Isnin, 20 Jun 2011

Video: Beberapa adegan rompakan - serta Hukum Hudud berkenaan Mencuri


Tembak menembak antara tuan kedai dan perompak



Perompak berparang dan tukul rompak bank



Perompak berpisau ditembak oleh tuan kedai



Perompak menembak dan membunuh juruwang




Pembantu kedai menembak perompak


Undang-undang Islam berkenaan Mencuri (Sariqah)

Pencuri

pencuri , jangan mencuri
Pencuri ialah orang yang mengambil harta orang lain dengan cara bersembunyi dan diambil daripada tempat simpanan (tempat yang layak untuk menyimpan harta itu). Mencuri itu adalah salah satu daripada dosa-dosa besar dan mewajibkan potong tangan ke atas si pencuri itu.

Sebagaimana dengan firman Allah yang bermaksud:  ”Pencuri lelaki dan pencuri perempuan hendaklah kamu potong tangannya sebagai balasan pekerjaan, dari siksaan daripada Allah, Allah maha perkasa lagi maha bijaksana”  (Surah Al- Maidah : ayat 38)

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:  ”Tidak dipotong tangan seseorang pencuri itu kecuali seperempat dinar atau lebih daripada nilai wang emas.”  (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)


Ciri-ciri perbuatan mencuri

1. Memindahkan secara bersembunyi harta alih dari jangkaan atau milik tuannya.
2. Pemindahan harta itu tanpa persetujuan tuannya.
3. Pemindahan harta itu dengan niat untuk menghilangkan harta tadi dari jangkaan atau milik tuannya.


Hukuman Hudud yang wajib dikenakan ke atas pencuri

1) Mengikut peruntukan hukum syarak yang dikuatkuasakan dalam Qanun jenayah syar’iyyah, orang yang  boleh didakwa dibawah kesalahan kes sariqah (mencuri) dan wajib dikenakan hukuman hudud ialah:

i) Orang yang berakal
ii) Orang yang baligh
iii) Dengan kemahuan sendiri

2) Pencuri yang gila atau kanak-kanak atau orang yang kurang akalnya (tidak siuman) tidak wajib dikenakan hukuman hudud, sekalipun mereka itu mengambil harta atau barangan orang itu secara bersembunyi dengan tujuan untuk memiliki harta atau barangan itu. Sebagaimana Hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:-

”Allah tidak akan menyiksa tiga golongan manusia iaitu orang yang tidur hingga dia bangun dari tidurnya, kanak-kanak hingga dia baligh dan orang gila hingga dia berakal (siuman)”  (Hadith Riwayat Ahmad, Ashabi, Sunan dan Hakam)

3) Orang yang dipaksa mencuri dengan cara kekerasan, misalnya orang yang diancam dan diugut akan dibunuh jika tidak mahu mencuri. Sebagaimana hujjah Hadith Rasulullah s.a.w yang bermaksud:

”Sesungguhnya Allah menghapuskan dosa umatku yang tersalah, terlupa dan dosa mereka yang dipaksa melakukan sesuatu kesalahan”.  (Hadith Riwayat Ibnu Majah dan Baihaq’i dan lain-lain)


4) Orang yang terpaksa mencuri disebabkan tersangat lapar (kebuluran) atau terlalu dahaga yang boleh membawa kepada maut tidak boleh juga dikenakan hukuman hudud, kerana mereka yang dalam keadaan tersebut adalah termasuk dalam darurat yang diharuskan oleh syarak melakukan perkara yang dilarang. Kes ini adalah merujuk kepada Kaedah Fiqhiyyah yang bermaksud :

” Darurat (dalam keadaan yang memaksa) diharuskan melakukan perkara yang dilarang”.  (Al- Ashbah dan An – Nazha’ir)

Dalam perkara (3) dan (4) mereka itu terlepas dari hukuman hudud, tetapi hakim boleh mengenakan hukuman takzir ke atas pencuri itu mengikut kearifan dan kebijaksanaannya.


Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan Mencuri

Pencuri yang tidak boleh dikenakan hukuman kesalahan sariqah ialah :

1) Pencurian yang dilakukan secara khianat, iaitu orang yang mengambil harta atau barangan yang diamanahkan kepadanya. Mereka yang melakukan kesalahan tersebut tidak boleh didakwa di bawah kes sariqah (mencuri) dan tidak boleh dikenakan hukuman hudud, tetapi mereka itu hendaklah didakwa di bawah kes kesalahan pecah amanah yang wajib dikenakan hukuman takzir.

2) Orang yang mengambil harta atau barangan orang lain dengan cara paksaan dan kekerasan.

3) Orang yang menyambar barangan orang lain sambil lalu, iaitu semasa berjalan atau atas kenderaan, termasuk juga penyeluk saku.

4) Pencurian berlaku di medan peperangan.

5) Mengambil buah yang tergantung di atas dahannya kerana tersangat lapar dan dahaga.


Sabit kesalahan mencuri

1. Kesalahan mencuri boleh disabitkan dengan adanya salah satu dari bukti-bukti berikut:-

i) Ikrar (pengakuan).
ii) Keterangan dua orang saksi lelaki yang adil.
iii) Sumpah yang mardud iaitu sumpah pencuri itu dikembalikan kepada orang yang mendakwa, jika orang yang didakwa tadi tidak mengaku, dimana mengikut keterangan orang yang mendakwa bahawa orang yang didakwa itu memang sebenarnya adalah mencuri.

2. Pencuri yang mengaku melakukan kesalahan mencuri memadai membuat pengakuan hanya sekali pengakuan sahaja dan pengakuan itu dibuat di majlis dalam Mahkamah di hadapan hakim.

3. Untuk memastikan kebenaran keterangan saksi-saksi bagi mensabitkan kesalahan seseorang itu mencuri, hakim hendaklah menyoal siasat saksi-saksi itu mengenai harta atau barangan yang dicuri, cara kecurian, tempat kecurian, masa kecurian dan lain-lainnya.

4. Hakim hendaklah juga menanyakan kepada saksi-saksi itu hubungan antara orang yang kena curi dangan orang yang mencuri.


Pencuri yang dikecualikan dari Hukum Hudud

1) Jumlah nilai harta atau barangan yang dicuri itu kurang daripada satu perempat dinar atau tiga dirham.

2) Untuk mensabitkan kesalahan mencuri itu tidak dapat dibuktikan mengikut yang dikehendaki.

3) Pencuri itu bukan orang yang mukallaf.

4) Tuan punya harta atau barang yang dicuri itu tidak menyimpan dan menjaga harta atau barangannya di tempat yang selamat daripada kena curi.

5) Pencuri itu belum lagi mendapat milik yang sepenuhnya ke atas harta yang dicuri itu.

6) Harta atau barang yang dicuri itu bukan dari barangan yang berharga dan bernilai.

7) Harta atau barangan yang dicuri itu tidak memberi apa-apa faedah dan tidak bernilai mengikut hukum syarak seperti alat hiburan atau minuman yang memabukkan.

8) Pencurian yang dilakukan oleh orang yang memberi hutang ke atas harta atau barangan orang yang berhutang.

9) Pencurian yang berlaku itu dalam keadaan yang mendesak seperti di dalam peperangan, dimasa sangat lapar dan dahaga.

10) Pencurian yang dilakukan oleh anak ke atas harta atau barangan kepunyaan ibu bapanya hingga ke atas (datuk dan seterusnya).

11) Pencurian yang dilakukan oleh suami ke atas harta atau barangan kepunyaan isterinya dan sebaliknya.

12) Pencuri itu mencuri harta atau barangan kepunyaan Baitul Mal.


Hukuman kerana kesalahan Mencuri

Sesiapa yang melakukan kesalahan mencuri wajib dikenakan hukuman hudud sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum syarak.

1) Mencuri kali pertama hendaklah dipotong tangan kanannya.
2) Mencuri kali yang kedua hendaklah dipotong kaki kirinya dan,
3) Mencuri kali ketiga dan berikutnya hendaklah dikenakan hukuman takzir dan dan dipenjarakan sehingga dia terbunuh.


[Jabatan Mufti Negeri Melaka]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.