Rabu, 28 Disember 2011

Jenayah siber di Pahang babitkan kerugian RM1.3 juta membimbangkan

Jenayah siber di Pahang
KUANTAN: Sebanyak RM1.3 juta kerugian dicatatkan membabitkan kes penipuan menerusi jenayah siber di Pahang tahun ini.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pahang, Supt Thomas Navamoney, sejak Januari hingga 21 Dis lepas, sebanyak 26 kes dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM1,313,481.88 dialami mangsa-mangsa penipuan.

"Modus operandi sindiket terbabit ialah mereka menyamar sebagai pegawai dari Bank Negara, polis atau pegawai kad kredit bank.

"Kebanyakan mereka yang ditipu terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi serta berjawatan besar," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata mereka yang menjadi mangsa penipuan didapati kurang maklumat dan kesedaran terhadap jenayah siber.

"Terdapat mangsa yang ditipu sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, paling tinggi ialah sebanyak RM400,000 daripada 26 kes yang dilaporkan itu," katanya.

Katanya, mangsa dilihat mudah terpedaya sehingga sanggup memindahkan wang atau memberikan nombor akaun mereka beserta nombor pin kepada sindiket terbabit.

"Kita meminta orang ramai mengabaikan panggilan daripada bank khususnya Bank Negara atau polis jika diminta menyatakan berkenaan akaun bank dan kad kredit," katanya.

Thomas berkata orang ramai diminta pergi ke bank bagi mendapatkan pengesahan tentang perkara berkaitan akaun bank dan kad kredit mereka.

"Jangan sesekali memindahkan wang atau mendedahkan maklumat akaun melalui telefon atau e-mel kepada orang yang tidak dikenali," katanya.

[BERNAMA]


Ada lagi yang termakan dengan pujuk rayu dan taktik penipuan dalam internet ini rupanya. Di harap lebih berhati-hati lah lepas ini dan ambil tahu serba-sedikit tentang bagaimana cara penipu-penipu itu buat kerja. Semoga Allah melindungi anda dari penipuan-penipuan tersebut, amin .......

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.