tersebut.
"Tak mustahil pihak tertentu ini mengambil kesempatan dengan propaganda-propaganda murahan disebabkan isu sensitif ini," jelasnya.
Ditanya tentang kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Mohd Hassan Ali melarang rakyat bukan Islam menggunakan nama Allah, beliau berharap para pemimpin PAS yang lain boleh berpegang dengan keputusan Lajnah Politik PAS sebelum ini.
"Saya berharap kita (pemimpin PAS) yang lain tetap berpegang dengan keputusan parti," katanya.
Allah untuk semua!
Dr Dzulkefly Ahmad - Saya amat insaf isu penggunaan kalimah "Allah" oleh penganut Katolik Kristian di negara ini bakal menimbulkan pelbagai reaksi buruk seandainya penganut Islam dan penganut agama lain khususnya Kristian gagal mengawal emosi dan tidak faham isunya yang sebenar.
Perasan tersebut menghantui penulis, selaku ahli Lujnah Politik PAS Pusat ketika melangkah masuk ke dewan mesyuarat, Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut pada malam Isnin, 4 Januari 2010. Silap haribulan, dalam PAS pun boleh berlaku kebrentakan.
Bermain di minda penulis adalah kesan impak dan senario, akan akibat keputusan yang bakal diambil. Berlatarbelakangkan demografi negara atau kependudukan dan pengundi yang bersifat 60-40 atau "Mixed", kesan "senjata dua mata" atau "double-edged sword" ini tidak dapat dielakkan. Ada yang suka dan menyokong dan tentunya ada yang akan kecewa dan marah.
Namun, penulis berazam dan mahukan keputusan yang bakal dicapai adalah satu yang dirumuskan dengan segala pertanggungjawabannya. Ya betul perhitungan politik yang bijak dan waras itu penting, tetapi dasar yang berdasarkan hujjah dan sandaran Al-Quran mesti jelas dan teguh dahulu.
Penulis benar-benar menarik nafas lega dengan keputusan. Keputusan lujnah telah pun diumumkan dan tentunya penulis tak boleh menceritakan apa yang yang berlaku di sebalik dewan tertutup itu untuk hampir tiga jam. Berikut adalah penulisan secara ilmiah sebagai perkongsian untuk tatapan umum.
Kerana kekangan ruang, isu ini wajar dilihat penulis dari 2 aspek penting.
i. Perspektif Al-Quran atau Hukum dan
ii. Perspektif Pentadbiran atau Perundangan dan kalau sisi pandang PAS apa yang dikatakan sebagai perkiraan Siasah Syariah atau Siasah dari kacamata Syariah atau tegasnya kesan baikburuk mengikut pandangan Syariah.
Isu ini timbul kerana pengharaman yang dibuat oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penerbitan mingguan Herald Katolik yang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya dalam Bahasa Malaysia. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan bahawa KDN salah dalam pengharaman itu berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Saya cuba huraikan kemudian secara ringkas.
Untuk pengetahuan umum, penganut agama Kristian Katolik di Sabah dan Sarawak telah menggunakan kalimah "Allah" sejak 150 tahun lalu. Kalimah Allah juga digunakan oleh penganut-penganut Sikh Gudwara. Dalam konteks negara timur tengah dan negara umat Islam lain, penggunaan nama "Allah" oleh penganut lain, tidak menimbulkan masalah sejak berzaman.
Persoalan penting yang ummat Islam di negara ini perlu faham ialah, Apakah Al-Quran mengizinkan kalimah Allah digunakan oleh penganut selain Ummat Islam? Dan apa pula pendirian ulama-ulama besar terkini atau kontemporari terhadap isu ini, khususnya dalam konteks Islam dalam dunia kini?
Jawapan ini penting dan dapat mengelakkan isu ini dipolitikkan bahkan diekspolitasi sehingga mengeruhkan suasana perhubungan baik antara-agama dan antara-budaya.
Para Ulama kerap merujuk kepada beberapa ayat di dalam Al-Quran yang menyebutkan bahawa Allah SWT sendiri mengiktiraf, bahawa orang-orang muskrik (yang menyembah berhala) pun mengakui bahawa Allah adalah Rabb atau Tuhan yang Mencipta atau Al-Khaliq. Bermakna mereka menerima Tuhan Yang Menjadikan Semesta Alam ini (Tauhid Rububiyah). Islam secara lengkapnya dalam bab Keimanan atau Aqidah Tauhid menerima Allah selaku Pencipta (Rububiyah) dan Pentadbir/Pemberi Hukum (Uluhiyah).
Contohnya ayat dalam Surah Luqman ayat 25 : "Dan jika (Muhammad) tanyakan mereka siapa yang menjadikan langit dan bumi?", Tentu mereka akan jawab "Allah". Katakanlah "Segala Puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui".
Tegasnya mereka mengiktiraf Allah tetapi hanya dari sifat "Rububiyah"(Pencipta) dan tidak selengkapnya termasuk Allah selaku Yang Mentadbir dan Memberi Hukum (Tauhid Rububiyah).
Saya merujuk kepada pandangan dua tokoh besar ulama terkini, Sheikh Yusuf Qardhawi, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 1431H dan Sheikh Dr Wahbah Zuhaili Tokoh Maal Hijrah 1429H. Kedua-dua berpandangan bahawa penggunaan nama "Allah" adalah dibolehkan kepada penganut-penganut agama Nabi Allah Ibrahim yakni Islam, Kristian dan Judaism.
Kedua-dua berpandangan bahawa ia adalah baik untuk menjalinkan kesatuan dan perpaduan di peringkat "persaudaraan agama samawiyat", paling tidaknya. Mereka tidak mengambil sikap sempit macam sesetengah orang Islam di negara ini, bahawa Allah hanya untuk orang Islam secara eksklusif dan penganut lain tak boleh guna nama Allah atau macam suruh cari Tuhan lain pulak. Berapa banyak Tuhan yang ada? Bukankah Islam menganjurkan semua ummat manusia mengiktiraf Tuhan itu Esa atau Satu.
Perhatikan ayat di seterusnya ini. Allah sebutkan dalam Al-Quran: "....kami beriman kepada Kitab-kitab yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepadamu, Tuhan kami dan Tuhan kamu, satu dan hanya kepadanya kami berserah diri".....Surah Al-Angkabut:46.
Bukankah lebih baik, mengikut logik akal waras, di samping hujah dari al-Quran dan kata Ulama tadi, supaya kita galakkan mereka juga menerima "Allah", walaupun Tauhid dan Aqidah mereka tak sempurna macam kita. Memanglah, itulah sebabnya mereka Kristian atau Yahudi atau selainnya.
Kalau mereka percaya macam aqidah kita tentang Allah, jadilah mereka orang Islam, bukanlah lagi Kristian dan Yahudi. Namun bolehkah kita paksa Aqidah kita itu kepada mereka? Tentunya tidak. Tidak ada paksaan dalam Islam.
Setelah mengizinkan agama lain menggunakan nama "Allah", maka yang lebih penting adalah supaya tidak menyalahgunakan nama "Allah" itu. Ini perlu diberikan peraturan dan keterangan seperti yang ditegaskan oleh keputusan PAS, supaya jangan ada yang menyalahgunakan perkatan Allah.
Hal ini juga dibangkitkan oleh bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri . Ini aspek pengurusannya atau Siyasah Syariahnya, supaya dijaga maslahahnya dan dijauhkan mafsadah atau kemudharatanya. Jelasnya begitu.
Sebenarnya, perkara itulah yang dimaksudkan dengan Perkara 11(4) dan 11(5) dalam Perlembagaan Persekutuan supaya di pihak berwajib menjaga pentadbiran kebebasan bergama supaya tidak timbul huru-hara dan ketidakstabilan dan dikekalkan keharmonian. Pada waktu yang sama agama lain tidak boleh berdakwah kepada orang Islam seperti Perkara 11 (4). Ini wajib dijaga dan perlu juga peraturan. Adakan peraturan. Jangan haramkan penggunaan nama Allah, tak selesai masalah.
Sebab itu juga keputusan PAS menekankan supaya jangan ada pihak yang terlalu agresif dan melakukan provakasi sehingga mencetuskan huru-hara dan menjejaskan keharmonian antara agama dan konflik antara kaum-budaya.
Itu saja. Mengapa sampai nak berperang? Mengapa sampai nak berdemonstrasi? Kata 1-Malaysia? Mengapa perlu menimbulkan kesangsian dan syak wasangka sehingga menjejaskan keharmonian antara agama? Siapa yang mempolitikkan isu ini?
Pada saya yang lebih penting dari memperjuangkan isu nama "Allah" itu, ialah memperjuangkan Apa yang Allah perintahkan kepada kita ummat Islam, termasuk menganjurkan kebaikan dan melarang kemungkaran termasuk membenteras rasuah, salah guna kuasa, pembaziran, membasmi kemiskinan, kezaliman dll!
*Dr.Dzulkefly Ahmad ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor
Perbuatan Bakar Gereja Adalah Berdosa, Kata Nik Aziz
BalasPadamBernama 9 Jan 2010 - Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata tindakan cuba membakar empat buah gereja di sekitar Lembah Klang semalam adalah perbuatan berdosa dan akan menerima balasan di akhirat nanti.
"Jadi tiap-tiap orang nak bakar gereja...dia kena reti, gereja ini harta kawan kita orang Kristian...bila kita bakar kita telah melukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak," katanya.
Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata demikian kepada pemberita selepas menutup majlis Taklimat Isu-Isu Penerangan PAS Pusat di sini Sabtu.
Katanya perbuatan membakar gereja di sebalik kehangatan bantahan isu penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain boleh terjadi apabila segelintir rakyat kehilangan sensitiviti dan kesucian agama dalam diri masing-masing.
Katanya apabila orang tidak mempunyai nilai sensitiviti agama maka perbuatan membakar gereja tidak menjadi masalah kepada pelakunya kerana mereka tidak mengenal soal dosa atau pahala.
Najib Umum Peruntukan RM500,000 Kepada Gereja Yang Diserang Bom Api
BalasPadamBernama 9 jan 2010 - Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM500,000 kepada Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati di sini yang rosak kerana dibaling bom api bagi membolehkan pihak pentadbiran gereja membangunkan rumah ibadat itu di tempat lain.
Perdana Menteri berkata ia adalah sebagai tanda simpati kerajaan terhadap apa yang telah berlaku dan peruntukan itu akan disalurkan kepada pihak Assembly of God agar mereka dapat membangunkan gereja di kawasan baru.
"Ini adalah sokongan kerajaan...ini adalah tanda keikhlasan kerajaan dan saya harap semua pihak akan bersikap tenang".
"Kerajaan amat komited untuk menjaga keadaan yang harmoni dan hubungan yang baik antara kaum dan agama di dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas meninjau kerosakan yang dialami oleh gereja itu dan pengumuman itu disambut dengan tepukan oleh ramai yang hadir.
Najib dengan diiringi beberapa orang menteri kabinet dan timbalan menteri menghabiskan masa 15 minit di tingkat bawah bangunan yang menempatkan gereja itu dan menyaksikan sendiri beberapa kemusnahan seperti peralatan pejabat, akibat lontaran bom api.
Lebih 1,000 orang yang terdiri daripada ahli gereja serta penduduk setempat berebut-rebut untuk bersalaman dengan Perdana Menteri sebaik beliau selesai meninjau kerosakan di gereja itu selepas tiba di situ pukul 5 petang.
Najib berkata lawatan beliau ke tempat itu menunjukkan betapa kerajaan memandang serius insiden itu.
"Perbuatan seperti membakar tempat orang lain beribadah dalam agama yang lain adalah satu perbuatan yang sangat terkutuk...bukan sahaja di sisi undang-undang negara... segi agama Islampun kita dilarang oleh agama untuk melakukan perbuatan seperti ini.
"Dalam Surah Al An'am Ayat 108, Allah berfirman " Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan."
Najib berkata ayat ini membawa pengertian bahawa apa-apa tindakan seperti memaki hamun, merosakkan apa-apa yang berkaitan dengan kepercayaan dan anutan agama lain adalah merupakan perkara-perkara yang ditegah dan dilarang oleh agama Islam. Justeru Perdana Menteri berharap agar semua pihak tidak melakukan perkara yang ditegah itu.
"Supaya ianya melambangkan bukan sahaja kita sebagai umat Islam mesti merupakan umat yang terbaik tapi kita juga mesti menunjukkan kita adalah warganegara Malaysia yang bertanggungjawab dan ingin hidup dalam keadaan rukun serta aman damai dan harmoni di antara pelbagai kaum dan agama dalam negara kita," kata Perdana Menteri.
Pegawai Gereja terharu terima kunjungan Nik Aziz
BalasPadamHarakah Daily, 10 Jan 2010 - Kesediaan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melawat tiga gereja petang tadi menimbulkan rasa terharu pihak gereja.
Perasaan terharu itu dinyatakan oleh Pegawai Penyambut Tamu Gereja Katholik Assumption, Jalan Assunta dekat sini, Calvin Jacob yang juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Kelantan itu kerana sudi mengunjungi mereka.
Menurut Calvin, Datuk Nik Abdul Aziz telah meluahkan rasa simpati di atas apa yang telah berlaku ke atas gereja itu yang dibaling dengan bom buatan sendiri pada minggu lalu.
Sebelum itu, Tuan Guru telah mengunjungi Gereja St Francis Xavier di Jalan Gasing juga dekat sini untuk meninjau dan menyampaikan rasa simpatinya terhadap kejadian tidak bermoral pihak tertentu yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Terdahulu, sebelum ke Petaling Jaya, Nik Aziz telah ke Gereja Metro Tabernacle di Taman Melawati yang dibakar. Di situ, beliau telah memberikan sumbangan peribadi beliau kepada wakil gereja.
Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa mengunjungi gereja yang sama bagi melahirkan rasa simpati PAS kepada tindakan membakar gereja itu.