Jumaat, 13 Jun 2014

Kisah Imam Abu Hanifah yang Zuhud dan Pendiam

Imam Abu Hanifah
Adapun Imam Abu Hanifah rahimahullahu anhu juga seorang 'abid, zahid, 'arif billah, amat takut kepadaNya dan menghendaki wajah Allah dengan ilmunya.

Adapun dia itu 'abid, dapat diketahui dengan riwayat dari Ibnul Mubarak yang mengatakan, "Imam Abu Hanifah r.a adalah seorang yang berperikemanusiaan dan banyak melakukan solat." Menurut cerita Hammad bin Abi Sulaiman, adalah Imam Abu Hanifah menghidupkan seluruh malamnya dengan ibadah. Menurut riwayat yang lain, dia menghidupkan setengah malam dengan ibadah.

Pada suatu hari, Imam Abu Hanifah r.a lalui di jalan besar. Kemudian orang menunjukkan kepadanya dan dia sedang berjalan kaki, orang mengatakan padanya, "Itulah dia orang yang menghidupkan seluruh malamnya dengan ibadah."

Maka sentiasalah selepas itu, dia menghidupkan seluruh malamnya dengan ibadah dan mengatakan, "Aku malu kepada Allah S.w.t disebutkan tentang ibadahku yang tidak sebenarnya."

Zuhud

Mengenai zuhudnya, diriwayatkan dari ar-Rabi' bin 'Ashim yang mengatakan, "Aku diutus oleh Yazid bin Umar bin Hubairah. Maka aku datang menemui Abu Hanifah. Yazid mahu mengangkat Abu Hanifah menjadi pengurus baitul mal. Dia menolak lalu dipukul 20 kali."

Lihatlah bagaimana dia lari dari pangkat dan bersedia menanggung sengsara.

Berkata Al-Hakam bin Hisyam At-Tsaqafi, "Orang bercerita kepadaku di negeri Syam, satu cerita tentang Abu Hanifah, bahawa beliau adalah seorang manusia pemegang amanah yang terbesar. Sultan mahu mengangkatnya menjadi pemegang kunci gudang kekayaan negara, atau memukulnya kalau menolak. Maka Abu Hanifah memilih seksaan mereka daripada seksaan Allah Ta'ala.

Diriwayatkan bahawa Abu Hanifah r.a disebut namanya kepada Ibnul Mubarak, lalu Ibnul Mubarak menjawab, "Adakah kamu sebutkan tentang lelaki, yang diberikan kepadanya dunia dengan segala kemewahannya, lalu dia lari dari kemewahan itu?"

Diriwayatkan dari Muhammad bin Shujja', berasal dari setengah sahabat Imam Abu Hanifah r.a, bahawa ada orang mengatakan kepada Abu Hanifah, "Amirul Mu'minin Abu Ja'far al-Manshur memerintahkan untuk dianugerahkan kepada tuan wang sebanyak 10 ribu dirham."

Muhammad bin Shujja' mengatakan bahawa Abu Hanifah tidak bersedia menerima pemberian tersebut. Muhammad bin Shujja' mengatakan, "Ketika sampai pada hari yang diduga wang itu akan dihantarkan kepada Abu Hanifah, maka dia mengerjakan solat Subuh. Kemudian dia menutup badannya dan tidak berkata sepatah pun."

Maka datanglah utusan al-Hasan bin Quhthubah membawa wang,  lalu masuk ke tempat Abu Hanifah. Dan Abu Hanifah tidak berbicara dengan dia. Lalu berkata sebahagian orang yang hadir, "Beliau itu tidak berbicara dengan kita kecuali sepatah demi sepatah." Ertinya, itulah kebiasaan beliau.

Kemudian, maka berkatalah Imam Abu Hanifah r.a, "Letakkanlah wang itu dalam beg kulit ini dan bawalah ke sudut rumah."

Kemudian selepas itu Abu Hanifah meninggalkan wasiat mengenai harta benda di rumahnya. Dia mengatakan kepada anaknya, "Apabila aku mati kelak, dan aku telah kamu kuburkan maka ambillah dirham yang puluhan ribu ini, dan bawalah kepada al-Hasan bin Quhthubah dan katakan kepadanya, "Ambillah barang simpanan engkau yang engkau simpan pada Abu Hanifah."

Berkata anak Imam Abu Hanifah, "Maka aku laksanakan wasiat itu." Lalu berkata al-Hasan, "Rahmat Allah kepada ayahmu. Sesungguhnya dia adalah seorang yang tidak mahu sedikit pun mengulur tentang agama."

Diriwayatkan bahawa Imam Abu Hanifah dipanggil untuk diangkat menjadi qadhi (hakim) lalu dia menjawab, "Aku tidak layak untuk jawatan itu."

Lalu orang bertanya kepadanya, "Mengapa?"

Abu Hanifah menjawab, "Kalau aku benar, maka aku tidak layak untuk itu. Kalau aku bohong, maka pembohong tidak layak menjadi qadhi."

Adapun ilmunya dengan jalan akhirat dan jalan urusan agama serta pengetahuannya tentang Allah 'Azza wa Jalla, maka dibuktikan oleh kesangatan takutnya kepada Allah Ta'ala dan zuhudnya terhadap dunia. Berkata Ibnu Juraij, "Telah sampai kepadaku tentang orang negeri Kufahmu yakni Nu'man bin Tsabit (Abu Hanifah) itu, bahawa dia seorang yang sangat takut kepada Allah Ta'ala."

Berkata Syuraik an-Nakhai'e, "Abu Hanifah ialah seorang pendiam, selalu berfikir dan sedikit berbicara dengan manusia."

[Imam al-Ghazali - Ihya Ulumuddin, Jilid 1, Kitab Ilmu]

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.