Sabtu, 14 Jun 2014

Buah Nanas Kembar ditemui lagi

Buah Nanas kembar ditemui lagi dan kali ini oleh seorang peniaga di Kampung Sungai Gedong, Selinsing, Bagan Serai, Perak. 

Buah Nanas kembar

Peniaga berkenaan, Abdol Hussin, 63, berkata, dia menyedari keadaan buah yang unik itu ketika meninjau kawasan dusun buah-buahan miliknya.

Menurutnya, ketika membersihkan dusun, dia terpandang sebatang pokok nanas tumbang manakala terdapat sebiji buah bersaiz besar masih melekat pada tangkai pokok itu.

“Apabila melihat saiz buah itu, saya pada mulanya menyangkakan ia mungkin disebabkan berlaku longgokan buah nanas yang banyak pada satu tempat ketika pokok tumbang.

“Namun, apabila diteliti lebih dekat, saya mendapati buah berkenaan seolah-olah terhasil daripada cantuman 150 buah nanas membentuk buah seakan-akan kipas tangan,” katanya di sini, semalam.

Abdol berkata, dia pada mulanya teragak-agak untuk memotong tangkai buah berkenaan daripada pokoknya berikutan keadaan rupa bentuknya yang agak unik.

Bagaimanapun, dia nekad memotong nanas seberat lebih tiga kilogram itu dan menyimpannya di tempat selamat bagi mengelakkan ia dicuri pihak tertentu.

“Sepanjang lebih 35 tahun berpengalaman menjual pelbagai jenis buah-buahan termasuk nanas dan jambu susu, saya tidak pernah melihat sesuatu yang ajaib seperti itu.

“Kebiasaannya hanya sebiji nanas yang akan dihasilkan bagi setiap pokok yang ditanam.  Namun, nanas yang kita lihat hari ini (semalam) membuktikan kekuasaan Allah SWT dalam menjadikan sesuatu makhluk di muka bumi ini,” katanya.

Abdol berkata, dia berhajat menjualnya pada harga bersesuaian memandangkan perniagaan menjual buah-buahan adalah sumber pendapatan utamanya.

Menurutnya, sejak dua hari lalu, ramai penduduk kampung tidak putus-putus datang ke gerainya di Sungai Gedong untuk melihat sendiri rupa bentuk nanas itu.

“Saya hanya akan menjual nanas unik itu kepada mana-mana pembeli yang benar-benar menghargainya dan menawarkan harga berpatutan.

“Sebelum ini, kita ada mendengar penemuan nanas berbentuk kipas tangan, namun nanas yang saya temui ini agak unik kerana ia cantuman 150 buah berasingan dan bersaiz sangat besar,” katanya.

[Harian Metro]


Pada 1 Jun baru-baru ini ditemui Buah Nanas kembar 16 di Pasar Indralaya Kabupaten Ogan Ilir, Palembang.



[Tribunnews]


Pada bulan Mei tahun 2012 dulu, pernah ditemui buah Nanas berbentuk seperti hati (love). Ia ditemui oleh seorang suami kepada peniaga kedai perkakasan.

Nanas kembar 15 bentuk hati

Suaminya membawa pulang nanas kembar 15 seberat 7.7 kilogram yang tumbuh di ladang getah mereka di Kampung Sungkup, Bukit Selambau, Kedah.

Menurut Zuraini Md Isa, 41, nanas unik itu menjadi bualan penduduk kampung dan pengunjung yang memenuhi kedai mereka yang terletak depan masjid Bukit Selambau untuk melihat secara dekat, apabila buah itu diletak sebagai pameran.

“Nanas ini agak pelik sebab berbentuk hati, mempunyai 15 buah yang bercantum di bahagian tengah. Kalau dilihat secara kasar memang nampak ada yang sudah masak dan ada yang masih hijau,” katanya.

Zuraini berkata, dia dan keluarga tidak berhasrat untuk menjadikan buah nanas itu hidangan atau dimasak memandangkan kejadian disifatkan sangat unik dan tidak pernah dialaminya sebelum ini.

[Sinar Harian]


Buah nanas kembar - 25 Januari 2012

Seorang penduduk terkejut apabila pokok nanas dari jenis Sarawak yang ditanamnya bersama jiran bersifat ganjil apabila mengeluar buah kembar sehingga melebihi 10 biji satu pokok.

Buah nanas kembar

Amin Jamal, 66, dari Kampung Pernu, Melaka berkata, dia mula menanam pokok berkenaan selepas memikirkan bersama jirannya jenis tanaman yang sesuai dan mudah dijaga, kira-kira dua tahun lalu.

Dia akhirnya membuat keputusan untuk menanam nanas Sarawak dan sehingga kini terdapat lebih 20 pokok di halaman rumahnya serta sudah merasai buah berkenaan bersama jiran-jiran.

“Setakat ini sudah tiga musim kami bersama jiran-jiran merasai buah nanas berkenaan tetapi tidak sangka buah nanas kali ini agak berlainan daripada ke­biasaannya.

“Saya memang tidak pernah menemui buah nanas sebegini rupa, malah saudara-mara yang berkunjung juga berkata mereka tidak pernah menemui buah serupa ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di rumahnya, semalam.

Menurut Amin, dia mula menyedari keadaan rupa buah nanas itu sejak sebulan lalu dan memberitahu kejadian aneh itu kepada anak-anak dan isterinya.

“Saya bercadang sekiranya buah ini sudah cukup masak, akan membahagikan dengan jiran lain supaya semua dapat merasai nikmat pemberiaan ALLAH SWT ini,” katanya.

[Sinar Harian]


Ma syaa Allah .......

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.