Selasa, 6 September 2011

Tauke kedai emas diperdaya pelanggan berpakaian Arab


KUANTAN  6 September 2011 - Dua pemilik kedai emas terpedaya dengan taktik pelanggannya yang berpakaian ala-Arab, yang kononnya mahu membeli barangan kemas. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Superintendan Nordin Mustapha, berkata dalam kejadian pertama di sebuah kedai emas di Jalan Lipis-Raub pada 12 tengah hari semalam, pemilik kedai berkenaan, seorang wanita, 23, didatangi dua lelaki yang berpakaian seperti Arab dan seorang wanita memakai jubah dengan menutup muka.

"Suspek berusia lingkungan 30-an berpura-pura untuk membeli emas dan mangsa mengeluarkan beberapa dulang emas untuk ditunjukkan kepada suspek," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata suspek kemudiannya bersetuju membeli tetapi ingin membayar dengan menggunakan mata wang dollar Amerika. 

"Mangsa tidak bersetuju dan meminta suspek menukarkan wang berkenaan, suspek kemudiannya keluar dari kedai berkenaan kononnya untuk menukar wang berkenaan," katanya. 

Katanya mangsa menyimpan semula dulang emas yang dikeluarkan sebelum menyedari seutas rantai yang bernilai RM3,500 telah hilang. 

Dalam satu lagi kejadian di Bandar Baru Kuala Lipis, seorang lagi pemilik kedai, seorang wanita, 33, juga ditipu menerusi modus operandi yang sama. 

"Dalam kejadian 2 petang, dia didatangi dua suspek, seorang lelaki dan wanita, dipercayai suspek yang sama yang menipu di kedai sebelum itu," katanya. 

Mangsa hanya menyedari seutas rantai bernilai RM3,000 telah hilang selepas kedua-dua suspek itu bergegas keluar. 

[BERNAMA]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.