Khamis, 12 Januari 2012

Hidayah untuk artis, peminat dan kerajaan

fantasy bonsai
Assalaamu'alaikum warahmatullah. Sekali-sekala kita akan dengar tentang berita artis berubah ke arah yang lebih islamik. Jika dia adalah wanita, dia akan mula bertudung dan menutup aurat dengan baik. Dan akan mula menjaga peribadi dan akhlak dengan lebih baik dan sopan selepas itu.

Tentunya ada pihak-pihak yang ternanti-nanti pula artis lain yang akan menurut jejak langkah tersebut. Dan tidak kurang yang berhati busuk mengejek-ngejek dan mencemuh artis-artis yang telah berhijrah ke arah yang lebih baik. Ada yang mencemuh kerana artis tersebut telah bertukar menjadi seseorang yang berlainan politik dengannya. Ada pula yang tidak puas hati kerana artis tersebut mula bercakap apa yang tidak selari dengan aliran pemikiran dan fahamannya.

Walaupun begitu, adakah kita pernah fikir tentang peminat-peminat artis? Tanpa peminat, mana mungkin artis boleh menjadi popular dan diminati ramai? Dan tanpa peminat, mungkin artis tidak akan menjadi lebih lagha (lalai) dan mengajak orang lain lagha sama.

Oleh itu, mereka-mereka yang meminati artis sepatutnya memikirkan bahawa mereka juga memberi sumbangan kepada jatuh bangun artis. Dalam masa yang sama, mereka juga bersubahat dalam membiarkan artis dalam keadaan maksiat dan menarik orang lain pula ke arah maksiat.

Tidak ketinggalan juga kepada kerajaan. Mengapa kerajaan boleh menangkap mereka-mereka yang berkhalwat dan membuat maksiat secara tersembunyi tetapi membiarkan artis-artis berpelukan sesama bukan muhrim, tidak menutup aurat, berpakaian seksi dan seumpamanya secara terbuka? Sedangkan itu semua adalah dosa dan boleh menggalakkan peminat-peminatnya berbuat perkara yang sama.

Sedarkah kita bahawa para artis itu merupakan idola (ikutan) masyarakat terutamanya remaja? Jika kita sedar, mengapa kita boleh membiarkan lagi keadaan ini berleluasa?

Namun, tidak semestinya artis-artis itu mesti dikutuk dan dimaki hamun dengan sewenang-wenangnya, seperti segelintir dari kita lakukan. Kutukan, kata-kata kesat dan keji bukannya cara berdakwah dalam Agama Islam. Sedangkan Nabi Musa a.s pergi kepada Firaun yang sejahat-jahat manusia pun disuruh bercakap dengan lemah-lembut. Sedangkan Nabi Muhammad s.a.w berhadapan dengan Yahudi dan orang-orang musyrik pun boleh menunjukkan akhlak yang mulia, yang menyebabkan orang tertarik dan jatuh hati pada Islam.


Tugas kita adalah mengajak (dakwah), bukannya mengutuk dan mengeji orang lain. Kerana hidayah adalah milik Allah S.w.t , bukannya milik kita. Sedangkan Nabi Muhammad S.a.w pun tidak dapat memberi hidayah pada manusia, apa lagi kita.

"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah." (Surah Al-Qasas : 56)

Kerja kita bukan MENGHUKUM, kerana kerja menghukum adalah kerja kerajaan atau pemimpin. Maka jika artis ada lakukan maksiat atau kesalahan, serahkan saja pada kerajaan. Jika kerajaan tidak laksanakan tanggungjawabnya, mereka lah yang akan tanggung nanti. Kerja kita juga bukan melepaskan kemarahan membabi-buta dengan menggunakan kata-kata kesat dan mencarut, kerana ianya akan membuatkan non-muslim pandang serong pada kita. Nama agama kita sendiri yang tercemar akibat perangai tidak berakhlak dan biadab kita, na'uzubillahi min zaalik. 

Kerja kita hanya memberi nasihat dan mengajak ke arah kebaikan dan beriman kepada Allah S.w.t. Orang lain nak dengar atau tidak seruan kita, itu terpulang kepada hidayah dari Allah. Ia adalah ujian KESABARAN bagi kita juga.

"Ajaklah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan contoh pengajaran yang baik dan berdailoglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik."  (Surah Al-Nahl : Ayat 125)

“Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka tipu dayakan”. (Surah an-Nahl : 127-128)

“Maka bersabarlah kamu seperti orang-orang yang mempunyai keteguhan hati dari rasul-rasul telah bersabar dan janganlah kamu meminta disegerakan (azab) bagi mereka."  (Surah Al-Ahqaaf : 35)

Jika para rasul pun disuruh bersabar, apatah lagi kita. Jika mereka pun disuruh bersabar apabila menghadapi orang-orang kafir, apatah lagi kita yang hanya menghadapi sesama Islam kita?

Oleh itu, orang ramai termasuk peminat-peminat sepatutnya memberi nasihat secara berhikmah dan jujur kepada artis-artis yang melanggar syariat Islam, agar dengan itu artis-artis tersebut akan berfikir dan menginsafi diri jika ada kesalahan-kesalahan yang dilakukan.  Jika mereka sayangkan para artis, mereka tidak akan membiarkan para artis itu hanyut dan bergelumang dengan maksiat secara terang-terang, dan memberi pengaruh kepada masyarakat pula.

Saya percaya, para artis yang ada di negara kita ini kebanyakannya tidak lah sejahat yang disangkakan. Tetapi kebanyakan mereka mungkin kurang didikan agama dan terdedah kepada persekitaran yang menyokongnya untuk terus bergelumang dengan maksiat dan perkara-perkara yang boleh membawa keburukan kepada masyarakat.

Jika kita terus-menerus mengutuk dan mengeji mereka, bagaimana mereka mahu lihat KEINDAHAN ISLAM? Bagaimana untuk mereka yakin bahawa orang-orang Islam ini baik dan berakhlak mulia? Kes tidak akan selesai dengan baik jika amalan kutuk-mengutuk diteruskan, bahkan hanya membawa kemarahan dari kedua-dua belah pihak.

Sebagai contoh, jika kita memaki hamun kawan kita yang tidak solat, kerana kita mahu suruh dia solat, agaknya kawan kita tu akan bangun solat atau tidak? Kalau solat pun mungkin dalam keadaan marah dan merasa terpaksa. Maka apa kesan positifnya?

Tetapi jika kita menasihati dengan baik, kena dengan gayanya, insyaAllah dia sendiri yang akan merasa malu dan bersalah, seterusnya akan mengerjakan solat dengan ikhlas setelah hatinya bersih dari segala kekotoran. Api jika disimbah dengan minyak petrol, sudah pasti semakin marak, tetapi jika disiram dengan air secara perlahan-lahan, maka ia akan padam.

Justeru itu, kita mestilah sentiasa mengingati diri kita, dan jika boleh berpesan kepada artis, maka berpesan lah dengan baik, disamping sertakan hadits-hadits seperti di bawah ini.

Daripada Ali bin Abi Thalib r.a. Rasulullah saw. Bersabda: "Apabila umat ku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka iaitu:
Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
Apabila amanah dijadikan suatu sumber keuntungan.
Zakat dijadikan hutang.
Suami memperturutkan kehendak isteri.
Anak derhaka terhadap ibunya,
Sedangkan dia berbaik-baik dengan kawannya.
Dia suka menjauhkan diri daripada ayahnya.
Suara sudah ditinggikan di dalam masjid.
Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka.
Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya.
Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat.
Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki).
Para artis disanjung-sanjung.
Muzik banyak dimainkan.
Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat).
Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan diubah menjadi makhluk lain." (Hadits riwayat Tirmizi)

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni Neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor Iembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol (goh) unta yang senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya”.  (Hadits riwayat Muslim)

Tentang 'berpakaian tetapi telanjang' itu, Imam Nawawi telah mensyarahkan, antara maksudnya ialah wanita yang menutup sebahagian dari auratnya dan membuka sebahagian yang lain. Juga wanita yang memakai pakaian nipis atau ketat yang boleh menampakkan bentuk tubuh.

Keadaan wanita sedemikian belum pernah lagi dilihat oleh Nabi Muhammad s.a.w. Akan tetapi sangat boleh dilihat dan berleluasa di mana-mana tempat sekarang, wanita-wanita yang memakai pakaian ketat, bikini, seksi dan seumpamanya di khalayak ramai, termasuklah yang dipakai oleh para artis.

Maka wahai para artis dan orang-orang ternama, sedarlah bahawa anda adalah idola / ikutan masyarakat terutamanya golongan muda. Jika anda membuat konsert untuk membantu mangsa-mangsa yang ditimpa bala bencana pun apa gunanya, jika anda sendiri melakukan perkara yang BOLEH MENGUNDANG BALA?

Walaupun nampak remeh soal menutup aurat ini, tetapi ianya dapat menggugat iman seorang lelaki dan banyak lagi kesan buruk lain yang boleh berlaku. Apa lagi jika batasan-batasan yang ditetapkan oleh Allah dilanggar dengan sewenang-wenangnya, maka lama-kelamaan semakin banyaklah batasan dilanggar. Sebagai contoh mula-mula dedah rambut saja, kemudian dedah tangan, kaki, perut, bahu dan seterusnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar RasuIullah s.a.w bersabda, “Umat ku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya, “Apakah penyakit-penyakit umat-umat terdahulu itu?” Nabi saw. menjawab, “Penyakit-penyakit itu ialah terlalu banyak seronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga jadi zalim menzalim”.  (Hadits riwayat Al-Hakim)

Semoga Allah S.w.t kurniakan taufiq dan hidayahNya kepada kita semua. Sama-sama lah kita sentiasa berdoa kepadaNya. Dan semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat, berkat dan maghfirah (keampunan) dari Allah S.w.t. Baarokallahu lii wa lakum, amin. :)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih :)

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.