Selasa, 20 Mei 2014

Undang-undang tentera berkuatkuasa di Thailand hari ini

Undang-undang tentera berkuatkuasa di Thailand
Tentera Thailand mengisytiharkan undang-undang tentera di seluruh negara itu berkuat kuasa serta-merta, awal pagi ini.

Perintah itu diumumkan stesen televisyen tentera, TV5 Channel, pada 3 pagi bertujuan memulihkan keamanan dan ketenteraman di negara itu.
    
Anggota tentera dikerah mengawal stesen televisyen di Bangkok.
    
Undang-undang tentera itu diumumkan di tengah-tengah persediaan penyokong prokerajaan kumpulan Baju Merah dan antikerajaan untuk mengadakan perhimpunan terbesar minggu ini.
    
Penyokong Baju Merah berhimpun di Jalan Aksa di pinggir Bangkok, manakala penyokong antikerajaan berada di beberapa lokasi di Bangkok.
    
Kumpulan antikerajaan Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) membatalkan perhimpunan jalanan hari ini berikutan pengisytiharan undang-undang tentera itu.
    
Di bawah undang-undang tentera, penunjuk perasaan hanya dibenar mengadakan perhimpunan di 'kubu' masing-masing, dan tidak boleh bergerak.
    
Tentera mengisytiharkan undang-undang tentera selepas kedua-dua pihak yang bertelagah dalam politik Thailand gagal bersetuju untuk menyelesaikan kemelut politik di negara itu.
    
Masalah utama kepada penyelesaian konflik itu apabila kumpulan antikerajaan berkeras mahu kerajaan sementara sekarang yang dikuasai parti pemerintah Pheu Thai meletak jawatan dan Perdana Menteri baharu yang berkecuali dengan kuasa penuh, dilantik.
    
Bagaimanapun, kabinet sementara sekarang diketuai pemangku Perdana Menteri sementara Niwattumrong Boobnsongpaisan enggan meletak jawatan.
    
Konflik itu dicetuskan dengan protes berhubung rang undang-undang pengampunan tahun lepas yang akhirnya dibatalkan selepas tekanan daripada kumpulan pembangkang yang dilihat sebagai langkah bagi membolehkan kepulangan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra daripada buangan yang akhirnya membawa pembaharuan dalam sistem politik di negara itu. 

[Sinar Harian / Bernama]



Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.