Sabtu, 31 Mei 2014

Kisah Israeliyyat, perlukah ditolak semua?

Bani Israel
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Secara ringkasnya, kisah-kisah Israiliyyat ialah kisah-kisah yang diceritakan oleh keturunan Bani Israel @ Yahudi, dan biasanya yang diceritakan oleh Yahudi yang telah memeluk Islam dan menjadi sahabat Nabi S.a.w. Dan kadang-kadang ada juga diambil dari orang-orang Nasrani yang memeluk Islam.

Kenapa sejarah yang dikaji dan ditulis oleh ahli-ahli sejarah barat kita boleh terima, sedangkan kisah-kisah yang ada diceritakan oleh Yahudi dan Nasrani yang telah menjadi sahabat Nabi S.a.w kita tidak boleh terima?

Di sini letaknya persoalan sama ada boleh atau tidak untuk menerima kisah-kisah Israiliyyat. Kerana kisah-kisah itu juga sebenarnya adalah salah satu sumber sejarah. Dan kebanyakannya diceritakan berdasarkan kisah-kisah Yahudi lama yang diambil dari Nabi-nabi dahulu kala dan juga dari kitab-kitab lama mereka.

Tidak kurang juga ada kisah-kisah Israiliyyat yang diputar-belit oleh Yahudi untuk mengucar-kacirkan umat Islam, agar mempercayai suatu yang tidak berasas, merosakkan ajaran Islam, apa lagi yang bercanggah dengan Aqidah dan Syariah. Tetapi biasanya kisah-kisah sedemikian mudah dikesan (terutamanya cerita yang terlalu tidak masuk akal dan tidak berasas). Para Ulama pun dari dulu berusaha mentahqiq kitab-kitab yang menukilkan kisah-kisah Israiliyyat agar tidak diambil riwayat-riwayat yang songsang ini. (Cuma saya tidak pasti setakat mana berjayanya usaha ini).

Saya lebih setuju dengan pendapat yang mengatakan kisah-kisah Israiliyyat boleh dibaca, cuma perlu ada penapisan terhadapnya. Yang mana tidak bercanggah dengan Aqidah dan Syariat Islam, tidak boleh ditolak mentah-mentah, kerana mungkin ianya ada nilai sejarah dan pengajaran. Sama lah seperti sejarah-sejarah yang ditulis oleh sejarawan barat, selagi tidak bercanggah dengan Islam, apa salahnya kita baca.  Itu untuk kepuasan minda dalam berfikir, dan memuji kebesaran Allah S.w.t dengan kisah-kisah manusia lampau.

Kisah Israiliyyat ini boleh dikategorikan kepada 3, iaitu;

1 - Wajib diterima - jika ianya sama dengan apa yang Al-Quran dan Al-Hadits ceritakan.

2 - Wajib ditolak - jika ternyata bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Hadits.

Jika ada riwayat-riwayat yang ternyata bercanggah dengan Islam perlulah dibuang dan "delete" terus dari pembelajaran kita.  Contoh keadaan yang sepatutnya ditolak ialah;

- Jika ternyata bercanggah faktanya dengan Al-Quran dan Al-Hadits.

- Jika ianya menceritakan tentang keburukan akhlak para nabi a.s. Ini sudah tentu riwayat yang tidak betul  dan bercanggah, kerana Islam meletakkan para nabi pada kedudukan yang mulia.

3 - Boleh didengar dan ambil pengajaran, jika ianya tiada dalam Al-Quran dan Al-Hadits, dan tidak juga bertentangan dengan kedua-duanya. Selagi ianya tidak bercanggah dengan Islam, mungkin ada betulnya. Begitu juga tidak boleh tolak mentah-mentah kerana dikhuatiri ianya betul, maka kita sudah menolak kebenaran.  Siapa kita untuk mengatakannya tidak betul jika tidak ada dalil dalam Agama yang menolaknya? Adakah kita hidup di zaman lampau dan menjadi saksi mata sendiri?  Sedangkan kita tidak tahu suasana dan keadaan di zaman dahulu. Mungkin suatu yang kita rasa mustahil berlaku di zaman sekarang, tidak mustahil berlaku di zaman dahulu. Allah Maha Berkuasa.

Tambah lagi banyak juga kisah-kisah Israiliyyat yang sama seperti diceritakan Al-Quran dan Al-Hadits. Ini satu bukti bahawa bukan semua kisah-kisah itu tidak benar. Mana-mana yang tidak terkandung dalam Al-Quran dan Al-Hadits pun tidak semestinya tidak benar belaka.

Asalkan kita tidak memandai-mandai mengatakan ianya berasal dari Nabi S.a.w. Dan tidak pula menjadikannya sumber hukum dalam Islam. Dan tidak pula beriman seperti mana kita beriman dengan Al-Quran dan Al-Hadits. Kerana sesuai sabda Nabi S.a.w yang bermaksud;

"Janganlah kamu membenarkan (berita-berita yang dibawa) Ahli Kitab dan jangan pula mendustakannya, tetapi katakanlah, Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami…." [HR Bukhari]

Sebaik-sebaiknya, kita ada tempat rujukan atau bertanya, pada orang-orang alim dan yang ahli tentangnya. 

Imam Ibnu Katsir ada mengatakan, di dalam sebuah hadits shahih dari Rasulullah S.a.w, disebutkan bahawa beliau S.a.w pernah bersabda;

"Apabila ahli kitab bercerita kepada kalian, maka janganlah kalian membenarkan mereka, jangan pula kalian mendustakan mereka."

Kemudian kisah-kisah mereka terbahagi menjadi tiga bahagian, di antaranya ada kisah-kisah yang telah kita ketahui kebenarannya melalui apa yang ditunjukkan oleh dalil dari Kitabullah atau dari Sunnah Rasul S.a.w. Ada kisah yang telah kita ketahui kedustaannya melalui dalil dari Kitabullah dan Sunnah Rasulullah S.a.w, yang bersikap berbeza dengannya. Ada pula yang tidak dibicarakan oleh Kitabullah dan Sunnah Rasul, maka jenis kisah ini dibolehkan meriwayatkannya, kerana ada sabda Nabi S.a.w yang mengatakan;

"Berceritalah dari kaum Bani Israil, tidak mengapa."

Jenis kisah inilah yang tidak dibenarkan, tidak pula didustakan, kerana ada sabda Nabi S.a.w yang mengatakan;

"maka jangan lah kalian membenarkan mereka, jangan pula kalian mendustakan mereka." [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-A'raf, ayat 190]

Justeru, selain dari kisah-kisah yang ternyata bercanggah dengan Al-Quran dan Al-Hadits, tak perlulah kita berkelahi dan bertikam lidah. Siapa yang rasa nak terima, dia terima lah. Siapa tak boleh terima, duduk diam-diam sudah. Sama lah seperti kita membaca buku sejarah tulisan sejarawan barat dan apa saja tulisan lain yang bukan dari Al-Quran dan Al-Hadits.  Tidak ada masalah pun sebenarnya, cuma kadang-kadang akibat kita sendiri yang terlalu emosional dan melampau, menyebabkan berlaku krisis dalam penerimaan riwayat-riwayat Israiliyyat ini.

Daripada 'Abdullah ibnu 'Amru ibnu al-'Ash r.a, Rasulullah S.A.W bersabda; "Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil, itu tidak mengapa. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka." [HR Al-Bukhari]

Nabi S.a.w pun tidak melarang kita meriwayatkan kisah-kisah dari Bani Israil atau "kisah Israiliyyat". Kerana itulah kisah-kisah Israiliyyat juga ada ditulis dalam kitab-kitab tafsir (termasuk tafsir-tafsir besar). Kenapa Nabi S.a.w tidak melarang? Sudah tentu ada hikmahnya yang tersendiri yang perlu digali. Kerana sejarah umat-umat dahulu juga boleh menjadi pengajaran kepada umat seterusnya. Jika kita hanya beku dengan pemikiran moden tetapi tidak menghayati langsung pemikiran lama, maka ilmu tidak akan berkembang. Kerana zaman moden tidak datang melainkan datang terlebih dulu zaman lama.

Cuma seperti yang dibahaskan di atas, asalkan ianya tidak bercanggah dengan Islam. Sama juga seperti jika disebut kita menceritakan suatu hadits, adakah betul ianya hadits Nabi S.a.w? Kalau ianya Hadits Maudhu' (palsu), maka kita tidak boleh menyebarkannya juga, malah berdosa besar jika sengaja menyebarkannya, tanpa memberitahu bahawa itu adalah Hadits Palsu (bukan hadits Nabi S.a.w), na'dzu billah.

Perlu ada usaha yang lebih lagi bagi membezakan antara Kisah-kisah Israiliyyat dan Kisah-kisah dari Al-Quran dan Al-Hadits serta Atsar, agar orang-orang awam tidak lagi keliru. Apa lagi sekarang ini zaman semakin banyak berubah dengan fitnahnya juga semakin bersemarak.

Sila ikuti video-video di bawah dan dengar sendiri penjelasan dari mereka. Wallahu a'lam ....... :-)

Israiliyyat & Melayu liat - Dr Asri

Israiliyyat - Ustaz Azhar Idrus

Apa itu Israiliyyat? - TG Hj Abdul Hadi Awang

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.