Rabu, 7 September 2011

Kursus perkahwinan tidak akan dipanjangkan masanya


YAN  6 September 2011 - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat penambahbaikan kursus perkahwinan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri tetapi ia tidak bercadang untuk memanjangkan tempoh kursus itu. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Jakim akan bertindak sebagai urus setia untuk memberi bantuan dari segi penambahbaikan modul kursus serta mengurangkan modul yang tidak diperlukan dalam aktiviti kursus itu nanti.

"Tempoh kursus pra-perkahwinan yang sedia ada selama 16 jam...orang awam terpaksa menjalani kursus selama dua hari. Kalau kita panjangkan lagi ia agak membebankan pasangan yang hendak berkahwin.

"Tentang kursus dari semasa ke semasa, kita serahkan kepada setiap negeri untuk penambahbaikan tetapi di urus setia oleh pihak Jakim," katanya pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Jerai di Kompleks Pasar Tani Fama dekat sini, hari ini. 

Beliau mengulas mengenai laporan media bahawa lebih 200,000 pasangan suami isteri Islam Malaysia dilaporkan mendaftarkan perceraian mereka di pejabat jabatan agama Islam di seluruh negara bagi tempoh 2000 hingga 2010. 

Jamil Khir berkata, angka 200,000 itu merangkumi tempoh perkahwinan antara 30 hingga 40 tahun dan terdapat juga yang berakhir dengan perdamaian. 

"Ada yang tarik balik kes, dia bercerai rujuk semula, ada yang kes orang yang sudah bercerai tetapi kahwin semula dan jumlah itu merangkumi tahun 2000 hingga 2010 sebanyak 200,000 kes termasuk bukan saja yang daftar kahwin pada tahun itu, tetapi juga kahwin dari tempoh yang lama. Jumlah ini bukan serius," katanya. 

Jamil Khir berkata, kursus perkahwinan itu bertujuan memberi kefahaman tambahan kepada masyarakat tentang tatacara perkahwinan yang sebenarnya dan mengikut syarak. 

"Ia untuk memahami juga bagaimana nak uruskan kehidupan rumah tangga bila kahwin...dalam masa yang sama juga untuk mengetahui cara laporkan apabila berlaku pergaduhan, ataupun konflik dalam rumah tangga," katanya. 

Beliau berkata, faktor penyumbang paling besar kepada keretakan rumah tangga ialah tekanan ekonomi di samping tidak mempunyai perancangan rapi dalam membina sebuah rumah tangga bahagia. 

[BERNAMA]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.