Selasa, 17 September 2013

Khalifah Umar Al-Khattab dan prihatinnya pada rakyat miskin


Kisah Sayyidina Umar Al-Khattab oleh Ustaz Fawwaz bin Mohd Jan

- Para sahabat pernah mengatakan bahawa, mereka tak pernah merasakan hebatnya Islam ini seperti mana setelah Umar Al-Khattab memeluk Islam.

- Satu-satunya sahabat nabi yang bernama Umar dengan ejaan ع م ر iaitu عمر , sedangkan sahabat-sahabat lain juga ada yang bernama Umar, tetapi Rasulullah S.a.w menyuruh memanggil yang lain sebagai Amru  - عمرو - dengan menambah huruf 'و' di belakang,  sebagai penghargaan istimewa buat Umar Al-Khattab.

- Sayyidina Umar r.a digelar juga sebagai Al-Faruq , yang bermaksud 'yang dapat membezakan antara baik dan buruk'.

- Umar r.a ada tanda lengkuk bawah kedua-dua matanya, seperti bekas mengalir air, kerana dia tiap-tiap malam menangis kerana takutkan Allah.  Lebih-lebih lagi jika dia membaca Surah Al-Muthaffifin ayat 6.

- Umur Sayyidina Umar r.a ketika meninggal dunia adalah 63 tahun, sama dengan umur Sayyidina Abu Bakar r.a dan juga umur Sayyidina Muhammad S.a.w. 


Khalifah Umar Al-Khattab dan prihatinnya pada rakyat miskin

- Umar r.a adalah Khalifah yang kedua selepas Abu Bakar r.a.  Umar r.a menjadi Khalifah selama 10 tahun 6 bulan 4 hari.

- Mula-mula Umar r.a jadi khalifah dia buat undang-undang yang berbunyi "dari mana kamu dapat harta ini?"  Kerana dia tidak mahu rakyatnya, terutamanya gabenor-gabenor (menteri) memperolehi harta dari sumber yang haram.

Dia tidak mahu gabenor-gabenor yang dilantik mengumpulkan kekayaan. Sebagai contoh, jika seorang gabenor itu masa dilantik mempunyai 2 helai pakaian, maka setelah berhenti jawatan gabenor nanti pun mesti mempunyai 2 helai pakaian itu juga dan tidak lebih. Dan lebih baik lagi jika ada sehelai saja sewaktu berhenti (bermakna lebih kurang harta lebih bagus).

Bayangkan jika menteri-menteri sekarang diberi syarat sebegitu. Agak-agaknya ada ke tidak yang mahu menjadi menteri?  :)

- Ramai para sahabat , terutamanya yang menjadi gabenor seperti Abu Hurairah, Saad bin Abi Waqas, Muadz bin Jabal, Amru bin Al-As dan sebagainya, kena 'tarik harta' di zaman Umar memerintah ini. Harta-harta mereka digunakan untuk Islam dan membantu rakyat-rakyat yang miskin.

- Khalifah Umar Al-Khattab r.a tidak akan makan daging sehingga semua rakyat miskin di bawah pemerintahannya makan terlebih dahulu.  Ini baru namanya PEMIMPIN MENDAHULUKAN RAKYAT.  Adakah pemimpin-pemimpin zaman sekarang boleh dikatakan pemimpin yang mendahulukan rakyat?  Ada walaupun tak sehebat Umar r.a, cuma tak ramai. 

- Umar r.a yang mula memberikan duit kepada bayi yang baru lahir.

- Umar r.a tiada istana atau rumah besar seperti layaknya seorang pemimpin zaman sekarang. Beliau tidak kisah hanya tidur di bawah pokok kurma di siang hari untuk berehat, tanpa perlu katil-katil yang nyenyak.

- Beliau merupakan orang pertama yang menetapkan kalendar Hijriyyah / Hijrah.

- Beliau yang mula-mula perintahkan agar masjid-masjid di bulan Ramadhan, waktu malamnya semua buka lampu, agar orang ramai dapat qiamullail di masjid.

- Cukai hanya dikenakan kepada rakyat yang kaya dan mewah, dan tidak dikenakan kepada mereka-mereka yang miskin.

- Memberikan sumbangan kepada orang-orang yang hafaz AlQuran.

- Dan lain-lain lagi kehebatan Sayyidina Umar r.a , sila saksikan video di atas :)


Sayyidina Umar r.a membuat pembangunan juga, tetapi pembangunannya bukan untuk kepentingan diri dan kroni, tetapi semata-mata untuk kemaslahatan rakyat.  Antara yang dibina oleh Umar r.a ialah taliair, jalanraya, empangan, mengadakan matawang sendiri yang dibuat dari logam, mewujudkan sistem pos, menyusun Undang-undang tanah negara, menubuhkan pasukan polis (untuk menjaga keselamatan dan ketenteraman awam, serta membantu rakyat yang miskin termasuk mereka yang bukan Islam) dan tentera laut dan sebagainya.

Umar r.a tidak membahagikan harta Ghanimah (rampasan perang) kepada tentera seperti yang dilakukan dalam zaman Rasulullah S.a.w. Ini kerana Umar r.a lebih mementingkan maslahah untuk umum, bukan untuk puak atau kroni tertentu.  Lagi pun tentera-tentera Umar r.a sudah pun diberikan gaji yang tetap. Ia berbeza dengan keadaan di zaman Rasulullah S.a.w kerana waktu itu, keadaan orang Muhajirin yang rata-ratanya miskin kerana dihalau sebelum itu, perlu diperbaiki.


Krisis itu masih melanda Madinah. Korban sudah banyak berjatuhan. Jumlah orang-orang miskin terus bertambah. Khalifah Umar Bin Al-Khattab yang merasa paling bertanggung jawab terhadap musibah itu, memerintahkan menyembelih haiwan ternakan untuk dibahagi-bahagikan kepada penduduk. 
Ketika tiba waktu makan, para petugas memilih untuk Umar bahagian yang menjadi kegemarannya, iaitu bonggol dan hati unta. Ini merupakan kegemaran Umar sebelum masuk islam. "Dari mana ini?"  Tanya Umar. 
"Dari haiwan yang baru disembelih hari ini," jawab mereka. 
"Tidak! Tidak!" Kata Umar seraya menjauhkan hidangan lazat itu dari hadapannya. "Saya akan menjadi pemimpin paling buruk seandainya saya memakan daging lazat ini dan meninggalkan tulang-tulangnya untuk rakyat."  
Kemudian Umar menyuruh salah seorang sahabatnya, "Angkatlah makanan ini, dan ambilkan saya roti dan minyak biasa!" Beberapa ketika kemudian, Umar menyantap yang dimintanya. [Petikan dari buku Ar-Rijal Haula Ar-Rasul oleh Khalid Muhammad Khalid]


Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata,  "barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas." [Al-Wilayah ‘ala al-Buldan, 2/128]


Pakaian Umar r.a tidak pernah berubah dari sebelum menjadi Khalifah hingga menjadi Khalifah dan sehingga wafat. Beliau hanya memakai pakaian dari kain yang kasar dan bertampal-tampal pada tempat yang koyak sehingga berbelas tampalan kesemuanya.

Keprihatinan Umar r.a terhadap rakyat miskin inilah yang diulangi dan digemilangkan kembali oleh Khalifah Umar bin Abd al-Aziz , masyaAllah ....... 


- Sila baca juga Umar Al-Khattab merayu pada wanita miskin agar jangan dakwanya di akhirat


Kisah Zuhud dan tawadhu'nya Khalifah Umar r.a

Pada tahun 636 M seramai 41’000 tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid al Walid, berjaya menewaskan 70’000 tentera Rom yang terkenal dengan kelengkapan artileri. Kekalahan tentera Rom pada waktu itu yang dikenali dalam perang Yarmouk, telah membuka peluang kepada umat Islam menguasai Baitul Maqdis.

Kerajaan Rom ingin menamatkan penjajahan mereka di Timur Tengah dengan menyerahkan Kota Al Quds kepada umat Islam. Bagaimanapun, Patriarch Sophronius seorang uskup gereja di Al Quds berkeras dan enggan menyerahkan Baitul Maqdis kepada umat Islam kecuali Amirul Mukminin, Umar Al Khattab datang sendiri menemui rakyat Illiya’ dan mengambil kunci dari tangannya sendiri. Di sinilah hikayat agung pembukaan Kota Al Quds yang diukir Sahabat Rasulullah S.A.W yang digelar Al Faruq, Umar al Khattab.

Setelah bermesyuarat, Umar-pun berangkat dari Madinah ke Palestin dengan hanya menaiki seekor unta dan ditemani oleh seorang khadamnya sahaja.  Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya yang akan memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya naik unta, Umar pula yang akan berjalan menjadi pemandu permusafiran itu. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga tiba di Kota al Quds.

Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus mengambil kedudukan di atas pelana unta, sementara dia yang akan memandu unta tersebut. Tetapi Umar melarang dan mengarahkannya agar terus mengikut tempoh gantian yang telah disyaratkan sejak berada di Madinah. Dan kebetulan saat mereka berdua hampir ke gerbang Kota Al Quds, ia adalah giliran Umar memandu unta tersebut. Saat itu rakyat Illiya’ yang majoritinya beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah.

Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan diraja, permaisuri dan gundik-gundik yang sudah menjadi kemestian mereka. Tetapi Umar sebagai khalifah Islam, yang berjaya mengurus tenteranya menundukkan Rom, datang dengan baju yang lusuh dan bertampal, manakala kedua-dua kakinya dipenuhi debu pasir.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat kerendahan Umar sekalipun kuasa pemerintahan terbuka luas di tangannya. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi kerajaan dan namanya, sebaliknya Umar hanya ditemani oleh seorang khadam dan unta yang dipandunya Umar sendiri.

Mereka merasakan perbezaan yang sangat ketara antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini. Lalu seluruh rakyat Iliya’ di Kota Al Quds itu memberikan penghormatan kepada Umar sambil menundukkan kepala. Kemudian Umar berteriak keras,

“Angkat kepala kalian sesungguhnya kamu tidak perlu menundukkan kepala (sujud) seperti ini kecuali kepada Tuhan”.

Terpegun Sophronius melihat kesederhanaan Khalifah, lalu dia berkata, ”Jika beginilah pemimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu (Umar) tidak akan tewas”.

Khalifah Umar kemudiannya menerima penyerahan kunci kota suci itu secara rasmi dari Sophronius. Kemudian Umar mengikat jaminan aman kepada penganut Kristian Iliya’ yang ingin tetap tinggal di Jerusalem.

“Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Inilah perdamaian yang diberikan oleh hamba Allah Umar, Pemimpin Negara Islam kepada rakyat Iliya’. Islam menjamin keamanan rakyat Iliya’, keselamatan harta benda , gereja-gereja, salib-salib, mereka yang sakit mahupun yang sihat dan seluruh keyakinan aliran agama mereka. Tidak boleh mencerobohi gereja mereka mahupun memusnahkan, mengurangi (melakukan rampasan) mahupun menghilangkan sama sekali…”

Genap 10 hari Saidina Umar bersama tentera-tentera Islam yang kemudiannya masuk ke Kota al Quds dengan aman. Kejayaan tersebut diraikan dengan doa kesyukuran kepada Allah Taala. Sewaktu berdoa, Umar tiba-tiba menangis.  Lalu salah seorang bertanya kepada Umar, “Wahai Umar adakah kamu menangis kerana kemenangan ini?”

“Iya, aku menangisi kemenangan ini. Aku teringatkan Baginda Nabi S.A.W pernah bersabda… – Demi Allah, bukanlah kemiskinan yang aku khuatirkan terhadap diri kalian. Tetapi yang aku khuatirkan adalah kesenangan dunia yang dibentangkan pada kalian sebagaimana diperolehi oleh orang-orang sebelum kalian. Lalu kalian semua saling pintas-memintas untuk mendapatkannya sebagaimana mereka, sehinggalah harta tersebut membinasakan kalian seperti mereka dibinasakan…” [Sahih Muslim]

Setelah itu, Umar kembali bersama khadamnya menuju semula ke Madinah. Datang dan perginya Khalifah Umar, hanya berperawakan seperti musafir biasa dan rakyat jelata. Inilah sifat peribadi tokoh yang mampu membebaskan Palestin, mereka adalah orang yang zuhud (memanfaatkan dunia seadanya, tidak melampau atau berlebih-lebihan) dalam semua perkara.  [www.tarbawi.my]


Bonus video kisah Islamnya Umar Al-Khattab oleh Ustaz Nazmi Karim .......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.