Selasa, 27 Mei 2014

Peluang tengok planet Zuhal, Musytari, Marikh bersama Agensi Angkasa

Zuhal, Musytari, Marikh
Orang ramai berpeluang untuk melihat planet Zuhal, Musytari dan Marikh melalui teleskop dengan menyertai program 'Sidewalk Astronomy Night 2014' anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa), di sini Sabtu ini.

Angkasa dalam satu kenyataan malam ini berkata sebanyak lima teleskop akan disediakan pihaknya di Tepian Tasik, Taman Tasik Titiwangsa, di sini. 

"Pada malam itu juga orang ramai berpeluang untuk mencerap permukaan bulan yang pada ketika ini berada dalam fasa bulan baharu," kata Angkasa. Program dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu akan bermula pada pukul 8 malam hingga 10 malam.

Tiada sebarang bayaran dikenakan.

Angkasa turut menggalakkan orang ramai yang mempunyai teleskop sendiri supaya membawa alat itu pada malam berkenaan.

Di samping melihat planet dan bulan, pengunjung juga bakal diberi taklimat berkenaan objek cakerawala yang dilihat serta boleh menyertai kuiz dan aktiviti dikenali sebagai 'space glow in the dark'.

[Sinar Harian / Bernama]

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.