Isnin, 13 Jun 2011

Isteri Abuya Al-Arqam dakwa suaminya tidak mati lagi

Abuya dan isteri-isteri
Isteri ketiga Ashaari Muhamad ini bikin gempar lagi, kali ini dalam satu wawancara eksklusif yang dirakam untuk tatapan pengikut-pengikut Ashaari lebih dikenali dengan Abuya, beliau mendakwa Abuya tidak mati sebaliknya bergabung dengan Nabi Muhammad SAW dan Imam Mahdi.

Kami siarkan sepenuhnya sedutan wawacara yang dipengerusikan oleh anak sulung ashaari, Fakhrul Razi, yang dikatakan dirakam di Mekah pada Mac lalu dan disiarkan dalam youtube.

Soalan: Umumnya masyarakat sangat menerima baik kita (jemaah Abuya) cuma mereka mempersoalkan akidah sahaja. Jadi bagaimana kita hendak mengungkaikan persoalan ini.

Ummu Jah: Biasanya orang berkata buah yang harum dan manis yang sangat ditunggu musimnya itu tentu dari pokok yang baik. Tetapi nampaknya hari ini orang berkata ada buah yang baik tetapi datangnya dari pokok yang tak baik.

Jadi saya hendak bertanya di sini mengapakah jadi begitu. Mengapakah keadaan anti-klimaks atau double-standard ini telah berlaku dalam masyarakat kita.

Soalnya, mengapakah proses untuk menyesatkan akidah seseorang itu menggunakan ISA yakni tanpa perbicaraan yang dibuat di mahkamah syariah. Sepatutnya selepas dibacakan fatwa sesat pada 5 Ogos 1994 itu, pemimpin-pemimpin Arqam dibawa berbincang, diterangkan satu persatu hal-hal yang dikatakan sesat itu.

Soalan-soalan semua dibenarkan dan penjelasan dari pihak yang didakwa itu pun mahu didengar. Kemudian, bandingkan dengan Quran dan Sunnah hinggalah semua mereka setuju dan menyesal di atas kesesatan. ISA itu menggunakan kaedah memaksa agar mengaku sesat.

Kalau kes mengancam keselamatan negara bolehlah diselesaikan secara ISA. Namun bila dikaitkan dengan ajaran yang menjadi amalan seseorang, bila dipaksakan begitu, hati orang memberontak.

Memang ada dibuat kursus-kursus pemulihan, tetapi satu hala, penuh ugutan dan percakapan diundang-undangkan yakni jangan bercakap perkara yang tidak dibenarkan sekalipun benar. Alhasil, sampai sekarang masalah tak selesai. Orang tak boleh terima kerana perbuatan menyesatkan orang itu mencurigakan.

Perkara yang diharamkan itu ialah Aurad Muhammadiah, Ashaari Muhammad, jemaah Arqam, Imam Mahdi dan daulah Islamiyah. Sebenarnya, selagi isu sesat masih dimainkan, ertinya ISA dan kursus pemulihan bahkan fatwa itu sendiri akan dikatakan gagal atau bolos.

Tidak dizinkan Allah untuk menyelesaikan masalah Arqam dengan sebenarnya sebab pejuang-pejuang masih bertahan dengan ajaran. Jadi jalan keluar yang baik adalah isu sesat jangan dimainkan lagi, izinkan bekas Arqam hidup aman damai di bumi Malaysia. Katakanlah kes Arqam sudah selesai.

Dan kami sekarang sebenarnya berada di Mekah, di hadapan Kaabah, kalaulah kami sesat, kami sangat-sangat bersedia untuk dihukum oleh Allah di dunia daripada dihukum di akhirat.

Kaabah itu mahkamah Allah yang sangat boleh menghukum. Jadi saya cadangkan supaya dikatakan kes Arqam ini kes sesat sudah tidak berlaku kepada bekas-bekas Arqam dan cuba fikirkan risikonya apa, sedangkan kalau kita katakan isu sesat masih berlaku, inilah masalahnya, masyarakat orang Islam masih berpecah belah tapi kalau kita katakan dah tutup, dah selesai, cuba fikirkan, mana lebih baik. Dalam masyarakat kita majmuk begini, dalam keadaan dunia yang penuh masalah, mana lebih baik kita tutup kes Arqam atau kita buka-bukakan?

Soalan: Kenapakah di waktu ini kita semua diminta bertawassul kepada RSA (Rasulullah, Saiyidi dan Abuya) sedangkan sebelum ini kita bertawassul kepada Abuya.

Ummu Jah: Mengapakah Abuya ghaib? Kita semua sama-sama kehilangan Abuya sekarang. Sebelum Abuya pergi, apakah pesanan-pesanan Abuya kepada kita? Atau siapakah yang dapat menghubungi Abuya di alam ghaib untuk menerima panduan kepimpinannya? Bahkan kalau ada yang dapat pun, bila dikhabarkan ” ini dari Abuya”, masalahnya ada yang kata apa jaminan perkataan itu bukan syaitan.

Sebenarnya, sebelum perginya Abuya ke alam ghaib, Abuya selalu melatih saya untuk berhubung dengan Rasulullah SAW.

Caranya diberi salam kepada baginda Rasul macam dalam sembahyang, dalam tahiyyat ” Assalamualaika ya ayyuhannabiyyu “.

Maka dengan izin Allah, Rasulullah hadir dalam bentuk cahaya. Jadi saya pun berdialog dengan hati ke hati dengannya, dan itu BUKAN SYAITAN!

Semua orang tahu bila ada pengakuan ” Saya Rasulullah” itu tidak mungkin syaitan. Jadi dari sumber inilah, dari sumber yang Abuya tinggalkan kepada kita ini saya difahamkan bahawa ghaibnya Abuya bermakna bergabung dengan Rasulullah dan Saiyidi.

Kenyataan bergabungnya adalah sudah diberitahu kepada kita sebelum ini, semua orang pernah dengar Abuya kata di belakang saya Saiyidi, di belakang saya Rasulullah.

Jadi, bila itu berlaku kita berkata ” Oh, begini ke caranya, Abuya tak cerita pula. Rupanya gabungan itu berlaku di alam roh kerana nabi itu berada di sana. Dan pemergian Abuya, selain bergabung ialah menyerahkan jemaahnya ini kepada nabi akhir zaman Rasulullah SAW.

Kita bangga kerana pemimpin kita satu-satunya yang telah mencipta kenyataan bahawa dia telah menyerahkan atau menghubungkan orang-orangnya dengan nabi akhir zaman. Belum pernah dengar cerita ni.

Belum ada pemimpin yang mampu melakukan dan kita terkejut ” Eh! Ya Allah, aku memanglah tertanya-tanya selama ini, macamana kita ada nabi, tetapi tak ada hubungan, jadi bila ini berlaku, bila kenyataan ini datang pada kita, kita memang terkejut, tapi kita banggalah.”

” Eh! Ya Allah, nabi akhir zaman telah ditemui!”

Maka sepanjang ghaibnya, Rasulullah SAW yang mengetuai kepimpinan. Jadi apa yang saya dapat itulah semuanya dari Rasulullah. Di antaranya adalah tawassul kepada RSA [ Rasulullah, Saiyidi ( Sheikh Muhammad bin Abdullah AsSuhaimi atau Imam Mahdi dalam kepercayaan Al Arqam: Pengarang ) dan Abuya .

Memang Abuya nak begitu. Yakni bila terjadi serahan kuasa jemaah secara ghaib, pengikut tidak lagi hanya ada Abuya, tetapi Rasulullah dan Saiyidi juga. Bukankah Abuya sudah ceritakan hal ini selama ini?

Kenapa kita tidak berkata di akhir zaman, di mana zaman sudah lebih jahiliyyah dari jahiliyyah pertama, kepimpinan Abuya seorang tentu tidak cukup untuk mengempayarkan Islam semula.

Gabungan ketiga-tiganya amat diperlukan. Dan kalau kita setuju itu maka tidakkah bertuahnya kita, boleh, dibenarkan , diziinkan sesuatu yang belum diizinkan sebelum ini iaitu memanggil atau bertawassul kepada RSA.

Soalan: Kenapa banyak amalan-amalan baru yang dibuat sekarang yang tak dibuat di waktu sebelum Abuya ghaib contohnya pencak dan tarik duit?

Ummu Jah: Saya rasa salah fakta mengatakan amalan baru yang tak pernah dibuat masa Abuya sebab semua orang tahu bahawa Abuya pernah berpencak dan Abuya pernah tarik duit dari alam roh.

Bahkan bila SB ( polis cawangan khas ) datang, SB tanya macamana dapat duit banyak ni, Abuya jawab ” Dari bank Tuhan, Tuan”.

Jadi itu salah fakta tapi semua itu Abuya tidak izin kita amalkan di masa itu. Cuba kita fikirkan hikmahnya jika kita disuruh amal waktu itu. Yang Abuya izinkan ini setelah dia ghaib. RSA ni muncul bilamana Abuya ghaib.

Kejadian Abuya ghaiblah menjadi punca bagi segala-galanya ini sedangkan Abuya tak pernah cerita yang dia akan ghaib. Jadi kalau difikirkan/nak apapun, pandukan (kepada) keghaiban Abuya itu. Atau katakan Abuya mati (supaya tak bergaduh ). Semua ini berlaku setelah Abuya tiada.

Kalau Abuya ada takkan saya nak buat macam ni. Abuya tak pernah pula beritahu pada sesiapa agar jangan berbuat apa-apa pada jemaah ini kalau Abuya tiada. Ada tak sesiapa yang menerima pesanan kalau Abuya tak ada nanti jangan buat apa-apa kat jemaah Abuya, teruskan, jangan usik-usik, teruskan.

Gambarkan, kalau Abuya tak ada, terus macam itu sahaja, seolah-olah kita kata Abuya matilah, walaupun mulut kata ghaib. Ghaib itu untuk meneruskan kepimpinan. Abuya tentu akan meningkat-ningkatkan kepimpinannya.

Realitinya jemaah Abuya kini jemaah berpemimpinkan pemimpin gabungan. Atas arahan merekalah semua program terkini itu berlaku.

Cuba fikirkan betul-betul kalaulah arahan itu arahan saya, saya kata ” Semua orang pencak,” Tanpa kerjasama alam ghaib atau RSA untuk proses hati-hati untuk taat, faham dan yakin, boleh berlaku kah satu dunia orang nak pencak. Cuba menungkan betul-betul.

Kenapa hati orang mahu? Kerana faktor adanya proses hati yang dibuat oleh RSA. Mustahil tanpa Imam Mahadi, atas dasar Ummu Jah semata-mata satu dunia mahu pencak. Mustahil, tolong rasionallah dalam memperkatakan ini. Mesti ada suatu kuasa di belakang ini semua.

Soalan: Bagaimana jadual-jadual yang disebut oleh Abuya sebelum ini berubah-ubah dan tak jadi, contohnya jadual kebangkitan Islam dari Timur selepas itu ke Khurasan (panggilan kepada Iran, Afghanistan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Tajikistan :Pengarang) dan seterusnya ke Haramain (dua tanah suci atau Mekah dan Madinah; Pengarang). Tetapi mengapa berlaku sebaliknya?

Ummu Jah: Abuya tak pernah beritahu pun bahawa jadual Tuhan itu di antaranya adalah Abuya ghaib. Tetapi kenapa ia terjadi? Sekarang Abuya sedang memimpin jemaahnya dari alam ghaib. Ini sesuatu yang kita tidak pernah sangka, tak pernah terfikir, kalau ada orang yang cuba cakap pun itu setelah terjadi. Tetapi sebelum itu tiada siapapun terfikir.

Sedangkan ini cukup besar, cukup menentukan seseorang itu boleh terima ke tak boleh terima. Sepatutnya Abuya dah hint-hintlah dulu – Nanti ada sesuatu nak jadi, jangan terkejut pula, macam ISA tu ha, ramai yang lari. Nanti apa-apa jadi kalau pelik-pelik sikit tu, jangan lari-lari pulak.

Tak ada, langsung tak cerita. Saya pun, sesaat lagi Abuya nak ghaib tu, baru Abuya kata. Sebab saya harap Abuya janganlah mati, secara roh sahajalah saya cakap tu sebab dia sudah memang koma lamalah, beberapa jam sebelum tu dan saya mendengar respon Abuya

” Takkan kamu nak suruh Abuya buat, Abuya yang macam ni, Abuya yang macam jerangkung ni, gigi tak ada, dan kaki pun dah macam kayu ni.’

Dan saya pun ( terdetik ) “Eh! Apa nak jadi ni?” Lepas tu saya tengok semua papan penunjuk tentang organ-organ Abuya ni semuanya zero. Ya Allah, tapi saya hairan saya tak histerialah, saya boleh terima. Saya cakap kat doktor. ” Ok, doktor”

Doktor kata tak apa, kita tunggu 15 minit lagi, kalau-kalau dia berfungsi semula dan kemudian tak ada. Jadi begitulah ceritanya. Jadi ini satu ujian yang lebih hebat dari ISA lah. Sebab apa?

Sebab ia terjadi tanpa diberitahu, tanpa kita bersiap apa-apa. Dan saya tak tau nak kata apa waktu tu, apa jadi ini. Saya yakin, takkan ia berakhir begini, tak mungkin, tapi saya tak tahu nak kata apa ni.

Jadi, esoknya, baru saya diberitahu, kejadian ini, namanya Abuya ghaib. Saya diberitahu itupun ikut rasa hati sahaja, saya begitu diyakinkan, begitu kuat, tidak boleh difikirkan lagi, sangat menguasai.

Saya disuruh berkata Abuya ghaib dan beri kuliah 10 sebab kenapa Abuya ghaib dan tidak mati lagi. Begitu, jadi perjuangan Abuya sekarang tentu semua orang-orang Abuya mengatakan Abuya sedang terus memimpin di alam ghaib.

Nanti bila terjadi futuh Malaysia (pembebasan Malaysia) hasil kepimpinan ini, hasil perjuangan di Haramain oleh roh Abuya dan gabungannya, maka untuk mengempayarkan Islam, barulah Abuya dapatkan Khurasan dan terus ke Haramain lagi sekali secara fizikal.

Sekarang Abuya tidak dikatakan di Haramain tetapi di alam ghaib. Istana RSA rupanya pusat kegiatan Imam Mahadi dan Abuya secara roh dan akan betul-betul fizikal sedikit masa lagi.

Tidakkah kita fikir untuk menemukan semua persoalan ini, bahawa Abuya juga pernah berkata Imam Mahdi tu, pusat pemerintahannya selain Malaysia ialah di Haramain, jadi inilah dia, ke arah itulah. Tetapi cuma kita keliru, kenapa langkah Haramain, kenapa langkah Khurasan.

Khurasan itu kita dah cari dah beribu kali kita round kawasan tu, cari Harith Al Harras tak jumpa. Bila tak jumpa ertinya Abuya fahamkan kita nanti kita jumpa. Ada faktor yang membolehkan kita jumpa.

Faktor inilah. Faktor Abuya ghaib. Mencari seorang lelaki yang ghaib di Khurasan, cari-cari tak jumpa, semua pakat-pakat turun mencari tak jumpa. Cuba juga, bawa seorang jumpa Abuya, inikah dia Harith Al Harras, Abuya cek-cek tengok bukan. Ertinya cara itu Allah tidak izinkan.

Rupanya inilah kaedahnya. Apa yang susah sangat kita nak faham. Kalau ini pun tak boleh faham, macamana nak faham yang lebih besar lagi Ini simple logic. Siapa kata sekarang perjuangan Abuya di Haramain, Abuya di alam roh.

Hal ini tidak pernah kita diberitahu dalam jadual. Jadual bukan berubah, cuma kita tak tahu. Cuma kita diberitahu selepas ni, ini, selepas ni, ini, jadi pandai-pandailah kita gabungkan.

Videonya di Youtube dengan tajuk Wawancara ekslusif bersama Bonda Ummu Jah

[Agendadaily.com]

Kasihan juga beberapa fahaman yang ada dalam Al Arqam ini. Saya harap pihak Jabatan Agama dan sewaktu dengannya dapat memulihkan balik beberapa fahaman mereka yang seimbasnya saya nampak sudah ada pengaruh dari alam jin.

Ramai mereka yang mungkin kurang pengetahuan dan perlu mendapat bimbingan yang sebenar dari para ulama'. Dan semoga kita dapat tarik mereka yang jumlahnya pun agak ramai agar dapat bersama-sama dengan perjuangan untuk menegakkan Undang-undang Islam di muka bumi ini.

Jika tidak, tinggallah umat Islam berpecah belah dan berpuak-puak dengan membawa hal masing-masing dan ta'asub serta fanatik kepada jemaah masing-masing sahaja.

".......Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka (di saat ini) Allah akan menjadikan peperangan di kalangan mereka sendiri “. Hadith Riwayat Ibnu Majah

Satu sahaja saya nak sebut di sini, nabi akhir zaman adalah Nabi Muhammad S.a.w dan para ulama' adalah pewaris ilmunya. Maka tidak perlu lah kita hanya memuliakan seorang ulama atau guru , contohnya Abuya, TANPA kita mengambil ilmu dan belajar dengan ulama' lain. Ini untuk mengelakkan dari seseorang itu memuja lebih-lebih seorang ulama' sehinggakan mendewa-dewakannya.

Ulama' juga hanyalah hamba Allah, dan selain dari Nabi Muhammad S.a.w ada DOSA dan BUKAN MAKSUM. Bermakna kita boleh menghormati seorang ulama' kerana ilmunya, tetapi kita bukan disuruh dalam Islam untuk MEMUJA ulama', na'uzubillah .......


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.