Berita Terkini

Sirah nabi: Perang Badar

Ghazwah Badar al-Kubra

Ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 hijrah. la bermula apabila Nabi Muhammad s.a.w. mempelawa para sahabat Baginda untuk menyekat kafilah dagang Quraisy yang pulang dari Syam ke Mekah. Misi asal sekatan itu bukannya dengan tujuan peperangan. 

Walau bagaimanapun kafilah yang diketuai oleh Abu Sufian tersebut telah terselamat daripada sekatan orang Islam. Namun Abu Sufian sebelum itu telah mengutuskan utusan kepada kaum Quraisy untuk keluar melindungi kafilahnya. Rentetan permintaan tersebut, kaum Quraisy telah keluar dengan bilangan kira-kira 1,000 orang tentera. Antaranya 600 orang tentera berbaju perisai, 100 ekor kuda yang dipakaikan 100 baju perisai. Ini tidak termasuk baju perisai tentera pejalan kaki dan 700 ekor unta. Mereka turut membawa penyanyi-penyanyi perempuan yang memukul gendang dan menyanyi mengutuk orang Islam.

Sementara itu, bilangan orang Islam pula seramai 313 atau 314 orang. Kebanyakan mereka daripada golongan Ansar. Mereka membawa 70 ekor unta dan dua atau tiga ekor kuda sahaja. Mereka bergilir-gilir dalam kumpulan-kumpulan kecil menaiki unta tersebut dari satu masa ke satu masa. Sebelum Nabi s.a.w. memasuki pertempuran, Baginda ingin mengambil pandangan para sahabatnya, khususnya kaum Ansar. Baginda ingin mengambil pandangan mereka untuk terlibat dalam peperangan. Kaum Muhajirin telah mencadangkan kepada Baginda untuk terlibat dalam peperangan itu. Mereka telah berucap dengan baik.

Kemudian Ansar menyedari Baginda mahukan pandangan mereka. Lantaran itu, Saad bin Muaz, ketua Ansar, berkata kepada Baginda: "Wahai Rasulullah, kami telah beriman dengan kamu, membenarkan risalahmu. Kami menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar dan kami telah berikan janji juga ikrar untuk mendengar arahan dan taat kepadamu. Oleh itu, teruskan wahai Rasulullah, apa yang kamu mahu. Kami tetap akan bersama kamu. Demi Tuhan yang mengutuskan kamu membawa kebenaran, kalau kamu bentangkan kepada kami laut ini, nescaya kami akan mengharunginya bersama kamu. Tiada seorang pun daripada kami yang tercicir. Kami tidak benci untuk bertemu dengan musuh kami esok. Kami kaum yang sabar ketika perang dan jujur (tidak belot) ketika bertemu musuh. Semoga Allah membuatkan sesuatu berlaku kepada kalangan kami yang menggembirakan kamu. Berangkatlah bersama kami dengan berkat Allah." 

Sahabat yang lain juga berucap seumpama itu. Rasul s.a.w. merasa gembira dengan jawapan itu, seraya bersabda: "Berangkatlah kamu dengan berkat Allah. Bergembiralah. Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepadaku untuk berhadapan dengan salah satu kumpulan; sama ada kafilah dagang ataupun angkatan tentera."

Kemudian Rasul s.a.w. berjalan sehingga sampai ke perigi Badar yang paling hampir lalu Baginda berhenti di situ. Lantas al-Hubab bin al-Munzir bertanya: "Wahai Rasulullah! Adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah Taala kepada kamu; di mana kamu tidak boleh terkedepan mahupun terkebelakang. Atau ia merupakan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah?"

Rasul s.a.w. menjawab: "Bahkan ia berdasarkan buah fikiran, strategi perang dan tipu helah".

Maka al-Hubab bin al-Munzir mencadangkan kepada Baginda agar berpindah ke tempat lain yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang musyrik. Oleh itu, Rasul s.a.w. dan para sahabat Baginda berangkat sehingga mereka sampai ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Mereka kemudiannya berhenti di situ. Seterusnya Saad bin Muaz mencadangkan agar dibina sebuah khemah untuk Rasul s.a.w. di belakang barisan tentera Islam. Sekiranya Allah memuliakan mereka dengan kemenangan, itulah yang mereka sukai. Jika tewas, Baginda boleh menaiki tunggangannya dan kembali menyertai orang Islam di Madinah. Saad berkata kepada Baginda: "Sebahagian orang Islam tidak hadir bersama kita, wahai Nabi Allah. Ini bukanlah bererti cinta kami terhadapmu lebih hebat berbanding mereka. Jika mereka tahu kamu akan berperang, nescaya mereka tidak tercicir untuk turut serta bersamamu."

Oleh itu, Nabi s.a.w. mendoakan kebaikan untuk Saad bin Muaz. Baginda memerintahkan agar dibina sebuah khemah untuk Baginda. Apabila kedua-dua kumpulan (orang Islam dan orang musyrik) bersemuka, Rasul s.a.w. meluruskan barisan orang Islam, membakar semangat mereka untuk berperang dan memotivasi mereka untuk mati syahid.

Baginda bersabda: "Demi Tuhan yang jiwaku di dalam genggaman-Nya, sesiapa yang memerangi mereka (tentera orang musyrik) pada hari ini, kemudian dia terbunuh dalam keadaan penuh kesabaran dan ikhlas, terus maju dan tidak lari dari medan pertempuran, pasti Allah akan memasukkannya ke dalam syurga."

Setelah itu Baginda pulang ke khemah bersama Abu Bakar dengan dikawal oleh Saad bin Muaz yang siap menghunuskan pedangnya. Rasul s.a.w. mula berdoa. Antara doa Baginda: "Ya Allah, aku menagih janji dan jaminan-Mu. Ya Allah, jika Kamu binasakan kelompok ini (pejuang-pejuang mukmin), Kamu tidak akan disembah lagi di muka bumi."

Baginda memanjangkan sujudnya, sehingga Abu Bakar berkata: "Cukuplah. Sesungguhnya AlIah akan melaksanakan janji-Nya untukmu." Kemudian peperangan meletus dan berakhir dengan kemenangan orang Islam. Kira-kira 70 orang musyrik telah terbunuh termasuk ketua mereka yang paling tegar dengan kesyirikannya, Abu Jahal. Turut terbunuh sebahagian pemimpin mereka. Mereka yang ditawan pula kira-kira 70 orang. Baginda telah memerintahkan agar semua yang terbunuh dikebumikan. Baginda pulang ke Madinah dan melakukan syura (mesyuarat) dengan para sahabat Baginda tentang urusan tawanan perang. Umar mencadangkan supaya mereka dibunuh. Abu Bakar pula mencadangkan supaya mereka menebus diri mereka. Rasul s.a.w. menerima cadangan Abu Bakar. Oleh itu, orang musyrik telah menebus tawanan mereka dengan harta.

Terdapat beberapa ayat al-Quran al-Karim telah turun berkenaan Ghazwah Badar ini. Allah Taala berfirman dalam surah Ali Imran: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang-orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): "Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera dari malaikat yang diturunkan ?," Bahkan (mencukupi. Dalam pada itu) jika kamu bersabar dan bertaqwa, dan mereka (musuh) datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Allah membantu kamu dengan 5,000 malaikat yang bertanda masing-masing. Dan Allah tidak menjadikan bantuan tentera malaikat itu melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengan bantuan itu. Dan (ingatlah bahawa) pertolongan yang membawa kemenangan itu hanya dari Allah Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Kemenangan Badar itu) kerana Allah hendak membinasakan satu golongan dari orang-orang kafir atau menghina mereka (dengan kekalahan), supaya mereka kembali dengan hampa kecewa." (Ali Imran : 123-127)

Al-Quran juga menegur Rasulullah s.a.w. kerana menerima tebusan harta bagi tawanan perang. Allah Taala berfirman: "Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Kalaulah tidak (kerana) adanya ketetapan dari Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpa azab seksa yang besar disebabkan (penebus diri) yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu." (Al-Anfal: 67-68)


[Dipetik dari buku Sirah Nabi Muhammad s.a.w , pengajaran dan pedoman - Dr. Mustafa as-Syibaie]


Allah perlihatkan pasukan musuh pada mata sahabat seakan berjumlah sedikit

وَإِذۡ يُرِيكُمُوهُمۡ إِذِ ٱلۡتَقَيۡتُمۡ فِىٓ أَعۡيُنِكُمۡ قَلِيلاً۬ وَيُقَلِّلُڪُمۡ فِىٓ أَعۡيُنِهِمۡ لِيَقۡضِىَ ٱللَّهُ أَمۡرً۬ا ڪَانَ مَفۡعُولاً۬‌ۗ وَإِلَى ٱللَّهِ تُرۡجَعُ ٱلۡأُمُورُ 

"Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan." [Surah al-Anfaal : 44]

Hal ini pun termasuk belas kasihan Allah kepada mereka, kerana Allah perlihatkan musuh mereka di mata mereka seakan-akan berjumlah sedikit, sehingga akan mendorong mereka untuk berani melawan dan maju menghentam musuh.

Ibnu Ishak as-Subai'i telah meriwayatkan dari Abu Ubaidah, dari Abdullah bin Mas'ud r.a yang telah mengatakan, "Mereka nampak berjumlah sedikit di mata kami dalam Perang Badar, sehingga aku berkata kepada seorang lelaki yang ada di sampingku, "Apakah jumlah mereka menurutmu ada tujuh puluh orang?" Dia menjawab, "Tidak, bahkan jumlah mereka seratus orang." Tetapi ketika kami menangkap seorang dari mereka, lalu kami tanya, "Berapakah jumlah kalian?" Dia menjawab, "Kami berjumlah seribu orang." Demikianlah menurut riwayat Ibnu Abu Hatim dan Ibnu Jarir.

[Dipetik dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Anfaal, ayat 44]


Mukjizat yang membawa kepada kemenangan dalam Perang Badar

فَلَمۡ تَقۡتُلُوهُمۡ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ قَتَلَهُمۡ‌ۚ وَمَا رَمَيۡتَ إِذۡ رَمَيۡتَ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ رَمَىٰ‌ۚ

"Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka, dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar ......." [Surah al-Anfaal : 17]

Maksudnya, bukan kerana upaya kalian, bukan pula kerana kekuatan kalian. Kalian dapat membunuh musuh-musuh kalian kerana jumlah mereka jauh lebih banyak daripada jumlah kalian. Dengan kata lain, bahkan Allah-lah yang membuat kalian beroleh kemenangan atas mereka. Seperti pengertian yang ada dalam ayat lain, iaitu;

"Sungguh Allah telah menolong kalian dalam peperangan Badar, padahal kalian adalah (ketika itu) orang-orang yang lemah." [Ali Imran : 123], hingga akhir ayat.

Kemudian Allah S.w.t berfirman pula kepada Nabi-Nya berkenaan dengan segenggam pasir yang ditaburkan Nabi S.a.w ke arah wajah orang-orang kafir dalam Perang Badar, iaitu ketika beliau keluar dari Al-'Arisy setelah beliau berdoa dan memohon kepada Allah dengan rendah diri dan khusyuk. Beliau melempar mereka dengan segenggam pasir itu seraya bersabda, "Mudah-mudahan mata-mata mereka berkerdipan." Kemudian Nabi S.a.w memerintahkan pasukannya untuk membuktikan hal tersebut dengan menelusuri jejaknya, lalu mereka melakukan apa yang diperintahkannya. Ternyata Allah menyampaikan pasir itu ke mata semua kaum musyrik, sehingga tidak ada seorang pun dari mereka melainkan terkena oleh pasir tersebut dan menyibukkan dirinya. Kerana itulah disebutkan dalam firman-Nya;

"....... dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar." [Al-Anfal : 17]

Ali ibnu Abu Talhah telah meriwayatkan dari Ibnu Abbas, bahawa Rasulullah S.a.w mengangkat kedua tangannya (yakni pada waktu Perang Badar) seraya berdoa;

"Ya Tuhanku, jika golongan ini binasa, maka Engkau tidak akan disembah lagi di muka bumi ini untuk selama-lamanya."

Lalu Malaikat Jibril berkata kepadanya, "Ambillah segenggam pasir, lalu lemparkanlah ke arah muka mereka." Maka Nabi S.a.w mengambil segenggam pasir dan melemparkannya ke arah muka mereka. Maka tidak ada seorang musyrik pun melainkan matanya terkena pasir itu, hidung serta mulut mereka pun terkena pasir itu juga, sehingga akhirnya mereka mundur bercerai-berai.

As-Saddi mengatakan bahawa Rasulullah S.a.w bersabda kepada Ali r.a. pada hari Perang Badar, "Berikanlah kepadaku segenggam pasir." Lalu Ali memberikan segenggam pasir kepadanya, kemudian Nabi S.a.w melemparkan pasir itu ke arah wajah kaum musyrik. Maka tidak ada seorang musyrik pun melainkan matanya kemasukan pasir itu. Kemudian pasukan kaum mukmin datang mengiringinya dan membunuh serta menahan mereka.

Abdur Rahman ibnu Zaid ibnu Aslam mengatakan sehubungan dengan firman-Nya;

"....... dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allah-lah yang melempar." [Al-Anfal : 17]

Hal ini terjadi dalam Perang Badar. Rasulullah S.a.w mengambil tiga genggam pasir, lalu melemparkannya ke arah sayap kanan pasukan musuh, dan melemparkannya lagi ke arah sayap kiri pasukan musuh, kemudian melemparkannya lagi ke arah sayap depan pasukan musuh, seraya bersabda, "Semoga mata-mata mereka berkerdipan." Akhirnya musuh terpukul mundur.

Kisah ini telah diriwayatkan juga dari Urwah, Mujahid, Ikrimah, Qatadah, dan lain-lainnya yang bukan hanya seorang dari kalangan para imam ahli hadis. Mereka mengatakan bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan lemparan pasir yang dilakukan oleh Nabi S.a.w dalam Perang Badar, sekalipun beliau S.a.w melakukan juga hal yang sama dalam Perang Hunain.

[Dipetik dari Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, Surah al-Anfaal, ayat 17]



Tajuk seterusnya - Perang Uhud

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Kategori

Air terjun (9) Ajaib (22) Al-Hadits dan Sains (2) Alam sekitar (11) AlQuran dan Sains (38) Angkasalepas (51) Animasi GIF (3) Antik (8) Aqidah (12) Arkeologi (21) Astronomi (47) Bala bencana (41) Batu kalimah (4) Batu permata (23) Biar betul (113) Biologi (2) Bionik (4) Budaya (5) Cinemagraph (3) Dajjal (2) Download (1) Duit (37) Duit Kertas (15) Duit Syiling (25) Dunia Hiburan (129) Ekonomi Dunia (20) Ensaiklopedia (55) Foto (345) Freemason (2) Freeware (3) Gempa bumi (7) Geologi (6) Gerhana bulan (1) GIF animation (3) Grafik 3D (3) Halimunan (3) Hamas (8) Hantu (58) High speed video (6) Iblis (13) Illuminati (27) Imam empat mazhab (5) Indeks batu permata (1) Indeks duit (2) Indeks kad telefon (1) Indeks sampul duit raya (1) Indeks setem (1) Internet (94) Jalan-jalan (56) Jenayah (121) Jin (56) Kad telefon (3) Kamera (21) Kamera digital (16) Kata-kata hikmah (28) Kemalangan (58) Kematian (55) Kesihatan dan Perubatan (202) Ketenteraan (46) Kiamat (7) Kisah akhir zaman (2) Klasik (61) Kristologi (88) Landskap (111) Makanan dan minuman (17) Makro (6) Manipulasi Foto (6) Metafizik (6) Misteri (59) Motivasi (34) Muzium mini (65) Paleontologi (1) Palestine (50) Paranormal (49) Penggodam (23) Perang (31) Perkahwinan (22) Pernikahan (18) Perubatan Islam (4) Polis (9) Politik (132) Politik dunia (49) Puisi (6) Rekod (102) Robotik (27) Sains (60) Sampul duit raya (5) Scam (5) Sedih (46) Sejarah (29) Sejarah Islam (16) Sejarah kuno (4) Selebriti meninggal (12) Seni (6) Seni beladiri (1) Senibina (21) Serangga (15) Sukan (43) Syiah (15) Syirik (1) Syria (41) Teknologi (248) Teknologi Nano (8) Teori konspirasi (181) Time lapse (39) Timur Tengah (177) Tumbuhan (37) UFO (39) Ulama meninggal dunia (2) Video (328) Wallpaper Islamik (40) Yahudi (10) Zionis (20)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Imej tema oleh blue_baron. Dikuasakan oleh Blogger.