Berita Terkini

Allah wujud tidak memerlukan tempat

Maulana Asri Yusuf - penjelasan hadits Jariah
Di bawah ini adalah video penerangan oleh Maulana Asri Yusuf berkenaan penjelasan tentang hadits tentang seorang hamba budak perempuan (Jariah), pernah ditanya oleh Nabi Muhammad s.a.w tentang di mana Allah? Dengarkan dengan sebaik mungkin agar tidak timbul lagi perbalahan dan pertengkaran kerana perkara ini.

Dan sebaik-baiknya kita sesama Islam selesaikan dulu masalah Aqidah sesama kita, kerana selagi masalah Aqidah tidak selesai, selagi itu keadaan akan semakin kucar-kacir. Dan elakkan lah dari cepat sangat menuduh orang lain menyimpang Aqidahnya, tanpa menyiasat dan mendengar dulu keseluruhan penjelasan darinya. Kerana ada di antara kita ini yang hanya mendengar sedikit ucapan seseorang, tanpa mendengar huraian-huraian lanjut darinya, kemudian terus menuduh dia sesat, kafir dan sebagainya, na'uzubillahi min zaalik.

Medan ilmiah bukan medan untuk menunjuk jaguh atau mendabik dada dengan kehebatan masing-masing, tetapi marilah kita sama-sama berbincang dan mencari keredhaan Ilahi, agar kita semua selamat di dunia dan akhirat. Sama-sama saling sayang-menyayang saudara kita, dan berusaha untuk selamatkan manusia secara umumnya.






Tambahan:


Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang - Allah Wujud Tanpa Bertempat


Ustaz Azhar Idrus - Arasy bertempat & Allah tidak bertempat


Ustaz Azhar Idrus - Allah istiwa atas Arsy


Ustaz Ahmad Hafiz Al-Bakaniyy - Allah Wujud tidak Bertempat


"....dari Abu Hurairah, dia berkata bahawa seorang laki-laki datang kepada Nabi shallallaahu 'alaihi wasallam dengan membawa seorang budak perempuan hitam, kemudian dia berkata :

"Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya berkewajiban untuk membebaskan budak yang mukmin."

Maka Rasulullah bersabda kepada budak perempuan itu : "Di manakah Allah?"

Kemudian budak itu mengisyaratkan ke langit dengan jari-jarinya.

Lalu beliau bersabda kepadanya: "Siapakah aku?"

Maka budak itu mengisyaratkan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dan ke langit yang maksudnya adalah, engkau adalah Rasulullah.

Maka beliau bersabda : "Bebaskan dia, sesungguhnya dia adalah seorang wanita mukminah." (Hadits riwayat Al-Baihaqi)

"Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bertanya kepadanya: Di mana Allah? Dia menjawab: di langit. Rasul bertanya: Siapa saya? Wanita itu menjawab: engkau adalah utusan Allah. Maka Nabi bersabda: "Bebaskan dia, kerana dia adalah seorang (wanita) beriman." [Hadits Riwayat Muslim]

Pertanyaan tentang di manakah Allah?

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya mengenai Aku (Allah) maka (beritahu kepada mereka); sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu....... "  [Surah al-Baqarah : 186]

Ayat ini turun adalah disebabkan pertanyaan seorang Badwi kepada Nabi S.a.w; "Apakah Tuhan kami itu dekat sehingga kami dapat munajat dan bermohon kepadaNya ataupun Dia jauh sehingga kami harus menyeruNya?"

Nabi terdiam sehingga turun ayat ini, sebagai jawapan kepada pertanyaan tersebut.

Menurut riwayat lain pula, ayat ini turun sebagai jawapan kepada pertanyaan beberapa orang sahabat kepada Nabi S.a.w; "Di manakah Tuhan kita."  [Dipetik dari kitab Lubaabun Nuquul fii Asbaabin Nuzul - Imam Jalaluddin As-Suyuthi.  Demikian juga seperti yang disebutkan dalam Tafsir Ibnu Katsir]

Sila lihat Kisah para sahabat bertanya Rasulullah, di mana Allah?

Jika kita mengatakan Allah bersemayam atau duduk atau BERTEMPAT di langit, kerana ayat-ayat seperti;

"Ar-Rahman istiwa di atas Arasy." [Surah Thaha : ayat 5]

"Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Siapa yang di langit itu ......."  [Surah al-Mulk : ayat 16]

Imam as-Suyuthi dalam Tafsir Jalalain mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan مَّن فِي السَّمَاء (man fissama') dalam ayat Surah al-Mulk tersebut adalah kekuasaan/kerajaan dan qudrat-Nya, jadi yang di langit adalah kekuasaan dan qudratnya, bukan dzat Allah.

Dalam ayat lain pun ada menyebut  مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ  , tetapi ia membawa maksud makhluk-makhluk yang ada di langit, iaitu ayat;

وَلِلَّهِ يَسْجُدُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَظِلَالُهُمْ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

"Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa, dan (demikian juga) bayang-bayang mereka, pada waktu pagi dan petang." [Surah ar-Ra'd : 15]

Kita wajib beriman dengan ayat-ayat tersebut kerana ianya adalah ayat Al-Quran. Tentang ayat "Istiwa", Imam Malik rahimahullah pun sudah berpesan, ""Istiwa itu ma'lum (diketahui), adapun caranya majhul (Tidak diketahui), sedangkan beriman tentang hal itu (bahawa Allah istiwa di atas 'Arasy) Wajib, dan bertanya tentang hal itu adalah bid'ah."

Kenapa perlu DIPAKSA "istiwa" itu dengan makna "duduk"? Sedangkan istiwa itu sendiri ada banyak maksud dan pengertian.

Ya kita beriman dengan ayat "Ar-Rahman istiwa di atas Arasy", tetapi istiwa itu tidak semesti bermakna "duduk". Dan Allah Maha Tinggi dari segala sesuatu, itu sudah pasti. Ditambah lagi dengan hadits yang menyebut;

لما خلق الله الخلق كتب في كتاب فهو عنده فوق العرش "إن رحمتي تغلب غضبي

"Sesungguhnya Allah setelah selesai menciptakan makhluk, maka Dia menulis pada kitab yang ada disisi-Nya di atas Arsy, "Sesungguhnya rahmat-Ku mendahului murka-Ku". " [HR Bukhari dan Muslim]

Maka "di atas" tidak semestinya "duduk", kerana duduk itu menempel, dan Allah S.w.t Maha Suci dari menempel dengan makhluk.

Perlu diingat bahawa 2 ayat Al-Qur'an di atas ialah ayat Mutasyabih (samar-samar). Lagi pun diantara keindahan ayat-ayat Al-Quran ialah adanya ayat yang berkias / berbunga (balaghah). Sedangkan dalam bahasa mana-mana pun ada penggunaan ayat berkias, apa lagi ayat al-Quran. Ayat mutasyabih perlu diserahkan sahaja maksudnya kepada Allah S.w.t, atau ditakwil. Jika tidak ditakwil, bagaimana pula dengan ayat-ayat seperti di bawah kalau diertikan secara lurus?

 وَهُوَ مَعَكُمْ أَيْنَ مَا كُنْتُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

"....... Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan."  [Surah Al-Hadiid : 4]

وَ ِللهِ الْمَشْرِقُ وَ الْمَغْرِبُ فَأَيْنَمَا تُوَلُّوْا فَثَمَّ وَجْهُ اللهِ إِنَّ اللهَ وَاسِعٌ عَلِيْمٌ

"Dan kepunyaan Allah lah Timur dan Barat; maka ke mana saja kamu menghadap, di ­sana pun ada wajah Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Luas lagi Maha Mengetahui."  [Surah Al-Baqarah : 115]

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya."  [Surah Qaf : 16]

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْكُمْ وَلَٰكِنْ لَا تُبْصِرُونَ

"Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada kamu, tetapi kamu tidak melihat." [Surah al-Waqi'ah : 85]


لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

"Tidak ada sesuatu pun yang menyerupai-Nya."  [Surah asy-Syuura : 11]


Sifat Allah

Antara sifat Allah ialah QIAMUHU BI NAFSIH (berdiri dengan sendiri).  Maka Dia TIDAK MEMERLUKAN MAKHLUK sebagai tempat tinggal atau menetap. Sudah pasti Dia tidak memerlukan TEMPAT kerana TEMPAT adalah makhluk.

"Sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk."  [Surah Al-Ankabut : 6]

Segala makhluk berhajat kepada Allah  (IFTIQOR ILAIHI).


Allah wujud tidak bertempat

Jangan menyamakan Allah dengan makhluk, seperti duduk di atas itu ini, dan duduk di bawah atau di tepi itu ini. Kerana tiada suatu apa pun yang sama dengannya.

"Dan tiada apa yang setara denganNya." (Surah Al-Ikhlas : Ayat 4)

"Tiada sesuatu pun yang menyerupaiNya."  (Surah As-Syuura : ayat 11)

Keberadaan Allah bukan bertempat seperti makhluk, kerana Dia tidak bertempat. Dia tidak duduk di atas Arasy seperti seorang raja duduk di atas singgahsana. Kerana Arasy diciptakanNya kemudian. Jika Allah duduk di atas arasy seperti manusia, maka di mana Allah duduk sebelum diciptakan Arasy?

Rasulullah S.a.w bersabda;

كان الله ولم يكن شيء غيره

 "Allah ada pada azali (keberadaan tanpa permulaan) dan belum ada sesuatu pun selain-Nya."  [HR al-Bukhari, al-Baihaqi dan Ibn al-Jarud]

Berkata Ali ibn Abi Thalib r.a;

كان الله ولا مكان وهو الآن على ما عليه كان

"Allah ada (pada azali) dan belum ada tempat dan Dia (Allah) sekarang tetap seperti semula ada (azali)." [Imam Abu Manshur al-Baghdadi dalam kitabnya al-Farqu bayna al-Firaq hal. 333]

Imam al-Baihaqi (W. 458 H) dalam kitabnya al Asma' wa ash-Shifat, hlm. 506, mengatakan: "Sebahagian sahabat kami dalam menafikan tempat bagi Allah mengambil dalil dari sabda Rasulullah shalllallahu 'alayhi wa sallam:

 وأنت الظاهرُ فليس فوقَكَ شىءٌ، وأنت الباطن فليس دونَك شىءٌ  - رواه مسلم وغيره

"Engkau azh-Zhahir (yang segala sesuatu menunjukkan akan ada-Nya) tidak ada sesuatu di atasMu dan Engkaulah al-Bathin (yang tidak dapat dibayangkan) tidak ada sesuatu dibawahMu." [HR Muslim dan lainnya]

Yang penuhnya seperti di bawah;



 اللهم أنت الأوَّلُ فليس قبلَك شىءٌ، وأنت الآخِر فليس بعدَك شىءٌ، وأنت الظاهرُ فليس فوقَكَ شىءٌ، وأنت الباطن فليس دونَك شىءٌ

Dalam kitab Al-Farq Bayna al-Firaq karangan Imam Abu Mansur al-Baghdadiy ada menyebut, bahawa Ali bin Abi Thalib r.a pernah berkata, “Sesungguhnya Allah telah wujud tanpa tempat, maka Dia sekarang tetap sedia wujud tanpa tempat”.

Imam Abu al-Hasan al Asy'ari (W. 324 H) r.a berkata:

إن الله لا مكان له

"Sesungguhnya Allah ada tanpa tempat." [diriwayatkan oleh al Baihaqi dalam al Asma' wa as-Shifat]

Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari berkata lagi; "Allah s.w.t. wujud tanpa bertempat. Dia menciptakan Arasy dan Kursi tanpa memerlukan kepada tempat."  [Tabyiin Kazbul Muftari: 150]

Dalam kitab Fiqh Al-Akbar karangan Imam as-Syafi'e, beliau mengatakan bahawa ALLAH TIDAK BERTEMPAT.

واعلموا أن الله تعالى لا مكان له، والدليل عليه هو أن الله تعالى كان ولا مكان له فخلق المكان وهو على صفته الأزلية كما كان قبل خلقه المكان، إذ لا يجوز عليه التغير في ذاته ولا التبديل في صفاته، ولأن من له مكان فله تحت، ومن له تحت يكون متناهي الذات محدودا والحدود مخلوق، تعالى الله عن ذلك علوا كبيرا، ولهذا المعنى استحال عليه الزوجة والولد لأن ذلك لا يتم إلا بالمباشرة والاتصال والانفصال 


"Ketahuilah bahawa Allah tidak bertempat. Dalil atas ini adalah bahawa Dia ada tanpa permulaan dan tanpa tempat. Setelah mencipta tempat Dia tetap pada sifat-Nya yang Azali sebelum menciptakan tempat, ada tanpa tempat. Tidak boleh pada hak Allah adanya perubahan, baik pada Dzat-Nya mahupun pada sifat-sifat-Nya. Kerana sesuatu yang mempunyai tempat maka ia pasti mempunyai arah bawah, dan bila demikian maka mesti ia mempunyai bentuk tubuh dan batasan, dan sesuatu yang mempunyai batasan mestilah ia merupakan makhluk, Allah Maha Suci dari pada itu semua. Kerana itu pula mustahil atas-Nya mempunyai isteri dan anak, sebab perkara seperti itu tidak berlaku kecuali dengan adanya sentuhan, melekat, dan terpisah, dan Allah mustahil bagi-Nya terbahagi-bahagi dan terpisah-pisah. Karena itu tidak boleh dibayangkan dari Allah adanya sifat melekat dan berpisah. Oleh sebab itu adanya suami, isteri, dan anak pada hak Allah adalah sesuatu yang mustahil." [al-Fiqh al-Akbar, halaman 13]

Imam as-Syafi'e berkata lagi;

"Sesungguhnya Allah taala ada dan tidak ada tempat, maka Dia (Allah) menciptakan tempat, sementara Dia tetap atas sifat azali-Nya, sebagaimana Dia ada sebelum Dia menciptakan tempat, tidak boleh atas-Nya berubah pada dzat-Nya dan pada sifat-Nya." [Kitab Ithaf As-Sadati Al-Muttaqin , Jilid 2 - halaman 36]

Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalaani di dalam syarah al-Bukhari : "Ahlu sunnah mereka itu berjalan di atas tauhid dengan menafikan tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk) dan ta'thil (menafikan sifat bagi Allah iaitu aqidah Mu'tazilah).

Dalam kitab Aqidah at-Thahawiyyah karangan Imam al-Hafiz Ahmad bin Salamah Abu Ja'far al-Thahawiy, beliau berkata, "Allah tidak berada pada enam penjuru (atas, bawah, kanan, kiri, depan, belakang) seperti sekalian makhluk."

Imam At-Thahawiy (321H) berkata juga; "Maha Tinggi dan Suci Allah S.w.t. daripada sebarang had, sempadan, anggota, dan alat. Dia tidak tertakluk dalam mana-mana sudut yang enam (tidak bertempat)." [As-Siqaat: 1/1]

Imam Ibnul Jauzi berkata; "Wajib kita beriman bahawa zat Allah S.w.t. itu, tempat tidak meliputiNya. Dia tidak bersifat dengan berubah-ubah mahupun berpindah-pindah. [Shaidul Khatir , m/s 47]

Imam Ibnu Hibban r.a. juga berkata; "Sesungguhnya Allah S.w.t. tidak tertakluk kepada masa dan tempat." [Al-Ihsan fi tartib sahih Ibn Hibban: 4/8]

Sheikh Imamul Haramayn Abul-Ma'ali Abdul-Malik ibn AbduLlah al-Juwayni al-Shafi'e al-Asha'ari rah. juga menjelaskan dalam kitabnya al-Irshad; "Dan mazhab Ahlul-Haqq bersepakat bahawa Allah Subhanahu wa-Taala disucikan dari sifat mengambil lapang atau ruang dan disucikan dari sifat pengkhususan dengan arah."

Imam al-Ghazali (w. 505 H) berkata dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, Jilid 1, kitab Qawa'idul-'Aqa'id; "....... Dia tidak dibatasi oleh sesuatu batas dan tidak mengandungi suatu jurusan, tidak diliputi oleh pihak, tidak dibatasi oleh bumi dan langit. Dia beristiwa di atas 'Arasy menurut firman-Nya dan menurut erti yang dikehendakiNya, istiwa yang suci dari tersentuh dengan sesuatu, suci dari tetap dan tenang, suci dari mengambil tempat dan berpindah. Dia tidak dibawa oleh 'Arasy tetapi 'Arasy dan pembawa-pembawa 'Arasy lah yang dibawa dengan kelemah-lembutan qudrah-Nya, yang digagahi dalam genggaman-Nya. Dia di atas 'Arasy dan langit dan di atas segala-galanya sampai ke segala lapisan bumi, ke atasan yang tidak menambahkan dekatNya kepada 'Arasy dan langit, sebagaimana tidak menambahkan jauh-Nya dari bumi dan lapisan tanah. ....... Dia tidak bertempat pada sesuatu dan tidak ada sesuatu bertempat padaNya. Maha Suci Dia dari dipengaruhi oleh tempat, sebagaimana Dia Maha Suci daripada dibataskan oleh waktu......."

Imam Jaafar al-Sadiq rah. berkata; "Barangsiapa menyangka bahawa Allah itu berada di dalam sesuatu atau daripada sesuatu atau di atas sesuatu maka sesungguhnya dia telah syirik. Ini kerana jika Dia ada di atas sesuatu nescaya Dia menjadi suatu yang ditanggung, jika Dia di dalam sesuatu nescaya Dia menjadi suatu yang terbatas, dan jika Dia daripada sesuatu nescaya Dia menjadi suatu yang baharu, iaitu makhluk (yang diciptakan). "[Disebut oleh Imam al-Qushairi di dalam kitabnya al-Risalah al-Qushairiyyah]

Imam At-Thabari r.a berkata: "Jelaslah bahawa Allah s.w.t. Qadim, Tuhan kepada seluruh makhluk dan Penciptanya. Dialah yang Maha Esa yang wujud sebelum sesuatu wujud. Dia juga kekal setelah kewujudan makhluk. Dialah yang Maha Awal sebelum segala sesuatu dan Maha Akhir setelah segala sesuatu. Allah s.w.t. itu wujud tanpa masa, zaman, siang, malam, tanpa kegelapan dan tanpa cahaya, tanpa langit, tanpa bumi, tanpa matahari, tanpa bulan dan tanpa bintang. Semua selainNya adalah baharu yang ditadbir dan diciptakan (olehNya)." [Tarikh At-Thabari : 1/26]

"Berfikirlah kamu pada makhluk (kejadian) Allah, dan janganlah kamu berfikir tentang (zat) Allah, kerana akan membinasakan kamu."  [HR Abu Nu'aim dari Ibnu Abbas. Dihasankan oleh Syaikh Nashiruddin Al-Albani dalam Shahihul Jam'i Shaghir (2976) dan Silsilatu Ahadits Ash-Shahihah (1788)]

Semoga Aqidah kita semua selamat dan diredhai oleh Allah S.w.t, amin. Wallahu a'lam ....... :-)


Baba Ismail Sepanjang Al-Fathani - Dalil Allah tidak bertempat

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (13) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (42) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (79) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (62) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (58) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (74) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (247) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (335) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.