Isnin, 5 Mei 2014

Orang yang Takut Miskin justeru akan menjadi Miskin Hakiki

Orang yang Takut Miskin justeru akan menjadi Miskin Hakiki
Dalam kehidupan di zaman moden penuh fitnah dewasa ini, kita jumpai banyak sekali manusia yang hidup dipenuhi kegelisahan berpanjangan. Dan salah satu kegelisahan tersebut berpunca dari kebimbangan akan jatuh miskin. Inilah fenomena nyata yang membuktikan betapa fahaman materialisme telah mendominasi majoriti penduduk planet bumi.

Kebanyakan orang ketika ini jauh lebih takut akan kehilangan harta daripada kehilangan iman dan keyakinannya terhadap Allah Pencipta alam semesta. Ramai orang telah menjadikan kejayaan dalam kehidupan dunia sebagai tujuan utamanya. Padahal Nabi Muhammad shollallahu 'alaih wa sallam memperingatkan kita bahawa jika dunia telah menjadi fokus perhatian utama, maka hidup seseorang bakal kelam kabut dan kemiskinan bakal menghantui dirinya terus-menerus.

"Sesiapa yang menjadikan dunia cita-citanya, nescaya Allah cerai-beraikan urusannya dan dijadikan kefakiran (kemiskinan) menghantui kedua matanya dan Allah tidak memberinya harta dunia kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya." (HR Ibnu Majah 4095) 

Dan sebaliknya, Nabi Muhammad shollallahu 'alaih wa sallam menegaskan bahawa hanya orang yang niat utamanya ialah kehidupan akhirat, maka hidupnya bakal berada dalam penataan yang rapi dan hidupnya akan dihiasi dengan kekayaan hakiki, yakni kekayaan hati. Bahkan Nabi Muhammad shollallahu 'alaih wa sallam menjamin orang tersebut bakal memperolehi dunia dengan jalan dunia yang datang kepada dirinya secara tunduk bahkan hina, bukan sebaliknya, dia yang perlu mengejar dunia dengan hina sehingga merendahkan martabat diri.

"Dan barangsiapa menjadikan akhirat keinginan (utamanya), nescaya Allah kumpulkan baginya urusan hidupnya dan dijadikan kekayaan di dalam hatinya dan didatangkan kepadanya dunia bagaimanapun keadaannya (dengan tunduk)." (HR Ibnu Majah 4095)

Apa yang dapat kita simpulkan dari hadis Nabi Muhammad shollallahu 'alaih wa sallam di atas? Kesimpulannya ialah jika seorang hamba hidup dengan senantiasa sedar dan yakin bahawa Allah adalah Pemberi Rezeki sesungguhnya dan bahawa tugasnya sebagai orang beriman ialah terus-menerus mengukuhkan keyakinan akan hidup yang sesungguhnya ialah di kampung akhirat nan kekal, bukan di negeri dunia nan fana ini, maka dengan sendirinya Allah pun akan membalas keyakinannya yang mulia dan benar itu dengan balasan yang selayaknya sebagaimana Allah sendiri janjikan di dalam KitabNya:

"Barang siapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (QS an-Nahl ayat 97)

Barangsiapa beramal soleh, maka Allah jamin kehidupannya bakal baik di dunia dan Allah bakal balas dengan yang jauh lebih baik dari 'amal sholehnya di akhirat kelak. Namun, saudaraku, itu semua dengan syarat yang sangat fundamental, iaitu "dalam keadaan beriman." Dan iman yang paling pokok ialah ber-tauhid. Termasuk di dalamnya ialah hanya bergantung kepada Allah Yang Maha Ahad (Esa), tidak bergantung kepada apapun atau siapapun selain Allah.

Oleh karena itu, Nabi Muhammad shollallahu 'alaih wa sallam memberikan khabar gembira kepada setiap muwahhid (ahli tauhid). Bahawa hidup mereka bakal dijauhkan dari kemiskinan. Dan untuk memperolehi jaminan tersebut ternyata cukup dengan setiap kali pulang ke rumah membaca ayat pertama surah Al-Ikhlas sebelum masuk ke dalam rumah. Tentunya itu semua dilakukan bukan sekadar sebagai mantera berupa kumat-kamit di bibir semata. Namun ia mestilah diiringi dengan keyakinan penuh akan makna dari ucapan kalimat tersebut: "Qul huw-Allahu Ahad" (Katakanlah: Allah itu Maha Esa). Ertinya, ucapkanlah sambil meyakini sedalam mungkin di dalam hati bahawa tidak ada tempat selain Allah untuk memohon dan mengharapkan datangnya rezeki berkat yang bakal mencukupi hidup kita ditambahi hidup anak-isteri ditambahi kos kita untuk beribadah, beramal, berdakwah dan berjihad di jalan Allah Ta'aala.

Rasulullah shollallahu 'alaih wa sallam bersabda: "Barangsiapa membaca" Qul huw-Allahu Ahad "(surah Al-Ikhlas ayat pertama) ketika masuk ke dalam rumahnya, maka kefakiran (kemiskinan) bakal tertolak dari penghuni rumah tersebut dan kedua tetangganya." (HR Thabrani) 

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari bingung dan sedih. Aku berlindung kepada Engkau dari lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan kikir. Dan aku berlindung kepada Engkau dari tekanan hutang dan kesewenang-wenangan manusia (penagih hutang / debt collector). "


Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.