Jumaat, 3 Jun 2011

Saling tuduh menuduh berniat jahat

Makin dekat Pilihanraya Umum ke 13 ni makin banyak nampaknya tuduhan bahawa pihak lain berniat jahat. Yang sana kata yang sinun berniat jahat, begitu juga yang sinun balas mengata yang sana.

Maka timbul persoalan di situ, mereka tahu ke NIAT dalam hati masing-masing? Wow, hebat tu kalau tahu! ;))

Tuan-tuan dan puan-puan, hanya Allah Ta'ala sahaja sebenarnya yang tahu apa NIAT masing-masing. Maka bagaimana mereka sampai boleh tahu apa niat di hati masing-masing. Ini bukan dalam bab politik dah ni, tetapi sudah masuk bab metafizik pula.

Lain lah kalau kedua-dua nya sebut, MUNGKIN pihak yang satu lagi berniat jahat. Itu lain sikit bunyinya, kerana ianya adalah satu tekaan, bukannya TUDUHAN NYATA. Walaupun tekaan itu pun sebenarnya sudah termasuk bab sangka buruk. Tetapi ada kalanya sangkaan juga perlu, dalam bab untuk berhati-hati dan waspada, bukan sampai menuduh.

Kalau sudah sampai mengatakan seseorang itu berniat jahat dengan nyata, maka diharap semoga masing-masing dapat tarik balik lah kata-kata masing-masing. Saling maaf-memaafkan sesama saudara, insyaAllah lebih baik.

Untuk mengatakan seseorang itu jahat pun, mesti ada bukti terlebih dahulu, dan sebaik-baiknya ikut cara Islam. Tetapi sekurang-kurangnya, ia mesti nyata di depan mata atau sudah berlaku kesan dan akibat dari perbuatan tersebut yang nyata nampak jahat.

Tetapi jika sekiranya suatu perkara itu masih belum jelas, dan tidak ada apa pun yang jahat yang berlaku lagi, maka rasanya tidak elok lah kita terus menuduh seseorang itu berniat jahat. Caranya pun seperti seorang yang sudah kehabisan hujjah dan modal. Maka cara untuk mengambil jalan mudah ialah, jadi seperti kanak-kanak, iaitu mengutuk melulu tanpa fakta dan hujjah yang betul.

Apabila telah berlaku tuduhan melulu, maka memudahkan lagi untuk menggalakkan fitnah. Bayangkan, kita tidak tahu apa niat seseorang itu, tetapi kita menuduhnya berniat jahat. Maka bagaimana sekiranya niat orang yang kita tuduh itu adalah baik? Bagaimana jika dia berniat baik tetapi caranya sahaja yang tidak betul? Tidak kah kita sudah memfitnah orang secara nyata tu? Renung-renung kan dan senyum-senyum selalu :) .......

Maka daripada kita saling kutuk-mengutuk dan berkata-kata buruk, adalah baiknya kita saling berkata-kata baik. Dan jika malas dan tidak ada masa nak berkata-kata baik, maka diam saja lah keh3.

"Siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam, siapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat hendaklah dia menghormati tetangganya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tamunya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah s.a.w. bersabda: "Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu". Sahabat bertanya, "Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?" Nabi s.a.w. menjawab, "Penyakit-penyakit itu ialah  terlalu banyak seronok,  terlalu mewah,  menghimpun harta sebanyak mungkin,  tipu menipu dalam merebut harta benda dunia,  saling memarahi,  hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalimi". (Hadith Riwayat Al-Hakim).

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh muslihat, di mana akan dibenarkan padanya orang yang berdusta, dan akan didustakan orang yang benar. Akan dipercaya orang yang berkhianat, dan akan dituduh berkhianat orang yang terpercaya. Serta akan bertutur padanya Ruwaibidhah. Maka ada yang menanyakan: Apa itu Ruwaibidhah? Dijawab baginda s.a.w. : Iaitu, orang yang bodoh dan hina ditugaskan menangani kepentingan umum." (Hadith Riwayat Ibn Majah)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.