Sabtu, 24 Mei 2014

Ada DNA babi dalam dua produk Cadbury Dairy Milk?

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum isu pengesanan DNA babi (porcine) dalam produk coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk yang tersebar luas melalui aplikasi media sosial pada 23 Mei 2014.

DNA babi dikesan dalam dua produk Cadbury Dairy Milk

Di dalam media sosial tersebut memaparkan keputusan analisis porcine dikesan di dalam produk coklat susu dengan kacang hazel – Cadbury Dairy Milk.

Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara berkaitan dengannya.

Hasil siasatan oleh KKM mendapati 3 sampel coklat Cadbury diambil untuk analisis porcine bagi tujuan pemantauan.

Keputusan analisis mendapati 2 sampel dikesan mengandungi porcine iaitu:

i) Coklat Susu dengan Kacang Hazel – Cadbury Dairy Milk Hazelnut dengan nombor kelompok (batch no 200813M01H I2) yang bertarikh luput 13 November 2014.

ii) Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond dengan nombor kelompok (batch no 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

Manakala, satu lagi sampel Coklat Susu - Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan porcine.

Pihak pengeluar iaitu Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd memberi jaminan akan memanggil balik produk terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok pada label produk sebelum membeli atau memakannya.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq.

[The Malaysian Insider / Bernama / Free Malaysia Today]


DNA khinzir: Jakim adakan mesyuarat tergempar

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang mengadakan mesyuarat tergempar susulan kenyataan akhbar Kementerian Kesihatan berhubung DNA khinzir (porcine) yang dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.

Penolong Pengarah (Perhubungan Awam) Divisyen Halal Hub, Jakim, Nadia Zammil Md Nasir ketika dihubungi berkata, mesyuarat tersebut diadakan dalam kadar segera bagi merungkai isu ini.

“Sebarang maklumat lanjut berkenaan isu ini akan diberikan selepas mesyuarat pada petang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan bahawa DNA khinzir (porcine) telah dikesan dalam coklat susu kacang hazel dan buah badam Cadbury Dairy Milk.

[Sinar Harian]


*Update 3 Jun 2014

Analisis Jabatan Kimia Sahkan Coklat Cadbury Tiada DNA Babi - Jamil Khir

Analisis makmal Jabatan Kimia terhadap dua produk coklat susu Cadbury - Roast Almond dan Hazelnut (badam dan kacang hazel) - disahkan tiada Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kedua-dua produk yang dianalisis itu adalah daripada kelompok yang sama dengan produk yang disahkan mengandungi DNA babi sebelum ini, tetapi sampel kali ini diambil terus dari kilang pengeluar produk itu di Shah Alam.

Baca selanjutnya di Bernama

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.