Rabu, 13 Januari 2010

Ibu dan adik kandung menyimbah asid ke mukanya

Sungguh menyayat hati melihatkan keadaan simangsa ini. Mengapakah seorang ibu dan adik kandung sendiri tergamak melakukan kekejaman sedemikian rupa? Ikuti laporan di bawah ini dari Harian Metro, Rabu, 13 Januari 2009.

“Hang (awak) tengok la apa depa (mereka) dah buat kat aku,” kata seorang lelaki kepada adik perempuannya sambil menunjukkan kecederaan dialaminya akibat disimbah asid oleh ibu dan adik lelakinya dalam kejadian di Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.


Adiknya, Aniza, 38, ketika ditemui berkata, sebelum kejadian Azri yang tinggal di Kampung Bukit Tok Alang bertandang ke rumah ibunya di Kampung Jarak Atas, Tasek Gelugor, kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Difahamkan, mangsa yang masih bujang pergi ke rumah ibunya untuk mendapatkan geran motosikal milik bapa mereka, Abdullah Man yang meninggal dunia Ogos lalu selain berbincang mengenai harta keluarga.

Aniza yang tinggal berhampiran rumah mangsa berkata, ketika kejadian dia kebetulan ke rumah ibunya dan terkejut apabila melihat keadaan abangnya disimbah asid.

“Ketika itu saya lihat dia merintih kesakitan dan meminta pertolongan ibu saudara kami bersebelahan rumah ibu.

“Saya juga terkejut melihat keadaannya yang parah dengan mukanya pucat seperti mayat, kulit menggelupas dan tertanggal di muka serta badan manakala bajunya pula hancur,” katanya ketika ditemui di HSB, semalam.

Aniza, anak ketiga daripada enam beradik berkata, dia bertanya kepada Azri mengenai kejadian yang berlaku dan diberitahu ia angkara ibu serta adik lelaki mereka sendiri.

Ketika kejadian, dia tidak nampak kelibat ibu serta adiknya di rumah kerana mereka dipercayai sudah melarikan diri.

Katanya, dia bersama suami, Nasri Hashim, 40, membawa Azri ke Hospital Seberang Jaya sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang, keesokannya. Mangsa dibawa ke HSB di sini pada 29 Disember lalu dan ditempatkan di Unit Rawatan Kebakaran sehingga kini.

Aniza berkata, doktor memaklumkan keadaan abangnya kritikal dan kemungkinan buta seumur hidup.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, polis menahan ibu dan adik lelaki mangsa yang berusia 58 dan 27 tahun pada hari kejadian dan kedua-dua mereka direman seminggu bagi membantu siasatan.

“Mereka dibebaskan dan kami kini menunggu arahan timbalan pendakwa raya untuk pertuduhan,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.


Sumber - Harian Metro , 13 Januari 2010

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.