Jumaat, 6 Jun 2014

Kisah Rasulullah S.a.w melihat dan mendengar seksaan Alam Barzakh

Gambaran neraka
Nabi Muhammad S.a.w telah menceritakan kepada para sahabatnya tentang mimpinya, sedangkan mimpi tersebut adalah sebahagian dari Wahyu. Baginda telah menceritakan tentang keadaan di Alam Barzakh (alam penantian selepas mati dan sebelum akhirat) sebagai berikut, di antaranya;

1 - Orang yang dilempar kepalanya dengan batu hingga pecah, iaitu orang yang menolak membaca Al-Quran dan yang mementingkan dirinya terlena dengan mengutamakan tidur daripada melakukan solat yang wajib.

2 - Keadaan lelaki dan perempuan yang suka berzina telah digambarkan bahawa mereka sedang berada di atas nyalaan api.

3 - Orang yang berenang di sungai tetapi orang tersebut telah dilempari batu. Orang tersebut dahulunya ketika masih hidup suka makan harta riba iaitu wang yang diperbungakan berlipat kali ganda.

4 - Orang yang dirobek-robek mulutnya dan bibirnya kerana menjadi seorang yang pembohong.

5 - Orang yang dipukul pada kepalanya hingga pecah, setelah mengetahui isi Al-Quran tetapi tidak mahu mengamalkannya. Dia akan terima seksaan tersebut hingga Hari Kiamat.

6 - Orang yang mencakar-cakar muka dan dadanya dengan kuku dari tembaga akibat menceritakan keburukan orang lain.

[HR Ahmad]

Lalu bagaimanakah pandangan para ulama Salaf tentang keadaan seksa di Alam Barzakh itu?

Menurut Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah bahawa menurut mazhab dari ulama Salaf, jika mayat berada dalam kuburannya maka mereka itu mendapatkan kenikmatan atau seksaan yang akan diterima oleh rohnya (jiwanya atau nyawanya) dan juga badannya. Roh tersebut tetap berhubungan dengan badannya sehingga roh tersebut mendapatkan kenikmatan ataupun seksaan.  Dan nanti pada Hari Kiamat dikembalikan roh-roh tersebut ke dalam tubuhnya dan akan keluar dari kuburan mereka menuju Allah yang menguasai alam semesta.

Sedangkan menurut mazhab Ahlus Sunnah bahawa seksaan kubur itu ada setelah diperkuat dengan dalil-dalil dari Al-Quran dan Sunnah (Hadits). Firman Allah S.w.t;

النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا

"Kepada mereka (orang kafir) dinampakkan neraka pada pagi dan petang (hingga sebelum kiamat) ....... " [Surah Mu'min : ayat 46]

Juga telah diterangkan dalam beberapa Hadits Shahih yang berasal dari Nabi S.a.w, dan menurut riwayat sahabat-sahabat Nabi tentang dikembalikannya sebahagian kehidupan itu padanya oleh Allah S.w.t bagi menerima seksaan atau kenikmatan. 

Seksaan kubur tetap akan dirasakan oleh mayat walaupun tubuhnya telah dimakan binatang buas, dimakan ikan atau kerana sebab-sebab lain. Allah pun berkuasa mengembalikan roh itu ke dalam tubuhnya yang hancur bagi menuju hari kebangkitan di Hari Kiamat. Tetapi mengapakah kita yang memerhatikan jenazah yang berada dalam kuburnya yang katanya disoal oleh malaikat, didudukkan atau dipukul dengan palu besi, tetapi mengapakah ianya tidak kelihatan?

Sebenarnya hal jenazah tersebut tidak jauh bezanya dengan orang yang sedang tidur. Rohnya itu akan merasakan suatu kenikmatan atau kesakitan, yang kita sendiri yang melihatnya tidak mengetahui bentuknya. Juga tidak diketahui oleh seseorang jika orang lain dalam keadaan jaga (tidak tidur), tetapi yang berkenaan sedang mengalami perasaan enak, lazat atau sakit yang tidak boleh dirasakan hal itu oleh kawan-kawan yang ada di sampingnya. 

Juga tidak jauh bezanya dengan Malaikat Jibrail a.s yang telah datang pada Nabi S.a.w dengan menyampaikan wahyu dari Allah, yang tidak diketahui oleh para sahabat Nabi yang ada disampingnya. [1]


Hadits mengenai azab (seksaan) dan nikmat kubur, dan mengenai pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir, itu adalah Mutawatir. Kerana itu, wajib meyakini dan mengimaninya, dan tidak perlu membincangkan masalah caranya. Tidak ada autoriti bagi akal untuk memikirkan caranya, kerana akal tidak dapat berhubungan dengan alam ini. Syariat tidak membawa suatu yang mustahil menurut akal, tetapi Syariat kadang-kala membawa hal yang menjadi kontroversi bagi akal. Dalam kes ini, kembalinya roh ke jasad jangan dibayangkan menurut ukuran-ukuran duniawi, roh dikembalikan kepada jasad dengan cara berlainan dengan yang ada di dunia. [2]

Dalam Shahih al-Bukhari diriwayatkan bahawa Samurah ibnu Jundub berkata; 

Biasanya setelah solat Nabi S.a.w menghadapkan wajahnya ke arah kami dan bertanya, "Siapa di antara kalian yang bermimpi malam tadi?" Jika ada yang bermimpi, orang itu akan menceritakannya, lalu Nabi S.a.w mengatakan "Masya Allah."

Suatu hari baginda bertanya kepada kami, "Apakah di antara kalian ada yang bermimpi malam tadi?" Kami menjawab, "Tidak." Baginda berkata, "Aku malam tadi bermimpi ada dua orang mendatangiku. Mereka memegang tanganku dan membawaku ke tanah yang suci. Di sana ada lelaki yang sedang duduk dan lelaki yang berdiri di sampingnya dengan besi pengait di tangannya. Besi itu dimasukkan ke sudut mulut lelaki yang duduk, lalu ditarik sampai mencapai tengkuk, kemudian sudut mulut yang lain ditarik seperti itu, sehingga kedua sudut mulutnya terpaut. Setelah itu, keadaannya pulih seperti sedia-kala, dan diperlakukan lagi seperti itu.

Aku bertanya, "Apa ini?" Kedua orang yang membawaku  menjawab, "Teruskan berjalan!" Lalu kami berjalan sampai bertemu dengan seorang lelaki yang sedang berbaring dan seorang lagi yang berdiri dekat kepalanya sambil memegang batu, lalu dengan batu itu dia menghancurkan kepala lelaki yang berbaring. Setelah dia memukulnya, batu tersebut bergolek, lalu dia pergi untuk mengambilnya lagi. Ketika dia kembali, kepala lelaki yang hancur tadi sudah menyatu kembali dan pulih seperti sedia kala, lalu dia memukulnya lagi.

Aku bertanya, "Siapa ini?" Kedua orang yang membawaku menjawab, "Teruskan berjalan!" Kami berjalan dan menemui sebuah lubang mirip tungku dari tembikar untuk membakar roti, yang atasnya sempit, bawahnya luas,  dan di bawahnya api menyala. Jika api itu mendekat, orang-orang di dalamnya segera naik sampai mereka nyaris keluar. Jika api padam, mereka kembali turun ke bawah.  Di dalam lubang itu terdapat lelaki dan perempuan telanjang.

Aku bertanya, "Siapa mereka ini?" Kedua orang yang membawaku menjawab, "Teruskan berjalan!" Kami lalu berjalan dan sampai ke sebuah sungai darah yang di dalamnya ada seorang lelaki berdiri, dan di tengah sungai (menurut versi Yazid dan Wahab ibnu Jarir, dari Jarir ibnu Hazim; di pinggir sungai) ada seorang lelaki yang di hadapannya ada batu. Jika orang itu ingin keluar dari sungai, lelaki dipinggir atau di tengah sungai melempari mulutnya dengan batu sehingga sehingga dia kembali ke tempatnya semula. Setiap kali dia akan keluar dari sungai, dia akan dilempar dengan batu sehingga kembali lagi.

Aku bertanya, "Siapa ini?" Kedua orang yang membawaku menjawab, "Teruskan berjalan!"  Lalu kami berjalan sampai kami berhenti di sebuah taman hijau yang di dalamnya ada sebuah pohon besar dan berdekatan akarnya ada seorang datuk dan beberapa anak kecil. Dekat pohon ada seorang lelaki yang di hadapannya ada api yang menyala. Lalu kedua orang yang membawaku menaikkanku ke pohon dan memasukkan aku ke suatu tempat yang sangat indah. Di dalamnya ada orang-orang tua, pemuda-pemuda, wanita-wanita dan anak-anak. Kemudian keduanya mengeluarkan aku dari tempat itu, lalu menaikkanku ke pohon dan memasukkan aku ke dalam tempat yang lebih bagus dan lebih indah, yang di dalamnya terdapat orang-orang tua dan pemuda-pemuda.

Aku berkata, "Kalian telah membawaku berjalan-jalan pada malam ini, maka beritahulah kepadaku mengenai peristiwa-peristiwa yang kulihat tadi." Keduanya menjawab, "Baiklah. 

Orang yang mulutnya dirobek ialah seorang pendusta yang menceritakan khabar dusta sehingga dusta itu tersebar ke mana-mana, dan dia terus diperlakukan begitu sampai Hari Kiamat. 

Orang yang kepalanya diremukkan adalah lelaki yang diajarkan kepadanya Al-Quran tetapi dia mengabaikannya di malam hari dan tidak mengamalkannya di siang hari. Dia diperlakukan seperti itu sampai Hari Kiamat. 

Orang yang di dalam lubang ialah para penzina.

Orang yang di sungai adalah pemakan riba.

Orang tua yang berada di akar pokok ialah Ibrahim a.s, sedangkan anak-anak di sekelilingnya ialah anak-anak manusia.

Yang menyalakan api ialah (malaikat) Malik penjaga Neraka.

Tempat pertama yang engkau masuki ialah tempat umumnya kaum Mu'min, sedangkan tempat ini ialah tempat para Syuhada'. 

Aku ini Jibrail dan ini Mikail. Angkat lah kepalamu!" Aku mengangkat kepalaku, lalu tiba-tiba di atasku ada sesuatu seperti awan.  Mereka berkata, "Itu tempat tinggalmu." Aku berkata, "Biarkan aku memasuki rumahku." Mereka berkata, "Umurmu masih ada. Jika umurmu telah habis, kau boleh masuk ke rumahmu." [3]


Rasulullah S.a.w mendengar suara mayat diseksa

Allah memberikan kemampuan kepada Rasul-Nya untuk mendengar orang-orang yang diseksa dalam kubur. Dalam hadits riwayat Muslim dikatakan bahawa Zaid ibnu Tsabit berkata;

"Pada waktu Nabi S.a.w berada di kebun Bani Najjar sambil naik keldai dan kami bersamanya, tiba-tiba keldai itu menyimpang dari jalanan, lari, dan hampir saja menghempaskan baginda. Ternyata di situ terdapat kuburan enam, lima atau empat orang. Baginda S.a.w bertanya, "Siapa yang mengenali penghuni kuburan ini?" Seorang lelaki menjawab, "Saya." Baginda bertanya lagi, "Bila dia meninggal?" Lelaki itu menjawab, "Ketika mereka syirik." Rasulullah S.a.w bersabda, "Sesungguhnya umat ini diuji dalam kuburannya, dan kalau bukan kerana kalian akan takut menguburkannya, sungguh aku akan berdoa kepada Allah agar Dia perdengarkan azab kubur yang ku dengar kepada kalian. [4]

Dalam Shahih Bukhari, Shahih Muslim dan Sunan an-Nasa'ie, Abu Ayyub Al-Ansari berkata bahawa Rasulullah S.a.w keluar pada malam hari setelah matahari terbenam. Tiba-tiba baginda mendengar suara dan bersabda, "Seorang Yahudi sedang diseksa di dalam kuburnya." [5]

Dalil lain yang menunjukkan bahawa Rasulullah S.a.w mendengar suara orang yang diazab di dalam kubur adalah hadits riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu 'Abbas. Disebutkan bahawa Rasulullah S.a.w melewati dua kuburan lalu baginda bersabda, "Keduanya sedang diseksa, tapi bukan kerana dosa besar." [6]


Rujukan:

1 - Abdul Malik Ali al-Kulaib - Ahwalul Qiyamah.
2 - Syarah al-Aqidah ath-Thahawiyyah, hal. 450.
3 - Imam al-Bukhari , dalam bab "Jenazah". Lihat Fathul Bari, III, hal. 251.
4 - Imam Muslim dalam Shahihnya, bab "Syurga".
5 - Jami'ul Ushul, XI, hal.172.
6 - Dr. Umar Sulaiman Al-Asyqar - Ensiklopedia Kiamat, hal.63.

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.