Sabtu, 12 Julai 2014

Kisah Nabi Daud diangkat menjadi Raja

Rose land
....... Sambungan dari Kisah Nabi Samuel hingga Thalut dan Daud berperang melawan Jalut

Firman Allah S.w.t;

وَقَتَلَ دَاوُودُ جَالُوتَ وَآتَاهُ اللَّهُ الْمُلْكَ وَالْحِكْمَةَ وَعَلَّمَهُ مِمَّا يَشَاءُ

"....... dan (dalam peperangan itu) Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikan kepadanya (Daud) pemerintahan dan hikmah, dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya......." [al-Baqarah : 251]

Ayat di atas menunjukkan keberanian Daud a.s dimana dia telah membunuh Jalut (Goliath) dengan cara yang sangat menghinakan baginya dan bagi bala tenteranya, sekaligus membuatkan mereka bercerai-berai. Demikian Thalut dapat mengaut ghanimah (rampasan perang) yang melimpah-ruah, menawan para pejuang, pemberani dan para pembesar dari kalangan musuh-musuhnya. Sehingga kalimat iman menjadi tinggi di atas segala bentuk berhala dan menunjukkan para wali Allah di hadapan musuh-musuh-Nya.

Ibnu Jarir telah menyebutkan dalam kitab Tarikh-nya bahawa Jalut ketika berperang dengan Thalut, dia berkata; "Keluarkanlah kepadaku (seseorang untuk bertanding), maka akan aku keluarkan (seseorang untuk bertanding) dengan-mu." Thalut pun membakar semangat orang-ramai, dan Daud pun terpanggil dan akhirnya Daud dapat membunuh Jalut.

Wahb bin Munabbih berkata; "Kemudian manusia tertarik kepada Daud, hinggakan nama Thalut pun tenggelam. Bahkan mereka menumbangkan Thalut dan mendudukkan Daud sebagai penguasa atas mereka. Ada yang menyebutkan hal itu terjadi di atas perintah Samuel. Bahkan ada sebahagian orang yang mengatakan Daud a.s diangkat menjadi penguasa sebelum peperangan dengan Jalut.

Ibnu Jarir mengatakan; "Pendapat yang dipegang oleh jumhur adalah bahawa Daud a.s menjadi penguasa setelah terbunuhnya Jalut. Wallahu a'lam.

Ibnu Asakir meriwayatkan dari Said bin Abdul Aziz bahawasanya Nabi Daud a.s membunuh Jalut di istana Ummu Hakim, di kawasan tanah lapang.

Bani Israel menyukainya dan mendukungnya serta menyerahkan kekuasaan kepadanya.  Kekuasaan Thalut telah berlalu, maka jadilah Nabi Daud a.s seorang raja.


Besi dilembutkan bagi Nabi Daud a.s, dan gunung serta burung bertasbih bersamanya

"Dan sesungguhnya telah Kami berikan kepada Daud kurnia dari Kami. (Allah berfirman); "Hai gunung-gunung dan burung-burung, bertasbih-lah berulang-ulang bersama Daud," dan Kami telah melunakkan besi untuknya. (Iaitu) buatlah baju besi yang besar-besar dan ukurlah anyaman-nya, dan kerjakan-lah amalan yang shaleh, sesungguhnya Aku melihat apa yang kamu kerjakan." [Surah Saba' : ayat 10 -11]

Dan Allah S.w.t juga berfirman yang ertinya; "Dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud, dan Kami-lah yang melakukan-nya. Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, bagi memelihara kamu dalam peperanganmu, maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah)." [Surah al-Anbiya' : 79 -80]

Allah memberikan pertolongan kepadanya dalam hal pembuatan baju perang dari besi untuk melindungi seseorang perajurit dari (serangan) musuh Allah dan mengilhamkan kepadanya tentang tata cara pembuatan baju perang tersebut.

Firman Allah Ta'ala "dan ukurlah anyaman-nya", maksudnya ialah jangan engkau pasang dengan paku kerana akan menjadi tertutup (sulit digerakkan) dan jangan terlalu tebal kerana boleh (cepat) retak. Ini merupakan pendapat Mujahid, Qatadah, al-Hakim, Ikrimah. Sedangkan Al-Hasan Al-Basri, Qatadah dan Al-A'mas berpendapat bahawasanya Allah telah melunakkan untuknya (Daud a.s) besi, sehingga beliau menganyam-nya dengan tangan-nya tanpa memerlukan api dan pengetuk.

Qatadah berkata, "Daud a.s adalah orang pertama yang membuat baju perang dari besi, yang sebelumnya hanya dari logam yang nipis."

Ibnu Syandzab berkata, ""Ketika itu, Daud a.s setiap harinya membuat baju perang yang beliau jual dengan harga 6 ribu dirham." Dan telah disebutkan dalam sebuah hadits, "Sesungguhnya makanan yang paling baik bagi seseorang adalah dari hasil pekerjaannya, dan sesungguhnya Nabi Daud makan dari hasil kerjanya sendiri." [HR Ahmad dan Nasa-i dengan sanad yang shahih. Juga diriwayatkan oleh Abu Daud dan Turmudzi dengan lafaz yang serupa]

[Imam Ibnu Katsir - Qashashul Anbiya']


Firman Allah Ta'ala; "bertasbih-lah berulang-ulang bersama Daud" , yakni ulangi-lah tasbih bersama Daud. Gunung-gunung dan burung-burung disuruh mengulangi tasbih bersama Daud dengan menggunakan suaranya sendiri.

Ada yang meriwayatkan bahawa Daud menjual baju besi buatan-nya berharga 4 ribu dirham. Kemudian sepertiga hasilnya disedekahkan, sepertiga untuk membeli keperluan dan biaya rumahtangganya, dan sepertiga lagi disimpan untuk sedekah harian hingga dia membuat baju berikutnya.

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah Saba', ayat 10 - 11]


"....... dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan; sesungguhnya dia amat taat (kepada Allah). Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersamanya (Daud) di waktu petang dan pagi. Dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul, masing-masingnya amat taat kepada Allah. Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan." [Surah Shaad : ayat 17 - 20]


Shalat dan puasa Nabi Daud a.s

Telah diterangkan kepada kita bahawa Daud a.s mengerjakan shalat malam dan berpuasa separuh tahun. Dan telah disebutkan di dalam kitab Shahihain bahawa Rasulullah S.a.w bersabda; "Shalat yang paling disukai oleh Allah adalah shalatnya Daud dan puasa yang paling dicintai oleh Allah ialah puasanya Daud. Dia tidur separuh malam dan shalat sepertiga-nya lantas tidur seperenam-nya. Dia sehari berpuasa sehari berbuka dan dia tidak melarikan diri ketika bertemu musuh." [Riwayat Bukhari dan Muslim]


Nabi Daud a.s dikurniakan suara sangat merdu

Allah juga telah memberikannya suara yang bagus yang belum pernah diberikan-nya kepada orang lain, iaitu sekiranya beliau bersuara dengan bacaan kitabnya, maka burung-burung akan berhenti di udara seraya mengucap istirja' (iaitu, innaa lillahi wa innaa ilaihi raaji'uun) kerana tarji'nya (Daud) dan akan bertasbih kerana tasbihnya. Begitu juga gunung-gunung akan menjawab dan bertasbih bersamanya setiap pagi dan petang. 

Al-Auza'i berkata; "Abdullah bin Amir bercerita kepadaku, dia berkata; "Daud telah diberi suara yang bagus yang belum pernah diberikan kepada sesiapa-pun hinggakan ada burung dan haiwan buas berhenti di sekelilingnya dan meninggal kerana kehausan dan kelaparan (kerana mendengarkan suara merdu). Bahkan sungai-sungai berhenti mengalir (kerana mendengar suaranya)."

Wahb bin Munabbih berkata, "Tidak seorang pun yang mendengar suaranya Daud kecuali menari-nari. Ketika Daud sedang membaca kitab Zabur dengan suara yang belum pernah terdengar sebelumnya, maka jin, manusia, burung dan haiwan-haiwan berhenti kerana mendengar suaranya. Bahkan ada yang meninggal kerana kelaparan."

Imam Ahmad berkata; "Abdur Razzaq telah menceritakan kepada kami, Ma'man telah menceritakan kepada kami dari Zuhri, dari Urwah, dari Aisyah r.a dia berkata; "Rasulullah S.a.w  pernah mendengar suara Abu Musa Al-Asy'ari yang sedang membaca al-Qur'an, kemudian beliau bersabda; "Sungguh Abu Musa telah diberi suaranya keluarga Daud."  [Riwayat Abdur Razzaq, Ahmad dan yang lain-nya, dengan sanad yang shahih]

Disamping suaranya (Daud) bagus, suaranya juga lembut dan membaca kitab Zabur dengan cepat, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahmad; "Abdur Razzaq telah menceritakan kepada kami, Ma'man telah menceritakan kepada kami, dari Hammam, dari Abu Hurairah r.a dia berkata, Rasulullah S.a.w bersabda; "Daud telah dilembutkan bacaan-nya ketika Daud diperintahkan untuk memasang pelana haiwan-haiwan-nya dia membaca kitab Zabur supaya lebih mudah dalam pemasangan pelana-pelana tersebut. Daud hanya makan dari hasil pekerjaan-nya sendiri."

Bukhari juga meriwayatkan tersendiri dari Abdullah bin Muhammad, dari Abdur Razzaq dengan lafaz; "Daud telah dilembutkan bacaan kitab Zaburnya. Kemudian dia diperintahkan untuk memasang pelana haiwan-haiwan-nya dan dia membaca Zabur supaya mudah dalam pemasangan pelana tersebut. Daud hanya makan dari hasil pekerjaan-nya sendiri." [Riwayat Bukhari]


Kelebihan dalam menyelesaikan perselisihan rakyatnya

Firman Allah Ta'ala; "Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah dan kebijaksanaan dalam menyelesaikan perselisihan." [Surah Shaad : 20]

Mujahid dan As-Saddi berkata, "Daud a.s tepat dalam memberi dan memahami keputusan." Sedangkan Mujahid berkata, "Daud a.s bijaksana dalam bicara dan dalam memutuskan hukum."

Wahb bin Munabbih berkata; "Ketika terjadi banyak kejahatan dan persaksian-persaksian palsu di kalangan Bani Israel, maka Allah memberi Daud rantai dari emas yang menjulur dari langit sampai ke tanah lapang yang ada di Baitul Maqdis sebagai alat pembuat keputusan. Iaitu ketika ada dua orang berselisih di dalam merebutkan haknya. Maka yang benar akan dapat memegangnya dan yang salah tidak akan dapat sampai ke rantai itu. Ini terus berlangsung hingga ada orang yang menitipkan berlian-nya kepada orang lain, kemudian orang itu mengengkarinya. Kemudian dia mengambil seruling dan menaruh berlian itu di dalamnya. Dan ketika mereka berdua datang ke tanah lapang itu, maka penuntutnya dapat memegang rantai. Kemudian ketika yang lain diperintahkan; ambillah dengan tangan-mu dan pergilah ke tongkat itu.  Dan dia pun memberikan tongkat yang di dalam-nya terdapat berlian kepada penuntut sambil berkata, "Ya Allah, sesungguhnya Engkau telah tahu bahawa aku telah menyerahkan-nya." Kemudian dia meraih rantai dan dia pun berhasil meraihnya. Maka perkara ini menjadi tidak jelas bagi Bani Israel dan perkara ini pun cepat tersebar di kalangan mereka.

[Imam Ibnu Katsir - Qashashul Anbiya']

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.