Isnin, 22 Ogos 2011

Nabi Muhammad s.a.w suka bersama orang miskin

Dalam kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, baginda adalah dekat dengan golongan-golongan miskin termasuk anaknya sendiri. Walaupun Rasulullah s.a.w adalah seorang pemimpin negara, tetapi baginda dan anak-anaknya tidak kaya dan tidak berharta.  (Amacam, boleh cari pemimpin seperti ini sekarang?)

Bukannya Rasulullah S.a.w tidak mampu menjadi kaya, akan tetapi baginda S.a.w tidak mahukan kekayaan duniawi. Sabda baginda S.a.w; "Tuhanku telah menawarkan kepadaku untuk mengubah bukit-bukit di Makkah menjadi emas. Tetapi aku menadahkan tangan kepada-Nya, sambil berkata, "Ya Allah, aku lebih suka sehari kenyang dan lapar pada hari berikutnya agar aku dapat mengingat-Mu apabila sedang lapar, dan memuji-Mu serta mensyukuri nikmat-Mu apabila kenyang." [Hadits riwayat at-Turmudzi]

Dan jika Rasulullah S.a.w masuk ke dalam suatu majlis, baginda akan duduk bersama-sama dengan orang-orang miskin. Baginda tidak sombong dan bermegah dengan kedudukan dan pangkat. Baginda S.a.w adalah seorang manusia yang sangat tawadhu' dan rendah diri.

Begitulah sifat para nabi, termasuklah nabi yang dikurniakan kerajaan dunia paling besar pun, iaitu Nabi Sulaiman a.s, juga suka duduk-duduk bersama dengan faqir miskin dan tidak bermegah-megah dengan kekayaannya.

Adakah kita sekarang ini suka bersama orang-orang miskin?  Mungkin ketika dekat pilihanraya saja, ataupun disaat memancing undi. Bukannya setiap hari seperti yang Nabi Muhammad s.a.w lakukan. Malah kita agaknya lebih suka bersama golongan-golongan berada agar duit poket kita tidak terbang malah semakin masyuk.

Dari Haritsah bin Wahab r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:  "Sukakah engkau semua saya beritahu, siapakah ahli syurga itu? Mereka itu setiap orang yang lemah dan dianggap lemah oleh para manusia, tetapi jikalau dia bersumpah atas Allah, pastilah Allah mengabulkan apa yang disumpahkannya itu. Sukakah engkau semua saya beritahu, siapakah ahli neraka itu? Mereka itu ialah setiap orang yang 'utul (keras), jawwazh (bakhil) tetapi gemar mengumpulkan harta, lagi pula bongkak." (Muttafaq 'alaih)

Dari Abu Said al-Khudri r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Syurga dan neraka itu saling berbantah-bantahan. Neraka berkata: "Di dalamku ada orang-orang yang keras kepala - gemar memaksakan kehendaknya pada orang lain - serta orang-orang yang bongkak." Syurga berkata: "Di dalamku ada para manusia yang lemah-lemah serta kaum fakir miskin." Allah lalu memutuskan perbantahan mereka itu dan firmanNya: "Engkau itu, syurga, sesungguhnya adalah tempat kerahmatanKu, yang Aku merahmati denganmu itu siapa saja yang Kukehendaki, sedang engkau neraka, sesungguhnya adalah tempat penyiksaanKu, yang Aku menyiksa denganmu siapa saja yang Kuhendaki. Atas kehendakKu pula lah kedua-duanya itu siapa-siapa yang akan diisikannya." (Hadith Riwayat Muslim)

Dari Usamah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: "Aku berdiri di pintu syurga, maka kebanyakan orang yang memasukinya itu adalah orang-orang miskin, sedang orang-orang yang kaya masih tertahan, tetapi para ahli neraka sudah semua diperintahkan untuk masuk neraka. Dan aku juga berdiri di pintu neraka, maka kebanyakan yang masuk ke dalamnya adalah kaum wanita."  [Muttafaq 'alaih]



Faqir miskin hampir kepada kekufuran?

Abul Laits berkata: "Abu Ja'far meriwayatkan dengan sanadnya dari Abu Said Alkhudri r.a. berkata: "Ya Allah, matikan aku sebagai orang fakir miskin dan jangan dimatikan aku kaya dan kumpulkan aku di mahsyar dalam rombongan orang-orang miskin pada hari kiamat, maka sesungguhnya yang amat celaka ialah orang yang miskin di dunia dan tersiksa di akhirat."

Walaupun orang faqir dan miskin banyak kelebihannya untuk akhirat, akan tetapi perlu berhati-hati kerana kefakiran juga boleh mengundang gejala-gejala yang tidak sihat jika iman tipis ditambah dengan kejahilan dan menurut hawa nafsu.

"Hampir orang yang fakir miskin itu membawa kepada kekufuran." [Hadith riwayat Abu Nu'aim daripada Anas. Syeikh al-Albani dan beberapa lagi mendhaifkannya. Ali al-Qary dalam al-Mirqaat mengatakannya sangat dhaif].  Walaubagaimana pun, hadith ini lemah pada sanadnya dan sudah tentu tidak boleh dijadikan sebagai hujjah.

Kekufuran tidak semestinya berlaku kepada orang-orang fakir miskin semata. Ianya terletak kepada iman dan kesabaran masing-masing. Tanpa iman dan kesabaran yang baik, seseorang yang banyak harta sekali pun boleh menjadi kufur dan tidak berpuas hati dengan apa yang diterimanya. Jika diberi ujian sedikit akan berkeluh kesah lebih dari sepatutnya, marah-marah dan mengutuk takdir. Ini biasa berlaku pada sesiapa saja, bukan sahaja orang-orang fakir miskin.

Yang menjadi masalahnya lagi ialah jika miskin dan suka meminta-minta pada orang hingga menyusahkan orang lain. Ini sememangnya tidak digalakkan. Tetapi jika seseorang miskin itu tidak meminta-minta pada orang lain, jangan pula kita menghina dan menjauhinya.  Yang mengatakan orang-orang miskin itu menyusahkan ialah orang-orang yang tidak faham Agama Islam. Kerana Allah adakan orang miskin agar orang kaya dapat buat amal kebaikan dengan hartanya, bukan disuruh menghina dan merendah-rendahkan.

Lagi pun manusia sudah diberikan tahap pemikiran dan rezeki masing-masing. Ada yang tidak mampu untuk mencari banyak. Dan ada juga yang mampu tetapi malas, cuma mungkin suatu masa nanti dia akan menyesal dengan kemalasan itu dan mahu berusaha, tetapi agak terlambat baginya. Walaupun begitu, bukan urusan kita untuk mengutuk dan menghina, atas kesilapan masa lampaunya.

Antara agenda-agenda manusia-manusia yang gila dunia sememangnya mereka cuba untuk menghina dan merendahkan orang-orang miskin. Kerana sebenarnya mereka sayang dengan harta mereka dan sedaya upaya cuba untuk menyuruh agar orang-orang miskin itu mencari kekayaan dengan sendiri, agar harta-harta orang-orang kaya tadi tidak terlepas ke tangan orang lain.


Kelebihan orang Fakir dan Miskin

Dari Mush'ab ibnu Sa'ad ibnu Abu Waqqash r.a berkata; "Sa'ad merasa bahawa dirinya mempunyai kelebihan dibanding orang yang berada di sekitarnya, kemudian Nabi S.a.w bersabda; "Bukan kah kamu mendapatkan pertolongan dan rezeki berkat adanya orang-orang yang lemah di sekitarmu?"  [Riwayat Bukhari]

Abul Laits As-Samarqandi berkata; "Orang kaya itu tempatnya di bawah orang yang miskin baik di syurga atau di neraka, kecuali orang yang selalu sedekah ke kiri kanan, depan belakang dan sedikit sekali yang sedemikian sebab syaitan laknatullah merintangi mereka untuk sedekah."

Abul Laits berkata: "Seharusnya seorang muslim suka kepada orang faqir meskipun dia kaya, sebab cinta kepada orang faqir itu bererti cinta kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan juga Allah s.w.t. menyuruh Nabi Muhammad s.a.w. supaya cinta kepada orang-orang faqir miskin sepertimana firman Allah S.w.t yang bermaksud; "Dan sabarkan dirimu berkumpul dengan orang-orang yang selalu berdoa kepada Tuhan pagi dan petang semata-mata kerana mengharap keredhaanNya." (Surah Alkahfi : ayat 28)

Sebab turun ayat ini kerana Uyainah bin Hishin Alfazari tokoh Bani Fazarah masuk ke tempat Nabi Muhammad s.a.w. sedang di situ ada Salman Al-farisi. Shuhaib bin Sinan Arrumi dan Bilal Alhabasyi dan lain-lainnya dari kaum dhu'afaa' (yang lemah), mereka dengan pakaian yang buruk dan berbau peluh mereka, maka Uyainah berkata: "Kami ini adalah bangsawan dan mempunyai harga diri, maka bila kami masuk kepadamu, maka keluarkan orang-orang itu sebab mereka mengganggu kami dengan bau dan berilah kepada kami waktu sendiri duduk bersamamu." Maka Allah s.w.t. melarang Nabi Muhammad s.a.w. mengusir mereka dan diperintahkan supaya sabar berkumpul dengan orang-orang yang tidak meninggalkan sembahyang lima waktu kerana mengharap keredhaanNya. Allah s.w.t. berfirman; "Dan jangan engkau palingkan pandanganmu dari mereka kerana menginginkan kemewahan dunia, dan jangan menurut kepada orang yang telah Kami lalaikan hatinya dari peringatan (ajaran) Kami, dan hanya menurutkan hawa nafsunya, maka semua urusan halnya sia-sia belaka." (Surah Alkahfi : ayat 28)

Dan perintah kepada Nabi Muhammad s.a.w. ini berlaku kepada semua kaum muslimin sampai hari kiamat, kerana itu setiap muslim mesti suka dan baik kepada orang faqir miskin, serta  berbudi kepada mereka kerana mereka orang-orang terkemuka di sisi Allah s.w.t. dan dapat diharapkan syafaat mereka.

Ibn Abbas r.a. berkata: "Mal'un (terkutuk) siapa yang menghormat kerana kekayaan dan menghina kerana kemiskinan."

Abdullah bin Umar r.a. berkata Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya makhluk yang sangat dikasihi oleh Allah s.w.t. ialah orang yang faqir miskin sebab manusia yang amat dikasihi oleh Allah s.w.t. ialah para Nabi, maka Allah s.w.t. menguji mereka dengan kefakiran kemiskinan."  [2]

"Bukan kemiskinan yang ku bimbang menimpa kamu tetapi yang aku bimbang ialah dibentangkan di hadapan kamu kemewahan dunia sebagaimana telah dibentangkan kepada umat sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba mengejarnya sebagaimana umat dahulu kala juga berlumba-lumba mengejarnya, lalu ia membinasakan kamu seperti mana umat dahulu kala juga telah dihancurkan oleh sifat sedemikian."  [Hadis riwayat Bukhari - Kitab al-Jizyah no 2924]


Adakah Islam menggalakkan kita menjadi faqir?

Tidak semestinya banyak diterangkan kelebihan orang faqir bermakna Islam menggalakkan kita menjadi faqir, kerana bukan semua orang dapat tahan dengan ujian kefaqiran. Lagi pun konsep washatiah (sederhana / pertengahan) lebih diutamakan.  Rasulullah S.a.w juga mengajarkan kita doa untuk mengelak dari menjadi faqir seperti berikut;

"Ya Allah. Aku berlindung dengan Mu daripada kekufuran dan kefaqiran dan aku berlindung dengan Mu daripada azab kubur. Tiada Tuhan melainkan Engkau." [Hadits riwayat Abu Dawud, Nasaie dan Ahmad]

Justeru, inti yang kita perlu fahami ialah, JANGAN dihina orang-orang faqir dan mereka perlu dibantu. Jurang status ekonomi ummah sebaik-baiknya tidak direnggangkan. Saling bantu antara satu sama lain, agar sama-sama dapat hidup selesa dan tenang, tak perlu TAMAK, atau TERLEBIH NIKMAT dari orang lain.

المؤمن للمؤمن كالبنيان يشد بعضه بعضًا

"Orang mukmin bagi orang mukmin lain seperti binaan, menguatkan antara satu sama lain."  [Muttafaqun 'alaih]

"Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang telah mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan?" [Surah Huud : 15-16]

Orang faqir miskin adalah LUBUK untuk kita membuat AMAL SHALEH ....... Wallahu a'lam


Rujukan :

1 - Riyadhus Shalihin, bab 32 - Imam an-Nawawi
2 - Tanbihul Ghafilin - Abul Laits As-Samarqandi


Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.