Selasa, 17 Jun 2014

Berita gembira kitab Taurat dan Injil mengenai Rasulullah S.a.w

Berita gembira kitab Taurat dan Injil mengenai Rasulullah
Berita gembira kitab Taurat mengenai Rasulullah S.a.w

Allah S.w.t telah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s. Di dalamnya terkandung syariat-syariat yang sesuai dengan keadaan umat pada masa itu. Kemudian Allah menyebutkan pula di dalamnya tentang para nabi yang kelak akan diutusNya berdasarkan pengetahuanNya.  Di antara "berita gembira" yang disebutkan dalam kitab Taurat ialah berita tentang kedatangan Rasul kita yang mulia yang ditujukan kepada Nabi Musa a.s.

Berita gembira tersebut berbunyi seperti berikut, "Kelak Aku akan menjadikan di antara mereka seorang nabi seperti engkau dari kalangan saudara-saudara mereka, dan Aku akan menjadikan kalamKu (firman-Ku) melalui mulutnya, kemudian dia berbicara kepada mereka tentang segala sesuatu yang Aku perintahkan. Barangsiapa tidak mentaati sabdanya yang dikatakannya atas namaKu, maka Aku lah yang akan menghukumnya. Adapun mengenai nabi yang berani lancang berbuat takabbur dan berkata atas namaKu padahal Aku tidak menyuruhnya, atau dia berkata atas nama tuhan lain, maka hendaknya dia dibunuh.

Bila engkau ingin membezakan nabi yang benar dan nabi yang dusta (palsu), berikut ini adalah petandanya untuk engkau ingat, iaitu bahawa apa yang dikatakan oleh nabi atas nama Rabb, sedangkan Rabb tidak mengatakannya, dan dia hanya semata-mata berdusta dengan maksud ingin mengagungkan dirinya, engkau tidak usah takut terhadapnya."

Yahuda berkata bahawa subjek berita gembira ini adalah Yeshua bin Nun, pengganti Nabi Musa a.s padahal mereka masih tetap menunggu-nunggu seorang nabi lain sewaktu mereka berada dalam masa Al-Masih itu sendiri. Mereka mengirimkan utusan kepada Yahya (Yohanes) si pembaptis untuk bertanyakan tentang kedudukan dirinya. Untuk itu mereka mengatakan, "Apakah engkau Elia?" Yahya menjawab, "Bukan." Lalu mereka bertanya lagi, "Apakah engkau Al-Masih?" Yohanes menjawab, "Bukan." Mereka bertanya kembali, "Apakah engkau seorang nabi?" Yohanes menjawab, "Bukan." Lalu mereka berkata, "Mengapa engkau membaptis jika engkau memang bukan Elia, bukan Al-Masih dan bukan pula seorang nabi?" Kesaksian ini menunjukkan bahawa kitab Taurat menyatakan berita gembira tentang Elia, Al-Masih dan seorang nabi lainnya yang masih belum datang walaupun di zaman Nabi Isa a.s.

Selanjutnya kitab Taurat pun menyatakan tentang sifat dan ciri khas Nabi S.a.w, bahawa dia seperti Musa a.s. Telah dinaskan pula pada akhir kitab Ulangan bahawa tidak akan ada seorang nabi lagi yang seperti Musa di kalangan Bani Israel. Telah disebutkan pula di dalamnya berita gembira yang mengatakan bahawa nabi yang berdusta di atas nama Allah dibunuh. Perkara ini mirip dengan apa yang dikatakan dalam Al-Quran melalui firmanNya;

"Seandainya dia (Muhammad) mengadakan sebahagian perkataan atas (nama) Kami, nescaya benar-benar Kami pegang dia pada tangan kanannya. Kemudian benar-benar Kami potong urat tali jantungnya."  [Surah al-Haaqah : ayat 44 - 46]

Nabi S.a.w tinggal bersama musuh-musuh moyangnya dari kalangan kaum Musyrikin dan orang-orang Yahudi selama 23 tahun sambil menyeru mereka untuk beribadah kepada Allah S.w.t. Sekalipun demikian, Allah S.w.t memelihara diri Nabi S.a.w dari gangguan mereka. Untuk menenangkan hatinya, Allah S.w.t menurunkan firmanNya;

"Allah memelihara kamu dari gangguan manusia." [Surah Al-Maaidah : ayat 67]

Apakah terhadap perkara tersebut Allah tidak mampu melakukannya? Dia MahaKuasa terhadap segala sesuatu dan MahaKuasa untuk menurunkan azab terhadap orang yang menuduh Nabi S.a.w berkata dusta, dan Dia lah yang berfirman;

"Bahkan mereka mengatakan: "Dia (Muhammad) telah mereka-reka perkara dusta terhadap Allah", maka jika Allah menghendaki nescaya Dia mengunci mati hatimu, dan Allah tetap menghapuskan perkara yang bathil dan membenarkan yang haq dengan kalimah-kalimah-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada."  [Surah asy-Syuura : ayat 24]

Berita gembira tersebut telah memberikan informasi kepada kita semua tentang tanda-tanda yang dengan melaluinya kita dapat membezakan antara nabi yang benar dan nabi yang dusta, iaitu melalui ramalannya yang tepat terhadap apa yang akan terjadi di kemudian hari. Memang Nabi S.a.w banyak memberitakan  perkara yang akan terjadi di kemudian hari, kemudian ternyata kejadiannya sesuai dengan apa yang telah dikatakannya. Di antara berita gembira tersebut ada yang tidak dapat ditelaah dengan cara ramalan atau dugaan akal, iaitu seperti berita yang dinyatakan oleh Nabi S.a.w bahawa kekaisaran Romawi kelak akan dikalahkan oleh kerajaan Persia dengan kekalahan yang sangat parah sehingga digambarkan oleh Nabi S.a.w bahawa orang-orang Persia hampir saja menguasai Konstantinopel, ibu kota kekaisaran Romawi.

Selanjutnya digambarkan pula oleh Nabi S.a.w bahawa orang-orang Romawi beberapa tahun kemudian berhasil mengumpul kekuatannya, lalu mereka dapat merebut kembali kekalahannya beberapa tahun yang silam. Dapat disimpulkan bahawa berita yang tepat itu tiada lain hanyalah dari sisi Allah S.w.t belaka. Oleh itu, sebahagian kaum Musyrikin yang terdiri dari kaum Quraisy merasa hairan sekali dengan ketepatan ramalan Nabi S.a.w sehingga disebutkan bahawa Abu Bakr r.a bertaruh dengan mereka, dan ternyata kejadiannya sesuai dengan apa yang telah diberitakan oleh Nabi S.a.w berdasarkan wahyu dari Allah S.w.t. Akhirnya Abu Bakr r.a berhasil meraih kemenangan dari taruhannya itu.

Al-Qadhi 'Iyadh mengatakan dalam kitab Asy-Syifa bahawa 'Atha' ibnu Yasar pernah bertanya kepada 'Amr ibnul 'Ash tentang sifat Rasulullah S.a.w. 'Amr ibnul 'Ash menjawab, "Ya memang demi Allah, sesungguhnya Nabi S.a.w telah disebutkan sifat-sifatnya dalam kitab Taurat sesuai dengan sebahagian sifatnya disebut oleh firmanNya;

"Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutusmu sebagai saksi (terhadap umatmu), dan pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman) serta pemberi amaran (kepada orang-orang yang engkar)."  [Surah al-Ahzaab : ayat 45]

Berita dalam kitab Taurat tersebut mengatakan, "Demi memelihara kaum yang ummi (buta huruf), engkau adalah hamba dan rasul-Ku. Ku namakan engkau Al-Mutawakkil (orang yang bertawakkal) yang tidak keras, tidak berhati kasar, dan tidak bersuara gaduh di pasar-pasar. Dia tidak menolak keburukan dengan keburukan yang lain, tetapi dia pemaaf dan pengampun. Allah tidak akan mematikannya sebelum agama-Nya tegak kukuh sehingga mereka mahu mengatakan la ilaaha illallah (tiada tuhan selain Allah), sebelum Allah membukakan mata yang buta dan telinga yang tuli serta hati yang terkunci."

Al-Qadhi 'Iyadh meriwayatkan hal yang serupa melalui 'Abdullah ibnu Salam r.a. Dahulu, Abdullah ibnu Salam adalah pemimpin orang Yahudi, tetapi dia tidak menghiraukan kedudukannya itu, dan dengan sukarela dia masuk agama yang lurus, iaitu Agama Islam. Demikian pula Ka'ab ibnu Ahbar, bekas pendeta Yahudi, dia berbuat serupa.

Menurut riwayat lain yang disebutkan dalam kitab Taurat sehubungan dengan berita gembira tentang Nabi S.a.w adalah seperti berikut ini. "Tidak pernah mengeluarkan perkataan keras sekali pun di pasar-pasar dan tidak pula pernah mengatakan perkara-perkara yang tidak senonoh. Aku selalu membimbingnya kepada setiap perbuatan yang indah (baik). Aku memberinya semua akhlaq yang mulia. Aku jadikan ketenangan sebagai pakaiannya, kebajikan sebagai lambangnya, taqwa sebagai perasaannya, hikmah (kebijaksanaan) sebagai perkataannya, jujur dan menepati janji sebagai wataknya, pemaaf dan berbuat yang ma'ruf sebagai akhlaknya, adil sebagai perjalanan hidupnya, perkara yang hak sebagai syariatnya, hidayah sebagai imamnya, Islam sebagai agamanya, dan Ahmad sebagai namanya. Aku memberinya hidayah setelah tersesat, Aku mengajarinya setelah jahil, Aku mengangkat sebutannya setelah dia tidak dikenali, Aku meninggikan darjatnya setelah dia tidak dianggap, Aku memperbanyak pengikutnya setelah sedikit, Aku membuatnya bercukupan setelah dia miskin, Aku mempersatukan dengannya setelah berpecah-belah, Aku merukunkan hati-hati yang bertentangan melaluinya, kecenderungan yang berbeza-beza dan bangsa yang bermacam-macam, dan Aku menjadikan umatnya sebagai umat yang paling baik di antara umat manusia."

Nabi Musa a.s memberitakan tentang sifat Nabi S.a.w dalam kitab Taurat. Musa a.s menurunkan firman Allah S.w.t seperti berikut, "Dia adalah orang yang jujur lagi dipercayai, hambaKu yang bernama Ahmad adalah pilihan-Ku, tempat kelahirannya di Makkah, dan tempat hijrahnya ialah Madinah atau Thayyiban dan umatnya adalah orang-orang yang selalu memuji kepada Allah setiap saat."

Berita Injil tentang kedatangannya

Nabi Isa a.s memberikan berita gembira kepada kaumnya dalam kitab Injil tentang Farqalith yang ertinya sama dengan Muhammad atau Ahmad. Perkara ini dibenarkan oleh Al-Quran melalui firman Allah;

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: "Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat, dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang selepasku bernama Ahmad", maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata; "Ini ialah sihir yang jelas nyata!" [Surah as-Shaaf : ayat 6]

Nabi Isa a.s menceritakan tentang ciri-ciri khas Farqalith ini dengan gambaran-gambaran yang tidak sesuai kecuali kepada Nabi Muhammad S.a.w. Selanjutnya Nabi Isa a.s menyatakan bahawa dia (Muhammad) mencela semua umat manusia atas kesalahan-kesalahan yang telah mereka lakukan, dan dia mengajarkan kepada mereka semua perkara yang hak kerana dia tidak mengucapkan kata-kata dari dirinya sendiri, tetapi hanya menyampaikan apa yang telah didengarinya dari wahyu Allah S.w.t. Ciri khas ini lah yang disebutkan oleh Al-Quran Al-Karim melalui firmanNya;

"Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadits) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya." [Surah an-Najm : ayat 3 - 4]

Disebutkan pula dalam kitab Injil Barnabas tentang nama Rasulullah S.a.w secara jelas, tetapi sangat disayangkan kitab Injil Barnabas ini, yang baru saja ditemui kemudian, tidak lama selepas itu disembunyikan oleh tangan-tangan jahil.

Gerakan pemikiran sebelum diutusnya Rasulullah S.a.w

Pembahasan mengenai perkara ini berkisar pada pergerakan besar yang dilakukan oleh para pendeta dan para rahib  sebelum diutusnya Rasulullah S.a.w. Orang-orang Yahudi menunggu-nunggu kemenangan mereka ke atas orang-orang Arab penduduk Madinah melalui seorang rasul yang sedang ditunggu-tunggu kedatangannya. 'Ashim ibnu 'Amr ibnu Qatadah menceritakan perkara ini kepada kaumnya, "Sesungguhnya dia (Rasulullah) menyeru kami untuk memeluk Islam dengan membawa rahmat Allah buat kami. Sebelumnya kami tidak mempunyai pengetahuan tentang kedatangannya. Kami adalah penyembah berhala dan orang-orang musyrik sedangkan mereka adalah kaum ahli kitab. Mereka banyak mengetahui perkara-perkara yang tidak kami ketahui melalui kitab mereka.

Antara kami dan mereka sering terjadi pertengkaran dan perselisihan. Bila kami menang ke atas mereka, lalu mereka mengatakan, "Sekarang sudah dekat masanya bagi kami kedatangan seorang nabi yang diutus, kelak kami akan bertempur bersamanya melawan kalian bagaikan kami memerangi orang-orang 'Aad dan kaum Irmia. Perkara seperti itu sering kami dengar melalui mulut mereka. Akan tetapi setelah Allah mengutus rasul-Nya, Muhammad S.a.w, kami mengabulkan seruannya ketika dia mengajak kami menyembah Allah. Kami telah mengetahui apa-apa yang telah mereka ancamkan kepada kami dengan datangnya Rasulullah ini. Kami segera lebih dahulu beriman kepadanya, tetapi ternyata mereka sendiri engkar dan kafir."

Orang-orang Yahudi berani mengatakan kepada orang-orang musyrik Arab, "Kami akan membunuh kalian sebagaimana Allah membinasakan kaum 'Aad dan kaum Irmia, bersama Nabi yang sedang ditunggu-tunggu itu, kerana sifat-sifat Nabi S.a.w telah tertera dalam kitab suci mereka yang di dalamnya disebutkan bahawa Nabi ini kelak akan membanteras kemusyrikan dengan kekuatan. Akan tetapi mereka tidak menyedari bahawa kedengkian dan kezaliman akan menguasai diri mereka sehingga mereka enggan memeluk agama yang lurus yang dibawanya. Oleh sebab itu mereka berhak mendapat azab di dunia dan di akhirat.

Umayyah ibnu Abush-Shilt, seorang Arab pemeluk agama Nasrani sering mengatakan, "Sesungguhnya aku telah menemui dalam kitab Injil sifat seorang nabi yang kelak akan diutus ke negeri kami."

Salman Al-Farisi r.a menceritakan pula bahawa dia pernah menemani seorang pendeta Nasrani selama beberapa waktu. Ternyata pendeta itu sering berkata kepadanya, "Hai Salman, sesungguhnya Allah kelak akan mengutuskan seorang rasul bernama Ahmad. Dia dilahirkan di daerah pergunungan Tihamah. Tandanya ialah dia mahu memakan hadiah, tetapi tidak mahu memakan zakat." Cerita yang dikemukakan oleh pendeta tersebut merupakan penyebab masuk Islamnya Salman di kemudian hari.

Tatkala Rasulullah S.a.w mengirimkan surat kepada raja-raja  di seluruh penjuru dunia, tiada seorang raja pun yang menghina suratnya kecuali Kisra, raja Persia, yang tidak mempunyai pengetahuan dari kitab suci. Semua raja pemeluk agama Nasrani seperti raja Negus dari Abesinia, Muqauqis raja Mesir, dan kaisar Heraklius (Hercules) dari Romawi, memuliakan tamu utusan Nabi S.a.w, yang datang kepada mereka menyampaikan surat Nabi S.a.w. Di antara mereka ada yang mahu beriman kepada Rasulullah S.a.w, seperti raja Negus, ada juga yang menolak, tetapi dengan tolakan yang lemah lembut dan hampir saja mahu masuk Islam seandainya bukan kerana kedudukannya sebagai seorang raja besar, seperti kaisar Heraklius. Di antara mereka ada yang mendapat hidayah seperti raja Muqauqis dari Mesir.

Pada waktu itu Rasulullah S.a.w masih belum memiliki kekuatan yang dapat menghantarkan raja-raja tersebut masuk Islam. Perlakuan yang baik itu tidak lain kerana mereka mengetahui bahawa Al-Masih a.s telah memberikan berita gembira tentang datangnya seorang rasul selepasnya. Ternyata sifat-sifat Rasulullah S.a.w sesuai dengan apa yang disebutkan dalam kitab mereka. Mereka pun mahu menyambut seruan yang lebih baik itu.

Berita yang didengar melalui bisikan-bisikan para juru ramal sebelum masa Rasulullah S.a.w juga cukup banyak menyatakan kedatangannya, tetapi kiranya cukup bukti apa yang kami telah tuturkan tadi kerana data-datanya cukup autentik.

[Syeikh Muhammad Al-Khudhari Bek - Nurul Yaqiin fii siirati Sayyidil Mursaliin]


Kisah sahabat Nabi melihat gambar-gambar para Rasul

Ada sedikit tambahan tentang kisah Sahabat Nabi S.a.w menghantar surat Rasulullah S.a.w kepada kaisar Heraklius.

Sila baca Kisah Sahabat Nabi melihat gambar-gambar beberapa orang Rasul


Wallahu a'lam ....... :-)


Glossary:

- Musa a.s (Hebrew: מֹשֶׁה‎, Modern Moshe, Tiberian Mōšéh, ISO 259-3 Moše ; Syriac: ܡܘܫܐ Moushe; Arabic: Mūsā - موسى‎)

- Isa a.s (Hebrew: Yeshua, English: Jesus, Indonesia: Yesus, Greek: Iēsous, Arabic: عيسى -  Isa, Arabic-Christian: Yasūʿ - يسوع)


Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.