Selasa, 18 Mac 2014

Keagungan adalah pakaianKu, kesombongan adalah selendangKu

wallpaper islamik - Keagungan adalah pakaianKu, kesombongan adalah selendangKu

العظمة إزاري، والكبرياء ردائي، فمن نازعني واحداً منهما عذبته

Firman Allah Azza wa Jalla dalam hadits Qudsi, "Keagungan adalah pakaianKu, kesombongan adalah selendangKu, barangsiapa yang mencabutnya dariKu salah satu dari keduanya, maka Aku akan mengazabnya."  [Hadits Qudsi riwayat Abu Daud, Ibnu Majjah, Ahmad, dishahihkan oleh al-Albani]

Sifat mengagungkan diri, sombong atau membesarkan diri (takabbur), adalah sifat yang HANYA LAYAK bagi Allah S.w.t, dan langsung TIDAK LAYAK bagi makhluk. Dan Allah S.w.t akan mengazab dan memasukkan manusia yang takabbur ke dalam neraka, wal 'iyaadzu billah. Sifat Takabbur ini dipelopori oleh Iblis la'natullah.

"Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada Para Malaikat; "Sujudlah  kamu kepada Adam," Maka sujudlah mereka kecuali Iblis, dia enggan dan takabbur dan adalah dia termasuk golongan yang kafir.  [Surah Al-Baqarah : 34]

Cuma kadang-kadang kita tersalah erti mengatakan orang sombong / takabbur, kerana orang itu tidak menegur kita, atau kelihatan seperti tidak mempedulikan kita, seakan-akan berlagak dan seumpamanya. Sedangkan itu mungkin kerana dia ada problem, banyak perkara perlu difikir dalam kepalanya, tidak perasan kehadiran kita dan sebagainya. Sombong dalam kefahaman orang Melayu banyak yang kurang tepat dan menyebabkan terjadinya BURUK SANGKA.

Maka daripada kita pula yang menimba dosa dengan berburuk sangka kepada orang, ada baiknya kita tanya baik-baik kenapa orang itu menjadi sekian-sekian, ajak berbincang dan sebagainya, sehingga terbukti bahawa dia betul-betul MEMBESARKAN DIRINYA.  Dan adalah lebih baik lagi jika sentiasa bersangka baik dan masing-masing MUHASABAH DIRI agar tidak menjadi orang yang takabbur. Melainkan jika orang itu betul-betul sudah melakukan KEMUNGKARAN di depan mata kita, maka itu wajib ditegur.

Hakikat manusia yang sombong / takabbur itu adalah seperti yang telah dijelaskan oleh Rasulullah S.a.w iaitu;

لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ. قَالَ رَجُلٌ: إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً؟ قَالَ: إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ، الْكِبْرُ: بَطَرُ الْحَقِّ، وَغَمْطُ النَّاسِ

"Tidak akan masuk syurga orang yang ada dalam hatinya sebesar zarah kesombongan." Seorang lelaki berkata, "Sesungguhnya lelaki tersebut menyukai pakaiannya bagus dan kasutnya bagus? "  Kata Nabi S.a.w; "Sesungguhnya Allah itu Cantik dan suka kepada yang cantik, al-Kibru (kesombongan) itu ialah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia."

Jika ada orang yang sama ada dia kaya atau miskin, yang MENOLAK KEBENARAN yang disampaikan oleh Rasulullah S.a.w melalui Al-Quran dan al-Haditsnya,  dan menolak Ijma' ulama, maka itu baru dinamakan orang yang sombong. Apabila dinasihati dengan kebenaran, dia tetap akan BERKERAS dengan kebathilan yang ada padanya. Begitu juga jika dia suka membesarkan diri dan merendah-rendahkan serta menghina orang lain.

Dan yang lebih dibenci oleh Allah S.w.t ialah orang miskin yang MENYOMBONGKAN DIRI. Sudah lah miskin, tetapi dia masih lebih rela menjauhkan diri dari Allah S.w.t dengan melakukan pelbagai maksiat, hingga ada yang sanggup menjual maruah diri, menjual agama, berjudi, makan riba, mencuri, merompak dan sebagainya demi untuk mendapatkan kesenangan duniawi. Begitu juga ada yang beramal dengan perkara-perkara syirik dan khurafat, dengan membelakangkan ajaran Rasulullah S.a.w.

"Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa," kata Muawiyah, "Juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat seksa yang pedih iaitu;

1. Orang tua penzina.
2. Raja, Pemimpin Kerajaan (penguasa) yang pembohong.
3. Orang miskin yang sombong."  [Hadits Riwayat Muslim]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.