Ahad, 16 Jun 2013

Video: Usia yang barakah - Ustaz Nazrul Nasir



Antara isi menarik dari video ceramah oleh Ustaz Nazrul Nasir di atas;

- Nabi Muhammad S.a.w sempat berpuasa Ramadhan sebanyak 9 kali. Kerana puasa diwajibkan mulai tahun 2 hijrah dan nabi wafat pada tahun ke 11 hijrah pada bulan Syaaban (maka nabi tak sempat berpuasa Ramadhan pada 11 hijrah itu).

- Ada dikisahkan dalam hadits-hadits shahih, dan disebutkan dalam kitab Dalaa-ilun Nubuwwah karangan Imam Al-Baihaqi, bahawa Nabi Adam a.s pernah diperlihatkan oleh Allah S.w.t gambar-gambar para rasul (25 para rasul dari Nabi Adam a.s hinggalah kepada Nabi Muhammad S.a.w).  Gambar-gambar tersebut tertera di atas kain sutera.

Antara gambar yang Nabi Adam a.s berkenan ialah gambar Nabi Daud a.s.  Nabi Adam bertanya Jibril tentang Nabi Daud dan Jibril memberitahunya bahawa umur Nabi Daud a.s yang tertulis dalam Lauh Mahfuz ialah 60 tahun. Maka Nabi Adam a.s telah memberi sedekah 40 tahun umurnya kepada Nabi Daud. Kerana itulah usia Nabi Daud a.s dilanjutkan lebih 40 tahun menjadi 100 tahun.

Dua orang sahabat Nabi Muhammad S.a.w pernah melihat gambar-gambar itu ketika menghantar surat dakwah Nabi S.a.w kepada Hercules (Heraklius) di Rome.  Dan sahabat-sahabat itu menangis apabila gambar dari pintu yang ke 25 dikeluarkan, kerana gambar itu ialah gambar sahabat mereka iaitu Nabi Muhammad S.a.w.  Sahabat pun minta izin dari Hercules untuk pegang gambar tersebut dan menciumnya kerana mereka amat rindu pada Nabi S.a.w dan telah lama tidak berjumpa nabi pada ketika itu, kerana membuat perjalanan ke Rome dalam masa hampir 2 bulan.

Bagaimana gambar-gambar tersebut boleh ada di tangan Hercules pada ketika itu?  Kerana dulunya Nabi Adam a.s menyimpan gambar-gambar itu di dalam perbendaharaannya. Hingga kemudiannya gambar-gambar itu dijumpai oleh Iskandar Zulkarnain.  Iskandar Zulkarnain memberinya kepada Nabi Daniel dan Nabi Daniel mewariskannya kepada raja-raja Rome hinggalah kepada Hercules dan seterusnya.

Gambar-gambar para nabi tersebut disimpan dalam istana Rome ketika itu dalam sebuah bilik, yang mana dalam bilik tersebut ada 25 pintu. Dalam setiap pintu itulah disimpan setiap satu gambar. Betapa rapinya cara ianya disimpan.

Dan gambar-gambar tersebut mungkin ada lagi sekarang ini, iaitu disimpan di Vatican City, iaitu dalam gereja Kristian Katolik terbesar di dunia.

Riwayat penuh cerita ini juga disebut dalam Tafsir Ibnu Katsir. Sila baca Kisah Sahabat Nabi melihat gambar-gambar beberapa orang Rasul

Lagi kisah tentang sahabat tengok gambar-gambar para nabi ini dalam video di bawah nanti iaitu ceramah oleh Ustaz Nazmi Karim.

- Malaikat maut iaitu Izrail apabila sampai tugasnya untuk mencabut nyawa para nabi, dia akan bersembang dulu dengan mereka, tidak seperti dengan manusia-manusia lain. 

Ada disebutkan dalam kitab Ajaa-ibul Akhdamin oleh Syeikh Abdullah Talili, seorang ulama' hadits dari Maghribi, yang menceritakan kisah-kisah pelik dari hadits-hadits shahih, Nabi Daud a.s ada 100 orang isteri, dan Nabi Daud adalah seorang yang sangat cemburu. Setiap kali dia akan keluar rumah, dia akan kunci semua 100 bilik di istananya.  Pada suatu hari, ketika Nabi Daud balik ke rumah, apabila dia buka salah sebuah biliknya, dia dapati ada seorang lelaki. Mulanya dia marah dan ingatkan itu manusia biasa, tapi rupa-rupanya itu adalah Malaikat Izrail yang datang mahu cabut nyawanya.

Dia minta izin kepada Izrail untuk mengucapkan salam perpisahan kepada semua isterinya, tetapi Malaikat Izrail tidak mengizinkan kerana apabila datang tugas malaikat maut mencabut nyawa, tidak akan ditangguhkan walaupun sesaat.  Dan akhirnya Nabi Daud a.s bersedia dan meredhakan saja Izrail mencabut nyawanya.

Kisah Nabi Musa a.s dengan Malaikat Izrail lagi dasyat. Suatu hari Nabi Musa a.s balik ke rumahnya, tiba-tiba dia terkejut melihat ada seorang lelaki dalam biliknya dan terus menumbuk lelaki tersebut sampai terkeluar biji mata lelaki itu kerana terkejut. Rupa-rupanya lelaki itu adalah Malaikat Izrail. 

Kisah penuhnya sila baca Kisah Nabi Musa a.s dengan Malaikat Maut

- Kekuatan tenaga dan kudrat para nabi sama dengan kekuatan lebih kurang 100 orang ahli syurga, di mana kekuatan seorang ahli syurga pula lebih kurang sama dengan kekuatan 100 orang manusia di dunia ini. Dan yang paling mengagumkan sekali ialah kekuatan Nabi Muhammad S.a.w ialah lebih kurang 4 kali ganda kekuatan Nabi Musa a.s.

Walaubagaimana pun, bayangkan kelembutan hati dan kesabaran Nabi Muhammad S.a.w, walaupun ada kekuatan yang amat kuat itu, tetapi nabi tidak pernah membelasah orang dan berbangga dengan kekuatan yang ada padanya. Nabi tetap rendah diri, memaafkan orang dan bersikap dengan sikap lemah lembut, penyabar dan penyayang. Bayangkan kalau anda yang ada kekuatan sedemikian, ntah apa lah yang anda akan buat agaknya? :D

Dalam peristiwa perang, hanya sekali nabi S.a.w menyebabkan seorang musyrik mati, itu pun nabi lontar tombak padanya dan terkena leher sedikit. Tetapi dari segi psikologinya membawa kepada kematian lelaki tersebut, kerana dia teringat peristiwa dia banyak mengacau nabi sebelum Hijrah dulu di Kaabah, dan Nabi S.a.w pernah berkata padanya bahawa nabi akan bunuh beliau. Dan tidaklah nabi itu membunuh orang melainkan orang yang dibunuh itu memang adalah manusia yang paling jahat.

- Keberkatan umur dikira apabila suatu umur itu dapat diisi dengan perkara-perkara yang baik dan diredhai Allah. Umur para nabi dan apa yang dilakukan mereka sudah tidak dinafikan lagi memang berkat. Tetapi contoh umur berkat bagi manusia-manusia biasa ialah seperti umur Imam Nawawi rahimahullah, yang hanya 45 tahun tetapi namanya hingga kini disebut dan dipuji sebagai seorang ulama' dan wara'. Namun, tidak semestinya umur yang berkat itu namanya mesti diingati sampai bila-bila, tetapi itu hanya sebagai salah satu contoh.

- Biasanya manusia akan mati ketika melakukan perkara yang dia sangat suka dan biasa lakukan. Maka, jika kita mahukan mati dalam keadaan solat sebagai contoh, maka hendaklah kita suka dan selalu melakukan solat-solat wajib tambah dengan sunat. Dan semoga kita dijauhkan dari mati dalam keadaan membuat maksiat, na'uzubillahi min zaalik.

- Jangan kita komplen dan kutuk macam-macam kepada orang yang mahu kembali kepada Islam.  Sepatutnya kita mesti puji mereka dan memberi semangat kepada mereka agar lebih dekat kepada Allah.

- Allah S.w.t telah memberikan kelebihan kepada umat Nabi Muhammad S.a.w dengan satu malam yang lebih baik dari seribu bulan iaitu malam Lailatul Qadr. Ini kerana umur umat Nabi Muhammad S.a.w tidak sepanjang umur umat nabi-nabi terdahulu.  Semoga kita dapat beroleh pahala yang besar di malam Lailatul Qadr yang telah dan bakal menjelma, amiin.

- Dan untuk ilmu-ilmu selanjutnya, saksikanlah video di atas yang sangat menarik. Wallahu a'lam :)





Kisah sahabat nabi bertemu Raja Heraklius @ Hercules - Ustaz Nazmi Karim




Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.