Isnin, 26 Ogos 2013

Keterbukaan Rasulullah memberi maaf adalah Kunci Utama keberhasilan Dakwah

Oleh : DR. Muhammad Widus Sempo, MA 

قَالَ اللهُ تَعَالَى: (فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللّهِ لِنتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنتَ فَظّاً غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنفَضُّواْ مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللّهِ إِنَّ اللّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ).

(Q.S. Ali Imran(03): 159)

وَقَالَ تَعَالَى: (لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ).

(Q.S. At-Taubah(09): 128)

Muhammad
Keterbukaan hati menerima perbezaan dan kekurangan, mendengar sanggahan, memaafkan kesalahan, dan cinta damai, kunci utama kejayaan dakwah. Yang terbuka hatinya mampu menyingkapi dan menyelesaikan masalah, meluruskan yang bengkok dan menyambung yang patah, menzahirkannya dengan bijak, merangkul yang jauh, menghangatkan suasana, meyakini titik temu (sikap dan fikir) terdapat di pelbagai pintu kehidupan, sementara titik beza dapat diperkecil lubangnya, ditutup rapat dan ditimbun dengan benih-benih kasih sayang dan keprihatinan terhadap sesama sendiri.

Rasulullah S.a.w hamba Allah S.W.T yang paling terbuka menyingkapi kehidupan; terbuka mendengar keluh-kesah umat, meski itu datang dari rakyat jelata, terbuka menerima perbezaan, meski itu datang dari musuh-musuh Islam yang tidak diragukan lagi kebencian dan kedengkian mereka terhadap kejayaan dakwahnya, merangkul semua pencinta dan perindunya dari sahabat tanpa membezakan kasta dan darjat sosial mereka, terbuka menerima ejekan dan penghinaan yang lahir dari kebodohan mereka terhadap hakikat syariat, dan terbuka memberi maaf, meski itu sukar dimaafkan menurut kita, orang-orang awam.

Seseorang yang terbuka menerima perbezaan, boleh jadi mencari kejanggalan di hatinya tatkala ingin memberi maaf. Dia dengan ringan membuka hati mendengar dalil dan hujah-hujah pihak lawan, tetapi belum tentu hatinya lapang memaafkan orang-orang yang pernah menginjak-injak kehormatan dirinya. Telinga tidak punya beban menyemak, tetapi lidah kadang terasa berat mengucap kata maaf dan tangan seperti terpaku oleh sikap dingin yang enggan dihulurkan memberi maaf. Tetapi, fitrah Rasulullah S.a.w melampaui semua sifat-sifat tersebut yang lumrah dijumpai di masyarakat awam dan memberi contoh keterbukaannya untuk diteladani umat di kemudian hari. Sungguh, ini keistimewaan tersendiri terhadap etika pergaulan dan muamalah Rasulullah S.a.w yang menakjubkan.

Perang Uhud salah satu kejadian yang paling berat dirasakan Rasulullah S.a.w, tetapi yang terberat dari itu, seperti penuturan Sayyidah Aisyah R.A, kejadian hari Aqabah di saat Ibn Abdu Yâlil bin Abdu Kulal dan orang-orang musyrik menolak ajakannya memeluk Islam. Kejadian pahit ini melukai perasaannya sehingga  kelihatan dengan jelas di mukanya yang dirundung duka. Jibril A.S pun mendatanginya dan berkata: "Sesungguhnya Allah S.W.T mendengar dan mengetahui sikap mereka yang enggan menerima dakwah Islam. Oleh itu, Allah mengutus malaikat-malaikat gunung untuk mengikuti apa pun yang anda perintahkan. "Malaikat itu pun memberi salam dan berkata:" Wahai Muhammad, Jika anda menginginkan kehancuran mereka, saya dapat mengurung dan menghimpitkan mereka dengan kedua gunung besar dan panjang yang mengelilingi kota Mekah." Jawabnya: "yang saya inginkan, Allah S.W.T akan mengeluarkan dari tulang rusuk mereka keturunan yang menyembah Allah S.W.T dan menyucikan-Nya dari kemusyrikan. "(Hadits riwayat Shahih Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Tentunya, ini keistimewaan tersendiri terhadapnya. Umumnya, yang dizalimi jika ditawarkan tawaran seperti ini, dia akan menerima dan menghitungnya sebagai kelebihan tersendiri terhadap dirinya. Bahkan tidak sedikit nabi-nabi Allah S.W.T yang menginginkan kemusnahan kaum mereka yang tidak beriman. Tetapi Rasulullah S.a.w mengukir sejarah perseorangan yang mengabadikan namanya sebagai nabi yang paling prihatin dan pemaaf terhadap kaumnya, walaupun penyiksaan dan pembangkangan mereka di luar batas kemanusiaan. Bahkan, yang lebih menakjubkan lagi jika sikap keras kepala mereka diabaikan Rasulullah S.a.w dan dijawab dengan doa pengampunan terhadap mereka: "Ya Allah, ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui hakikat agama yang aku pikul." (Hadits riwayat Shahih Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Rasulullah S.a.w telah mengasihani dan menyanyangi kita, tetapi apakah pernah kita memikirkan itu dan tersentuh olehnya? Sekarang, jawablah kasih sayang tersebut dengan meneladaninya di setiap kesempatan.

Yang diketahui juga Rasulullah S.a.w keluar terusir dari kota Mekah di malam hari dan kembali menaklukinya di siang hari setelah menghancurkan patung-patung yang tergantung mengotori Kaabah. Masyarakat Mekah panik dan takut melihat kejadian tersebut seperti tidak percaya apa yang sedang ditonton oleh mata telanjang mereka. Rasulullah S.a.w dengan ringan bertanya: "apa yang engkau sekalian kira aku akan menjatuhkannya kepadamu?" Mereka dengan etika diplomasi mengharap keringanan dan maaf menjawab: "saudara (maksudnya Rasulullah S.a.w) mulia dan anak dari saudara kami yang mulia," ucapan ini cukup menggugah dan menyentuh hati Rasulullah S.a.w yang mendorongnya bersikap lemah lembut dan bersaudara terhadap mereka dan memberi kenyataan maaf yang tidak pernah hilang dari ingatan umat: "pergilah, kalian semua dibebaskan, selamat dan terjaga harta dan kehormatan kalian untuk disentuh dan dikotori." Rumah-rumah masyarakat Mekah yang terkunci rapat dan takut pencerobohan Rasulullah S.a.w, kini terbuka lebar menerima kedatangannya dan mereka pun berbondong-bondong membaiatnya. "

Memberi maaf kadang-kala memberi sentuhan kehidupan yang tidak terduga dan itu menjadi pelekat sosial yang menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara sesama mereka. Siapa yang menduga telinganya akan terkorek oleh ucapan maaf dari orang yang pernah dia sakiti? Siapa yang mengira tangannya akan tergoncang hebat dijabat oleh orang yang pernah dia zalimi memberi maaf? Di sini Rasulullah S.a.w telah menjadi obor terang kehidupan yang mencontohkan sifat ringan memberi maaf yang melahirkan ketenteraman sosial di antara elemen masyarakat.

Jangan kira meminta maaf itu meruntuhkan kehormatan jati diri kerana takut dipandang remeh, justeru itu langkah awal yang menawarkan kebaikan-kebaikan yang tidak terduga! Jangan kira memberi maaf itu kemuliaan diri anda sendiri, tetapi itu salah satu bentuk pematuhan anda terhadap teks-teks syariat yang menganjurkan anda memberi maaf dengan ikhlas kerana Allah! Yang demikian itu supaya pahala anda tidak runtuh hanya kerana dipandu rasa puji diri.

Contoh lain, di Sunan Imam Abu Daud, Rasulullah S.a.w ditemani Sayyidina Anas RA di sebuah perjalanan, tiba-tiba dikejutkan oleh kelibat bayangan yang menyambar sepantas kilat selendang Najran Rasulullah S.a.w yang melilit kuat di lehernya sehingga meninggalkan bekas merah di lehernya. Yang bersama dengan Rasulullah S.a.w dari sahabat tidak menerima perbuatan tersebut dan ingin balik memberikan pelajaran terhadap orang tersebut yang tidak dapat dilupakan dalam lembaran-lembaran hidupnya. Namun, Rasulullah S.a.w menengoknya dan memberi senyum kesejukan yang mengusir rasa takut dalam dirinya dan memerintahkan selendang Najrannya itu untuk dihadiahkan untuknya. Seandainya saja orang tersebut dilukai sahabat atau dibunuh kerana anggapan salah, orang ini akan dizalimi dan semuanya pun ikut bersalah. Sikap dingin Rasulullah S.a.w ini memecah keheningan suasana dengan kehangatan senyumnya yang menyejukkan hati.

Seperti yang diriwayatkan Shahih Imam Muslim, Rasulullah S.a.w tidak pernah memukul sesuatu di tangannya, seorang perempuan atau hamba sahaya, kecuali di jalan Allah S.W.T berjihad. Yang demikian itu kerana tangan sinonim dengan kekerasan, sementara itu, Rasulullah S.a.w tidak pernah dijumpai melakukan balas dendam hanya kerana kepentingan dirinya sendiri, tetapi dia dijumpai melakukannya jika kehormatan Allah S.W.T telah dinodai dan diinjak-injak.

Sungguh ini sebuah keistimewaan yang luar biasa. Hematnya, tidak ada satu pun dari pemerhati nilai-nilai kemanusiaan kecuali tunduk mengakui keistimewaan ini yang meletakkan Rasulullah S.a.w sebagai "the greatest one" yang paling bersinar memaknai dan mewarnai kehidupan dengan nilai-nilai islami. Hal yang sama ditemui pada Sayyidina Ali R.A yang tidak menghujani musuh yang meludah mukanya setelah kalah bertanding dengan tikaman dan tebasan pedang. Yang demikian itu Sayyidina Ali R.A takut orang tersebut terbunuh dengan zalim, terbunuh dengan motif balas dendam yang dipengaruhi hawa nafsu, bukan kerana Allah S.W.T semata di jalan jihad. Sikap jantan dan luar biasa ini membawa musuhnya memeluk Islam dan mengakui keagungan dan keindahannya. Alhamdulillah yang memperlihatkan kilauan kebenaran hakikat agama ini di tangan Rasulullah S.a.w dan para sahabatnya. Mereka meyakini bahawa yang kuat itu bukan yang keras kepalan tangannya menumbuk atau menampar, tetapi yang kuat itu yang mampu menguasai diri dan mengendalikan emosinya di saat marah.

Hematnya, Rasulullah S.a.w telah memberi gambaran hidup terhadap teks-teks syariat yang menganjurkan keterbukaan memberi maaf. Olehnya itu, dia disifati sebagai pengembang syariat Allah yang berakhlak mulia, punyai kedudukan paling tinggi di sisi Allah S.W.T. Yang demikian itu kerana Rasulullah S.a.w hamba terbaik dalam menafsirkan dan memaknai nama-nama Allah yang berkaitan dengan tema ini, seperti: (الرحمن), (الرحيم), (الغفار), (الكريم), (الغفار), (العفو), (الرؤوف ).

Oleh itu, bermaaf-maafan dikira sebagai rukun lingkungan masyarakat yang menjaga roda sosial tetap berjalan dengan penuh keseimbangan di atas landasan kehidupan. Ia tiang dan sandaran yang tidak pernah roboh menyokong bagi siapa saja yang ingin menghidupkan nilai-nilainya dalam kehidupan sehari-hari. Yang demikian itu kerana seandainya setiap orang yang dizalimi mengikuti nafsunya balas dendam, maka masyarakat ini akan runtuh. Satu penumpang saja melakukan kerosakan pada kapal dengan membuka papan-papan sandarannya atau mencabut tiang layarnya, dipastikan semua penumpangnya terancam ombak yang setiap waktu sedia menelan korban. Apalagi jika yang melakukannya lebih dari satu orang. Jika setitik darah saja mengalir dari satu orang yang dizalimi mewariskan pilu dan sedih, bagaimana jika darah itu mencurah kuat dari mangsa-mangsa keganasan yang menindas?

Sedar akan hal ini, wajib bagi setiap lapisan masyarakat saling memaafkan, menempatkan kebaikan di atas segala-galanya, menjadikan santun ganti kepada amarah, membongkar kata hati yang menghembuskan niat-niat jahat dengan sabar. Masyarakat seperti ini masyarakat mulia yang membina kestabilan keselamatan dan kekukuhannya dengan mewujudkan perpaduan persatuan dan persaudaraan yang kuat. Masyarakat islami yang didambakan para pencinta masyarakat ideal dari kalangan pemikir dan orientalis Eropah.

Memberi maaf seperti yang diriwayatkan hadis-hadis nabi memiliki kemuliaan yang tidak terhingga. Dia mewariskan keagungan, kasih sayang antara satu sama lain, mengangkat darjat, menghapus keburukan, dan menjanjikan pahala yang besarnya hanya diketahui Allah S.W.T.

Di penghujung tulisan ini, saya mengajak pemerhati keistimewaan Rasulullah S.a.w menyuarakan kesimpulan berikut:

"Memberi maaf tidak mewariskan kecuali kebaikan dan kemuliaan. Masyarakat islami yang sesuai masyarakat yang hidup bersandarkan dan berpegangan dengan sifat mulia ini. Memberi maaf sangat mulia kerana ia tafsiran kuat dan pemaknaan tinggi terhadap nama-nama Allah, seperti: (الرحمن), (الرحيم), (الغفار), (الكريم), (الغفار), (العفو), (الرؤوف). Kerana Rasulullah S.a.w hamba Allah yang paling baik menafsirkan dan memaknai Asmaullahi al-Husna, dia pun pemakna dan penafsir tidak dapat ditandingi dalam menghidupkan maaf-memaafkan (الصفح, العفو) seperti yang diperintahkan teks-teks syariat yang memenuhi ruang-ruang kehidupan dengan persaudaraan dan persatuan yang kukuh sehingga semua lapisan masyarakat bersepadu meraih kesejahteraan dan keselamatan dunia-akhirat. Keistimewaan Rasulullah S.a.w ini patut disyukuri dan lebih mendekatkan diri kita ke pengamalan sunnah-sunnahya. Amin ya Rabbal Alamin. "



p/s:  InsyaAllah, orang ramai (terutamanya yang berlainan ideologi) akan tertarik dengan contoh tauladan baik yang kita tampilkan, bukannya kata-kata kesat dan maki hamun pada mereka. Fikir, fikir dan fikir kan sedalam-dalam-dalam-dalamnya :)

Setiap manusia ada UJIAN masing-masing yang harus ditempuh, tidak kira sama ada dia kaya atau miskin. Maka tak perlu lah kita cemburu, sakit hati, dendam, busuk hati, buruk sangka pada orang lain, kerana yang salah akan menanggung akibat buruk juga kemudian hari nanti. Allah Maha Adil. Ada baiknya kita berlumba-lumba mencari PAHALA sebagai BEKAL di HARI KIAMAT nanti .......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.