Khamis, 10 April 2014

Tingkatan-tingkatan Jihad menurut Imam Ibnu Qayyim

Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah di dalam kitabnya Zaadul Ma'ad, jihad itu ada 4 tingkatan besar;

1 - Jihad melawan hawa nafsu (Jihâdun Nafs) - yang terdiri dari 4 tingkatan pula;

- Memerangi nafsu dengan cara mempelajari petunjuk dan agama yang benar, yang tidak ada keberuntungan dan kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat kecuali dengan ilmu ini.

- Berjihad melawan hawa nafsu dengan amal setelah ilmu. Sebab jika jihad ini hanya dengan ilmu tanpa amal, tidak membahayakan diri sendiri, cuma sekurang-kurangnya ia tidak memberi manfaat.

- Berjihad melawan nafsu dengan mengajak kepada mendalami ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain yang belum mengetahui. Jika tidak, maka dia termasuk orang-orang yang menyembunyikan apa-apa yang diturunkan oleh Allah S.w.t, sehingga ilmunya itu tidak bermanfaat baginya dan tidak boleh menyelamatkannya dari seksa Allah S.w.t.

- Berjihad memerangi nafsu dengan cara bersabar menghadapi kesulitan dakwah kepada Allah dan gangguan manusia.

Jika 4 tingkatan ini menjadi sempurna kepada diri seseorang, maka dia termasuk golongan Rabbaniyyin. Orang-orang Salaf sepakat bahawa orang yang berilmu tidak berhak disebut Rabbany sehingga dia mengetahui kebenaran dan mengamalkannya.


2 - Jihad melawan syaitan (Jihâdusy Syaithôn) - yang terdiri dari 2 tingkatan;

- Berjihad melawan syaitan dengan cara menolak apa-apa yang hendak dibisikkan kepada hamba, seperti syubhah dan keraguan yang boleh menodai iman. 

- Berjihad melawan syaitan dengan menolak keinginan-keinginan yang merosakkan dan syahwat.

Jihad yang pertama menghasilkan keyakinan, sementara jihad yang kedua menghasilkan kesabaran. Allah S.w.t berfirman maksudnya;

"Dan Kami jadikan di antara mereka itu pemimpin-pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami ketika mereka sabar,  dan adalah mereka meyakini ayat-ayat Kami."  [Surah as-Sajdah : ayat 24]

Allah S.w.t memberitahu bahawa kepimpinan agama hanya boleh diperolehi dengan kesabaran dan keyakinan. Sabar menolak syahwat dan kehendak yang rosak, sedangkan keyakinan menolak keraguan dan syubhah.


3 - Jihad melawan orang-orang kafir dan munafiq (Jihâdul Kuffâr wal Munâfiqîn) - kedua-dua jihad ini terdiri dari 4 tingkatan, iaitu memerangi mereka dengan 

- hati, 

- lisan, 

- harta dan 

- jiwa. 

Jihad memerangi orang-orang kafir lebih khusus menggunakan tangan, sedangkan menghadapi orang-orang munafiq lebih khusus menggunakan lisan.


4 - Jihad melawan orang-orang zalim, ahli bid'ah dan pelaku kemungkaran - sedangkan jihad melawan orang-orang zalim, ahli bid'ah dan pelaku kemungkaran terdiri dari 3 tingkatan;

- Menggunakan tangan jika memungkinkan dan mampu.

- Jika tidak, maka menggunakan lisan.

- Jika tidak mampu, maka menggunakan hati. 


Jadi ini lah 13 tingkatan jihad yang siapa mati dan tidak pernah berperang serta tidak membisiki hatinya untuk berperang, maka dia mati pada sebahagian cabang kemunafikan.

Jihad dianggap belum sempurna kecuali dengan hijrah. Sementara tidak ada jihad dan hijrah kecuali ada iman. Orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah adalah mereka yang melaksanakan 3 perkara ini. Firman Allah S.w.t yang bermaksud;

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan Agama Islam), mereka itulah orang-orang yang mengharapkan rahmat Allah,  dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang."  [Surah al-Baqarah : ayat 218]

Hamba yang paling sempurna di sisi Allah ialah yang menyempurnakan semua tingkatan jihad ini. Tentu saja manusia berbeza-beza kedudukannya di sisi Allah, bergantung kepada perbezaan tingkatan jihadnya. Kerana itu manusia yang paling sempurna dan paling mulia di sisi Allah ialah para Rasul dan Nabi, dan yang paling sempurna di antara mereka adalah Rasulullah S.a.w. Baginda sanggup menyempurnakan semua tingkatan jihad ini dan baginda diperintahkan untuk berjihad semenjak diutus sebagai Rasul hingga saat kewafatan.

[Ringkasan Zaadul Ma'ad - Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah]


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.