Ahad, 31 Julai 2011

Tumbuhan herba untuk kecantikan dan kesihatan

Tumbuh-tumbuhan herba memang penting dalam Perubatan Melayu. Justeru tidak hairan lah ia terbukti dapat menyembuhkan pelbagai penyakit, insyaAllah. Namun, khasiatnya juga mampu memberi kesan kepada kecantikan.

Sememangnya kehadiran semak samun atau tumbuhan di dalam kawasan rumah kita adalah sesuatu yang kita tidak gemari. Untuk membersihkannya kita akan mencabut atau lebih menyenangkan lagi kita akan meracunnya. Tetapi pernahkah kita sedar bahawa semak samun itu mengandungi tumbuhan herba yang boleh dijadikan ubatan atau bahan makanan yang baik untuk kesihatan.

Antara tumbuhan herba yang dapat kita temui dikawasan rumah kita ialah keremak, dukung anak, kematikan, tutup bumi, kacang kelo, cempaka, stevia, talin, bakawali dan aerva lantasjus. Manakala akar kayu pula ialah rumput samboi, cendawan susu rimau,ubi jaga dan dahan raja kayu. Kesemua tumbuhan herba ini adalah warisan masyarakat kita yang menjadi amalan turun temurun sejak dahulu lagi.

Firman Allah S.W.T Maksudnya "....... dan (ingatlah satu bukti lagi) engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai."  (Surah Al-Hajj : Ayat 5)


Tumbuhan Herba

Cekur

Biasanya tumbuhan Cekur ditanam di sekitar rumah yang berkeadaan lembab dengan sedikit teduhan. Banyak kelebihan, antaranya digunakan sebagai tonik untuk senak perut, membuang angin, sakit sendi serta melancarkan haid. Ia juga digunakan untuk melegakan batuk, mengurangkan bengkak dan dibuat bedak untuk merawat jerawat. Daunnya yang muda dimakan sebagai ulam atau dibuat kerabu.

Cara-cara hilangkan jerawat dengan cekur ialah;

1 - Sediakan daun cekur kira-kira sebesar ibu jari.

2 - Kemudian giling sehingga lumat.

3 - Setelah itu campurkan dengan bedak sejuk.

4 - Sapukan campuran tadi ke muka dan biarkan selama 15 hingga 20 minit sebelum dibilas dengan air suam.


Emas Cotek

Emas Cotek @ Ficus Deltoidea banyak terdapat di kawasan belukar di tepi laut atau rimba di pergunungan. Daunnya berwarna hijau berkilat dan mempunyai bintik yang berwarna emas di permukaannya manakala di bawah permukaan daunnya berwarna kuning keemasan dengan tompok-tompok hitam.

Air rebusan keseluruhan herba ini diminum oleh wanita untuk merawat keputihan dan melawaskan haid. Tumbuhan ini juga dipercayai boleh mengekalkan awet muda. Selain itu, Emas Cotek berupaya ikhtiar mencegah dan menyembuhkan penyakit-penyakit seperti paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi, lemah jantung, cirit-birit, melancarkan peredaran darah dan rawatan sakit kulit.


Cucur Atap

Cucur Atap
Daunnya kecil atau halus seperti jarum, tersusun secara bertentangan dan mengeluarkan aroma bila dihancurkan atau diramas. Tumbuhan ini didapati hidup secara meliar di kawasan tanah tinggi dan juga tumbuh subur di tanah mineral.

Lazimnya tumbuhan ini digunakan sebagai teh herba untuk kesihatan. Daunnya dikatakan mempunyai keupayaan untuk merawat demam, antibakteria dan melancarkan peredaran haid. Ia juga digunakan bagi merawat selsema, sakit kepala, demam campak, uluran dan juandis dengan cara mengasapkan pesakit melalui pembakaran daun kering atau menghidu wap air rebusan daun segar.


Kunyit

Dalam perubatan, kunyit digunakan sebagai antioksidan, antibakteria, antiradang dan antikanser. Kunyit juga berupaya menyembuhkan luka dalam badan, membersih dan menghalang pembekuan darah, melancarkan perjalanan darah, membantu proses pencernaan serta menghilangkan selsema. Ia juga dikatakan dapat menyembuhkan luka, seliuh anggota dan kudis.


Kesum

Secara tradisionalnya, air rebusan daun Kesum digunakan untuk mengubati masalah penghadaman dan menghilangkan kelemumur di kepala. Daripada segi khasiat pemakanan, kesum kaya dengan beta karotena, vitamin A, vitamin C dan juga bahan galian seperti kalsium , kalium dan fosforus.


Limau Purut

Daun Limau Purut banyak digunakan dalam masakan seperti Tom Yam kerana bau dan rasanya yang unik. Ia juga digunakan sebagai ramuan ubatan dan juga bahan untuk mandi wap. Selain berkesan sebagai penggalak antitumor atau pencegah kanser, Limau Purut juga berupaya merawat, luka, lebam dan gigitan serangga berbisa serta merangsang perjalanan darah.


Mengkudu

buah mengkudu - Morinda Citrifolia
Mengkudu @ Morinda Citrifolia mempunyai pelbagai kegunaan. Satu kajian yang dijalankan di Amerika Syarikat melaporkan sebanyak 22  jenis masalah kesihatan dapat dibantu dengan pengambilan mengkudu. Antaranya ialah kanser, kencing manis, darah tinggi, tulang, jantung, kemurungan, pernafasan, penghadaman dan buah pinggang.

Biasanya ia dibuat jus yang juga dikenali sebagai Jus Noni.


Rosel

Kelopak buah Rosel yang berwarna merah kaya dengan vitamin A dan C serta zat mineral. Dengan menjadikannya sebagai teh ubatan, herba ini dapat membantu mempercepatkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah tinggi di samping memberi kesan awet muda.

Selain itu, kelopaknya juga boleh diproses menjadi jem, halwa, jeli, jeruk dan juga pewarna makanan.


Pegaga

Pegaga @ Centella asiatica kini bukan sahaja dijadikan ulam dicecah dengan samabal belacan tetapi menjadi rebutan saintis perubatan dan kosmetik antarabangsa. Tumbuhan hijau yang tumbuh melata ini dikatakan mengandungi sejenis enzim yang bernilai tinggi “tetripenoids” yang menjadi antara bahan asas dalam pembuatan kosmetik kecantikan kulit dan ramuan penting untuk dicampur dengan herba tertentu bagi mengubati penyakit barah. Ia juga diproses untuk dijadikan minuman kesihatan atau tonik untuk menyegarkan badan selain peransang kepada pemulihan.

Dengan keistimewaannya, pucuk pegaga kini dilihat sebagai tumbuhan komersil . kajian secara saintifik menunjukkan pucuk pegaga mempunyai enzim tetripenoid untuk dijadikan ubat anti kanser.

Selain itu terdapat empat jenis pegaga yang terdapat dinegara kita, iaitu pegaga biasa yang mudah diperolehi dikampung-kampung, pegaga salad yang daunnya menyerupai daun salad sebenar (versi daun lebar) pegaga nyonya dan pegaga hitam.


Tongkat Ali

Tongkat Ali @ Eurycoma longifolia jack merupakan tumbuhan yang masyur dan mujarab. Dalam ketegori perubatan tradisional, ia digolongkan dalam jenis perubatan atasan kerana ia dapat meningkatkan daya imuniti semulajadi badan, menguatkan daya tahan melawan penyakit dan sebagai ubat peransang eraksi. Oleh kerana keberkesanannya, ia sesuai merawat pelbagai jenis penyakit. Di antara keberkesananya ialah:

1. Menambah tenaga
2. Menambah selera makan dan menguatkan sistem penghadaman. Memperbaiki sistem imuniti badan melawan penyakit.
3. Memperbaiki keadaan fizikal dan mental badan
4. Mengurangkan keletihan
5. Meningkatkan fungsi kulit dan otot.


Alfalfa

Alfalfa @ Medicago sativa merupakan tumbuhan yang mempunyai reputasi tinggi didalam perubatan herba. Ia sering digunakan untuk membersihkan perjalanan darah serta untuk membuang toksik didalam badan. Ini kerana setiap hari kita mengambil makanan makanan yang mengandungi toksik seperti hidupan laut yang telah tercemar. Alfalfa turut digunakan didalam merawat dan mengesan jangkitan kuman pada pundi kencing, masalah penghadaman penyakit kulit serta ulser.


Aloe vera

Aloe vera atau masyarakat Malaysia memanggilnya lidah buaya merupakan herba yang mempunyai bahagian yang lembik dan lekit. Ia digunakan sejak dahulu lagi bagi meransang pengimunan badan, pelembab kulit, menghilangkan parut, mengubati kulit yang melecur dan juga untuk melebatkan rambut.

Aloe vera turut dikaitkan dengan penyakit asma, kencing manis, serta penyakit ulser. Namun pada masa sekarang aloe vera telah menjadi bahan ramuan yang penting didalam alat-alat kosmetik wanita yang beredar didalam pasaran. Kajian yang dilakukan menunjukkan tumbuhan ini sangat berguna pada manusia dan patut ditanam oleh semua orang untuk digunakan secara tradisional seperti sebagai syampu serta mengubat kesan melecur yang sering berlaku dirumah kita.


Halia

halia
Halia @ Ziniger officinale merupakan herba yang digunakan didalam perubatan purba China sejak dahulu lagi. Ia digunakan untuk memanaskan badan, membuang angin yang terdapat dalam usus kecil dan usus besar, meredakan penyakit gout, batuk, migrain, sakit gigi, sakit tulang senggugut, sesak dada, menangkis serangan ulser serta dapat meredakan kekejangan otot. Ia juga turut digunakan untuk merawat rasa loya- loya serta meredakan tekanan. Namun pengambilan dalam kuantiti yang banyak akan menyebabkan berlaku kompilasi didalam sistem penghadaman.


Ginseng

Ginseng @ Panax ginseng merupakan herba yang sangat bernilai didalam sejarah perubatan China. Diantara ginseng yang popular ialah ginseng Korea ndan ginseng China. Ginseng ini sering digunakan sebagai tonik. Ia dikatakan dapat melegakan ketegangan, menambahkan kadar metabolisma menurunkan kandungan darah didalam badan serta memperbaiki daya imun badan.

Ia juga digunakan untuk merawat penyakit kencing manis, menurunkan kadar kolesterol, merawat gejala-gejala menopous yang dialami wanita yang telah putus haid,mengubat kelesuan serta untuk melindungi badan daripada serangan kanser. Ia juga sesuai untuk para ibu-ibu yang baru lepas bersalin. Ia digunakan untuk mengecutkan sistem peranakan serta memperbaiki kelancaran darah.

Ginseng ini selalu dijadikan tonik dan diminum. Namun terdapat lagi cara tradisional, iaitu dengan merebus ginseng ini untuk mendapatkan air pati rebusannya.


Cendawan

cendawan putih besar
Cendawan turut diiktiraf sebagai herba yang berguna pada manusia. Cendawan ini kebanyakannya tumbuh meliar dan dikutip oleh manusia sebagai makanan serta untuk perubatan. Kajian mendapati cendawan boleh mengurangkan kandungan gula di dalam darah, menambah insulin di dalam darah, membunuh beberapa jenis virus yang membawa penyakit berjangkit dan turut berperanan sebagai agen mempertahankan badan dari serangan kanser.

Cendawan ini boleh digunakan secara segar seperti dimakan sebagai sayur. Selain itu pada masa sekarang kebanyakan cendawan ini telah dijadikan serbuk di dalam bentuk kapsul. Ini untuk memudahkan para pengguna kerana cendawan yang segar agak terhad di pasaran.


Tumbuhan yang merbahaya kepada manusia

Kecubung atau Datura metal turut dikenali oleh penduduk tempatan sebagai kecubong, terung pengar, terung pungak merupakan tumbuhan yang dilaporkan beracun. Tumbuhan herba ini boleh menjangkau ketinggian sehingga 6 kaki. Terdapat juga spesis yang boleh tumbuh melebihi ketinggian ini. Tumbuhan ini dikawasan beriklim panas lembab di seluruh dunia. Selain daripada tumbuh meliar, ia juga ditanam untuk digunakan sebagai bahan didalam perubatan tradisional.

Kesemua bahagian tumbuhan ini adalah beracun terutama bahagian biji dan daunnya. Ciri-ciri keracunannya tidak akan hilang atau terhapus walau bahagian tersebut dimasak atau dikeringkan. Hiosin dan hiosamin merupakan antara alkaloid yang banyak ditemui di dalam buah, daun, ranting dan akarnya. Biji tumbuhan ini merupakan sumber utama sebatian ini. Kesemua sebatian ini mempunyai sifat anti koligernik dan sedikit kesan narkotik. Kesan toksiknya akan mula nyata didalam jangkamasa beberapa minit hingga beberapa jam selepas tumbuhan ini dimakan.

Gejala yang mual kelihatan ialah rasa haus, kering mulut, pembesaran anak mata dan lain-lain lagi. Pada kepekatan yang tinggi ia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan darah tinggi, sawan, koma dan boleh membawa maut.

Walaupun tumbuhan ini beracun, namun beberapa bahagian tumbuhan ini kerap digunakan didalam perubatan tradisional. Ia turut digunakan sebagai ubat cacing kepada kanak-kanak, merawat bisul, sakit otot, cirit birit dan untuk melegakan sakit gigi dan bengkak-bengkak badan. Ia hanya digunakan di bahagian luar badan secara bersendirian atau dicampur dengan tumbuhan lain.

Memandangkan kesan toksid yang mungkin berlaku, adalah dinasihatkan supaya pengguna mendapat nasihat yang sewajarnya sebelum menggunakannya,.


Penutup

Dari apa yang dibincangkan di atas ,dapatlah disimpulkan bahawa tumbuhan herba memberi manfaat yang tidak ternilai kepada manusia. Samaada kita menggunakan herba yang telah diekstrak atau masih didalam keadaan yang asli, namun kepentingan tumbuhan herba ini tidak dapat disangkal lagi. Tumbuhan herba ini merupakan anugerah yang tidak ternilai dari Pencipta untuk digunakan oleh sekelian manusia, yang memerlukan. Yang penting kita mesti berusaha untuk mencari penawar bagi setiap penyakit itu.


[UKM , Majalah Dara - Februari 2010]

Unikversiti Designed by Templateism.com & Copy Blogger Themes

Dikuasakan oleh Blogger.