Selasa, 8 Julai 2014

Sepintas lalu tentang Kitab-Kitab dari Langit

Imam Ahmad ibnu Hanbal mengatakan, telah menceritakan kepada kami Abu Sa'id maula Bani Hasyim, telah menceritakan kepada kami Imran Abul Awwam, dari Qatadah, dari Abul Falih, dari Wasilah (yakni Ibnul Asqa), bahawa Rasulullah S.a.w pernah bersabda;

"Suhuf-suhuf Nabi Ibrahim diturunkan pada permulaan malam bulan Ramadhan, kitab Taurat diturunkan pada tanggal enam Ramadhan, kitab Injil diturunkan pada tanggal tiga belas Ramadhan, sedangkan Al-Quran diturunkan pada tanggal dua puluh empat Ramadhan."

Adapun lembaran-lembaran atau suhuf, kitab Taurat, Zabur dan Injil, masing-masing diturunkan kepada nabi-nabi yang berkenaan secara sekaligus. Lain halnya dengan Al-Quran, diturunkan sekaligus hanya dari Baitul 'Izzah ke langit dunia, perkara ini terjadi dalam bulan Ramadhan, iaitu pada malam Lailatul Qadr. Seperti yang disebutkan oleh firman-Nya;

"Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada Lailatul Qadr." [Surah al-Qadr : 1]

Setelah itu Al-Quran diturunkan kepada Rasulullah S.a.w secara bertahap sesuai dengan kejadian-kejadian yang berlaku.  Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan bukan hanya oleh seorang perawi sahaja, dari Ibnu Abbas. 

Disebutkan bahawa Atiyyah ibnul Aswad pernah berkata kepada Ibnu Abbas bahawa di dalam hatinya terdapat kemusyrikan mengenai firman-Nya;

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran." [al-Baqarah : 185]

Sedangkan Al-Quran ada yang diturunkan pada bulan Syawal, ada yang dalam bulan Zul-Qaedah, bulan Zulhijjah, bulan Muharram, bulan Safar, dan ada pula dalam bulan Rabi'.

Maka Ibnu Abbas menjawab, "Sesungguhnya Al-Quran diturunkan dalam bulan Ramadhan, iaitu pada malam yang penuh dengan kemuliaan (Lailatul Qadr) , dan dalam malam yang penuh dengan keberkatan sekaligus. Kemudian diturunkan lagi sesuai dengan kejadian-kejadiannya secara beransur dalam bulan dan hari yang berbeza." Demikianlah menurut apa yang diriwayatkan oleh Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Murdawaih.

Sedangkan dalam riwayat Sa'id ibnu Jubair, dari Ibnu Abbas, disebutkan bahawa Ibnu Abbas mengatakan, "Al-Quran diturunkan pada pertengahan bulan Ramadhan ke langit dunia dari tempat asalnya, iaitu Baitul 'Izzah. Kemudian diturunkan kepada Rasulullah S.a.w selama 20 tahun untuk menjawab perkataan manusia."

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah al-Baqarah : ayat 185]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.